SAHABAT :

Selasa, April 30, 2013

Pakatan Rakyat cadang bayar gaji ikut hitungan minggu



KOTA BHARU: Tidak ramai sedar gaji kakitangan awam dan swasta di negara ini dibayar gaji hanya untuk tempoh 48 minggu atau 12 kali setahun, sedangkan dalam setahun ada 52 minggu.
Ini bermakna penjawat awam dan kakitangan swasta kehilangan sebulan gaji setiap tahun.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata, tidak ramai sedar perkara tersebut kerana sudah menjadi amalan biasa di negara ini sejak sekian lama.

“Sedangkan semua tahu dalam setahun ada 52 minggu, bukan 48 minggu. Ini bermakna kita kehilangan satu bulan lagi gaji yang sepatutnya dibayar.

“Jadi Pakatan Rakyat akan membuat satu pembaharuan di mana sistem gaji akan dibayar mengikut hitungan minggu dan bukan lagi secara bulanan yang menjadi amalan sekarang,” katanya pada ceramah di Kampung Kota malam tadi.

Hadir sama calon parlimen Kubang Kerian, Ahmad Baihaki Atiqullah, bekas pegawai Mara Negeri Terengganu, Ramli Zakaria dan anggota jawatankuasa NGO Cakna Palestin, Sharafi Mustafa.

Ceramah tersebut diadakan di perkarangan rumah bekas Setiausaha Politik Menteri Besar, Annual Bakri Harun.

Sebelum itu Husam menyampaikan ceramah di perkarangan Masjid Kamal Hassan di Kampung Pendek.

Husam berkata, banyak negara di barat mengamal bayaran gaji mengikut mingguan dan bulan secara bulanan seperti di Malaysia.

Menurutnya juga bayaran elaun perumahan yang dibayar kepada kakitangan awam sebanyak RM180 sebulan sekarang tidak memadai dengan kos hidup di kawasan bandar.

“Ada kakitangan awam di Putrajaya mengadu gajinya sebanyak RM2,000 sebulan hanya berbaki lebih RM100 kerana hambatan kos hidup yang tinggi.

“Jadi Pakatan Rakyat akan menyemak semula kadar elaun tersebut bagi memastikan ia setimpal dengan kos hidup,” ujarnya.

Husam yang juga calon Pakatan di Putrajaya berkata, seramai 60,000 kakitangan awam yang dilantik secara kontrak sekarang akan dipertimbang ke jawatan tetap di bawah kerajaan baru nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan