SAHABAT :

Rabu, Ogos 28, 2013

INSPIRASI PEJUANG : SYED QUTB

 
 
 
 
Asy Syahid Syed Qutb, lahir pada 9 Oktober 1906. Mendapat pendidikan pertama di rumah orang tuanya, yang kuat beragama. Pada usia 6 tahun, Asy Syahid Syed Qutb di hantar ke sekolah rendah di kampungnya, Assiyut. Pada usia 7 tahun ia mulai menghafal Al-Qur'an, dan akhirnya berjaya menghafal seluruh Al-Qur`an. Diperakui sebagai intelektual Mesir, pendidik, aktivis Islam, penyair, penulis revolusioner dan ahli gerakan Ikhwanul Muslimin setelah wafatnya Hasan Al-Banna. Salah satu arkitek utama dalam kebangkitan Islam terkini, bersama Abul A'la Maududi pendiri Jamaat Islami Pakistan.


Asy Syahid Syed Qutb sebenarnya adalah sumber inspirasi, pencetus buah fikiran, motivasi bagi jutaan pendokong Islam seluruh dunia bagi kembali menghayati sebenar-benarnya ajaran Islam dalam kehidupan, merubah teras politik dan sosial, mencerminkan prinsip-prinsip Islam hakiki. Beliau adalah tokoh sebenar yang bulat berjuang untuk agama, menyerahkan seluruh hidupnya untuk Allah, seorang Mukmin yang begitu kuat keyakinannya, sehingga berupaya mempersembahkan nyawanya kepada keyakinan dan akidah yang diyakininya.

Karya tulisannya masih di hirup segar hingga kini, sedia diterjemahkan ke dalam berbagai bahasa di dunia. Antara tulisannya yang terkenal awalnya berjudul 'Keadilan Sosial Dalam Islam', 'Masyahidul Qiamah Fil Qur'an', 'Al-Adalah Al-Ijtima'iyyah Fil Islam',. Beberapa karya Asy Syahid Syed Qutb lainnya adalah: 'Haaza ad Din', 'Al-Mustaqbal Li Hadza Ad-diin', 'Khashaish Tashawwur Al-Islami', 'Ma'alim Fi Thariq', dan tafsir 'Fii Zilalil-Qur`a'n'.

Asy Syahid Syed Qutb menghabiskan bertahun tahun usia terakhirnya dalam penjara. Mencurahkan seluruh jiwa dan fikirannya yang luar biasa dalam tulisan- tulisannya dengan ungkapan kata indah, penuh makna dengan nilai sastra yang tinggi. Semua yang membacanya, dapat merasakan semangat hebat , lantunan fikiran serta getar rohaninya yang segar bertenga, tercantum hebat dalam karya-karya tulisannya. Semuanya berputar dan berhubungkait dengan konsep al-Tauhid Uluhiyyah, yakni hak Allah dari sudut Al-Hakimiyyah dan Al-Tasyri' (pembuatan peraturan). Kerananya,( ikrar 'Lailaha ilalLah') adalah pernyataan revolusi terhadap seluruh kedaulatan yang berkuasa di atas muka bumiNya. Seluruhnya itu mesti dikembalikan kepada hakNya.

Pada 13 Januari 1954, Revolusi Mesir mengharamkan Al-Ikhwan Muslimun dan pimpinannya ditangkap, difitnah merancang rampasan kuasa. Tanpa bukti yang jelas, 7 orang pimpinan tertinggi Al-Ikhwan dijatuhi hukuman mati, termasuk Hasan Hudhaibi, Abdul Qadir Audah dan Syeikh Muhammad Farghali, ketua sukarelawan Mujahidin Ikhwan Muslimin di dalam Perang Suez 1948. Tetapi hukuman terhadap Hasan Hudhaibi diubah menjadi penjara seumur hidup dan Asy Syahid Syed Qutb dihukum penjara 15 tahun dengan kerja berat.

Pada tahun 1964, Asy Syahid Syed Qutb telah dibebaskan atas permintaan peribadi Abdul Salam Arif, Presiden Iraq. Tetapi Pemerintahan Revolusi Mesir belum menerima pembebasan tersebut. Setelah Presiden Abdul Salam Arif meninggal dalam satu musibah pesawat udara, Asy Syahid Syed Qutb ditangkap semula pada tahun berikutnya. Alasannya adalah kerana Asy Syahid Syed Qutb dituduh kembali merancang rampasan kuasa. Selain itu, Mahkamah Revolusi merujuk pada buku-buku Asy Syahid Syed Qutb terutama Maalim Fit Thariq, yang mendasari pernyataan seruan revolusi terhadap seluruh kedaulatan yang tidak berdasarkan Syari'at Allah.
Asy Syahid Syed Qutb ditahan bersama seluruh anggota keluarganya. Sebelum hukuman gantung dilaksanakan, Presiden Naser menghantar utusan menemui Asy Syahid Syed Qutb. Melalui utusan itu Presiden Naser meminta agar Asy Syahid Syed Qutb menulis pernyataan meminta ampun agar beliau dibebaskan. Tetapi Asy Syahid Syed Qutb dengan tegas menjawab;
" Telunjuk yang bersyahadah setiap kali dalam solat menegaskan bahawa Tiada ILah yang disembah dengan sesungguhnya melainkan Allah dan Muhamad adalah Rasulullah, dan aku takkan menulis satu perkataan yang hina. Jika aku dipenjara kerana kebenaran aku redha. Jika aku dipenjara secara batil, aku tidak akan menuntut rahmat daripada kebatilan. "

Beliau juga mengatakan; " Ketahuilah, kami mati dan mengorbankan diri demi membela dan meninggikan kalimat La Illaha illa Allah, sementara engkau mencari makan dengan La Ilaha illa Allah!," ketika agamawan suruhan pemerintah Mesir meminta beliau mengingati Allah s.w.t sementara menunggu untuk dihukum gantung.

Pagi hari Isnin, 29 Ogos 1966, Asy Syahid Syed Qutb digantung bersama-sama sahabat seperjuangannya, Muhamad Yusuf Hawwash dan Abdul Fatah Ismail.

Sungguh dunia Islam telah kehilangan sebuah permata, pejuang yang telah mempertaruhkan nyawanya untuk membela tauhid. Menjual harta dan dirinya kerana Allah, jual beli yang pasti untung, sebagaimana janjiNYA.

Firman Allah swt bermaksud;
" Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah kamu Aku tunjukkan satu jenis perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu daripada azab yang pedih. Kamu beriman kepada Allah SWT dan berjihad pada jalan-Nya dengan harta benda dan diri kamu, yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui."
(Surah As-Shaf ayat 10)

Untuk kita Asy Syahid Syed Qutb memesan;

SAUDARA!
SEANDAINYA KAU TANGISI KEMATIANKU,
DAN KAU SIRAM PUSARAKU DENGAN AIRMATAMU
MAKA DI ATAS TULANG-TULANGKU
YANG HANCUR LULUH,
NYALAKANLAH OBOR BUAT UMMAT INI DAN........
TERUSKAN PERJALANAN KE GERBANG JAYA

SAUDARA!
KEMATIANKU ADALAH SUATU PERJALANAN
MENDAPATKAN KEKASIH YANG SEDANG MERINDU
TAMAN-TAMAN DI SYURGA
TUHANKU BANGGA MENERIMAKU
BURUNG-BURUNGNYA BERKICAU RIANG MENYAMBUTKU
BAHAGIALAH HIDUPKU DI ALAM ABADI

SAUDARA!
PUAKA KEGELAPAN PASTI AKAN HANCUR
DAN ALAM INI AKAN DISINARI FAJAR LAGI
BIARLAH ROHKU TERBANG MENDAPATKAN RINDUNYA
JANGANLAH GENTAR BERKELANA DI ALAM ABADI
NUN DI SANA FAJAR SEDANG MEMANCAR........

Jumaat, Ogos 16, 2013

Kerajaan Haram Mesir Cuba Padam Bukti Kekejaman




(Jenazah yang sempat diselamatkan dari dibakar dan ditempatkan di Masjid Al_Iman)

MESIR: Kerajaan kudeta Mesir yang dikuasai tentera dilaporkan sedaya upaya cuba memadamkan kekajaman mereka yang telah membunuh ribuan penyokong legitimasi di beberapa kawasan di Kaherah khususnya di Medan Raba'ah Adawiyah, semalam.

Beberapa sumber termasuk Ikhwan Muslimin mendedahkan, pihak tentera cuba untuk menghapuskan bukti dengan sebolehnya menipu angka korban semalam pada kadar paling rendah.

Tindakan terdesak dilakukan bagi mencapai tujuan itu termasuk dengan membakar mayat-mayat penyokong Morsi di Medan Raba'ah semalam selepas menembak mereka.

(Keadaan Masjid Raba'ah selepas dibakar oleh pihak tentera)

Pecubaan kedua, mereka membakar jenazah yang dikumpulkan di tingkat bawah Hospital Awam di Medan Raba'ah semalam.

Di tingkat itu, terdapat ribuan jenazah penyokong Morsi yang terkorban ditempatkan disitu.

Bagaimanapun hanya 350 mayat sahaja sempat diusung keluar dari hospital itu manakala selebihnya hangus terbakar.

Kesemua mayat yang berjaya dikeluarkan itu kemudian dikumpulkan di Masjid Al-Iman, kawasan Makram 'Abid.

Percubaan ketiga pula, pihak keselamatan didakwa enggan mengeluarkan surat kelulusan untuk pengebumian tersebut, dan diubah sebab kematian adalah kerana bunuh diri.

Percubaan keempat, para petugas perubatan di Pusat Nasr diarah mengeluarkan laporan perubatan palsu terhadap mangsa korban di Rabaah.

Pengerusi Kesatuan Farmasi wilayah Qalyubiyah mendedahkan para petugas perubatan di Pusat Nasr ditekan oleh pihak berkuasa agar merekodkan punca kematian penyokong Morsi itu akibat seksaan dalam tahanan, bukan ditembak ketika serangan polis di Rabaah.

Tekanan ini diberikan oleh pihak berkuasa melalui Kementerian Kesihatan kepada anggota keluarga mangsa korban yang ingin menuntut mayat keluarga masing-masing. Sebagai contoh, Rumah Mayat "Zenhom" enggan membenarkan mayat mangsa dikeluarkan sehingga keluarga mangsa menandatangani surat akuan bahawa mangsa mati akibat membunuh diri.

Percubaan kelima, pihak tentera melepaskan gas pemedih mata ke dalam Masjid Al-Iman -masjid yang dijadikan tempat pengumpulan jenazah penyokong Morsi - bagi menyuraikan ahli keluarga mangsa yang sedang mengecam jenazah di dalamnya.

Tindakan tentera itu dipercayai bertujuan untuk mencuri jenazah di Masjid itu bagi mencapai matlamat mereka iaitu menghapuskan bukti dengan mendakwa hanya sedikit yang terkorban dalam serangan semalam.

(Anggota keluarga meneliti senarai nama mereka yang terkorban)

Dalam pada itu, sumber R.N.N menyebut kiraan pertama angka syuhada' sehingga kini melebihi 3,000 orang di seluruh negara sepanjang operasi ketenteraan semalam.

Mereka yang terkorban di dua lokasi utama himpunan iaitu Raba'ah dan Nahdhah sahaja melebihi 2,500 orang.

Lebih 300 orang lagi dilaporkan terkorban di beberapa wilayah lain dalam perhimpunan yang diadakan sejurus pembunuhan di Raba'ah dan Nahdhah.

Di pihak kerajaan kudeta pula, mereka hanya menyebut jumlah kematian hanya ratusan, malah tidak lebih dari 1000 orang.

Mereka pula lebih membesarkan kes beberapa orang polis terkorban dalam inseden semalam.

Rabu, Ogos 14, 2013

SYAHID DI BUMI SYRIA

 
Ini ialah gambar Mujahid Rami Al Zahrani, seorang mujahid muda berasal Saudi Arabia yang berjihad di Syria menentang Rejim Assad.

Wajahnya yang tampan, cara berpakaian yang santai dan berambut panjang ala rocker bukan bermakna beliau seorang pencinta dunia tetapi lebih mencintai syahid.

Bak kata seorang rakan blogger beliau adalah seorang lelaki perindu syahid.

Sebelum beliau gugur dalam operasi menawan Ming Airport beliau sempat berbual dengan ibu beliau melalui telefon dan kisah ini tersebar luas di laman-laman jihad di seluruh dunia.

Ini adalah sisipan perbualan beliau dengan ibunya yang dikongsi ramai itu.

Mujahid Rami : Hari ini pada waktu maghrib lepas berbuka puasa saya ada pertempuran di Ming Airport di Halab.

IBU : Ibu sentiasa berdoa kepada Allah yang maha berkuasa agar diri mu beroleh kemenangan dan dapat mengalahkan musuh-musuh Islam. Semoga 'Dia' menunjukkan kebenaran.

Mujahid Rami : Ibu, berdoalah untuk ku agar dikurniakan syahid tertinggi. Demi Allah oh ibuku, aku berasakan sesungguhnya aku akan gugur dalam pertempuran kali ini dan bagiku betapa indahnya kematian ini. Semoga Allah mengurniakan pertempuranku kali ini melawan musuh dengan cara terbaik demi KeranaNya. Seandainya diriku gugur demi Allah, bergembiralah dan jangan menangisi. Berdoalah wahai ibu agar Allah menerima ku sebagai syuhada di malam ke 27(ramadhan).

DAN PADA MALAM ITU ASY-SYAHID MUJAHID RAMI AL ZAHRANI DILAPORKAN GUGUR DALAM PERTEMPURAN DI MING AIRPORT.

DI ATAS MERUPAKAN PETIKAN KATA-KATA PESANAN TERAKHIR ASY-SYAHID KEPADA IBU NYA SEBELUM GUGUR. oleh generasi Al Ghuroba

Selasa, Ogos 06, 2013

Sambut raya: Kos hidup rakyat bertambah mahal



KUALA LUMPUR: Hari Raya kali ini disambut dalam keadaan kos hidup rakyat negara ini dijangka akan bertambah mahal dan menekan mereka, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

"Saya diberitahu, apabila agensi penarafan yang berpangkalan di Amerika Syarika Fitch Rating meletakkan prospek Malaysia daripada stabil kepada negatif, ia akan mencetuskan banyak kesan termasuk kejatuhan nilai ringgit.

"Keadaan itu sangat membimbangkan kerana Malaysia adalah negara pengimport makanan," kata beliau.

Salahuddin berkata, berikutan penarafan tahap negatif itu, mereka yang mengkaji ekonomi menjangkakan keadaan akan menjadi bertambah buruk kerana ringgit Malaysia telah pun berada pada tahap terendah dalam masa tiga tahun berbanding dollar Amerika.

"Harga barangan import sudah tentu akan bertambah mahal dan ia akan memberi kesan kepada hampir kesemua perniagaan dan industri dalam negara ini," katanya.

Ringgit Malaysia juga, katanya lagi, berada pada kadar terendah dalam masa 15 tahun berbanding dollar Singapura.

"Sekarang bertambah murah dan mudahlah orang-orang Singapura membeli hartanah di negara ini.

"Semua ini perkembangan yang tidak baik bagi rakyat Malaysia," kata Salahuddin.

Beliau berkata, rakyat perlu memahami bahawa apabila nilai ringgit jatuh dan penarafan pula diletakkan pada tahap negatif, lebih banyak wang terpaksa dibelanjakan oleh negara ini untuk membayar hutang luar termasuklah kos untuk pelbagai jaminan kerajaan yang melibatkan bond, sukuk dan sebagainya.

"Apabila lebih banyak wang dibelanjakan untuk membayar hutang, peruntukan untuk pembangunan pula akan berkurangan," katanya.

Salahuddin juga mengingatkan, dengan perkembangan sebegini di mana harga barangan termasuk makanan akan bertambah mahal dan menekan, wang sekali bagi seperti BR1M tidak akan dapat membantu meringankan beban rakyat.

"Persoalannya, apa akan jadi dengan nasib rakyat dan negara ini di bawah kerajaan yang tidak berkemampun kerana penarafan yang diturunkan ke tahap negatif itu dengan sendirinya jelas menunjukkan kegagalan dan ketidakmampuan kerajaan Umno Barisan Nasional mengendalikan ekonomi negara," kata beliau.

Fitch Rating menyemak semula prospek Malaysia daripada "stabil" kepada "negatif", dengan mengemukakan masalah kurangnya kemajuan dalam reformasi kerajaan dalam menangani defisit fiskal.

Ia juga membangkitkan kebimbangan berhubung peningkatan hutang isi rumah dan hutang kerajaan, sebanyak 53.3 peratus pada penghujung 2012, tidak termasuk liabiliti luar jangka.