SAHABAT :

Khamis, Ogos 25, 2011

"Takbir lebih baik daripada Hidup Melayu"


KUALA LUMPUR, 25 Ogos: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata laungan ‘takbir’ adalah lebih baik daripada laungan ‘hidup Melayu’ kerana laungan tersebut sekurang-kurangnya mengingatkan umat Islam kepada Allah SWT.

“Soal takbir ini, cuma saya ingat takbir ini lebih baik daripada hidup Melayu lah.

"Daripada kita duduk dalam ceramah hidup Melayu, hidup Melayu, apa pun tak dapat,” kata Tuan Ibrahim dalam wacana 'Ulama Politik Untuk Dakwah Atau Parti' semalam yang disambut dengan sorakan daripada para hadirin.

Beliau berkata demikian sebagai mengusik Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang berkata laungan takbir itu boleh mengganggu orang yang sedang berucap atau berzikir, dan berkata akhir-akhir ini laungan takbir semakin menjadi-jadi semasa orang berucap dan bersyarah.

Laungan takbir itu sememangnya satu ungkapan lazim yang kedengaran dalam majlis-majlis dan ceramah yang dihadiri pemimpin PAS.

“Jadi kita takbir ini sekurang-kurangnya kita ingat pada Allah, kita bersama dengan Allah, kita tak lalai… Cuma apa Tan Sri kata terganggu ceramahnya, mungkin dia jarang dengar, kalau orang biasa dengar ok,” gurau Tuan Ibrahim lagi yang diiringi dengan ketawa daripada para hadirin.

Selain itu, Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang turut melahirkan rasa kasihan kepada cerita pengalaman Harussani yang mana beliau ditolak untuk berjumpa dengan perdana menteri.

“Mufti pun kena tolak, kiralah tuan-tuan… lu pikirlah sendiri,” kata beliau yang mengundang ketawa besar kira-kira 500 peserta yang hadir dalam majlis kira-kira dua jam itu.

Dalam forum itu, Harussani berkata, beliau pernah ditolak dari berjumpa dengan Tun Dr Mahathir semasa beliau menjadi perdana menteri untuk menyampaikan pandangan agar Datuk Anwar tidak dipecat dan jangan dakwa Anwar kalau tidak ada bukti.

Menjawab soalan pengerusi majlis, bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin bahawa ada anggapan dalam PAS bahawa ulama dalam Umno ini macam ‘terompah kayu’, Tuan Ibrahim berkata ini kerana ulama tidak diiktiraf oleh mana-mana parti atau pentadbiran negara.

“Saya lihat begini, yang pertama sekali, kita ulama ini ada tanggungjawab, kita ada amanah. Pertama, pengiktirafan… kalau kita duduk dalam satu parti yang tak ada pengiktirafan kepada ulama – nasihat kita tak didengar, pandangan kita tidak dipeduli, komentar kita diletak ke tepi, hata dalam isu hukum-hukum yang diberipun seolah-olah tidak mendapat pengiktirafan akhirnya kita, ulama yang duduk dalam politik, bukan menompang untuk mengambil atau sekadar untuk sahkan apa yang pemimpin kita buat.

"Bila pemimpin kita buat sesuatu, rujuk pada ulama hanya untuk mengesah. Tapi ulama memandu pemimpin supaya pemimpin ia buat sesuatu yang betul dengan pandangan syarak, bukan dia buat dan pandangan kita untuk cari nas untuk mengesahkan apa yang dia buat. Itu berbeza,” kata beliau disambut laungan takbir daripada hadirin.

Sambung Tuan Ibrahim,"Ulama sifatnya memandu sebab kita menganggap pandangan-pandangan lain bahawa ulama mendahului dalam pandangan… sebab itu bila kita guna istilah terompah kayu, istilah rice cooker, macam-macam lah istilah politik.

"Istilah ini menggambarkan kepada kita, orang perlu pada kita orang pakai, bila tak perlu letak ke tepi,” terang beliau.

Menurut Tuan Ibrahim, bukan setakat pandangan mufti diletakkan ke tepi, sehinggakan kini keputusan majlis fatwa pun ditolak.

“Pemimpin ini mesti dipandu sebab kalau pemimpin baik, rakyat akan jadi baik. Jikalau pemimpin punah, rakyat akan jadi punah. Soalnya siapa nak baiki pemimpin? Yang nak memandu pemimpin ini ulama… sebab itu ulama politik mesti memandu politik itu supaya tidak bercanggah dengan syarak.

"Soalnya sejauh mana kita boleh memandu, sekiranya pengiktirafan tak ada?” soal beliau.

Dalam PAS, kata beliau sebelum parti membuat keputusan ia perlu melalui Majlis Syura yang dipimpin oleh para ulama.

“Dalam erti kata lain, kalau parti nak buat sesuatu keputusan, dasar mesti diputuskan oleh Majlis Syura yang dipimpin oleh para ulama. Dalam PAS, kita pernah buat keputusan yang dalam politik kita rugi.

"Dalam konteks politik kita rugi, tapi oleh kerana syarak mahupun begitu, maka kita kena ambil itu. Sebagai contoh, kita mengambil Kelantan, kita tutup pusat-pusat perjudian, disco dan bar – yang confirmnya kaki disco tak undi kita, kaki judi tak undi kita (hadirin gelak), kaki kelab malam tak undi kita, dalam konteks politik kita rugi tapi apakah kita nak tanggung dosa yang bercanggah dengan syarak?” tanya beliau.

Bagi Tuan Ibrahim, ulama di mana-manapun, yang paling penting ia mendapat pengiktirafan.

“Tolong iktiraf pandangan ulama, tolong hargai. Ulama bukan ada kepentingan, hatta dalam PAS, ulama masuk PAS bukan kerana nak bertanding politik. Bertanding beberapa kerusi saja?

"Tapi pengiktirafan. Kita harapkan sebagai contoh, Tan Sri (Harussani) pernah mengeluarkan pandangan, fatwa supaya penghormatan kepada tugu tak dibuat… (tapi) di Melaka dibina tugu 1Malaysia, berapa ribu duit rakyat dihabiskan?

"Demikian juga, banyak fatwa-fatwa yang kadang-kadang kita buat keputusan tapi macam tidak dinilai, macam tidak ada penghargaan, jadi bila pandangan fatwa itu tidak dihargai… fatwa pun tidak dihargai, apa lagi ulama?” sindir beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan