SAHABAT :

Jumaat, September 27, 2013

Jenazah Ustaz Azizan selamat dikebumikan dikebumikan


POKOK SENA: Jenazah mantan Menteri Besar Kedah, Tan Sri Ustaz Azizan Razak selamat dikebumikan di Muassasah Darul Ulum, dekat sini pada jam 5.50 petang tadi dengan disaksikan para pemimpin dan ribuan rakyat negeri ini.


Talkin dibacakan Ketua Urusan Ulamak PAS Jerlun, Ustaz Mat Rejab Mat Akhir.

Antara yang hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Timbalan Mursyidul Am PAS, Dr Haron Din; mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad; Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir;  Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Iskandar Abdul Samad dan Ustaz Salehen Mukhyi;   Pengarah Urusan Harakah, Datuk Kamaruddin Jafar; Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli dan mantan Menteri Besar, Tan Sri Mahdzir Khalid.

Solat jenazah dilaksanakan  di Markaz PAS Pokok Sena, Jalan Langgar  jam 4.15 petang dengan diimamkan anak lelaki Allahyarham, Izzatul Islam Azizan manakala doa dibacakan ulama tempatan, Tuan Guru Haji Salleh Musa.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah turut berangkat menziarahi jenazah Allahyarham (gambar).

Jenazah kemudiannya dibawa ke Muassasah Darul Ulum yang menempatkan  kubur mantan Presiden PAS, Ustaz Datuk Fadzil Mohd Nor untuk dikebumikan dengan diiiringi ribuan kenderaan (gambar kiri).


Kenderaan yang membawa jenazah Allahyarham sampai di perkarangan Muassasah darul Ulum pada jam 4.55 petang disambut ribuan hadirin.


Solat jenazah sekali lagi diadakan dengan diimamkan Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din.


Ustaz Azizan  kembali ke rahmatullah pada jam 11.10 pagi ini di Unit Kawalan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

Allahyarham meninggalkan dua  isteri, Puan Sri Faikah Syeikh Hamzah dan Shamsiah Shafie serta 14  anak.

Jumaat, September 20, 2013

PAS MANTAP BERSAMA PAKATAN RAKYAT



tengku zul
MENTAKAB, 20 SEPTEMBER: PAS bukan semakin lemah malah akan terus kukuh dan kuat kedudukannya serta mendapat sokongan lebih besar masyarakat hasil kerjasama politik bersama parti lain dalam Pakatan Rakyat (PR).
Malah, walaupun PAS, PKR dan DAP menghadapi saingan sengit daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) yang membabitkan UMNO, MCA dan MIC, kerjasama PR dilihat lebih mampu melangkaui batas ideologi atau kaum seperti yang dibuktikan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), 5 Mei lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Mentakab, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata demikian ketika mengulas cadangan sesetengah pihak dalam PAS untuk mengkaji semula kerjasamanya bersama PR.
“Kita juga dapat lihat bagaimana PAS berjaya merampas Kelantan daripada terus diperintah BN pada PRU 1990 ketika bekerjasama dengan parti Semangat 46 dan keadaan itu bertambah kukuh hasil kerjasama dengan PKR dan DAP.
“Kita juga dapat melihat pada 1999 di mana kerjasama dalam Barisan Alternatif itu menyebabkan kerajaan UMNO/BN Terengganu tewas,” ujar Tengku Zulpuri.
Beliau yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang berkata, kerjasama baik parti dalam PR juga mencatat satu sejarah baru apabila PR berjaya mencetuskan Tsunami Politik 2008 yang menyaksikan kejatuhan apabila merampas Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang serta mengekalkan Kelantan.
“Ini merupakan petanda yang sangat positif. Kalau dulu, orang bukan Islam takut kepada PAS, kini mereka lebih memahami budaya Melayu dan Islam.
“Begitu juga DAP yang sekarang persepsi negatif orang Melayu terhadap parti ini semakin berjaya dipulihkan malah semakin ramai orang Melayu menerima DAP sebagai parti berbilang kaum. Kerjasama dalam PR ialah win-win situation,” katanya.
Tengku Zulpuri Shah juga berpendapat, perkara terpenting yang perlu di teruskan PR ialah gerak kerja yang berterusan, cuma memperkemaskan sedikit kelemahan yang ada.
“Kita perlu terus membuat pelbagai aktiviti, khidmat, program penerangan supaya PR bertambah dekat dengan masyarakat,” ujarnya.
Walaupun mengakui masih wujud di kalangan orang Melayu yang masih takut atau was-was terhadap kerjasama PR, beliau berkata, itu adalah hasil propaganda jahat UMNO/BN sejak berpuluh-puluh tahun lalu.
“Mentaliti sebeginilah yang kita perlu ubah. Kita kena bebaskan mereka daripada mentaliti takut kerana inilah senjata UMNO/BN untuk terus menguasai Malaysia,” kata beliau.-Roketkini.com

Ahad, September 15, 2013

PAS TETAP BERSAMA PAKATAN RAKYAT



KUALA LUMPUR: PAS wajib melangkah ke hadapan untuk terus relevan di pentas politik negara dengan memahami suasana politik dan mempersembahkan Islam dengan wajah terbaik kepada masyarakat Malaysia,” kata Musyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sehubungan itu, beliau menasihati para pemimpin PAS supaya  jangan mengurung PAS di dalam kandang pemikiran yang dicipta sendiri dan bersedia menjalinkan kerjasama politik selagi ia tidak bertentangan dengan prinsip asas syariat.

Dalam satu entri di laman facebook beliau bagi mengulas resolusi yang diputuskan Multaqa Ulamak PAS di Alor Setar semalam, beliau menegaskan  kerjasama politik PAS  dalam Pakatan Rakyat bukannya diputuskan oleh beberapa individu malah adalah keputusan kolektif pimpinan PAS dan diperkuatkan melalui Muktamar Tahunan PAS yang berlangsung selepas pilihan raya umum (PRU) 2008.


“Saya melihat keputusan ini tidak sekali-kali silap bahkan ia lebih membawa PAS ke hadapan pentas politik di Malaysia. Lebih bermakna daripada itu, PAS berjaya mempersembahkan Islam kepada non-Muslim dengan cara yang tidak pernah dilakukan oleh Umno.

“Umno  bukan setakat menjauhkan bukan Islam daripada Islam bahkan menjauhkan orang Islam sendiri dari memahami agama mereka,” tegas beliau.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Saya membaca muka hadapan Sinar Harian hari ini 15 September 2013 yang memuatkan tajuk besar PAKATAN RUGIKAN PAS? dengan memetik ucapan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Harun Taib yang dikatakan meminta Majlis Syura Ulama mengkaji semula Tahaluf Siyasi (Persefahaman Politik) dalam Pakatan Rakyat.

Saya tidak menghadiri Multaqa Ulama yang diadakan di Kota Sarang Semut semalam sekalipun saya benar-benar berhasrat untuk hadir. Keuzuran dan situasi kesihatan menghalang saya untuk hadir ke program yang saya sifatkan sangat bermakna itu. Justeru, saya tidak mendengar sendiri ucapan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat seperti yang dilaporkan oleh akhbar. Berkemungkinan ia hanya ulasan akhbar dan bukannya ucapan sebenar beliau ataupun sememangnya dipetik dari ucapan beliau, wallahulam.

Walau bagaimanapun, suka untuk saya memberikan respon terhadap tajuk yang digunakan di muka hadapan Sinar Harian iaitu PAKATAN RUGIKAN PAS? Perlu dijelaskan bahawa penyertaaan PAS melalui Tahaluf Siyasi di dalam Pakatan Rakyat bukannya diputuskan oleh beberapa individu sahaja. Ia diputuskan oleh keputusan kolektif pimpinan PAS dan diperkuatkan melalui Muktamar Tahunan PAS yang berlangsung selepas pilihanraya umum 2008.

Saya melihat keputusan ini tidak sekali-kali silap bahkan ia lebih membawa PAS ke hadapan pentas politik di Malaysia. Lebih bermakna daripada itu, PAS berjaya mempersembahkan Islam kepada non Muslim dengan cara yang tidak pernah dilakukan oleh Umno. Umno bukan setakat menjauhkan bukan Islam daripada Islam bahkan menjauhkan orang Islam sendiri dari memahami agama mereka.

Senjata Umno ialah perkauman, lambang Umno ialah keris tidak bersarung, politik Umno ialah politik samseng jalanan, sampai bila-bila non-Muslim tidak akan melihat keindahan Islam melalui cermin mata politik Umno yang penuh dengan habuk kebangsaan.

Di dalam Pakatan Rakyat, pendekatan Islam yang dibawa oleh PAS tidak pernah ditentang. Pemimpin-pemimpin DAP khususnya seringkali datang ke pejabat saya berbincang sentiasa tentang nilai-nilai Islam. Ada yang datang mengungkapkan istilah-istilah perundangan syarak yang kadang-kadang pemimpin Umno sendiri pun barangkali tidak pernah bersua dengan istilah sebegini.

PAS wajib melangkah ke hadapan. Pengalaman sebagai gerakan Islam yang telah berusia lebih setengah abad wajar mengajar PAS bahawa untuk terus relevan di pentas politik negara, PAS wajib memahami suasana politik. Selagi tidak bertentangan dengan prinsip asas syariat, jangan mengurung PAS di dalam kandang pemikiran yang kita sendiri cipta. PAS membawa nama Islam di dalam perjuangannya, maka wajiblah ke atas PAS untuk mempersembahkan Islam dengan wajah terbaik kepada masyarakat Malaysia.

Saya mendegar pengalaman Yang Berhormat Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan yang baru pulang dari lawatan kerja di Johannesburg, Afrika Selatan. Katanya di sana zakat turut diberikan oleh orang Islam kepada bukan Islam. Di Malaysia, di bawah asnaf muallaf, hanya orang yang baru memeluk agama Islam menerima zakat. Sedangkan muallaf juga boleh jadi seorang non muslim yang hampir lembut hatinya untuk memeluk Islam dan juga seorang non muslim yang sangat tegar memusuhi Islam namun jika diberikan zakat, permusuhannya itu kendur.

Ini sebagai contoh bagaimana ada aspek pengamalan Islam secara praktikal di Malaysia masih belum tepat dengan wajahnya yang sebenar. Inilah yang perlu dibaiki dan PAS wajib memainkan peranan. Saya yakin, jika Islam difahami dengan baik tanpa gangguan daripada pihak-pihak yang berkepentingan, ia akan diterima dengan mudah tanpa sebarang syak wasangka oleh rakan-rakan daripada non Muslim.

Di sinilah letaknya misi sebenar PAS di dalam Pakatan Rakyat. Benar, kita ingin memburu kemenangan di dalam pilihanraya, tetapi juga perlu diingat PAS sebagai gerakan Islam juga memikul tanggungjawab dakwah yang besar di pentas politik. Justeru, keberadaan PAS di dalam Pakatan Rakyat sekali-kali bukan merupakan langkah yang silap, bahkan ia merupakan langkah yang sangat tepat dengan realiti politik negara.

Tahniah kepada para ulama yang bermultaqa semalam. Harapan saya agar ia dapat menguatkan iltizam kita semua di dalam memperkukuhkan PAS sebagai parti politik yang berdasarkan Islam. Berhubung kedudukan PAS di dalam Pakatan Rakyat, jika mahu dikaji, silakan. Tetapi kaji hanya untuk penambahaikan, bukan kaji untuk mengundur ke belakang. Kaji untuk berundur ke belakang hanyalah memberikan pelampung kepada UMNO yang sedang kelemasan.

Sekian.

Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Al-Mursyidul Am PAS

9 Zulkaedah 1434H bersamaan 15 September 2013M