SAHABAT :

Sabtu, Mei 25, 2013

Kongres Tahunan "Hitam" PKR



PETALING JAYA: Kongres Tahunan 'Hitam' Parti Keadilan Rakyat (PKR) ke 9 bermula hari ini dengan semua perwakilan dan pimpinan PKR berpakaian serba hitam.

Ia sebagai tanda bantahan terhadap perjalanan pilihan raya ke 13, 5 Mei lalu yang didakwa mereka penuh dengan penipuan dan kecacatan.

Yang paling ketara adalah penggunaan dakwat kekal yang sebenarnya tidak kekal menyebabkan ia terdedah kepada penipuan terancang.


"Penggunaan dakwat hitam kekal yang kononnya mampu bertahan pada jari pengundi selama lima hari ternyata satu pembohongan," kata Presiden PKR, Dr Wan Azizah dalam ucapan perasmiannya di kongres ini.

Katanya, banyak laporan yang diterima bahawa dakwat hitam tersebut tidak berkesan dan ada pengundi yang mendakwa dakwat tersebut hilang sebaik saja dibasuh beberapa minit selepas mengundi!

Menurut beliau, pada 5 Mei yang lalu, rakyat sudah membuat keputusan yang jelas.

"Keputusan yang disaksikan seluruh dunia – bahawa 51% rakyat Malaysia telah memberikan mandat kepada Pakatan Rakyat," tegasnya.

Mandat ini, katanya, semestinya mewakili suara dan aspirasi rakyat yang menaruh harapan dan impian untuk melihat Malaysia yang lebih baik, lebih adil dan lebih berdaya saing.

Walaupun rakyat berdepan dengan proses pilihan raya yang tempang, akses media yang berat sebelah ditambah pula dengan liputan berunsur fitnah dan propaganda jahat serta penyalahgunaan jentera dan agensi‐agensi kerajaan oleh Barisan Nasional, namun rakyat tetap bangkit melawan dan membuat perubahan di peti undi.

Hasilnya, kata beliau, Barisan Nasional telah dihukum dan hanya meraih sokongan dari 47% rakyat, menjadikan mereka sebuah kerajaan minoriti yang mana keabsahan (legitimacy) mereka boleh dipertikai dan dipersoalkan.

Rentetan dari perkembangan ini, integriti dan kewibawaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga sewajarnya dipersoalkan!, tambah beliau lagi.

"Sesungguhnya mandat yang telah diberikan kepada Pakatan Rakyat dalam PRU baru‐baru ini telah dinafikan dan ‘dirampas’ oleh Barisan Nasional lantaran kecurangan SPR yang mengkhianati proses pilihan raya," tegasnya.

Jumaat, Mei 17, 2013

Sedarlah Zahid.... elaun kamu daripada rakyat


KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor mengecam kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi sebagai biadap, dan tidak seharusnya seorang Menteri yang dilantik bagi memberi khidmat untuk seluruh rakyat Malaysia bersikap angkuh, dan membuat kenyataan seperti seolah-olah dirinya dan parti yang diwakilinya adalah tuan besar dalam negara ini.
“Zahid Hamidi harus sedar elaun sebagai Ahli Dewan Rakyat dan Menteri, terhasil dari cukai yang dikutip ke atas rakyat dan wajarlah beliau tidak angkuh dan sombong,” ujar Ketuanya, Azmizam Zaman Huri (gambar) dalam satu kenyataan.

Justeru, katanya AMK Selangor menyifatkan kenyataan Zahid yang menggesa golongan yang enggan menerima sistem pilihan raya Malaysia agar meninggalkan negara ini dan berhijrah ke negara yang menjalankan pilihan raya mengikut kaedah yang digemari sebagai angkuh, bodoh sombong dan menggambarkan ketakutan Barisan Nasional menghadapi gelombang rakyat.

AMK Selangor, tambahnya melihat kenyataan itu juga menggambarkan Zahid Hamidi sebagai tidak bersedia untuk memikul amanah selaku Menteri Dalam Negeri, dan Najib Razak meletakkan beliau di posisi itu sebagai kambing hitam untuk menghadapi kemarahan rakyat yang jelas bangkit bagi menolak keputusan PRU13 yang penuh mencurigakan.

Sepatutnya, kata beliau sebagai Menteri Dalam Negeri yang baru dilantik, Zahid Hamidi harus segera mengambil langkah yang neutral dan memberikan kerjasama erat bagi memberi ruang kepada sebarang proses bantahan, selagi mana ianya tidak melanggar undang-undang dan tidak mendatangkan kekacauan.

Menruutnya lagi, rakyat bangkit untuk protes dan bersuara secara aman, mengikut prosedur perhimpunan yang betul serta saluran media yang betul.

“Rakyat juga, mendukung keputusan Pakatan Rakyat untuk memfailkan petisyen ke atas sekurang-kurangnya 27 Parlimen yang disyaki terlibat dengan kesalahan pilihanraya serta keputusan yang meragukan.

“Zahid Hamidi mesti berlapang dada dan membuka ruang bersuara untuk rakyat,” ujarnya yang juga Naib Ketua AMK Malaysia.

Khamis, Mei 16, 2013

PAS, Umno bergabung tak satukan Melayu


SHAH ALAM: Penyatuan PAS dan Umno bukan penyelesaian masalah perpecahan Melayu, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah.

Bercakap pada Wacana Sinar berjudul Pasca PRU13: Ke Mana Haluan Politik Melayu di sini semalam, beliau berkata perbezaan parti politik tidak bermaksud sesuatu kaum itu berpecah.

"Dalam soal penyatuan orang Melayu kenapa perlu bangkitkan isu penyatuan politik, dalam demokrasi berbeza parti bukan bermakna perpecahan.

"Cuma kita kena pandai kempenlah, yang ini pandai (dia) menang, yang seorang ini pula tak pandai, tak menang, terima sajalah, ini hakikat demokrasi," katanya.

Namun katanya, jika perkara membabitkan soal perpaduan dan penyatuan orang Melayu ini diperkotak-katikkan oleh mana-mana pihak, maka pihak itu harus ditentang sekeras-kerasnya.

"Tetapi kalau ada tokoh politik yang hendak memecah-belahkan, itu bab lain, kita akan tentang habis-habisan," kata bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad menegaskan, PAS dan Umno sukar untuk bekerjasama tanpa titik pertemuan seperti good governance.

Katanya, tidak nampak sebarang usaha mahupun langkah-langkah tertentu yang meyakinkan diambil oleh kerajaan yang memerintah.

Katanya, dahulu orang melihat Pas sebagai parti alim ulama sedangkan kini dengan adanya pemimpin baru dan muda dalam Pas, parti telah memperjuangkan pentingnya good governance agar negara melangkah jauh ke hadapan.

“Kalangan pemimpin muda Pas nampak bagaimana berlakunya pembaziran, rasuah dan sebagainya dalam kerajaan yang memerintah.

“Pemimpin muda Pas bimbang kalau perkara ini berterusan dan Umno ingin bersatu dengan Pas. Untuk bergabung perlu ada titik pertemuan di mana good governance bukan sahaja dipersetujui, tetapi langkah tertentu yang meyakinkan juga diambil oleh mereka yang memerintah.

“Tetapi kita tidak nampak sebegitu, contohnya pengurusan minyak oleh Petronas dan kerajaan,” katanya.

Seorang lagi ahli panel ialah Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari dari DAP.

Jumaat, Mei 10, 2013

'Tsunami Cina' untuk tutup kegagalan Najib



KUALA LUMPUR: Sumber Umno muncul kembali memberitahu Harakahdaily bahawa rakyat dan ahli Umno terlupa mengenai kegagalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang terbesar pada Pilihan raya Umum ke-13.
“Najib adalah Pengerusi BN Selangor. Negeri yang mencapai pencapaian terburuk untuk Umno dan BN ialah Selangor. Ramai terlupa hakikat ini setelah Najib main isu ‘Tsunami Cina’. Ini perkara sebenar yang ingin ditutup daripada ahli-ahli Umno dan rakyat,” kata sumber Umno itu.

Di PRU13, Pakatan Rakyat berjaya mendapat 44 daripada 56 kerusi Dun di Selangor, meningkat 10 kerusi berbanding 2008.

Najib sebelum ini, sekurang-kurangnya tiga kali mewar-warkan bahawa beliau akan berjaya memimpin BN menawan Selangor.

“Dulu saya dah bagitahu syarat untuk Najib kekal sebagai Presiden Umno. Satu BN dapat kembali 2/3 majoriti di parlimen. Kedua, BN gagal dapat 2/3 kerusi tapi Najib selaku pengerusi BN Selangor berjaya merampas kembali Selangor. Sekarang kedua-dua syarat ini gagal dicapai. Najib gagal syarat yang ditentukan Tun Mahathir,” kata sumber Umno itu.

Beliau turut memberitahu ‘Tsunami Cina’ – ungkapan yang dikeluarkan dari mulut Najib adalah strategi pertama untuk mempertahankan kerusi Presiden Umno.

“Najib mudah ditumbangkan. Yang susah ialah Rosmah. Tun paling pening mengenai hal ini. Dah lama Tun cuba turunkan Rosmah, tapi tak berjaya. Nantikan pemilihan parti Umno, ia akan jauh lebih menarik daripada PRU13,” kata sumber Umno itu.

Harakahdaily juga sempat bertanya apakah keputusan PRU13 kali ini, Umno telah membuat sesuatu untuk mengekalkan kemenangan.

“Semua orang yang nak tewas mesti akan lakukan sesuatu drastik. Di Malaysia, permainannya ialah mendapat kerusi terbanyak. Nak menang dalam PRU, kamu semua kena jaga proses pilihanraya sehinggalah keputusan diumumkan. Fikirlah di mana proses pilihanraya yang kamu semua tak jaga dengan baik selepas keluarnya Borang 14. Nasihat saya, latihlah polling agent mulai sekarang. Jangan last minute baru nak latih. Polling agent cekap boleh menjamin keputusan awal sama dengan keputusan akhir,” kata beliau sebelum telefon terputus.

Sumber : Harakahdaily

Sabtu, Mei 04, 2013

PAKATAN DAH MENANG 7 NEGERI...SEDIA KE PUTRAJAYA



KUALA TERENGGANU: Dengan tidak sampai 20 jam waktu pengundian bermula, PAS yakin Pakatan Rakyat akan berjaya mengambilalih pentadbiran negara dari Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kali ini.


(Mustafa penuh keyakinan dalam sidang medianya hari ini)

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, hanya negeri Melaka, Pahang dan Johor sahaja masih lagi bersama BN sedangkan semua negeri lain boleh dikira sudah jatuh ke tangan Pakatan.

"Semalam saya umumkan kita dapat 117 kerusi Parlimen dari 222 yang ada. Petang nanti saya akan dapat angka baru yang boleh jadi meningkat lagi kerana trendnya Pakatan sedang meningkat," kata Mustafa dalam sidang medianya hari ini.

Dengan kenyataan Mustafa ini bermakna, Selangor, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Kedah, Negeri Sembilan, Terengganu dan Perlis sudah jatuh kepada Pakatan di Semenanjung ini.

Yang menjadi isu sekarang adalah setakat mana kekuatan PAS dalam Parlimen nanti bagi memastikan suara Islam dan Melayu menguasainya. Ekoran itu, ramai bersetuju agar semua pengundi Melayu memberikan undi kepada PAS kali ini, bukan Umno, bagi memastikan perkara itu.

Ini kerana, hampir 90 peratus pengundi Cina sudah membuat keputusan untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN) dalam piilihan raya ini. Dengan angka itulah, keyakinan sangat tinggi di kalangan pemimpin Pakatan mereka akan menang kali ini.


Di Terengganu, dalam tinjauan Harakahdaily malam tadi mendapati sambutan kepada PAS sangat memberangsangkan.

Kenderaan penuh sesak dari Kuantan ke Kuala Terengganu di kedua-dua laluan iaitu jalan pantai atau jalan Jabor - Jerangau. Mereka semua berebut-rebut untuk balik mengundi mulai malam tadi.

Di sepanjang jalan ada sahaja 'flashmob' yang dibuat dari penyokong PAS bagi mengalu-alukan kepulangan mereka.

"Orang atas pagar sejak hari penamaan calon lagi sudah yakin BN akan jatuh di Terengganu kali ini ekoran ramainya calon bebas yang merupakan ahli Umno yang bertanding," kata seorang guru kanan di sini.

Menurut beliau, pendapat begini dikongsi di kalangan kakitangan kerajaan walaupun PAS sendiri tidak mempunyai keyakinan yang setinggi itu.

Turut tidak mendapat tempat di Terengganu kali ini adalah ketiga-tiga sayap Umno.

Tidak ada calon Pemuda, Wanita dan Puteri Umno di Terengganu dalam pilihan raya kali ini.

Ketua Pemuda Umno Terengganu, Saiful Baharudin sepatutnya akan bertanding di DUN Alor Limbat, Marang tetapi di saat akhir nama beliau tertinggal.

Ekoran itu ada calon bebas bertanding di DUN Alor Limbat yang dikaitkan dengan beliau.

Dalam pilihan raya kali ini tidak ada seorang pun calon wanita bertanding di Terengganu yang membayangkan pengundi wanita tidak penting bagi Umno dalam pilihan raya ini.

"Mereka sesuai jadi tukang kempen je," kata seorang pemerhati politik.