SAHABAT :

Ahad, Ogos 28, 2011

BANKRAP IDEA : GAMBAR TOK GURU DIKHIANATI


Khianat: Wajah Nik Aziz diconteng salib
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 28 Ogos: Sekurang-kurangnya tiga kain rentang PAS yang digantung sebagai mengalukan kehadiran bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidil Fitri di sekitar Shah Alam diconteng pihak tidak bertanggungjawab.

Malah lebih teruk dari itu, beberapa wajah pemimpin PAS pada kain rentang itu diconteng dengan tanda salib.

Kejadian tersebut dikesan sejak semalam di sekitar kawasan Seksyen 23, Shah Alam.

Antara yang menjadi mangsa perbuatan khianat tersebut adalah wajah Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Khalid Abdul Samad yang diconteng dengan dakwat merah.

Menurut seorang penduduk yang memaklumkan kejadian itu kepada Harakahdaily, beliau berkata perbuatan khianat dan tak berakhlak tersebut dipercayai dilakukan semasa waktu berbuka puasa dan waktu ramai orang berada di masjid dan surau utk qiamullail.

"Sebelum kejadian ini sudah 4 kali kain-kain rentang sambut Ramadan yang jumlahnya 12 bidang kesemuanya telah dipotong pada waktu yg sama,' katanya yang tidak mahu namanya disiarkan.

Kejadian itu dipercayai ada kaitan dengan tindakan pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) terhadap Gereja Methodist Damansara Utama awal Ogos lalu yang kini hangat diperdebatkan semua pihak.

Berhubung isu itu, PAS menyatakan pendirian mereka agar Jais membuat pendakwaan jika mempunyai bukti wujud usaha mengkristiankan orang Islam.

Sementara itu, Khalid ketika dihubungi Harakahdaily melahirkan rasa kesal dengan tindakan "puak-puak jahat" tersebut.

"Ini kerja orang yang tidak ada akhlak. Saya tidak mahu kata Umno yang buat tetapi rakyat tahu siapa yang buat ini dan dapat menilai sendiri," katanya.

Menurutnya lagi, PAS tidak pernah membuat perkara serupa kepada mana-mana pihak walaupun tidak berpuas hati terhadap satu-satu isu.

"Conteng salib itu seperti tuduh orang jadi Kristian lah. Ini bukan benda ringan, tetapi dah mereka jahil nak buat macam mana," katanya yang juga Ahli Parlimen Shah Alam.

Ditanya sama ada beliau akan membuat laporan polis, beliau bagaimanapun tidak akan berbuat demikian dan hanya berdoa kepada Allah agar pihak yang bertanggungjawab diberikan hidayah.

TIAP-TIAP TAHUN HARGA BARANG NAIK


Kempen "Protes BN" diperhebat sempena raya
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 28 Ogos: Kelab Protes Harga Barang Naik (Protes BN) yang dilancar baru-baru ini memperhebatkan aktiviti kempen mereka kepada masyarakat menjelang Aidil Fitri ini.

Jumaat lalu, kumpulan yang dipimpin oleh Timbalan Pengerusi Lajnah Pengguna PAS Pusat, YB Taufik yang juga Adun Paroi telah bergerak ke Hentian Pudu bagi menyampaikan"goodies bag" kempen kepada semua pengguna yang sedang berpusu-pusu untuk pulang ke kampung berhari raya.

Program tersebut turut mendapat kerjasama daripada pimpinan dan aktivis Dewan Muslimat PAS Pusat.

Antara kandungan “goddies bag” itu ialah tiga Risalah Protes ‘BN’ yang baru-baru ini dilancarkan oleh Timbalan Presiden PAS, Hj Mohamad Sabu di Kampung Baru, biskut raya, kad hari raya PAS Pusat dan DMPP berserta pelekat kereta “Terima Kasih BN, Harga Barang Naik, Hadiah Aidil Fitri Untuk Rakyat”.

Kumpulan yang disertai lebih 15 orang aktivis dan pimpinan Kelab yang tampil secara santai ini disambut baik oleh para pengguna. Hanya dalam tempoh tidak sampai setengah jam bahan yang disediakan lebih lima ratus set habis diedarkan di situ.

Kumpulan ini kemudiannya bergerak ke Jalan Masjid India setelah mendapat bantahan pihak pengurusan Hentian Pudu.

Di Jalan Masjid India pula lebih 2000 set bahan penerangan Protes ‘BN’ dan kad ucapan yang sama turut berjaya disampaikan kepada para pengunjung dalam tempoh lebih kurang sejam dan bersurai setelah hampir masuk waktu solat Juma’at.

Kempen di Jalan Masjid India telah diketuai oleh YB. Hjh Siti Zailah Mohd. Yusof, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) bersama YB. Dr Siti Mariah Mahmud, Timbalan Ketua DMPP. Turut kelihatan ialah Ketua Penerangan DMPP, Saudari Aiman Athirah Al Jundi ; Che Azlina dan Hajjah Aida Yusof Rawa yang masing-masing ialah Setiausaha dan Bendahari DMPP.

Aktiviti kempen disambung kemudiannya pada sebelah petang lebih kurang jam 5.30 pm di lokasi hadapan Ibu Pejabat PAS Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Di situ lebih 1000 set bahan penerangan berjaya disampaikan kepada para pengguna yang melalui lokasi tersebut.

Jurucakap Kelab Protes ‘BN’, saudari Aiman Athirah Al Jundi yang ditemui merumuskan bahawa program kempen pada hari tersebut telah berjaya mencapai objektifnya.

"Kelab Protes ‘BN’ sangat komited untuk meningkatkan lagi segala usaha memberi kesedaran kepada rakyat akan pembaziran dan ketidakbijakan pentadbiran Najib yang akhirnya meletakkan hidup rakyat dalam kedudukan yang cukup terbeban.

"Sedangkan pada masa yang sama, elit kuasa BN bermewah dengan hasil mahsul kekayaan negara. Kami bersama dokongan padu kepimpinan Dewan Muslimat akan turun ke setiap pintu rumah bagi menggerakkan kesedaran para suri rumah bahawa kesukaran yang sedang kita lalui kini, insyaAllah ada jalan keluarnya," katanya.

Khamis, Ogos 25, 2011

"Takbir lebih baik daripada Hidup Melayu"


KUALA LUMPUR, 25 Ogos: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata laungan ‘takbir’ adalah lebih baik daripada laungan ‘hidup Melayu’ kerana laungan tersebut sekurang-kurangnya mengingatkan umat Islam kepada Allah SWT.

“Soal takbir ini, cuma saya ingat takbir ini lebih baik daripada hidup Melayu lah.

"Daripada kita duduk dalam ceramah hidup Melayu, hidup Melayu, apa pun tak dapat,” kata Tuan Ibrahim dalam wacana 'Ulama Politik Untuk Dakwah Atau Parti' semalam yang disambut dengan sorakan daripada para hadirin.

Beliau berkata demikian sebagai mengusik Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang berkata laungan takbir itu boleh mengganggu orang yang sedang berucap atau berzikir, dan berkata akhir-akhir ini laungan takbir semakin menjadi-jadi semasa orang berucap dan bersyarah.

Laungan takbir itu sememangnya satu ungkapan lazim yang kedengaran dalam majlis-majlis dan ceramah yang dihadiri pemimpin PAS.

“Jadi kita takbir ini sekurang-kurangnya kita ingat pada Allah, kita bersama dengan Allah, kita tak lalai… Cuma apa Tan Sri kata terganggu ceramahnya, mungkin dia jarang dengar, kalau orang biasa dengar ok,” gurau Tuan Ibrahim lagi yang diiringi dengan ketawa daripada para hadirin.

Selain itu, Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang turut melahirkan rasa kasihan kepada cerita pengalaman Harussani yang mana beliau ditolak untuk berjumpa dengan perdana menteri.

