SAHABAT :

Selasa, November 26, 2013

MP: Greece ada GST , dan mereka muflis ...

Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tidak akan menjadi penawar untuk menyelamatkan Malaysia daripada terjerumus ke lembah kemuflisan, kata tiga anggota Parlimen Pakatan Rakyat.

Mereka mendesak perdana menteri menjelaskan kedudukan kewangan negara dan sama ada Malaysia berhadapan risiko muflis atau dalam kedudukan kewangan yang selesa.

Gesaan itu dibuat oleh Rafizi Ramli (PKR-Pandan), Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara) dan Khalid Samad (PAS-Shah Alam) dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, Najib dilaporkan berkata, negara akan muflis jika GST tidak dilaksanakan.

NONENamun, pada masa sama di Parlimen, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata kedudukan kewangan negara masih lagi kukuh.

"GST tidak akan menyembuhkan segala-galanya. Hong Kong dan US tiada GST, tetapi mereka tidak muflis.

"Sepanyol dan Greece ada GST namun mereka menanggung kemuflisan," kata Pua (kanan).

Sementara itu, Rafizi menggesa perdana menteri agar lebih tekal dalam menilai kedudukan kewangan negara pada satu-satu masa.

"Semalam kata negara hendak bankrap, tapi timbalannya pula kata semuanya bagus-bagus sahaja," katanya.

NONE"Masalah sebenar kita bukan GST, tetapi adalah kegagalan Najib membanteras rasuah dan merancakkan ekonomi," tambahnya.

Khalid (kiri) pula menegaskan yang pendapatan daripada hasil petroleum negara meningkat sebanyak tiga kali ganda dalam masa setahun.

Menurutnya, harga petroleum pada tahun 2003 adalah AS$20 setong dan kini ia melebihi AS$100 setong membolehkan pendapatan dari hasil minyak meningkat daripada AS$11 bilion kepada AS$60 bilion sekarang
ini.

.

Ahad, November 24, 2013

Mat Sabu: Kalau kita kuasai Johor, UMNO tamat ...

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mengulangi tekad PAS untuk menawan Johor bersama Pakatan Rakyat bagi memastikan parti Umno tewas dalam pilihan raya umum ke-14 akan datang.
"Pada pilihan raya umum lalu, jalur kekuatan kita melebar dengan cemerlang dan selepas ini (pilihan raya umum ke-14) negeri yang kita akan tawan, insya-Allah, adalah Johor.

"Kalau Johor kita kuasai, nadi Umno tamat denyutannya di Malaysia," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan di Muktamar PAS ke-59 di Shah Alam.

Mohamad yang baru dipilih semula bagi jawatan itu berkata ahli PAS bagaimanapun masih perlu berhati-hati dengan agenda Umno.
Katanya, Umno dapat membelanjakan wang yang banyak untuk membina imej Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Oleh itu, beliau berkata Umno mungkin dapat melakukan perkara sama untuk memecah-belahkan Pakatan.
"Bila kena capai, kita kena teruskan (usaha)," katanya sambil menegaskan supaya menguatkan Pakatan Rakyat dan melupakan perkara yang tetek-bengek.

"Jangan hal-hal Umno atau ejennya yang datang mencelah di tengah-tengah (jamaah) kita," katanya lagi.

(Abdul Rahim Sabri , Malaysiakini )

Sabtu, November 09, 2013

PRK SG. LIMAU: WANG DAN HADIAH GAGAL MENANGKAN BN

KUALA LUMPUR: Pemberian wang dan hadiah tidak akan memberi kemenangan kepada BN seperti dibuktikan dalam pilihan raya kecil (PRK) Dun Sungai Limau dan pilihan raya umum (PRU) lalu, ujar mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad .

Menulis di laman blognya, Che Det, Dr Mahathir menegur kaedah kempen BN yang banyak menggunakan wang dan hadiah.

"Kempen sekarang ini berbeza dari dahulu. Banyak wang diguna. Diadakan karnival di mana ada acara hiburan, jamuan dan hadiah percuma seperti T-shirt BN, PAS yang belum memerintah terpaksa jual T-shirt. Apabila jadi Kerajaan T- shirt tentu percuma.

"Ada jabatan kerajaan yang mengadakan pameran untuk mempromosi Kementerian Pertanian saya fikir. Mereka yang datang melihat pameran diberi sepuluh ekor anak ayam, dedak dan beras. Makanan disediakan untuk pelawat.

"Saya tak tahu samada pameran ini adalah sebahagian dari kempen BN. Jika ia (ya), amat jelas pelawat tidak terpengaruh dengan hadiah anak ayam. Sebenarnya pengundi tidak mengundi mengikut hadiah – samada berbentuk duit atau anak ayam," tulis Dr Mahathir.

Menurut beliau, pemberian wang dan hadiah tidak akan memberi kemenangan kepada mana-mana calon malah wang yang diberi adalah pembaziran,  sama ada wang milik kerajaan atau bukan kerajaan.

Dr Mahathir menambah, sokongan kepada parti politik diasaskan kepada perjuangannya dan tingkah laku pemimpin dan calon.

"Kalau datang dengan Mercedes atau motorsikal 1000 c.c., saguhati dan apa juga yang diberi tidak akan menawan hati. Ada pengundi yang tidak arif yang berkata ini rasuah. Ini sangkaan buruk mereka. Tetapi sangkaan ini walaupun mungkin bukan rasuah mungkin mempengaruhi tindakan mereka," ujarnya.

Dr Mahathir juga mendapati keadaan di Sungai Limau sudah berubah berbanding ketika beliau menjadi wakil rakyat apabila banyak rumah batu berbumbung genting dibina penduduk.

"Nampak sejak saya jadi wakil rakyat dahulu keadaan banyak berubah. Ramai dari orang kampung yang sudah berjaya dan ada duit, walaupun tidak kaya," tulis beliau.

Bagaimanapun beliau mengakui masih ramai penduduk yang miskin dan  amat miskin.

"Kalau mereka diberi peluang dan bantuan mungkin mereka akan berhijrah... Inilah politik semasa. Duit lebih banyak tetapi pengaruh masih belum cukup," ujarnya.