SAHABAT :

Sabtu, Januari 19, 2013

SELANGOR URUS AIR LEBIH BAIK DARI ROZALI - KHALID




KUALA LUMPUR: Meskipun gaji beliau sekurang-kurangnya RM425,000 sebulan, Pengerusi Pegawai Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Tan Sri Rozali Ismail gagal menangani isu gangguan air baru-baru ini.

Ini berikutan kenyataan Syabas kepada media pada 9 Januari bahawa gangguan bekalan air di Ampang, Cheras dan Gombak hanya dapat dipulihkan pada perayaan Tahun Baru Cina pada 10 Februari.

Bagaimanapun, apabila kerajaan negeri campur tangan dengan melakukan pemantauan terhadap kerja-kerja pembaikan, gangguan air dapat dipulihkan pada Jan 15 – empat minggu lebih awal daripada perangkaan Rozali.

Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, ini membuktikan Rozali gagal menguruskan bekalan air di Selangor dengan baik, lapor Selangorku.

“Saya beritahu Datuk Seri Najib Razak supaya beri hak urus air Selangor kepada kerajaan negeri.

“(Kerana) kita mampu urus air lebih baik dan mementingkan kepentingan pengguna berbanding Syabas,” ujar Abdul Khalid di hadapan lebih seribu hadirin dalam Majlis Makan Malam Kutipan Dana Pilihan Raya di sebuah restoran di Petaling Jaya malam tadi.

Sebaliknya menurut Abdul Khalid, Najib enggan menyerahkan hak pengurusan air kepada kerajaan negeri kerana lebih mengutamakan kepentingan kroni mereka berbanding kepentingan rakyat Selangor.

Abdul Khalid turut menyelar tindakan Syabas yang sebelum ini bertindak menyaman Kerajaan Negeri yang tidak membenarkan mereka menaikkan tarif air di Selangor.

Pada 29 Disember, kira-kira 500,000 penduduk di sekitar Kuala Lumpur, Gombak dan Ampang mengalami gangguan bekalan air selama lebih dua minggu akibat kegagalan pam di rumah pam Wangsa Maju.

Syabas didakwa cuai kerana kesemua lima pam termasuk dua pam simpanan untuk gantian di masa kecemasan turut rosak.

Pada 8 Januari, dilaporkan bahawa Rozali berkata gangguan bekalan di ketiga-tiga tempat itu hanya akan selesai pada Tahun Baru Cina.

Sehari selepas itu, Kerajaan Selangor berkata ia akan berusaha untuk menyelesaikan masalah itu dalam seminggu.

Pada 15 Januari, hampir semua pengguna di kawasan yang terjejas mendapat bekalan air.

1 ulasan:

  1. Betul ke Kerajaan Negeri S'gor nak ambil alih Syabas ni? Mampu ke diaorang? Layak ke? Sedangkan elaun ibu tunggal, air percuma, pendidikan percuma pun belum mampu nak laksana, inikan pula nak urus sektor air yang babitkan kos dan kepakaran yang tinggi. Mau hancur dibuat nye nanti.

    BalasPadam