SAHABAT :

Selasa, September 27, 2011

PANTAI KHAS UNTUK MUSLIMAH .... DI MALAYSIA KA??

SPILLE, ALBANIA - Sebuah kawasan di sebuah pantai di sini diberi jolokan pantai burka kerana ia dikhaskan untuk wanita Muslim yang tidak memakai bikini. Ia terletak di barat daya Tirana ibu negara  Albania dan beberapa meter dari kawasan pantai yang membenarkan wanita berjemur dan berenang dengan memakai bikini.

Pantai tersebut merupakan satu-satunya pantai yang dikhaskan untuk wanita Muslim berenang dan bermain air laut dengan memakai burka. Kira-kira dua pertiga daripada penduduk Albania merupakan penduduk Muslim. - AFP

..... mungkinkah suatu masa nanti akan wujud tempat sebegini di Malaysia?? Mengapa tidak sekarang?? Bumi ini milik Allah .... jalanilah kehidupan di atas bumi Allah ini berasaskan syari'at Allah .... jika tidak mahu ... pergilah cari bumi lain selain dari bumi Allah ... mungkin di situ sesuai bagi orang yang berkata :"undang-undang Islam tidak sesuai di Malaysia kerana bermasyarakat majmuk" .....
sedangkan masyarakat manusia yang majmuk itu pun Allah yang tetapkan .... Allah yang jadikan ....  

Ahad, September 18, 2011

MENGHALANG DAKWAH.... OTAK YAHUDI??

Kerja siapa menghalang orang ingin berdakwah ??? ...tentulah kerja puak-puak munafikin... mereka berlembut dan bermuka-muka dengan Yahudi sebaliknya amat keras memusuhi orang-orang beriman..... Akhir zaman ini menyaksikan urusan agama ditadbir oleh orang yang bukan ahlinya ... mereka bukan sahaja tiada kebolehan berdakwah ... malah menghalang orang lain yang hendak berdakwah ... sekaligus kerja-kerja mereka memudahkan Yahudi menghancurkan Islam apabila tradisi mendalami ilmu agama berjaya disukarkan ....
   
KLANG, 18 Sept: "Menghalang ahli politik ataupun mereka yang dipilih oleh rakyat bercakap dan menyampaikan maklumat tentang agama adalah satu perkara yang tidak masuk akal, malah saya tidak setuju langsung," jelas Ahli Dewan Undangan Negeri Meru (Adun), Dr Abd Rani Othman.
Beliau yang telah ditarik balik tauliah mengajar oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sebelum ini menyuarakan ketidakpuashatiannya terhadap Jais kerana ingin menyekat aktiviti dakwa di kalangan pemimpin dari PAS.
"Pentauliahan ini diwujudkan adalah kerana ini mengelak daripada berlakunya penyebaran ajaran sesat oleh mereka yang kita tidak kenali tetapi apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya.
"Kita melihat ramai ahli politik yang mempunyai sijil-sijil agama yang diiktiraf sama ada di dalam mahupun di luar negara dan kebanyakan darinya telah mendapat pengiktirafan dari Arab dan juga Mesir.
"Jadi isu ajaran sesat tidak timbul, malah menghalang mereka-mereka ini dari menyampaikan sesuatu kebaikan adalah bertentangan dengan apa yang Islam kehendaki," jelasnya.
Dr Rani memberitahu sebelum ini pemimpin Umno bebas melakukan apa sahaja termasuk menyampaikan dakwah di surau-surau mahupun masjid.
"Kalau dulu pemimpin-pemimpin Umno bebas melakukan apa saja yang mereka mahu termasuk menyampaikan tazkirah di dalam surau mahupun masjid malah bermacam-macam perkara mereka lakukan.
"Sepanjang itu jugalah kita melihat tidak pernah ada pentaulihan diberikan malah JAIS hanya berdiam diri dan yang paling mendukacitakan Jais juga turun sama dalam program yang dianjurkan oleh Umno itu.
"Dulu tak pernah wujud seperti ini tetapi sekarang macam-macam halangan ada. Kita tidak bebas lagi hendak menyampaikan dakwah malah setiap pergerakan kita dipantau," sambungnya lagi.
Tambah beliau lagi, walaupun tauliahnya telah ditarik balik aktiviti dakwahnya tetap diteruskan.
"Saya akan tetap berdakwah walaupun tidak diberi tauliah oleh Jais, jika sebelum saya menjadi Adun saya bebas melakukan dakwah atas sebab apa saya hendak hentikannya.
"Jika ada pihak mengatakan isi penyampaian dakwah saya ada yang salah sila buktikan kesalahan itu dan setiap tuduhan perlu ada bukti yang kukuh bukannya sekadar cakap kosong," katanya lagi.
Beliau yang telah menyampaikan Khutbah Jumaat di Surau Nurus Saadah Taman Meru 4 kelmarin, memberitahu apa yang beliau sampaikan dalam khutbah adalah mengikut teks yang telah diberikan oleh Jais tanpa ada sebarang penambahan mahupun kekurang.
"Jika membaca teks yang diberi oleh Jais sewaktu khutbah juga dianggap salah, ini adalah satu tindakan yang keterlaluan serta tidak bertanggungjawab jika ini berlaku jelas wujud tangan ghaib yang ingin menghalang kita dari Pakatan Rakyat terutamanya PAS mendekati rakyat melalui dakwah di setiap surau dan masjid," tegas beliau lagi.

Harakahdaily

Jumaat, September 16, 2011

Tahniah rakyat, teruskan perjuangan anda

Nasrudin Hassan   
1. Pemansuhan ISA disambut baik oleh semua pihak. Saya tidak pasti bagaimana sikap mereka yang lantang mempertahankan ISA sebelum daripada ini seperti  Perkasa Datuk Ibrahim Ali, justeru hampir tiada insan yang boleh bersetuju dengan kezaliman dan kekejaman ISA sebagai sebuah akta draconian.

2. Tentunya pihak yang paling bersyukur dan paling gembira ialah Warga GMI [Gerakan Mansuhkan ISA] yang selama ini menjadi wadah rakyat prihatin yang merindui keadilan dan menentang kezaliman terutama ahli keluarga mangsa kekejaman ISA.

3. Entah berapa banyak air mata mereka tumpah merintih dan munajat kepada Tuhan Yang Maha Kuasa berdepan kezaliman  sang penguasa. Semoga janji pemansuhan ini segera dikotakan. Layaknya ia telah dimansuhkan sejak puluhan tahun yang lalu, setelah komunis tumpas dan menyerah diri lantaran semangat asal ISA diluluskan adalah untuk menangani pengganas komunis. Malangnya ISA digunakan untuk memenjara sosok dan minda pejuang dan ahli politik yang berbeza idealogi dengan pemerintah.

4. Gerakan Mansuhkan ISA [GMI] sangat konsisten menggerakkan kebangkitan rakyat untuk menolak dan memansuhkan ISA dan saya sangat teruja melihat kegigihan mereka tanpa tara dan mempeduli risiko apalagi penat dan lelah. Mereka menongkah keangkuhan pemerintah bercagarkan masa depan mereka, bukan sahaja untuk membebaskan anggota keluarga mereka yang terpenjara tetapi jua untuk memastikan kem Kemunting ditutup kekal agar tiada lagi yang menjadi mangsa kekejaman "Kem Guantanamo Malaysia" itu.

5. Kemenangan rakyat ini menjadi satu bukti bahawa rakyat mempunyai keupayaan bertindak yang berkesan dan mereka mesti bersatu mengembeling kekuatan agar mereka tidak hanya dijadikan kuda tunggangan atau kerbau yang dicucuk hidung sehingga mereka boleh diperlakukan apa sahaja oleh sang pemerintah.

6. Rakyat tidak perlu cepat tersilau dan terkesima dengan satu atau dua perubahan yang dilakukan oleh kerajaan sementelah ia sememangnya menjadi tanggungjawab kerajaan yang memerintah, justeru masih banyak perkara dan perubahan yang perlu dilakukan oleh pemerintah demi kepentingan rakyat dan rakyat semestinya meneruskan kebangkitan mereka seperti:

- Gerakan Menuntut Royalti Petroleum yang digerakkan oleh rakyat Kelantan dan Terengganu,
- Gerakan Mansuh AUKU yang digerakkan oleh Mahasiswa,
- BERSIH yang digerakkan oleh lebih 60 NGO yang menunutut keadilan dan ketelusan dalam sistem demokrasi negara dan termasuklah
- perubahan pada iklim sosial negara agar tidak disuburkan elemen yang merosakkan moral dan meruntuhkan aqidah ummah.

7. Rakyat mesti terus mengembeling keupayaan mereka, menyemarak samangat reformasi memulih setiap sendi dan saraf sistem pemerintahan negara agar perubahan yang dilakukan tidaklah hanya bersifat tempelan dan pancing undi tetapi perubahan menyeluruh yang membawa negara dan rakyat makmur, aman, harmoni dan sejahtera. Perubahan juga jangan hanya pada bentuk aktiviti, pendekatan dan agenda bertindak, tetapi juga perubahan mesti melibatkan sikap, akhlak dan cara berfikir.

8. Terima kasih dan tahniah tetap diberikan kepada YAB Perdana Menteri di atas langkah mengejut yang diambil oleh beliau sebagai ketua kerajaan, lantaran itulah tanggungjawabnya sebagai pemimpin dan itulah jua yang menjadi desakan rakyat selama ini.

9. Semoga Allah memberi kekuatan kepada rakyat untuk terus menggerakkan agenda perubahan menyeluruh demi masa depan negara dan seluruh warganya terutama usaha untuk menegakkan keadilan sebagaimana yang dituntut oleh Syariat Islam. Jua didoakan petunjuk buat semua, khasnya pemimpin dan pemegang amanah pemerintahan negara agar melakukan banyak lagi perubahan positif khususnya yang telah menjadi tuntutan rakyat.

10. Kini rakyat sedang memerhati dengan tekun dan teliti, apakah YAB Perdana Menteri juga mempunyai keberanian untuk melakukan transformasi dalam sistem demokrasi dan pengendalian pilihanraya negara agar keadilan dan ketelusan dapat dilaksanakan dengan yakin dan hak pengundi dapat diberikan sepenuhnya tanpa sebarang manipulasi. Antara yang menjadi fokus rakyat ialah penghapusan undi pos,  dakwat kekal, akses media secara saksama, pemurnian daftar pemilih dan kaedah pengendalian hari mengundi.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
11.45 am \ Jumaat
16 September 2011.

Isnin, September 12, 2011

CUKAI ADALAH URUSAN KERAJAAN... BUKAN TELCO

BUKA MINDA ANDA .... MENENTUKAN SESUATU CUKAI ITU ADALAH URUSAN KERAJAAN YANG MENTADBIR SESEBUAH NEGARA ... BUKANNYA URUSAN DAN KEPUTUSAN SYARIKAT SWASTA YANG MENGENDALIKAN SESUATU PERKHIDMATAN ...
 Najib bentang cukai kerajaan 6% pra-bayar   
KUALA LUMPUR, 12 Sept: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didakwa berpura-pura lupa atau sememangnya tidak tahu apa-apa dengan cukai enam peratus cukai pra bayar kerana ia telah dimasukkan dalam Bajet 2010 lalu oleh beliau.

"Pihak Telco hanya melaksanakan Bajet yang telah dibentangkan oleh Najib menjelang tahun 2010 lalu dan telah diluluskan oleh kerajaan.

"Kini apabila mereka hanya ingin melaksanakannya, Najib menyalahkan Telco pula, seolah-olah beliau pemimpin yang prihatin menjelang pilihan raya ini," kata Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) , Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS (PPP).
Bagi Dr Dzulkefly, Najib jelas lupa bahawa cukai hanya boleh dikuatkuasakan oleh kerajaan bukannya mana-mana pihak swasta termasuk Telco.
Baru-baru ini, syarikat telekomunikai di Malaysia telah mengumumkan akan mengenakan cukai kerajaan sebanyak enam peratus dalam semua jualan kad pra bayarnya mulai 15 September ini.

Ini bermakna, setiap RM10 nilai kad pra bayar, harganya akan menjadi RM10.60 di mana 60 sen adalah cukai yang dikenakan kerajaan melalui Telco kepada penggunanya.

Jumlah 60 sen setiap RM10 ini akan dibayar oleh Telco kepada kerajaan.
Kerajaan dijangka akan memperolehi pendapatan sebanyak RM750 juta hasil melalui cukai ini untuk tahun ini sahaja.
Namun begitu, jumlah ini tidak sebanyak mana jika dibandingkan dengan pendapatan yang akan diperolehi kerajaan jika menarik balik subsidi kepada enam Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) iaitu sebanyak RM17 bilion setahun.
"Persoalan ini membuat kita tertanya-tanya, siapa sebenarnya yang ditakuti dan disayangi oleh Najib?" soal Dr Dzulkefly yang juga AJK PAS Pusat dan anggota Parlimen Kuala Selangor.
Kesan teruk
Langkah mengenakan cukai ini memberikan tekanan teruk kepada golongan berpendapatan rendah terutama remaja, pelajar dan pekerja kilang kerana mereka golongan paling banyak menggunakan perkhidmatan pra bayar ini.

Golongan yang mempunyai pekerjaan tetap dan berada biasanya menggunakan khidmat post paid atau menggunakan bil penggunaan.
Harakahdaily difahamkan, terdapat 26 juta nombor prepaid yang dikeluarkan oleh Telco di negara ini.

Ekoran pengumuman Telco untuk melaksanakan cukai ini, pelbagai pihak khasnya golongan remaja membuat bantahan terhadapnya melalui laman sosial dan media baru yang kebanyakannya dikuasai mereka.

Ekoran itu, Perdana Menteri Najib menyalahkan Telco kerana mengenakan cukai ini padahal ia telah dikemukakan beliau melalui Bajet 2011 dan pihak Telco hanya melaksanakan keputusan itu sahaja.

Harakahdaily difahamkan, selama ini cukai hanya diserap oleh Telco melalui keuntungan jualan pre paid mereka namun ia tidak mampu lagi berbuat demikian sedangkan duit itu dibayarkan kepada kerajaan dan bukannya diperolehi mereka.

Ekoran itu, semua Telco, terutama tiga yang utama iaitu Celcom, Digi dan Mexis akan mula mengenakannya kepada pengguna pra bayar.

Difahamkan, pengguna terbesar pra bayar adalah pengguna Digi.

Najib baru-baru ini mengarahkan syarikat-syarikat telekomunikasi mengkaji semula langkah mengenakan cukai perkhidmatan enam peratus ke atas kad prabayar sambil menegaskan ia sukar untuk diterima dalam situasi kenaikan kos sara hidup sekarang.

Perdana Menteri menegaskan cukai itu dikuatkuasakan ketika kerajaan pula sedang berusaha untuk mengurangkan beban di sebalik kenaikan kadar inflasi sejak beberapa bulan yang lalu.

“Reaksi dan maklum balas daripada orang awam ialah langkah Telco, tidak popular dan sukar untuk diterima,” kata beliau.

“Jadi, saya berharap Telco akan mengkaji semula langkah ini memandangkan kita sedang cuba mengurangkan beban ke atas orang ramai yang perlu menanggung kenaikan kos harga barang,” kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Najib juga menafikan Telco telah menerima kelulusan Kementerian Kewangan, sebaliknya menjelaskan keputusan itu dibuat oleh syarikat-syarikat telekomunikasi sendiri.

Pelbagai parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan sejak semalam berkata pihaknya kesal dengan keputusan syarikat telekomunikasi yang mengumumkan pengenalan cukai perkhidmatan enam peratus ke atas pembelian tambah nilai prabayar dan pek atau kad SIM berkuat kuasa pada 15 September ini.

Harakahdaily

Ahad, September 11, 2011

MEHNAH SEPANJANG ZAMAN, PEJUANG ISLAM PASTI DITOHMAH

 Saya perjuang Islam, bukan komunis - Mat Sabu


GOMBAK, 11 Sept: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menegaskan pegangan dan perjuangannya adalah Islam sejak kecil lagi dan bukan komunis seperti dilabel Umno dan akhbarnya, Utusan Malaysia.

Berucap dalam ceramah di Dewan Kolej Universiti Islam Dr Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar malam tadi, Muhamad berkata pegangannya dan perjuangannya terhadap Islam tidak pernah berubah sejak dulu lagi.

"Saya memilih perjuangan atas dasar Islam. Masa remaja dulu saya pilih Abim (Angkatan Belia Islam Malaysia). Kemudian tahun 1978 saya sertai perjuangan parti Islam (PAS), sokong perjuangan ulama.

"Sepanjang saya berpidato idola saya adalah Syed Qutb, Imam Hasan Al-Banna, Jamaludin Al-Afghani, dan ulama-ulama lain.

"Tiba-tiba saya dituduh komunis, tak sedih ke tuan-tuan? Jahat sungguh," katanya merujuk kepada serangan Umno dan media terhadapnya ekoran pandangannya dalam isu Rumah Pasung Bukit Kepong.

Kira-kira seribu hadirin hadir pada ceramah malam tadi.

Mengulas lanjut Mohamad berkata tuduhan sebegitu bukan baru kerana berlaku sejak zaman penjajah lagi.

Umno warisi penjajah

Di zaman British ujarnya, golongan ulama dan golongan kiri dianggap penentang dan ditangkap serta dibunuh.

"Saya sangat cintakan tanah air Malaysia, tempat tumpah darah kita.

"(Tuduhan) Ini sama seperti dituduh terhadap pejuang-pejuang sebelum ini oleh penjajah dan sekarang Umno mewarisinya," tegasnya lagi.

Mohamad dalam satu ceramahnya di  Padang Menora, Tasek Gelugor, Pulau Pinang pad 21 Ogos lalu mendakwa Mohamad Indera yang menyerang polis British di Rumah Pasung Bukit Kepong adalah hero sebenar dan bukannya polis tersebut.

