SAHABAT :

Selasa, Oktober 04, 2011

Buah diperam dengan carbide tidak selamat dimakan

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menasihati pengguna supaya tidak memakan buah-buahan yang diperam dengan menggunakan gas carbide kerana terdapat maklumat yang cukup mengenai bahayanya kepada kesihatan.
Calcium carbide mempunyai ciri-ciri penyebab kanser dan boleh mengakibatkan gangguan saraf. Ia boleh menyebabkan bunyi berdesing dalam telinga, kebas dan penyakit saraf periferal. Jika wanita hamil memakan buah yang telah diperam bersama carbide, ada kemungkinan bayi yang akan lahir berkeadaan cacat.
Adalah tidak wajar Kementerian Kesihatan mengatakan bahawa buah-buahan yang diperam dengan menggunakan carbide selamat untuk dimakan sebelum menjalankan siasatan. Sekadar menyebut bahawa amalan yang sama dilakukan di negara-negara lain bukan bermakna ianya selamat.
Di India, kerajaan telah mengharamkan penggunaannya di bawah Akta Pencegahan Pencemaran Makanan, dan terdapat beberapa laporan media bahawa buah-buahan yang diperam dengan menggunakan gas carbide telah dirampas dan dimusnahkan.
Dalam keadaan biasa, buah-buahan akan masak hasil tindak balas hormon ethylene yang dihasilkan secara semula jadi dalam buah. Tetapi penggunaan calcium carbide mengeluarkan gas acetylene yang mudah meruap dan meletup walaupun pada kepekatan yang rendah berbanding ethylene.
Kementerian Kesihatan perlu menyedari bahawa khasiat makanan dalam buah-buahan akan berkurang apabila ia masak ranum secara tiruan.
Buah-buahan yang menjadi ranum dengan menggunakan gas carbide akan mengalami tindak balas kimia yang berbeza berbanding buah-buahan yang ranum secara semula jadi. Ketika buah ranum secara semula jadi, perubahan biokimia akan berlaku misalnya penyusutan klorofil, biosintesis karotenoid (antioksidan, penambah sistem imun, bahan pencegah kanser), antosianin (antioksidan yang kuat), essential oils, dan komponen perisa serta aroma. Tetapi kesemua perubahan kimia yang menyihatkan dan menambah mutu buah-buahan ini tidak berlaku jika buah ranum secara tiruan.
Dengan mengatakan penggunaan gas carbide untuk meranum buah-buahan sebagai amalan yang selamat, Kementerian Kesihatan seolah-olah menggalakkan penggunaan lebih banyak bahan kimia dalam makanan yang sebaliknya boleh memudaratkan kesihatan pengguna.

SM Mohamed Idris
Penulis adalah Presiden CAP.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan