SAHABAT :

Jumaat, Mac 16, 2012

ANAS BIN MALIK YANG DIBERKATI


Salah seorang sahabat Nabi SAW yang mashur ialah Anas bin Malik. Anak kepada Ummu Sulaim ini menjadi khadam kepada Rasulullah SAW selama 10 tahun dan baginda memanggilnya dengan panggilan Abu Hamzah.
Menurut suatu riwayat, Rasulullah saw pernah berdoa untuknya dengan doa yang bermaksud: "Ya Allah... perbanyakkanlah hartanya, ramaikanlah anaknya, panjangkan umurnya, berkatilah dia dan masukkanlah dia ke dalam syurga"....
Berkat doa Baginda... Anas bin Malik dikurniakan usia yang panjang dan tidak pernah menderita sakit teruk. Semasa hidupnya, Anas dianugerahkan rezeki yang banyak dan dikenali sebagai seorang yang kaya. Beliau meninggal dunia pada tahun 93 Hijrah di Basrah. Ketika itu usia beliau lebih 100 tahun... beliau meninggalkan lebih 120 orang anak dan meriwayatkan 2286 buah hadis. 

Ahad, Mac 11, 2012

HAPUSKAN SAHAJA TOL JAMBATAN PULAU PINANG UNTUK KEBAIKAN RAKYAT

Tol Jambatan Pulau Pinang akan dihapuskan jika rakyat memberi mandat kepada Pakatan Rakyat untuk membentuk kerajaan persekutuan dalam pilihan raya umum akan datang.

Itu adalah janji Pakatan yang disampaikan oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang.

Setakat ini, semua janji yang berada dalam bidang kuasa kerajaan negeri Pulau Pinang telah pun dilaksanakan.


Hanya janji yang melibatkan kuasa kerajaan pusat seperti pemansuhan tol dan pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan belum dapat dilaksanakan kerana UMNO-Barisan Nasional masih berkuasa di peringkat persekutuan.

Pakatan Rakyat lebih memahami penderitaan rakyat berikutan tekanan ekonomi semasa, bukan sahaja kesan ekonomi global tetapi juga akibat pembaziran dan kehilangan wang rakyat kerana salah urus, penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa kerajaan UMNO-BN.

Tidak cukup dengan itu, keangkuhan dan kesombongan pimpinan UMNO-BN masih menjadi amalan.

Sementara wang rakyat digunakan untuk memancing undi dan rasuah politik, kroni-kroni mereka mengambil kesempatan untuk meragut kekayaan negara yang sepatutnya diagihkan secara adil kepada golongan yang memerlukan.

Corak pentadbiran dan pengurusan UMNO-BN masih di takok lama. Mereka mudah lepas tangan untuk meletakkan beban di bahu rakyat daripada sanggup berkorban memenuhi keperluan rakyat.

Pakatan mahu hapuskan tol, UMNO-BN terus lanjut konsesi tol

Dalam isu tol Jambatan Pulau Pinang, kerajaan UMNO-BN terang-terangan tidak pedulikan rakyat. Apabila Pakatan berjanji untuk menghapuskan tol tersebut, pimpinan UMNO-BN memberi jawapan kurang cerdik – negara akan bankrap jika tol berkenaan dimansuhkan.

Lebih dari itu, kerajaan pusat UMNO-BN telah melanjutkan pula tempoh konsesi kutipan tol Jambatan Pulau Pinang selama 17 tahun sehingga 2038! Alasan UMNO-BN untuk lanjutan itu adalah semata-mata kerana ia “bermurah hati” untuk tidak menaikkan kadar tol dalam masa tiga tahun akan datang.

Guan Eng telah pun menjelaskan bahawa alasan negara boleh bankrap kerana pemansuhan tol Jambatan Pulau Pinang serta tol-tol Lebuh Raya Utara-Selatan (NSE) dan Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE) adalah tidak masuk akal dan dangkal.

Menurut beliau, jJambatan Pulau Pinang telah mengutip RM1.859 bilion dengan kos pembinaan RM944 juta, iaitu lebihan sebanyak RM924 juta.

Bagi BKE, tol yang dikutip berjumlah RM340 juta manakala kos pembinaannya RM256 juta, iaitu lebihan sebanyak RM84 juta, yakni rakyat tidak sepatutnya dibebankan dengan tol sehingga 31 Disember 2038, malah tol bagi Jambatan Pulau Pinang dan BKE harus dihentikan serta merta.

“Kos maksimum untuk pemansuhan NSE dan Jambatan Pulau Pinang adalah RM50 bilion, iaitu RM40 bilion untuk NSE dan RM10 bilion untuk Jambatan Pulau Pinang. Jumlah RM50 bilion tidak akan menjadikan negara bankrap.

“Yang akan menjadikan negara bankrap adalah rasuah, penyalahgunaan kuasa dan kronisme. Lagipun, kos projek MRT baru pun sudah mencecah RM50 bilion,” tambah beliau.

Jambatan kedua belum siap, kerajaan UMNO-BN sibuk nak kutip tol

Yang terbaru, belum pun siap Jambatan Kedua Pulau Pinang, kerajaan UMNO-BN awal-awal lagi sudah mengumumkan kadar tol RM7 untuk kereta, dengan alasan bahawa ia harus sama dengan kadar yang dikenakan untuk jambatan yang sedia ada.

Malah, laporan versi online akhbar The Star hari ini menggambarkan seolah-olah sesuatu yang lucu bagi pihak kerajaan UMNO-BN apabila memetik Pengarah Utusan Jambatan Kedua Sdn Bhd Datuk Dr Ismail Mohamed Taib sebagai berkata bahawa pihaknya sebenarnya mahu kadar tol yang lebih rendah tetapi bimbang jika pihak jambatan pertama akan “bising”.

“Jambatan pertama Pulau Pinang sepatutnya menaikkan kadar kepada lebih RM9, jadi kami sedia ikut mereka. Bagaimana pun, apabila mereka mengesahkan kekal pada kadar RM7, maka kami pun akan kenakan kadar RM7,” kata Dr Ismail sebagaimana yang dipetik oleh akhbar tersebut.

Jambatan kedua itu dijangka siap pada September 2013.

Sebagaimana yang dikatakan oleh Guan Eng sebelum ini, semakan semula dan pelanjutan tempoh konsesi tol sehingga 2038 telah dilakukan tanpa rundingan dengan rakyat dan hanya menguntungkan syarikat-syarikat pengendali tol.

Itulah cara, amalan dan budaya kerajaan UMNO-BN yang semakin jelas tidak akan berubah sama sekali, walau apa pun yang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak cuba janjikan atau laksanakan, termasuk menyalahgunakan wang rakyat sebagai gula-gula politik menjelang PRU ke-13.

Roketkini.com

Jumaat, Mac 02, 2012

Kedah bakal raih RM10 juta hasil bijih besi

GURUN, 2 Mac: Kedah dijangka meraih pulangan berjumlah RM10 juta setahun hasil daripada pengeluaran bijih besi di tapak berdekatan Gunung Jerai yang telah memulakan operasinya.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, operasi perlombongan di tapak seluas 26.091 hektar itu dijalankan secara usaha-sama di antara anak syarikat kerajaan negeri, Permodalan Kedah Berhad (PKB) dan Nacstone Mining Worlwide (M) Sdn. Bhd.

"Sumber baru ini akan memberikan pulangan royalti sebanyak lima peratus kepada kerajaan negeri dan tidak termasuk keuntungan yang diperolehi PKB melalui kerjasama itu," jelasnya pada sidang media selepas lawatan kerja dan majlis pelancaran operasi pengeluaran bijih besi, semalam.

Menurutnya lagi, dianggarkan lebih satu juta metrik tan bijih besi di tapak yang pertama beroperasi, manakala di tapak berdekatan masih lagi menunggu kelulusan untuk dilombong.

"Sepanjang tiga bulan beroperasi, sudah tiga kali bijih besi di eksport ke China melibatkan jumlah sebanyak 100,000 tan dan nilainya bergantung pada pasaran harga semasa.

"Saya yakin kapasiti pengeluaran kita mencukupi bagi menampung permintaan berikutan operasi melombong yang dijalankan sepanjang masa," katanya.

Azizan berkata, pihaknya juga telah mengenal pasti berbagai lagi hasil bumi lain yang bakal memberikan pulangan kepada Kedah.

"Beberapa tapak lain juga dikenal pasti mengandungi bahan galian bernilai seperti kuart di Bukit Kachi di Sintok yang hanya menunggu kelulusan lesen pajakan melombong.

"Sudah ada pengusaha yang berminat untuk mengeluarkan galian di atas tapak berkeluasan 405 hektar itu, dan saya gembira Kedah kini memperoleh rezeki yang melimpah dari dalam tanah untuk manfaat penduduk di sini," ujarnya.

Turut hadir dalam lawatan kerja dan majlis pelancaran tersebut ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Dato' Dr Abdul Isa Ismail dan pimpinan-pimpinan Kerajaan Negeri Kedah.

Sumber : Harakahdaily