Seminggu selepas itu, Utusan Malaysia dalam laporan 27 Ogos melaporkan kenyataan Mohamad sebagai berkata pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) yang menyerang dan membunuh anggota keselamatan dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong adalah sebagai hero sebenar.

Mohamad yang tidak pernah mengaitkan komunis dalam isu itu kemudiannya menafikan perkara itu dan menganggap laporan akhbar Umno itu sebagai fitnah terhadapnya dan PAS.

Ekoran laporan itu juga, beliau telah dibidas dan kecam hebat oleh pelbagai pihak khususnya, Umno dan BN sehingga ada yang menuduhnya sebagai komunis.

Mengulas perkara itu, Mohamad malam tadi berkata semalam genap 15 hari beliau diserang.

"Saya berucap 21 haribulan, Utusan siar 27 haribulan seminggu selepas itu.

"Itu bukan berita, itu dah jadi sejarah. Kalau berita, berlaku hari ini keluarnya esok," sindirnya terhadap tindakan Utusan itu.

Khairy budak baik

Sementara itu, menjelaskan kenapa beliau menolak debat dengan Khairy Jamaluddin, beliau berkata bukan Ketua Pemuda Umno itu yang banyak menghentamnya tetapi Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ekoran itu katanya, beliau hanya mahu berdebat dengan Muhyiddin yang dilihat lantang mengritik beliau sehingga menyuruh beliau bertaubat.

"Bagi saya Khairy budak baik dan berpotensi jadi pemimpin PAS akan datang. Buat apa nak berdebat dengan adinda Khairy.

"Muhyiddin yang banyak kata pada saya, jadi biarlah saya berdebat dengan Sohibussamahah Muhyidin Yassin," sindirnya.
Turut menyampaikan ceramah malam tadi Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Harakahdaily

Rabu, September 07, 2011

PERSOALAN TENTANG PUASA ENAM SYAWAL

http://ustazazhar.net/v01/   

Persoalan Sunat Sebelum Qadha & Qadha campur Sunat
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على رسوله الأمين، وعلى آله وصحبه أجمعين.
Ibadah puasa adalah suatu amalan mulia yang amat digalakkan oleh Islam. Selain puasa fardhu Ramadhan, umat Islam juga boleh melakukan ibadat puasa sunat di luar bulan Ramadhan.
Ada puasa sunat yang bersifat mingguan (seperti berpuasa pada hari isnin dan khamis), puasa bulanan (tiga hari dalam sebulan) dan puasa tahunan (hari Arafah, ’Asyura’ dan enam hari dalam bulan Syawal).
Puasa adalah satu ibadah yang besar keutamaannya. Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah sallallahu’alaihiwasallam bersabda, Allah subhanahu wata’aala berfirman (dalam hadis Qudsi):
(( كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلا الصِّيَامَ؛ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ… وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ )) رواه مسلم.
Maksudnya: “Setiap amal manusia adalah untuk dirinya kecuali puasa, ia adalah untuk-Ku dan Aku memberi ganjaran dengan (amalan puasa itu).” (Rasulullah menjelaskan): “Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, nafas orang yang berpuasa adalah lebih harum di sisi Allah berbanding wangian kasturi.” [Sahih Muslim no: 1151]
Selain hadis di atas, terdapat banyak hadis lain yang menerangkan keutamaan puasa sunat.
Abu Said Al-Khudri ra berkata: Rasulullah saw bersabda:
(( مَنْ صَامَ يَوْمًا فِي سَبِيلِ اللهِ بَعَّدَ اللهُ وَجْهَهُ عَنْ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا )) رواه البخاري.
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya Allah swt menjauhkan mukanya dari api neraka selama 70 tahun”. [Sahih Al-Bukhari no: 2840]
Di antara puasa sunat ialah puasa enam hari pada bulan Syawal. Bersempena dengan bulan Syawal ini, artikel ini akan membincangkan tentang puasa sunat ini.


Dalil Puasa Sunat Enam Syawal
Abu Ayyub Al-Ansari ra berkata: Rasulullah saw bersabda:
(( مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ)) رواه مسلم.
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” [Sahih Muslim hadis no: 1164].
Di dalam hadis ini Rasulullah saw menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadhan akan diganjari pahala seolah-olah berpuasa selama setahun.
Para ulama’ menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari di bulan Ramadhan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa 6 hari di bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari. Sesungguhnya Allah swt maha berkuasa untuk memberikan ganjaran sebanyak mana yang dikehendaki-Nya.

Hikmah Puasa Sunat Enam Syawal
Sebenarnya puasa enam hari ini mempunyai beberapa hikmah yang tertentu dari sudut kesihatan manusia itu sendiri. Puasa selama sebulan penuh di bulan Ramadhan antaranya menyebabkan sistem percernaan di dalam badan berehat seketika di waktu siang selama sebulan. Kedatangan bulan Syawal pula menyebabkan seolah-olah ia mengalami kejutan dengan diberikan tugas mencerna pelbagai makanan pada hari raya dan hari-hari selepasnya. Oleh kerana itulah, puasa enam ini memberikan ruang kembali kepada sistem pencernaan badan untuk berehat dan bertugas secara beransur-ansur untuk kebaikan jasmani manusia itu sendiri.
Selain dari itu, sebagai manusia yang menjadi hamba kepada Allah swt, alangkah baiknya seandainya amalan puasa yang diwajibkan ke atas kita di bulan Ramadhan ini kita teruskan juga di bulan Syawal walaupun sekadar enam hari. Ini seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak melakukan ibadat puasa semata-mata kerana ia menjadi satu kewajipan tetapi kerana rasa diri kita sebagai seorang hamba yang benar-benar bersunguh-sungguh untuk taqarrub kepada tuhannya. Kerana itulah kata ulama’: “Betapa malangnya orang yang hanya mengenal Allah pada bulan Ramadhan, sedangakan pada bulan lain Allah swt dilupai”.

Hukum Puasa Sunat Enam Syawal.
Hukumnya adalah sunat. Berkata Imam An-Nawawi rh: “Hadis ini jelas menjadi dalil bagi mazhab Imam al-Syafi’e, Imam Ahmad, Daud dan ulama’ yang sependapat dengan mereka bahawa disunatkan berpuasa enam hari (pada bulan Syawal).
Imam Malik dan Imam Abu Hanifah pula menganggap hukumnya makruh. Sebabnya kerana bimbang orang ramai akan menyangka ia adalah sebahagian dari puasa Ramadhan (yang wajib hukumnya) padahal ia bukanlah dari puasa Ramadhan.” [Syarah Sahih Muslim 8/56]

Bilakah Dimulakan Puasa Sunat Enam Syawal?
Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah hari Eidil Fitri dan kita dilarang dari berpuasa pada hari tersebut. Abu Hurairah ra berkata:
( أَنَّ رَسُولَ اللهِ r نَهَى عَنْ صِيَامِ يَوْمَيْنِ: يَوْمِ الأَضْحَى، وَيَوْمِ الْفِطْرِ ) رواه مسلم.
Maksudnya: “Nabi saw melarang puasa pada hari (Eidil) Fitri dan (Eidil) Adha.” [Sahih Al-Bukhari no: 1991].

Bagaimana Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal?
Syarat dan adab bagi puasa sunat enam Syawal adalah sama seperti puasa wajib pada bulan Ramadhan.

Persoalan yang menjadi perbincangan di kalangan para ulama’ ialah:
1- Adakah ia dilaksanakan secara berturut-turut selama enam hari atau secara terputus?
Pandangan yang lebih tepat adalah ia boleh dilakukan secara terputus (tidak berturut-turut) asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal. Ini kerana apabila Rasulullah saw menganjurkan puasa sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya. Maka puasa enam tersebut boleh dilaksanakan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal asalkan bukan pada 1 Syawal dan bukan sesudah berakhir bulan Syawal.
Namun adalah lebih afdhal disegerakan pelaksanaan puasa enam Syawal berdasarkan umum firman Allah swt:
] وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَوَاتُ وَالأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ [ [آل عمران: 133]
Maksudnya: “Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.” [Surah Aali Imran:133]
2- Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal Sebelum Mengqadha Puasa Ramadhan
Wujud perbincangan di kalangan para ulama’, apakah dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal jika seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan yang belum diqadhanya? Perbincangan ini menghasilkan dua pendapat.
Pendapat Pertama: Boleh melakukannya, berdasarkan dalil bahawa Aisyah radhiallahu ‘anha pernah mengakhirkan hutang puasa Ramadhan yang perlu diqadhanya hingga ke bulan Sya’ban yang akan datang. Aisyah ra berkata:
( كَانَ يَكُونُ عَلَيَّ الصَّوْمُ مِنْ رَمَضَانَ، فَمَا أَسْتَطِيعُ أَنْ أَقْضِيَ إِلا فِي شَعْبَانَ. قَالَ يَحْيَى: الشُّغْلُ مِنْ النَّبِيِّ أَوْ بِالنَّبِيِّ r) رواه البخاري
Maksudnya: “Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadhan. Aku tidak mampu mengqadhanya kecuali pada bulan Sya’ban.” Kerana sibuk (melayani) Rasulullah saw. [Sahih Muslim no: 1146. Sahih al-Bukhari, hadis no: 1950, penjelasan “kerana sibuk melayani Rasulullah saw” ialah penjelasan salah seorang perawi hadis yang bernama Yahya bin Sa‘id.]
Para ulama’ yang mengemukakan pendapat pertama berhujah, sudah tentu tidak mungkin isteri Rasulullah saw, yakni Aisyah ra, tidak melaksanakan puasa sunat enam Syawal. Pasti beliau melaksanakannya dan tindakan beliau yang mengqadha puasa Ramadhan pada bulan Sya’ban menunjukkan dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal sekali pun seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan.
Pendapat Kedua: Tidak boleh melakukannya, berdasarkan hadis yang menganjurkan puasa sunat enam Syawal itu sendiri yang telah dikemukakan di awal risalah ini. Hadis tersebut berbunyi: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.”
Rasulullah saw mensyaratkan “berpuasa Ramadhan” terlebih dahulu, kemudian barulah “mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal”. Ini menunjukkan puasa sunat enam Syawal hanya dilaksanakan sesudah seseorang itu menggenapkan puasa Ramadhannya. Jika ada puasa Ramadhan ditinggalkan, ia perlu diqadha terlebih dahulu. Kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat enam Syawal.
Kalau diperhatikan secara teliti, pendapat yang kedua lebih rajih (kuat); Kerana ianya lebih menepati dalil puasa sunat enam Syawal itu sendiri. Selain dari itu, membayar hutang yang wajib hendaklah didahulukan dari memberi sedekah yang sunat. Ini disokong dengan ayat 133 surah Aali Imran yang dikemukakan sebelum ini, yang menganjurkan kita untuk menyegerakan amal kebajikan. Sudah tentu amal yang wajib lebih perlu disegerakan daripada amal yang sunat.
Namun, sekiranya seorang itu tidak berkesempatan (disebabkan keuzuran) untuk melakukan qadha kemudian berpuasa enam dan dia berkeyakinan akan sempat mengqadhakannya sebelum Ramadhan tahun berikutnya, maka pendapat yang pertama boleh diterima, berdasarkan apa yang dilakukan oleh Aisyah ra.
Menurut Imam An-Nawawi rh, Mazhab Malik, Abu Hanifah, Asy-Syafie, Ahmad dan jumhur salaf dan khalaf mengatakan: “Qadha puasa Ramadhan bagi mereka yang berbuka kerana uzur seperti kedatangan haid dan musafir, maka kewajipan mengqadhanya adalah secara bertangguh (’ala at-tarakhi), tidak disyaratkan qadha terus apabila boleh melakukannya”. [Syarah Sahih Muslim 8/22].
قال النووي في شرح مسلم: “وَمَذْهَب مَالِك وَأَبِي حَنِيفَة وَالشَّافِعِيّ وَأَحْمَد وَجَمَاهِير السَّلَف وَالْخَلَف: أَنَّ قَضَاء رَمَضَان فِي حَقّ مَنْ أَفْطَرَ بِعُذْرٍ كَحَيْضٍ وَسَفَرٍ يَجِب عَلَى التَّرَاخِي، وَلا يُشْتَرَط الْمُبَادَرَةُ بِهِ فِي أَوَّل الإِمْكَان.”
Menurut Al-Khatib Asy-Syarbini: “Sesiapa yang tertinggal puasa Ramadhan, sunat dia mengqadhakannya secara berturut-turut dan makruh bagi orang yang ada qadha Ramadhan melakukan puasa sunat”. [Mughni Al-Muhtaj 2/181 cet, Darul Kutub Al-Ilmiah, Beirut].
3- Menggabungkan puasa qadha dan puasa enam
Di antara persoalan yang sering timbul sekitar puasa enam ialah adakah harus menggabungkan di antara dua puasa iaitu puasa qadha dan puasa enam hari di bulan Syawal. Adakah diganjari dengan kedua-dua pahala tersebut dengan puasa yang satu?
Persoalan ini berlaku khilaf di kalangan ulama’, sebahagiannya yang berpendapat tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain, sekiranya dilakukan maka puasanya itu tidak sah, tidak bagi yang fardhu dan tidak bagi yang sunat.
Ada dikalangan ulama’ Syafi’iyyah berpendapat bahawa ganjaran puasa enam tetap akan diperolehi apabila seseorang berpuasa qadha sekalipun ia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya, namun pahala yang diperolehi kurang daripada seorang yang berpuasa kedua-duanya secara berasingan. [Lihat:  Hasyiah Asy-Syarqawi ‘Ala Tuhfah At-Tullab 1/428, cet, Darul Ma’rifah, Fatawa Al-Azhar 9/261 Al-Maktabah Asy-Syamilah]
Al-Khatib Asy-Syarbini berkata: “Jika seseorang berpuasa qadha atau puasa nazar atau puasa sunat yang lain di bulan Syawal, adakah dia mendapat pahala sunat (Syawal) atau tidak? Saya tidak mendapati pendapat ulama’ yang menyebut tentangnya, dan yang zahirnya adalah dapat pahala tersebut (pahala puasa yang diniatinya). Namun, dia tidak mendapat pahala sebagaimana yang disebut oleh hadis yang menerangkan tentang kelebihan puasa enam tadi, khasnya mereka yang tertinggal puasa Ramadhan kemudian berpuasa pada bulan Syawal. Ini kerana mereka tidak memenuhi maksud hadis tersebut (menyempurnakan puasa Ramadahan kemudian diikuti dengan puasa enam)”. [Mughni Al-Muhtaj 2/184 cet, Darul Kutub Al-Ilmiah, Beirut]
Setelah dikaji, pandangan ulama’ yang membolehkan puasa dua dalam satu ini, tidak bersandarkan mana-mana dalil al-Qur’an dan al-Sunnah. Mereka juga mengatakan amalan ini hanya mendapat pahala kerana kebetulan berpuasa qadha dalam bulan Syawal, sama seperti pahala sunat tahiyyatul masjid dengan solat fardhu (orang yang terus melakukan solat fardhu apabila masuk ke dalam masjid akan mendapat juga pahala sunat tahiyyatul masjid). Wallahu a’lam.
Oleh itu, lakukanlah dua ibadat puasa ini (fardhu dan sunat) secara berasingan, kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah SWT, memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan di antara yang menjadi kewajipan dengan yang menjadi galakan (sunat) tentulah lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba yang mencari keredhaan Tuhannya. Ini juga lebih berhati-hati (ahwat) dalam ibadat, serta melakukan ibadat dengan yakin adalah lebih utama (aula), kerana ada pendapat ulama’ mengatakan tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain.
Sebagai kesimpulan, puasa sunat semata-mata kerana Allah (bukan kerana sakit atau ingin berdiet) mempunyai kelebihan yang besar di sisi Allah swt dan sangat digalakkan oleh Rasulullah saw.
Sebagaimana yang diketahui semua amalan sunat adalah sebagai penampal kepada mana-mana kekurangan dalam amalan fardhu. Puasa enam hari pada bulan Syawal ini pula thabit dari sunnah Rasulullah saw. Sepatutnyalah kita mengambil peluang ini untuk berpuasa enam hari pada bulan Syawal.
Sempurnakan dahulu qadha beberapa hari yang tertinggal, kerana kita tidak tahu apakah hayat dan kesihatan yang ada akan berterusan sehingga kita dapat menunaikannya di masa hadapan.
Bagi orang yang tidak sempat melakukan puasa sunat kerana sibuk dengan puasa wajib diharapkan Allah swt akan memberi ganjaran berdasarkan niat dan azamnya. Sebagaimana sabda Nabi saw:
(( إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا )) رواه البخاري.
Maksudnya: “Apabila seorang hamba Allah sakit atau musafir (beliau tidak dapat melakukan amalan yang biasa dilakukannya) maka dituliskan baginya pahala seperti amalan yang biasa dilakukannya sewaktu tidak bermusafir dan sewaktu sihat” [Sahih Al-Bukhari no. 2834]
Semoga kita semua diberi taufiq dan hidayah oleh Allah swt ke jalan yang di redhai-Nya serta dapat melaksanakan ibadah puasa enam hari di bulan Syawal ini dengan sempurna. Seterusnya kita dimasukkan ke dalam golongan orang yang mendapat kejayaan dunia dan akhirat. Aamin.
وصلى الله على نبينا محمد وعلى آله وصحبه وسلم تسليما إلى يوم الدين.

Isnin, September 05, 2011

Warganegara Segera Lebih Bahaya Dari Komunis


KUALA LUMPUR, 5 Sept: Memberikan hak warganegara kepada warga asing dan seterusnya mendaftarkan mereka sebagai pemilih adalah lebih bahaya dari pengganas Komunis, kata Salahudin Ayub.
"Kita nak beritahu kepada Umno BN, memberikan warganegara kepada warga asing dan mendaftarkan mereka sebagai pemilih lebih bahaya dari pengganas Komunis," kata Naib Presiden PAS itu kepada Harakahdaily.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata demikian sebagai membidas tindakan Umno BN yang menyerang Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dalam isu Mat Indera.
Mohamad pada satu ceramahnya sebelum ini mendakwa Mat Indera sebagai pejuang sebenar menentang penjajah dengan menyerang British di rumah pasung Bukit Kepong.
Umno bagaimanapun menuduh Mat Indera sebagai pengkhianat bangsa kerana bersekongkol dengan Komunis dalam serangan itu sekaligus menghentam Mohamad yang membela perjuangan Mat Indera.
Mengulas lanjut Salahudin berkata, Umno menggunakan isu tersebut semata-mata bagi menutup isu pemberian MyKad kepada pemegang kad merah yang didedahkan Pakatan Rakyat sebelum ini.
PAS dan pelbagai pihak sebelum ini mendedahkan wujudnya sendikit memberikan taraf warganegara kepada penduduk tetap dan didaftarkan sebagai pengundi dipercayai untuk Pilihan Raya Umum ke-13.
Perkara itu dikesan melalui semakan dalam Sistem Pendaftaran Negara (JPN) yang mendapati sehingga suku kedua (Mac-Jun) 2011, terdapat 1,108 kes pemegang kad pengenalan Merah diberikan MyKad khususnya di Selangor.
Turut menggemparkan negara sebelum ini, pertukaran status warganegara dalam masa singkat iaitu penduduk tetap pada sebelah pagi dan bertukar menjadi warganegara sebelah petang.
Ekoran itu, ahli parlimen Pakatan Rakyat mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memanggil sidang Khas Parlimen.
Najib bagaimanapun enggan berbuat demikian dan hanya mengumumkan akan menubuhkan Jawatankuasa Khas Parlimen bagi Pembaharuan Sistem Pilihan Raya.

Harakahdaily

Ahad, September 04, 2011

PAS ajak Umno debat isu pejuang kemerdekaan

Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 4 Sept: Memandangkan Umno begitu berminat menggunakan isu sejarah pra-kemerdekaan negara dalam serangannya, PAS hari ini mengajak Umno untuk berdebat terbuka secara ilmiah untuk menangani isu ‘Siapakah layak digelar pejuang kemerdekaan sebenarnya?’ dalam sejarah tanah air sebelum Merdeka.

Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataannya hari ini, PAS melalui Lujnah Penerangan akan menghantar surat jemputan kepada Ketua Penerangan Umno dalam masa terdekat bagi menganjurkan satu perbahasan umum ilmiah tersebut atas dasar menghormati hak rakyat untuk membuat pernimbangan dan penilaian sendiri melalui hujah-hujah dari kedua-dua pihak kepada isu kedudukan tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan yang dilupakan dalam sejarah negara.

Disebabkan serangan bertubi-tubi Umno yang kini berlangsung selama 9 hari ini, kata Tuan Ibrahim rakyat kini, terutamanya golongan muda yang celik internet terdedah dengan pelbagai maklumat mula membuka mata dan mulai bangkit mencari kebenaran dan membuat penilaian semula fakta sejarah yang dihilangkan selama ini oleh pihak pemerintah.

Fenomena terbaru untuk mencari kebenaran ini, katanya turut secara langsung menyedarkan rakyat bahawa mereka mesti bangun menuntut perubahan kepada kepimpinan negara sekarang demi satu masa depan baru yang lebih bertanggungjawab untuk kebaikan generasi akan datang.

“Selain itu, sebahagian besar waris pejuang kemerdekaan yang terkorban dalam menentang Inggeris kini sangat dukacita apabila mereka dicapkan sebagai golongan komunis, sedangkan mereka langsung tiada kena mengena dengan komunis. Waris Mat Indera yang ditemui juga sangat berdukacita dengan laporan tidak beradab media perdana yang mengaitkannya dengan komunis. Mereka yakin, hanya dengan tumbangnya kerajaan BN barulah fakta sejarah yang sebenar dapat ditegakkan.

Sehubungan itu, PAS sedia berdebat secara ilmiah terbuka dengan Umno pada bila-bila masa bagi menghurai kekusutan ini,” kata beliau, sambil menambah ia adalah satu penyelesaian konkrit kepada isu yang hangat dimainkan di media perdana kini.

PAS, katanya turut berasa simpati kepada kesan mendalam kepada waris Mat Indera dan tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan yang lain yang bangun menentang penjajah tetapi jasa mereka digugurkan dan tidak diiktiraf dalam sejarah akibat terpaksa menanggung pelbagai tuduhan liar ‘pejuang-pejuang pertahanan sejarah versi Umno’ tanpa ruang untuk menjawab.

“Di sebalik tuduhan golongan ini, adakah mereka sengaja tak mengendahkan fakta-fakta pelbagai aspek, contohnya masa kejadian berlaku, kenapa kerajaan Johor mengiktiraf perjuangan mereka dan kenapa Mat Indera diberi tauliah mengajar agama di Johor – sehinggakan menggelar sesiapa yang memberikan pandangan berlainan terhadap versi sejarah mereka sebagai pengkhianat dan penyokong komunis?” soal beliau.
Menjawab tuduhan para pemimpin Umno bahawa PAS kini menyokong komunis, Tuan Ibrahim secara sindir berkata PAS hanya mampu ketawa besar mendengar tuduhan yang dilemparkan hanya kerana PAS ingin membela tempat tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan yang dilupakan dalam sejarah tanah air.

“Tuduhan Umno ini bukan sekadar lawak terbesar, malah jenaka terbodoh abad ini kerana antara PAS dan perjuangan komunis langsung tidak ada titik persamaan.

Seperti kata Tuan Guru Presiden PAS, umum mengetahui ‘PAS adalah sebuah Parti Islam, dan kita menentang semua samada British, Jepun serta komunis. Umno pula akan menyokong mana-mana kumpulan yang berkuasa dan boleh memberi keuntungan kepada mereka’,” sindir beliau, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Tuduhan Umno terhadap PAS, katanya seolah-olah hendak menyamakan parti Islam ini dengan parti mereka yang terkenal kerana bertulang-belakangkan ‘kuasa dan hanya kuasa’ saja, di mana segala dasar boleh dijual-beli untuk tujuan mendapatkan kuasa.

Selain itu, tegas beliau tindakan Umno ini juga benar-benar menggambarkan parti tersebut ketandusan modal bagi menyerang PAS, yang saban hari dilihatnya sebagai parti yang semakin mampu memberikan tentangan terhebat kepadanya, malah menundukkannya dalam head-to-head pada PRU-13.

Jumaat, September 02, 2011

BRITISH = YAHUDI : PERJUANGAN MENENTANG BRITISH ADALAH JIHAD

 Penjajahan British ke atas bumi umat Islam di seluruh dunia adalah penjarahan tentera-tentera Dajjal ke atas mana-mana bumi yang diduduki oleh orang-orang Islam .... perancangan mereka untuk memusnahkan tamadun umat Islam dan memadam sejarah kegemilangan Islam begitu terancang dan teliti ... dalam melaksanakan agenda mereka .... mereka dibantu oleh musuh-musuh Islam lain ... dan juga dibantu oleh puak-puak mujrimin dari kalangan umat Islam sendiri ....
Lihatlah bagaimana Thailand terselamat dari sebarang penjajahan .... dan konspirasi antara Thailand dan Biritish memecahkan wilayah Melayu Islam di utara semenanjung ... akibatnya bumi Melayu terpisah... sebahagiannya dikuasai Thailand ... dan sebahagian lagi apa yang kini miliki kini .... sejarah kegemilangan kerajaan Kedah silam dipadam dan dikelirukan ...
konspirasi dajjal .... konspirasi ini akan terus berlaku .... sehinggalah puak dajjal ini dikalahkan...


SAMM puji Mad Sabu desak kaji semula sejarah Bukit Kepong
  
KUALA LUMPUR, 2 Sept: Sejarah tragedi Bukit Kepong perlu dikaji semula untuk menentukan siapakah sebenarnya hero dan siapakah sebenarnya pertualang di negara ini, kata Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Wilayah Persekutuan.

Dalam kenyataan medianya hari ini, SAMM Kuala Lumpur menegaskan bahawa sejarah kemerdekaan negara harus segera dikaji semula oleh pengkaji sejarah yang tidak berkepentingan selain daripada merekodkan sejarah sebenar, bukan oleh pengkaji sejarah upahan yang menulis berdasarkan telunjuk pihak yang menang bagi menutup sejarah di sebalik sejarah.

Penyelarasnya, Shariful Azmir Bin Haji Mustafa berkata, tindakan Timbalan Presiden PAS Mohd Sabu mengulas mengenai peristiwa Bukit Kepong dan watak sebenar Mat Indera dalam ceramahnya harus dipuji.

"Ini kerana ia membangkitkan ghairah rakyat terutamanya dari golongan anak muda untuk mengetahui sejauh manakah British itu dianggap sebagai penjajah dan apakah dengan menyerang British itu akan dianggap sebagai pengkhianat di Tanah Melayu," kata beliau dalam kenyataannya itu.

Isu serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong pada tahun 1950an telah dikenang sebagai serangan kumpulan pengganas ke atas sekumpulan anggota polis yang bertahan di rumah pasong.

Persepsi ini telah ditulis oleh pengkaji sejarah mengikut acuan pihak tertentu bagi menyembunyikan hakikat sebenar – pihak yang menentukan apakah kriteria pejuang kemerdekaan.

Ia menjadi satu kepercayaan ramai apabila Jins Samsudin membuat filem Bukit Kepong berdasarkan persepsi betapa pihak yang menyerang rumah pasong Bukit Kepong itu adalah pengganas sedangkan gerakan yang diketuai oleh Mat Indera juga sebenarnya harus dikenang sebagai salah satu serangan ke atas kubu British yang menjajah Tanah Melayu untuk beberapa abad lamanya.

Bagi beliau, pihak polis di rumah pasong Bukit Kepong itu juga bertugas bagi mempertahankan kepentingan British seperti estet getah dan ladang.

"Adakah pasukan polis ketika zaman jajahan British menunjukkan taat setia mereka terhadap Queen of England apabila lagu "God Save the Queen" didendangkan setiap kali lawatan pegawai tertinggi British ? Ini juga persoalan yang harus digali semula untuk rakyat mengetahui sejarah penentangan penjajah yang sebenar," katanya.

Bagi beliau, peristiwa ini berkait rapat dengan proses menuntut kemerdekaan apabila semua kumpulan, kesatuan dan pertubuhan yang bergerak menuntut kemerdekaan telah diharamkan kecuali Umno.
Kumpulan penuntut kemerdekaan ini akhirnya dituduh sebagai pengkhianat dan pengganas hanya kerana menentang British yang statusnya masih lagi penjajah di Tanah Melayu ketika itu.

"Turut menjadi persoalan ialah, mengapa Umno sahaja yang dibenarkan berkempen untuk merdeka sedangkan banyak lagi pergerakan menuntut kemerdekaan.

"Adakah Umno membenarkan pertubuhan mereka menjadi talibarut British demi untuk merdeka di atas acuan penjajah?" soal beliau.

Oleh yang demikian, SAMM Wilayah Persekutuan di atas rasa tanggungjawab ke atas sejarah negara yang dikhuatiri terperosok, harus digemburkan semula untuk tatapan rakyat.

"Sejarah peradaban negara juga seharusnya disifatkan dengan lebih keterbukaan kerana ia membentuk asal usul kita rakyat Malaysia," katanya.

Rakyat juga harus lebih terbuka dan berjiwa besar untuk menerima hakikat sebenar sejarah negara, lebih-lebih lagi apabila ianya melibatkan proses menuntut kemerdekaan.

"Bagi kami anak muda inilah satu peluang sangat baik sempena pasca hari kemerdekaan ke-54, untuk rakyat mengasak pihak berwajib bagi menampilkan sejarah sebenar kemerdekaan negara. SAMM akan ke hadapan bagi merealisasikan apa itu sejarah," tegas beliau.