SAHABAT :

Khamis, Disember 27, 2012

JADIKAN MATA PELAJARAN AGAMA DI MALAYSIA SUBJEK WAJIB

KUALA LUMPUR: Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa, Dr Maszlee Malik mencadangkan agar Kementerian Pelajaran mengadakan subjek 'Agama-agama di Malaysia' sebagai subjek teras dan wajib ke atas semua pelajar-pelajar di Malaysia.

Pihak IPTA dan IPTS juga hendaklah mempunyai subjek tersebut juga sebagai salah satu subjek teras mereka.

Begitu juga, subjek agama Islam, perlu dihadiri semua memandangkan Islam merupakan agama rasmi Malaysia yang perlu diketahui oleh setiap rakyatnya.

Beliau mengulas kekeliruan dan sensitiviti yang timbul dalam masyarakat Malaysia sekarang ekoran isu penggunaan nama Allah.

"Pada hemat saya, isu pengunaan nama Allah di kalangan penganut Kristian di Sabah dan Sarawak telah dipolitikkan dan menemui kebuntuan akibat sikap prejudis pada kedua-dua belah pihak," katanya.

Bagi beliau, isu tersebut hanyalah simptom kepada akar permasalahan yang lebih besar, iaitu kejahilan di antara penganut agama-agama di Malaysia berkaitan agama lain.
Akibat kejahilan bersama ini, maka timbullah salah faham bersama (mutual misconception) yang pastinya menjadi ruang yang subur untuk prejudis, fitnah dan perselisihan faham, kata beliau.

"Saya juga merasakan keperluan untuk setiap ahli politik samada dari pihak BN mahupun PR untuk mempunyai integriti moral dan etika yang tinggi untuk tidak menangguk di air yang keruh di atas kejahilan bersama rakyat mengenai agama-agama di Malaysia dan sensitiviti setiap agama untuk mendapatkan miledge politik serta senjata untuk menyerang lawan politik mereka," tambahnya.

Bagi beliau, menjadi tanggung jawab setiap warga di Malaysia untuk bersama-sama menghargai kemajmukan masyarakat Malaysia dan ianya wajib disikapi sebagai kekuatan dan bukannya sebagai faktor perbalahan.

Sumber : Harakahdaily.net

Jumaat, Disember 21, 2012

HADI DISERANG KERANA DICADANG JADI PM

SERANGAN ke atas Presiden Pas khususnya berhubung Amanat Haji Hadi dilakukan semata-mata kerana ada ura-ura nama beliau disenaraikan sebagai calon PM.

Sedangkan sebelumnya beliau jarang diserang sebegini hebat. Di Malaysia, jawatan Perdana Menteri seolah-olah hak Umno. Sesiapa sahaja yang disebut-sebut akan mengambil alih jawatan ini akan diserang habis-habisan.


Mungkin ramai yang masih ingat bagaimana Pertubuhan Al-Arqam mengeluarkan sebuah buku yang menggambarkan Ashaari Mohammad sebagai bakal Perdana Menteri. Selepas itu, Al-Arqam terus diserang habis-habisan sehingga segala perniagaan, program dan perkumpulannya dipantau; bahkan galakan poligami turut diserang.

Sedangkan asal bantahan hanya kepada amalan Aurad Muhammadiah. Begitulah nasib sesiapa yang disenarai sebagai Perdana Menteri. Walaupun kita mengakui ada beberapa amalan dan keyakinan bertentangan dengan syarak, tetapi antara sebab hebatnya serangan adalah kerana ada cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri.

Sudah tentu, rakyat masih ingat bagaimana Datuk Seri Anwar Ibrahim diserang kerana namanya disenarai sebagai Perdana Menteri. Kini Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula diserang sedangkan namanya hanya disebut oleh perwakilan dalam Muktamar Pas bagi menolak tohmahan Umno bahawa kalau Pakatan Rakyat menang, DAP akan jadi Perdana Menteri.

Itulah yang diwar-war di kalangan pengundi Melayu di kampung-kampung. Kini terbukti apa yang dicanang bahawa DAP akan menjadi Perdana Menteri itu berjaya ditolak dengan munculnya cadangan ini.

Hasilnya, kini muncung senapang Umno mula dihalakan kepada Presiden Pas pula. Kita yakin selepas ini pelbagai tohmahan, tuduhan, fitnah akan dibuat ke atas beliau kerana di Malaysia sesiapa yang dicadangkan sebagai Perdana Menteri akan menjadi sasaran serangan media BN.

Rakyat mempunyai satu peluang cerah untuk menyedarkan Umno supaya jangan lagi berfikiran bahawa seolah-olah jawatan Perdana Menteri itu hak eksklusif Umno sahaja di PRU13 dengan menyokong Pakatan Rakyat sebagai kerajaan persekutuan yang baru.

* Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Penerangan Pas Pusat

Ahad, Disember 16, 2012

PEMURAHNYA SAIDINA UTHMAN AFFAN

Pada zaman Saidina Omar al-Khattab R.A. menjadi khalifah, berlaku kegawatan ekonomi. Waktu itu datang satu rombongan terdiri dari 1000 ekor unta membawa barang dagangan termasuk makanan dan pakaian. Ianya kepunyaan Saidina Uthman Affan.... maka berebut-rebutlah para saudagar  membeli barang dagangan tersebut. Saidina Uthman bertanya kepada para saudagar :"berapa banyak kamu hendak memberi keuntungan?" Jawab para saudagar :"5% kami sanggup".
Saidina Uthman menjawab lalu bertanya :"ada orang lain hendak menawarkan keuntungan lebih dari itu???" Jawab mereka :"kami tidak nampak ada saudagar yang hendak memberi keuntungan lebih dari itu".

Saidina Uthman lalu berkata :"Aku dapati Allah berfirman : Bandingan orang-orang yang membelanjakan harta mereka di jalan Allah seperti satu biji ditanam kemudian ia mengeluarkan tujuh tangkai, tiap-tiap satu tangkai mengandungi 100 biji dan Allah akan menggandakan pemberianNya kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan Allah amat luas pemberianNya dan Maha Mengetahui". (al-Baqarah:261)

"Aku bersaksi kepada kamu wahai saudagar-saudagar, bahawa kafilah dan muatannya daripada gandum, tepung, minyak dan pakaian, sesungguhnya aku berikan kepada fakir miskin Madinah dan sebagai sedekah kepada orang-orang Islam".

Khamis, Disember 06, 2012

SAINS TIDAK DAPAT MENJAWAB HIKMAH KEJADIAN ALLAH




 
Ke manakah hilangnya cahaya apabila lilin dipadamkan?? Menurut sains tenaga cahaya itu akan kekal atau ditukarkan ke dalam bentuk tenaga lain yang setara. Dalam kes ini, cahaya tadi ditukarkan ke dalam bentuk apa jika teori itu benar???

Kenapakah ada pokok yang besar mengeluarkan buah yang kecil, manakala pokok yang kecil malah tumbuhan menjalar pula mengeluarkan buah yang besar?? Perhatikan buah tembikai yang besar tetapi mempunyai pohon menjalar yang sangat kecil. Perhatikan pula buah keranji dan dan buah berangan yang kecil saiznya, tetapi pohonnya besar lagi tinggi.

Di sinilah letaknya hikmah ciptaan Allah yang sukar untuk dijawab dan difahamkan kecuali mereka yang mempunyai mata hati yang mendalam.

Dari manakah sumber air terjun yang mencurah turun dari sebuah gunung atau bukit yang tinggi, secara berterusan sepanjang tahun, walaupun pada musim kemarau?? Menurut hukum graviti, air turun dari atas ke bawah di bawah tarikan graviti, seperti yang kita saksikan dalam kejadian air terjun itu. P\
Persoalannya .... bagaimanakah air "mendaki" naik ke puncak gunung atau bukit yang menentang graviti untuk turun kembali membentuk air terjun yang berterusan, walaupun pada musim kemarau panjang???

Demikianlah indahnya dan berhikmahnya kejadian Allah yang Maha Kuasa .... disedari oleh mereka yang melihatnya dengan mata hati (bashirah)...

Isnin, Disember 03, 2012

HIMPUNAN KEBANGKITAN RAKYAT DI KEDAH



Oleh: WADIASSOFI JAAFAR

ALOR SETAR - Lebih 50,000 orang dijangka hadir pada Perhimpunan Kebangkitan Rakyat Negeri Kedah yang akan diadakan pada 7 Disember 2012 di Stadium Sultan Abdul Halim, Jalan Suka Menanti, di sini.

Pengerusi DAP Kedah yang juga pengerusi bersama program, YB. Lee Guan Aik berkata, perhimpunan yang bermula pada jam 2 petang itu akan menghimpunkan ahli-ahli dari PAS, DAP dan Pakatan Rakyat (PKR).

“Bas Jelajah Merdeka Rakyat juga akan turut serta dalam perhimpunan yang diadakan itu selain ucapan daripada Cikgu Bad pada jam 5 petang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena majlis Perhimpunan Kebangkitan Rakyat Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, di sini.

Menurutnya, semua pemuda dari PKR akan turut menyampaikan ucapan dan perhimpunan secara besar-besaran akan bermula pada jam 8 malam.

“Pada jam 2 petang akan diadakan majlis Bicara Wanita Pakatan Rakyat di samping persembahan kebudayaan pelbagai kaum melibatkan tarian singa, chingay, silambam dan silat gayong pada jam 3 petang,” katanya.

Beliau memberitahu, konvoi anak muda juga turut diadakan di samping persembahan pentas yang menampilkan Cikgu Bad, Ketua Pemuda PAS, Keadilan dan DAP Kedah.

“Pada jam 5 petang akan berlangsung kuliah santai oleh Ustaz Azhar Idrus serta penampilan Leman Raja Lawak dan Radhi Mat Din,” katanya.

Beliau menjelaskan, Menteri Besar yang juga Pengerusi Majlis Perhimpunan itu dijangka hadir pada program yang diadakan itu.

“Pemimpin tertinggi iaitu Lim Kit Siang, Anwar Ibrahim dan Tuan Guru Haji Hadi Awang turut menyampaikan ucapan pada majlis itu,” ujarnya.

Tambahnya, perhimpunan yang diadakan pada kali ini dijangka akan dihadiri lebih daripada 50,000 orang kerana ia adalah program Peringkat Negeri.

“Kita akan adakan program seperti ini secara berterusan di negeri ini dalam menghadapi pilihanraya umum ke-13 tidak lama lagi,” katanya.

Menurutnya, Pakatan Rakyat (PR) akan memberikan tentangan hebat kepada Barisan Nasional (BN) dan UMNO dalam menghadapi pilihanraya akan datang.

“Kehadiran rakyat yang begitu ramai pada perhimpunan ini secara tidak langsung akan membimbangkan UMNO yang akan menjadi penentu kepada nasib BN,” katanya.

Pihaknya percaya rakyat yang akan menentukan pada pilihanraya yang akan diadakan nanti dan ia juga diharap akan mewujudkan perhimpunan lain di negeri ini.

Sementara itu, Setiausaha Perhubungan PAS Kedah, Ustaz Musoddak Ahmad berkata, minimun seramai 2,000 ahli PAS dalam setiap kawasan yang melibatkan 15 kawasan di negeri ini dijangka menghantar ahli-ahli mereka untuk menyertai perhimpunan ini.

Beliau mengingatkan kepada para peserta Muslim supaya membuat persiapan untuk menunaikan solat iaitu dengan membawa alas untuk bersolat. Solat Hajat akan diadakan selepas solat Maghrib berjamaah, dijangka akan diimamkan oleh Tuan Guru Haji Salleh Musa.

“Tema pakaian pada perhimpunan ini ialah kuning, hijau, oren dan merah dan kita berharap perhimpunan yang diadakan ini akan berjaya sepertimana perhimpunan yang diadakan di negeri Kelantan dan Johor sebelum ini,” katanya.

Turut hadir ialah Ketua Angkatan Muda Keadilan Negeri Kedah, Cikgu Azman Nasrudin.

Sabtu, Disember 01, 2012

BAGAIMANA NABI MUHAMMAD MENTAHNIK BAYI

Diriwayatkan dalam sebuah hadis oleh Bukhari dan Muslim, daripada Abu Musa r.a. :" aku dikurniakan anak lelaki lalu aku membawanya kepada Rasulullah saw , baginda menamakannya Ibrahim dan mentahnikkannya dengan tamar"....

Baginda mengunyah lumat tamar lalu dimasukkan ke dalam mulut bayi dengan jari, kemudian digosokkan ke langit-langtnya ke kiri dan ke kanan. Demikianlah cara tahnik (belah mulut bayi) yang dilakukan oleh Rasulullah saw.