SAHABAT :

Khamis, Mei 16, 2013

PAS, Umno bergabung tak satukan Melayu


SHAH ALAM: Penyatuan PAS dan Umno bukan penyelesaian masalah perpecahan Melayu, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah.

Bercakap pada Wacana Sinar berjudul Pasca PRU13: Ke Mana Haluan Politik Melayu di sini semalam, beliau berkata perbezaan parti politik tidak bermaksud sesuatu kaum itu berpecah.

"Dalam soal penyatuan orang Melayu kenapa perlu bangkitkan isu penyatuan politik, dalam demokrasi berbeza parti bukan bermakna perpecahan.

"Cuma kita kena pandai kempenlah, yang ini pandai (dia) menang, yang seorang ini pula tak pandai, tak menang, terima sajalah, ini hakikat demokrasi," katanya.

Namun katanya, jika perkara membabitkan soal perpaduan dan penyatuan orang Melayu ini diperkotak-katikkan oleh mana-mana pihak, maka pihak itu harus ditentang sekeras-kerasnya.

"Tetapi kalau ada tokoh politik yang hendak memecah-belahkan, itu bab lain, kita akan tentang habis-habisan," kata bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad menegaskan, PAS dan Umno sukar untuk bekerjasama tanpa titik pertemuan seperti good governance.

Katanya, tidak nampak sebarang usaha mahupun langkah-langkah tertentu yang meyakinkan diambil oleh kerajaan yang memerintah.

Katanya, dahulu orang melihat Pas sebagai parti alim ulama sedangkan kini dengan adanya pemimpin baru dan muda dalam Pas, parti telah memperjuangkan pentingnya good governance agar negara melangkah jauh ke hadapan.

“Kalangan pemimpin muda Pas nampak bagaimana berlakunya pembaziran, rasuah dan sebagainya dalam kerajaan yang memerintah.

“Pemimpin muda Pas bimbang kalau perkara ini berterusan dan Umno ingin bersatu dengan Pas. Untuk bergabung perlu ada titik pertemuan di mana good governance bukan sahaja dipersetujui, tetapi langkah tertentu yang meyakinkan juga diambil oleh mereka yang memerintah.

“Tetapi kita tidak nampak sebegitu, contohnya pengurusan minyak oleh Petronas dan kerajaan,” katanya.

Seorang lagi ahli panel ialah Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari dari DAP.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan