SAHABAT :

Ahad, Oktober 30, 2011

260 HUFFAZ P. PINANG TERIMA ANUGERAH


GEORGETOWN, 29 Okt: Seramai 260 para huffaz Negeri Pulau Pinang menerima pengiktirafan kerajaan negeri tahun ini berbanding tahun lalu 180 orang.
Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Abdul Malik Kasim berkata, ia satu kebanggaan buat Pulau Pinang kerana berjaya mendidik dan melahirkan para hafiz dan hafizah yang boleh membantu merealisasikan hasrat kerajaan negeri yang berkehendakan 'Satu Keluarga Seorang Hafiz'.
"Insya Allah hasrat satu keluarga seorang hafiz akan berjaya sekiranya mereka yang menghafal Al Quran bertambah saban tahun.  Walaupun baru empat tahun diperkenalkan slogan berkenaan menerusi Ijtimak Huffaz namun sudah ada kesanya," kata beliau semasa berucap dalam ucapan alu-aluan majlis Ijtimak Huffaz Negeri Pulau Pinang kali ke 4 yang diadakan di Dewan Sri Pinang pagi tadi.
Katanya, untuk melahirkan generasi yang berilmu sebagai pewaris bakal pemerintahan negara akan datang golongan ini mesti terjun secara langsung di segenap bidang termasuk politik bagi menajamkan pengetahuan dan pengalaman.
Ujarnya, jangan anggap bila sudah menjadi hafiz ia hanya layak menjadi tok imam di masjid atau surau, mengajar Al Quran serta membuka kelas Al Quran sebaliknya memperluaskan skop kepada didikan moral untuk mewujudkan insan yang mempunyai jati diri yang unggul.
Semua anugerah berupa cenderahati, sijil dan wang tunai RM1,000 sehingga RM1,500 disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas disaksikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Timbalan Yang Dipertua Maipp, Datuk Saleh Man.

Rabu, Oktober 19, 2011

PAS tidak terlibat Himpunan Sejuta Umat

Presiden PAS   

PAS yang mengadakan mesyuarat lajnah politik pada malam ini telah membincangkan isu Himpunan Sejuta Umat (Himpun) Mempertahankan Aqidah yang dijadualkan pada 22hb Oktober 2011 ini. PAS dimaklumkan bahawa majlis ini tidak melibatkan parti-parti politik, maka PAS mengambil pendirian untuk tidak terlibat dalam himpunan tersebut sebagai menghormati kehendak penganjur program.

PAS memperingatkan semua pihak yang terlibat dalam penganjuran himpunan ini agar bertindak selaras dengan peruntukan undang-undang negara, dalam menjamin keharmonian negara yang berbilang bangsa dan agama. Sebarang usaha untuk menimbulkan polemik perkauman dan agama akan membawa negara kepada satu suasana yang tidak menguntungkan mana-mana pihak. PAS memandang berat sebarang usaha mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk kepentingan politik dan pilihan raya.

Agenda menyelamatkan aqidah merupakan agenda murni tetapi ianya mesti diurus dengan cara berhemah. PAS menyokong segala usaha memantapkan aqidah oleh badan-badan NGO dan pelbagai pihak bagi memperkasakan aqidah umat Islam.

PAS mengambil pendirian bahawa pengukuhan aqidah umat Islam hendaklah dilaksanakan menerusi jalan dakwah secara damai sebagaimana Islam telah diterima oleh masyarakat rantau ini secara damai.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS


...kalau nak selamatkan akidah tak perlu berhimpun... hakikatnya banyak benda lain lagi yang menyumbang kepada nipisnya akidah dan menghakis iman umat... perhatikan rancangan televisyen di negara kita... banyak yang menghakis iman daripada menyuburkan iman ... siapa yang menjaga polisi penyiaran negara??? Betulkan di situ dulu .... 

Sabtu, Oktober 08, 2011

SEBATAN CARA ISLAM (HUDUD) DAN SEBATAN CARA SIVIL

 Hudud bukanlah bermakna hukuman sebat dan potong tangan semata-mata. Hudud bermakna "Batasan". Setiap perkara yang diperintah dan dilarang oleh Allah itulah yang dinamakan batasan (hudud). Undang-undang Islam lebih bersifat pencegahan ... bukannya bertujuan mendera dan menyiksa manusia ... 
Hukuman sebat salah satu hukuman yang terdapat dalam "hudud"... cuba bezakan sebatan cara Islam dan sebatan cara sivil ... manakah yang lebih berperikemanusiaan dan menjamin maruah seseorang manusia ???
Malangnya hari ini ... hudud telah diberi imej dan wajah yang buruk oleh musuh Islam dan orang-orang Munafik yang menentang Islam ....



Selasa, Oktober 04, 2011

Buah diperam dengan carbide tidak selamat dimakan

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menasihati pengguna supaya tidak memakan buah-buahan yang diperam dengan menggunakan gas carbide kerana terdapat maklumat yang cukup mengenai bahayanya kepada kesihatan.
Calcium carbide mempunyai ciri-ciri penyebab kanser dan boleh mengakibatkan gangguan saraf. Ia boleh menyebabkan bunyi berdesing dalam telinga, kebas dan penyakit saraf periferal. Jika wanita hamil memakan buah yang telah diperam bersama carbide, ada kemungkinan bayi yang akan lahir berkeadaan cacat.
Adalah tidak wajar Kementerian Kesihatan mengatakan bahawa buah-buahan yang diperam dengan menggunakan carbide selamat untuk dimakan sebelum menjalankan siasatan. Sekadar menyebut bahawa amalan yang sama dilakukan di negara-negara lain bukan bermakna ianya selamat.
Di India, kerajaan telah mengharamkan penggunaannya di bawah Akta Pencegahan Pencemaran Makanan, dan terdapat beberapa laporan media bahawa buah-buahan yang diperam dengan menggunakan gas carbide telah dirampas dan dimusnahkan.
Dalam keadaan biasa, buah-buahan akan masak hasil tindak balas hormon ethylene yang dihasilkan secara semula jadi dalam buah. Tetapi penggunaan calcium carbide mengeluarkan gas acetylene yang mudah meruap dan meletup walaupun pada kepekatan yang rendah berbanding ethylene.
Kementerian Kesihatan perlu menyedari bahawa khasiat makanan dalam buah-buahan akan berkurang apabila ia masak ranum secara tiruan.
Buah-buahan yang menjadi ranum dengan menggunakan gas carbide akan mengalami tindak balas kimia yang berbeza berbanding buah-buahan yang ranum secara semula jadi. Ketika buah ranum secara semula jadi, perubahan biokimia akan berlaku misalnya penyusutan klorofil, biosintesis karotenoid (antioksidan, penambah sistem imun, bahan pencegah kanser), antosianin (antioksidan yang kuat), essential oils, dan komponen perisa serta aroma. Tetapi kesemua perubahan kimia yang menyihatkan dan menambah mutu buah-buahan ini tidak berlaku jika buah ranum secara tiruan.
Dengan mengatakan penggunaan gas carbide untuk meranum buah-buahan sebagai amalan yang selamat, Kementerian Kesihatan seolah-olah menggalakkan penggunaan lebih banyak bahan kimia dalam makanan yang sebaliknya boleh memudaratkan kesihatan pengguna.

SM Mohamed Idris
Penulis adalah Presiden CAP.

Ahad, Oktober 02, 2011

HUDUD : DAP tetap bersama PAS lawan BN

     
KEPALA BATAS, 2 Sept: Perbezaaan pandangan berhubung perlaksanaan undang-undang Islam khususnya hudud tidak bermakna DAP putus kerjasama dengan PAS.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegaskan, DAP tetap akan bekerjasama dengan PAS kerana masih banyak persamaan dalam memperjuangkan keadilan untuk rakyat khususnya melawan BN.

Bercakap sewaktu menyampaikan pidato di program rapat umum sempena Kongres 60 Tahun PAS di sini malam tadi, Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga secara tegas menyatakan mereka juga tidak akan bersama Umno biarpun Umno juga sama pendirian dengan DAP menolak perlaksanaan hudud.

"Pimpinan DAP jelas kita tak setuju dengan hudud. Umno pun tak setuju dengan hudud. Tetapi tak kan kerana DAP tak setuju Umno tak setuju, DAP dan Umno nak kerjasama.

"Kita terus akan bekerjasama dengan PAS kerana kita masih banyak persamaan. Kita sama-sama lawan rasuah, sama-sama lawan kebatilan, sama-sama lawan BN," tegasnya disambut tepukan dan laungan takbir hadirin.

Dalam majlis itu dianggarkan lebih 20 ribu hadirin hadir dan duduk bersila memenuhi ruang dalam dan perkarangan Dewan Milenium.

Dalam mesyuarat Pimpinan Pakatan Rakyat minggu lalu, kesemua parti komponen PAS, PKR dan DAP menyatakan persetujuan bersama memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah di Kelantan dan Terengganu.

Mereka juga menghormati pendirian PAS untuk mengangkat isu hudud dan membincangkannya agar difahami oleh masyarakat.

Pada masa yang sama, mereka juga menghormati pendirian DAP yang tidak bersetuju dengan perlaksanaan hudud kerana bertentangan dengan perlembagaan.

Keputusan bersama itu sekaligus didakwa menggagalkan rencana Umno BN memecah belahkan parti-parti dalam Pakatan menggunakan isu hudud yang selama itu dianggap senjata ampuh mereka.

"Kita (DAP) ditubuh untuk bela perlembagaan bukan lawan perlembagaan. Sama juga kita bukan mahu lawan Islam tetapi kita mahu lawan Umno, MCA, MIC dan BN," katanya.

Turut menjadi pemidato dalam majlis malam tadi adalah Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

Harakahdaily