SAHABAT :

Sabtu, Mei 25, 2013

Kongres Tahunan "Hitam" PKR



PETALING JAYA: Kongres Tahunan 'Hitam' Parti Keadilan Rakyat (PKR) ke 9 bermula hari ini dengan semua perwakilan dan pimpinan PKR berpakaian serba hitam.

Ia sebagai tanda bantahan terhadap perjalanan pilihan raya ke 13, 5 Mei lalu yang didakwa mereka penuh dengan penipuan dan kecacatan.

Yang paling ketara adalah penggunaan dakwat kekal yang sebenarnya tidak kekal menyebabkan ia terdedah kepada penipuan terancang.


"Penggunaan dakwat hitam kekal yang kononnya mampu bertahan pada jari pengundi selama lima hari ternyata satu pembohongan," kata Presiden PKR, Dr Wan Azizah dalam ucapan perasmiannya di kongres ini.

Katanya, banyak laporan yang diterima bahawa dakwat hitam tersebut tidak berkesan dan ada pengundi yang mendakwa dakwat tersebut hilang sebaik saja dibasuh beberapa minit selepas mengundi!

Menurut beliau, pada 5 Mei yang lalu, rakyat sudah membuat keputusan yang jelas.

"Keputusan yang disaksikan seluruh dunia – bahawa 51% rakyat Malaysia telah memberikan mandat kepada Pakatan Rakyat," tegasnya.

Mandat ini, katanya, semestinya mewakili suara dan aspirasi rakyat yang menaruh harapan dan impian untuk melihat Malaysia yang lebih baik, lebih adil dan lebih berdaya saing.

Walaupun rakyat berdepan dengan proses pilihan raya yang tempang, akses media yang berat sebelah ditambah pula dengan liputan berunsur fitnah dan propaganda jahat serta penyalahgunaan jentera dan agensi‐agensi kerajaan oleh Barisan Nasional, namun rakyat tetap bangkit melawan dan membuat perubahan di peti undi.

Hasilnya, kata beliau, Barisan Nasional telah dihukum dan hanya meraih sokongan dari 47% rakyat, menjadikan mereka sebuah kerajaan minoriti yang mana keabsahan (legitimacy) mereka boleh dipertikai dan dipersoalkan.

Rentetan dari perkembangan ini, integriti dan kewibawaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga sewajarnya dipersoalkan!, tambah beliau lagi.

"Sesungguhnya mandat yang telah diberikan kepada Pakatan Rakyat dalam PRU baru‐baru ini telah dinafikan dan ‘dirampas’ oleh Barisan Nasional lantaran kecurangan SPR yang mengkhianati proses pilihan raya," tegasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan