SAHABAT :

Jumaat, Julai 19, 2013

PERBEZAAN FAJAR KAZIB DAN FAJAR SADIQ


Bagaimana mengenal fajar sadiq dan fajar kazib?
Sesiapa yang berada di tempat yang tidak terlindung seperti di tepi pantai atau di padang pasir, dia akan dapat melihat dengan jelas kemunculan kedua-dua fajar ini.

Fajar Kazib kedudukannya memanjang ke atas.
Fajar ini timbul dalam tempoh yang singkat, kemudian hilang.
Fajar kazib dilingkungi dua ufuk langit yang gelap.
Fajar kazib tidak disusuli hukum syarak yang berkaitan dengannya.
Fajar kazib terbit lebih awal daripada fajar sadiq kira-kira dua puluh minit sebelum terbit fajar sadiq, kemudian ia hilang semula lalu suasana kembali gelap.
Ia dinamakan kazib (dusta) kerana kemunculannya seolah-olah menggambarkan tibanya siang walhal ternyata ia tidak benar.

************
Fajar sadiq kedudukannya melintang di ufuk langit.
Fajar sadiq terbit dan tidak hilang sehinggalah keadaan semakin cerah sedikit demi sedikit sehingga ternyata kecerahan siang (terbit matahari).
Fajar sadiq melitupi ufuk langit.
Fajar sadiq disusuli hukum syarak yang berkaitan dengannya seperti masuknya solat subuh dan bermulanya waktu puasa.
Fajar sadiq terbit setelah fajar kazib kemudian ia semakin cerah sedikit demi sedikit sehingga ternyata kecerahan siang (terbit matahari).
Ia dinamakan sadiq (benar) kerana kemunculannya memang benar menandakan tibanya siang.

Jumaat, Julai 12, 2013

Mesir Terus Diganggu



Dunia terkini telah berubah kepada zaman di mana rakyat mendesak supaya suara mereka didengari dan hak mereka diberikan dengan adil. Manakala  zaman kuku besi di mana sesebuah kerajaan berlagak Tuhan, rakyatnya diperhambakan pula hampir dilupa dan diletakkan dalam lipatan sejarah.

Islam yang dibawa para Rasul adalah pendukung menentang kezaliman di sepanjang zaman. Mesir adalah bumi bersejarah berlakunya pertembungan di antara Fir’aun yang zalim berlagak Tuhan. Fir’aun itulah yang berlagak sebagai penentu rezeki rakyat, bermegah dengan pembangunan hebat, bangunannya tersergam menjadi tarikan pelancong sehingga kini. Semua pembangunan dan monumen hebat yang dibina oleh penzalim seperti Fir’aun telah dilupakan bahawa semuanya dibina di atas mayat rakyat yang di hamba-abdikan, banyaknya darah yang mengalir dan air mata yang dicurah.

Nabi Ya’akob dan puteranya Nabi Yusuf A.S. dikumpulkan di Mesir, daripada zuriatnya ramai para anbiya’, maka Mesir dinamakan bumi para anbiya’. Allah juga telah mengutuskan Rasulnya Musa A.S. untuk melakukan Islah di bumi Mesir. Sebagai satu hikmah dari Allah, Rasul itu menjadi anak angkat yang dibesarkan di bawah mahligai Fir’aun, untuk berdepan secara langsung dengan Fir’aun paling zalim dan ganas. Akhirnya Fira’un dan kerajaannya tamat riwayat bersama amal zalimnya dengan khatimah buruk dilaknat mengikut perhitungan Islam, celaka dunia dan neraka di akhirat. Fir’aun inilah yang dijulang oleh golongan nasionalis Mesir sebagai tokoh tamadun yang dibanggakan.

Kedatangan Rasul akhir zaman juga membawa perubahan besar kepada Mesir sehingga menjadi pusat ilmu Islam dan gerakan Islam menentang penjajah. Kedudukannya yang berada di tempat paling penting dalam peta hubungan antarabangsa dan benua, menjadikannya sasaran kezaliman antarabangsa. Bu,I Mesir menjadi rebutan kuasa besar timur dan barat, sejak sebelum Islam, sehinggalah perang salib, zaman penjajahan, dan menjadi medan dua perang dunia dan perang dingin.

Ketika era perang dingin ramai pemimpin gerakan Islam Ikhwan Muslimin gugur syahid di medan perang Palestin. Ketika berlakunya penubuhan negara haram Israel dan seterusnya rampasan kuasa tentera di Mesir, kalangan Ikhwan Muslimin terus menerus diburu dan dihukum. Sejarah hitam berdarah ini sedang diulangi sekali lagi.

Semua negara kuasa besar dan sekutunya tidak memberi perhatian terhadap seluruh negara dunia seperti perhatian khusus mereka terhadap apa yang berlaku di Mesir. Perubahan telah berlaku di negara bekas komunis dan sosialis lainnya, tetapi kepentingan kuasa besar terhadap geo-politik Mesir tentunya tersangat penting untuk mereka biarkan berlaku begitu sahaja. Mereka mengkaji dengan serius apabila Mesir menerima perubahan kepada demokrasi yang memberi hak kepada rakyat.

Mereka memandang secara tajam dan ganas, apabila Mesir berubah setelah  dicengkam regim diktator kuku besi tentera sejak beberapa dekad. Negara Barat yang kononnya memperjuangkan demokrasi tetap mengiktiraf diktator zalim dan paling tajam kuku besinya di Mesir sejak beberapa dekad. Semuanya kerana kepentingan strategic kuasa besar terhadap sumber tenaga dan kedudukan sekutu rapat mereka negara haram Israel. Akhirnya, perubahan berlaku di Mesir mengikut musim perubahan dunia sehingga tidak mampu dihalang, sehingga Presidennya terpaksa meninggalkan kerusi dan terdedah segala jenayah dan salah laku yang terselindung dilakukan ketika berkuasa.

Apabila Demokrasi dihidupkan, pilihanraya dilaksanakan dengan adil dan telus. Bermulalah era media menjadi saksi yang adil yang diberi peluang kepada semua parti politik dan rakyat mendapat maklumat daripada semua pihak. Maka  rakyat memilih kerajaan dan Presidennya secara langsung, sehingga kumpulan saki bagi penipu besar gagal menyekat pilihan rakyat.  Tiba-tiba kumpulan sekular yang didokong oleh negara luar kalangan kuasa besar dan daripada kalangan negara Arab serantau, sebangsa, se agama, menolak pilihan rakyat Mesir kerana kemenangan berpihak kepada kumpulan Islam.

Rakyat Mesir pernah menjadi mangsa penipuan ketua negaranya ketika kalah perang menghadapi negara haram Israel 1967 yang memalukan, apabila ketua cawangan Parti Sosialis dan ketua kampung (JKKK) diperintah supaya mengerah  rakyat keluar beramai-ramai berdemonstrasi dan bersedih tidak bersetuju Presidennya meletakkan jawatan kerana malu kalah perang. Kerahan dilakukan sebelum Presiden menyampaikan lagi ucapannya, satu lakonan menipu rakyat  dan seluruh dunia.

Akhirnya terkini, diulangi lagi penipuan terbuka yang diketahui umum tanpa maruah dan rasa malu. Kali ini rakyat miskin dan bodoh dikerah lagi dengan duit upah dan kenderaan percuma, dengan  sumbangan duit  negara minyak Arab yang sanggup menyumbangnya. Rakyat yang begitu sifatnya dihimpunkan di Medan Tahrir menunjuk perasaan kerana Presiden Morsi yang baru setahun dilantik tidak berjaya menyelesaikan masalah yang diadakan oleh kerajaan yang lalu sejak enam puluh tahun. Bantahan disertakan dengan kononnya jutaan tanda tangan kalangan yang sebahagiannya buta huruf dan buta akal.

Protes itu berlaku terhadap masalah yang berakar umbi selam enam puluh tahun warisan kerajaan diktator terdahulu. Protes yang dirancangkan dengan rapi dan tersembunyi tangan ghaib kuasa besar dan negara Arab sekitarya hanyalah mengenai masalah yang belum dapat diselesaikan dalam masa setahun pemerintahan Presiden Morsi, itupun dalam  keadaan Presiden dan kerajaannya yang masih baru, tidak dibenarkan bertindak terhadap saki baki penyangak dan penyamun lama yang masih berakar umbi dalam jentera kerajaan dan institusinya.

Seluruh dunia menyaksikan lakonan atau drama terbuka di tengah padang di waktu siang hari yang nyata, kononnya menyokong kehendak rakyat. Malangnya ada kalangan ulama dan pemimpin agama yang menjadi pelakon tambahan, ada pula negara Arab yang mengucap tahniah mengiktiraf drama bohong ini adalah benar dan adil, sehingga lupa serban di kepala dan lupa berada paling hampir dengan Ka’abah. Sedang negara Barat sendiri masih hati-hati membuat kenyataan.

Maka berlakulah pesanan Rasulullah S.A.W.:
سَيَأْتِي عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتُ يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ وَيُخَوَّنُ فِيهَا الْأَمِينُ وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ قِيلَ وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ قَالَ الرَّجُلُ التَّافِهُ فِي أَمْرِ الْعَامَّةِ

سنن ابن ماجه - (ج 12 / ص 44)
(Akan datang masanya manusia berdepan dengan tahun-tahun yang mengelirukan (musimnya tidak menentu), berlakunya dibenarkan (dipercayai) pembohong, dibohongi orang yang benar. Diberi amanah kepada pengkhianat, dikhianati orang yang amanah, Orang-orang yang bebal bercakap. Lalu ditanya apakah maksudnya ?. Sabdanya :” Orang-orang yang terlalu jahil bercakap dalam perkara yang besar).


Berlakunya yang di-sabda Rasulullah S.A.W. menjawab soalan Malaikat Jibril : Apakah tanda-tanda hampirnya Hari Kiamat (Yang membinasakan seluruh alam)”. Sabdanya:
وَأَنْ تَرَى الْحُفَاةَ الْعُرَاةَ الْعَالَةَ رِعَاءَ الشَّاءِ يَتَطَاوَلُونَ فِي الْبُنْيَانِ

صحيح مسلم - (ج 1 / ص 87)
(….dan apabila kamu melihat adanya orang-orang yang dahulunya berkaki ayam (tanpa kasut), bertelanjang, yang terlalu miskin, tiba-tiba (kaya raya) berlumba-lumba mendirikan bangunan-bangunan tinggi).

Banyaklah sejarah latar belakang negara kaya raya hasil minyaknya, bagaimana mereka dahulunya dan bagaimana sekarang?

Segala yang berlaku menandakan fajar kemenangan Islam, mereka yang ditarbiyah oleh penjajah berbangga dengan sejarah Fir’aun dan melupai sejarah Nabi Musa dan para Rasul akan menerima nasib Fir’aun dunia dan akhirat.

Islam mustahil dapat dihapuskan dengan kekalahan pilihanraya dan paksaan kerajaan tentera paling besar dan zalim.

Firman Allah yang bermaksud:
137. Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu (contoh kejadian-kejadian berdasarkan) peraturan-peraturan Allah yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan (Rasul-Rasul).
138. (Al-Quran) ini ialah penerangan kepada seluruh umat manusia, dan petunjuk serta pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.
139. Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman. (آل عمران )


Malangnya ada kalangan yang berbahasa Al Quran mengucap tahniah   bersama pemimpin negara haram Israel kerana kejayaan rampasan kuasa menggulingkan Presiden Mesir daripada kumpulan Islam yang dipilih rakyat secara Demokrasi, ada juga yang munafiq, menunggu dan lihat untuk berpihak kepada siapa sahaja yang menang dalam pertarungan yang berlaku.

Demikianlah Allah membahagikan manusia kepada tiga kumpulan sahaja : (1) Beriman dan beramal soleh, (2) Kufur menentang Islam secara nyata dan (3) Munafiq yang berpura-pura.

 
Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang
Presiden PAS,
11 Julai 2013

Sabtu, Julai 06, 2013

KHABAR DARI MESIR : ULAMA' AZHAR BANTAH RAMPASAN KUASA


(Antara ulama Al-Azhar yang turun berhimpun bersama rakyat mempertahan Morsi dan membantah rampasan kuasa oleh tentera)


Ramai sahabat bertanya khabar Mesir, saya tidak sempat mengulas atau melapor kerana bermacam halangan. Apapun 'game' belum berakhir. Apa sahaja perubahan boleh berlaku. Tugas kita berdoa pada Allah untuk saudara kita di sini. Kerana hari ini (Sabtu) genap 8 hari mereka berkampung di Medan Rabi'ah Al Adawiah dan hari ke 5 di Medan Nahdah berhadapan Universiti Qaherah (kumpulan Salafi pimpinan Sheikh Hazim Abu Ismail).

Jumlah mereka meningkat berganda selepas tentera mengumumkan rampasan kuasa. Bahkan hari ini himpunan di lebih 20 kawasan seluruh Mesir berjumlah jutaan manusia dengan kematian mencatat 30 orang. 12 orang sahaja di Iskandariah yang ditembak dengan peluru hidup oleh samseng terpelihara.

Keadaan ini amat mengejutkan perampas kuasa. Setelah dua hari ditamatkan siaran langsung semua channel di Dataran Rubu'ah, hari ini Al Jazeera dibenar membuat liputan penuh himpunan penyokong Mursi di seluruh negara khususnya di 4 tempat di Kaherah iaitu Dataran Rabu'ah, Universiti Qaherah, Jambatan 6 Oktober dan Bangunan Pengawal Republik (bertugas mengawal Presiden selama ini).

Bahkan saya temui lebih 10 Channel lain yang menyiarkan himpunan penyokong Mursi secara langsung pada hari ini. Ia satu kepelikan setelah semua media disekat membuat liputan himpunan Pro Mursi. Kepelikan kedua ialah kemunculan pemimpin kanan Ikhwan di pentas Medan Rubu'ah seperti Dr Muhammad Badi' (Mursyidul Am Ikhwan), Dr Isyam Rayyan (Naib Presiden FJP) dan Al Baltaji (bekas ahli Parlimen Ikhwan) dalam keadaan akhbar hari ini (jumaat) menyiarkan sekatan, tahanan dan cubaan melarikan diri ke atas pemimpin tersebut. Dr Badi' diberitakan hendak melarikan diri ke Libya dengan bantuan Ikhwan Libya. Tiba-tiba muncul berucap di Rubu'ah. Bohonglah akhbar-akhbar tersebut.

Saya tidak mahu mengulas keberangkalian yang menyeronokkan. Tetapi seorang sahabat dari Tanta memaklumkan tadi akhbar Washington Post menyiarkan berita bertajuk, 'Rampasan Kuasa Yang Gagal' dengan sub-title 'Tentera berunding kembali dengan Mursi'.

Wallahua'lam apakah benar atau tidak berita ini. Cuma boleh saya katakan, keputusan tentera itu bukanlah suatu yang mudah untuk segera selesai krisis ini kerana jutaan penyokong Mursi tidak berganjak malah bertambah ramai menguasai dataran-dataran seluruh Mesir.

Para ulama Al Azhar juga bertambah ramai keluar menyokong Dr Mursi dalam keadaan Sheikhul Azhar bersama keputusan tentera.  Apapun tugas penting kita ialah terus bermunajat kepada Allah Tuhan Yang Maha Berkuasa.



(Nasaie Ismail, Harakahdaily 6 Julai 2013)
*Penulis adalah bekas Setiausaha Akhbar Presiden PAS yang kini sedang berada di Mesir

Selasa, Julai 02, 2013

Secawan air sekeping roti

1. Manusia yang hidup senang tanpa melalui kesusahan
2. Manusia yang hidup sihat tanpa pernah jatuh sakit
3. Manusia yang sentiasa gembira, seronok tanpa merasai sedih, duka, kecewa dan pilu.

Ketiga-tiga situasi di atas, bukan sahaja membuatkan seseorang yang beriman lupa pada Allah, bahkan ia akan melawan Allah.

Mengapa banyak berlakunya peristiwa buang bayi, zina - semua kerana dalam keseronokan, manusia lupakan Allah. Jika dia teringat Allah, nescaya, perkara itu tidak terjadi.

Sakit, sedih, susah, miskin - tanpa semua ini, manusia akan lupakan Allah. Apabila mengharungi perkara-perkara sedemikian, kita akan merasai bahawa kita lebih dekat dengan Allah berbanding mereka yang tidak pernah diuji. Itulah nikmatnya kerana masa kesusahan, yakni doa kita lebih ikhlas memohon bantuan daripada Allah.

Asalkan kita mempunyai air, sekeping roti dan tempat berteduh, sebenarnya yang lain ialah lebihan - sekiranya anda mempunyai ketiga-tiga ini bersyukurlah kerana Allah telah memberikan secukupnya untuk anda meneruskan kehidupan di bumi ini.

Seterik-terik matahari, penyelesaiannya hanya satu tempat berteduh.

Sehaus-haus tekak waktu tengahari, penyelesaiannya hanya secawan air bersih.

Selapar-lapar perut, penyelesaiannya hanya sekeping roti panas.

Sebimbang-bimbang manusia sehingga tidak dapat tidur, pe-nyelesaiannya hanya mencari ketenangan daripada Allah.

Sesakit manusia, kesakitannya akan dilupai apabila sihat semula.

Yang diperlukan hanya sentiasa mengingati Allah, berdoa pada-Nya dan kesabaran, peringatan bahawa semuanya hanyalah sebahagian ujian-Nya.

Segala yang susah, selepas diharungi, akan terasa nikmat kelegaan, nikmat perasaan bahawa Allah sentiasa di sisinya dan pencerahan.

“Sesungguhnya Kamilah yang mewarisi bumi dan segala makhluk yang ada di atasnya; dan kepada Kamilah mereka akan dikembalikan.” (Surah Maryam : ayat 40)
 
(Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, Harakahdaily 24 Jun 2013)

Isnin, Julai 01, 2013

Mesir : apabila sekular tergugat

Mesir dicemburui oleh musuh-musuhnya bukan kerana Ahram atau Sungai Nil, tidak juga kerana kehebatan binaan Piramid atau keindahan puncak Tursina. Mesir dicemburui kerana al-Azhar. Di sinilah terasasnya tamadun ilmu yang terkenal ke seluruh dunia. Lahirnya di situ bukan seorang dua ulama bahkan ribuan kalaupun bukan jutaan murabbi ummah yang bertebaran ke seluruh dunia. Bangunnya al-Azhar kerana sumber wakaf tanpa bantuan dari dana kerajaan cukup menggelisahkan musuh-musuh Islam. Justeru, kehebatan ini wajib dihancurkan.

Hari ini, Mesir berdepan dengan satu lagi krisis ciptaan golongan sekular yang enggan mengaku kalah di gelanggang demokrasi. Demokrasi ialah ciptaan Barat, ia bukan ciptaan Islam, tetapi nilai-nilai demokrasi diterima dan diiktiraf sebahagiannya oleh Islam. Sayangnya, apabila tiba saat rakyat membuat pilihan menolak pemimpin yang pro-Barat, pada masa itulah demokrasi dinafikan dan sekular akan mengeluarkan pedangnya yang sebenar untuk memancung demokrasi.

Di Mesir, Mursi menang melalui pilihan raya yang bersih. Tanpa penipuan dakwat kekal, tanpa blackout dan tanpa senarai pengundi yang diragui, Mursi ditabalkan menjadi Presiden sekalipun disambut sinis oleh Israel yang bimbang pengaruhnya terhakis. Namun, kerana sekular menjarah begitu lama di bumi anbia ini, bukan satu kerja yang senang untuk membebaskan Mesir dan belenggu sekular. Inilah masalah sebenar Mursi, iaitu membebaskan Mesir dari perhambaan sekular yang sudah berdekad-dekad memenjara rakyat Mesir.

Ini bukan sejarah baru di Mesir, bahkan ia telah berlaku ribuan tahun yang lampau pada saat Nabi Musa alaihissalam mahu membebaskan Bani Israel dari kezaliman Firaun. Mereka dibantu oleh mukjizat yang tidak kecil daripada Allah SWT. Baca sahaja di dalam al-Quran, kita akan dapati peristiwa laut terbelah, tongkat yang menjadi ular, batu mengeluarkan air, turunnya makanan dan minuman dari langit dan banyak lagi peristiwa besar yang berlaku sepanjang dakwah Nabi Musa alaihissalam. Namun, al-Quran merakamkan perangai Bani Israel yang seringkali enggan untuk berubah. Degil dan keras kepala ialah lambang Bani Israel yang digambarkan di dalam al-Quran.

Warisan sikap Bani Israel wujud di Mesir sekarang. Sekalipun sebahagian besar rakyat Mesir kelihatan menyokong Mursi, namun anak cucu Bani Israel yang mewarisi perangai datuk nenek mereka tetap melakukan kekacauan di bumi anbia. Inilah natijahnya apabila sekular dijadikan kiblat, apabila demokrasi yang bersih menghadiahkan trofi kemenangan kepada musuh politik mereka, mereka tidak akan berdiam diri. Ini juga yang berlaku di Turki dan Gaza.

Di Malaysia, saudara mara sekular juga nampak berminat mengikut langkah yang sama. Kekalahan di dalam pilihan raya membawa kepada dasar penindasan dan penafian hak. Ditubuhkan kerajaan di dalam kerajaan, dinafikan bantuan kepada golongan yang memerlukan dan dinafikan hak ke atas hasil mahsul bumi merupakan buah-buah yang lahir dari pohon-pohon sekular yang tidak kenal sempadan dosa dan pahala.

Untuk Mesir ini, kita sama-sama menadah tangan supaya pemimpin yang bersendikan Islam sebagai akidah perjuangan diberikan kekuatan oleh Allah SWT. Gunakanlah peluang pada bulan Ramadhan untuk merayu dan merintih kepada Allah SWT. Dialah Pemilik kepada segala kerajaan. 
(Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, Harakahdaily 1 Julai 2013)

IMAM KHALIL BIN ISHAQ AL-JINDI

Imam Khalil Bin Ishaq al-Jindi al-Maliki(w 776h) adalah seorang ulama al-Azhar as-Syarif yang sangat unggul dan masyhur terutamanya melalui kitabnya 'Mukhtasar al-Khalil'.

Beliau belajar, bertalaqi dan duduk di Jam' al-Azhar as-Syarif lebih dari 20 tahun dan tidak pernah melihat Sungai Nil walau sekali!

Ini kerana beliau terlalu sibuk dengan ilmu, mutala'ah dan menulis. Beliau telah tenggelam dalam kelazatan ilmu hingga tidak terfikir untuk berbaur dengan dunia.

Beliau giat menulis kitab mukhtasarnya dalam Fiqh Maliki yg sangat bermanfaat, yang mana beliau telah melengkapi apa yg belum dilengkapkan ulama sebelumnya.

Oleh kerana beliau menuntut ilmu dengan teguh, cekal dan daqiq, beliau menghabiskan umurnya dengan ikhlas dan penuh himmah.

Berkata Syaikhuna al-Allamah Dr. Ali Jum'ah h.a,

" Cuba bayangkan bagaimana jika kamu terpenjara di al-Azhar selama 20 tahun!! tetapi itu baginya adalah penjara pilihan dan sukarela bahkan sangat enak dan lazat, Imam al-Khalil tidak ada hajat pada dunia. Beliau menunjukkan bukanlah zuhud di dunia ini dengan pasif, tetapi zuhud di dunia dengan membina..

Sebab itu beliau sangat produktif. Kitab Mukhtasor al-Khalil karya beliau kekal hingga ke hari ini, bahkan telah diterjemahkan mukhtasar beliau kepada bahasa Perancis dan Inggeris. Kitab tersebut juga tersebar di seluruh dunia dalam pelbagai bahasa dan ianya 'umdah di sisi malikiyah dan ramai ulama yg mensyarahkannya antaranya al-Imam Ad-dardir..

Beliau sanggup mengurung dirinya di al-Azhar lebih 20 tahun, tidak keluar, tidak pergi, tidak datang, kecuali sibuk dengan kitab dan ilmu, maka beliau mengeluarkan suatu yang sangat luarbiasa buat ummah.."