“Mufti pun kena tolak, kiralah tuan-tuan… lu pikirlah sendiri,” kata beliau yang mengundang ketawa besar kira-kira 500 peserta yang hadir dalam majlis kira-kira dua jam itu.

Dalam forum itu, Harussani berkata, beliau pernah ditolak dari berjumpa dengan Tun Dr Mahathir semasa beliau menjadi perdana menteri untuk menyampaikan pandangan agar Datuk Anwar tidak dipecat dan jangan dakwa Anwar kalau tidak ada bukti.

Menjawab soalan pengerusi majlis, bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin bahawa ada anggapan dalam PAS bahawa ulama dalam Umno ini macam ‘terompah kayu’, Tuan Ibrahim berkata ini kerana ulama tidak diiktiraf oleh mana-mana parti atau pentadbiran negara.

“Saya lihat begini, yang pertama sekali, kita ulama ini ada tanggungjawab, kita ada amanah. Pertama, pengiktirafan… kalau kita duduk dalam satu parti yang tak ada pengiktirafan kepada ulama – nasihat kita tak didengar, pandangan kita tidak dipeduli, komentar kita diletak ke tepi, hata dalam isu hukum-hukum yang diberipun seolah-olah tidak mendapat pengiktirafan akhirnya kita, ulama yang duduk dalam politik, bukan menompang untuk mengambil atau sekadar untuk sahkan apa yang pemimpin kita buat.

"Bila pemimpin kita buat sesuatu, rujuk pada ulama hanya untuk mengesah. Tapi ulama memandu pemimpin supaya pemimpin ia buat sesuatu yang betul dengan pandangan syarak, bukan dia buat dan pandangan kita untuk cari nas untuk mengesahkan apa yang dia buat. Itu berbeza,” kata beliau disambut laungan takbir daripada hadirin.

Sambung Tuan Ibrahim,"Ulama sifatnya memandu sebab kita menganggap pandangan-pandangan lain bahawa ulama mendahului dalam pandangan… sebab itu bila kita guna istilah terompah kayu, istilah rice cooker, macam-macam lah istilah politik.

"Istilah ini menggambarkan kepada kita, orang perlu pada kita orang pakai, bila tak perlu letak ke tepi,” terang beliau.

Menurut Tuan Ibrahim, bukan setakat pandangan mufti diletakkan ke tepi, sehinggakan kini keputusan majlis fatwa pun ditolak.

“Pemimpin ini mesti dipandu sebab kalau pemimpin baik, rakyat akan jadi baik. Jikalau pemimpin punah, rakyat akan jadi punah. Soalnya siapa nak baiki pemimpin? Yang nak memandu pemimpin ini ulama… sebab itu ulama politik mesti memandu politik itu supaya tidak bercanggah dengan syarak.

"Soalnya sejauh mana kita boleh memandu, sekiranya pengiktirafan tak ada?” soal beliau.

Dalam PAS, kata beliau sebelum parti membuat keputusan ia perlu melalui Majlis Syura yang dipimpin oleh para ulama.

“Dalam erti kata lain, kalau parti nak buat sesuatu keputusan, dasar mesti diputuskan oleh Majlis Syura yang dipimpin oleh para ulama. Dalam PAS, kita pernah buat keputusan yang dalam politik kita rugi.

"Dalam konteks politik kita rugi, tapi oleh kerana syarak mahupun begitu, maka kita kena ambil itu. Sebagai contoh, kita mengambil Kelantan, kita tutup pusat-pusat perjudian, disco dan bar – yang confirmnya kaki disco tak undi kita, kaki judi tak undi kita (hadirin gelak), kaki kelab malam tak undi kita, dalam konteks politik kita rugi tapi apakah kita nak tanggung dosa yang bercanggah dengan syarak?” tanya beliau.

Bagi Tuan Ibrahim, ulama di mana-manapun, yang paling penting ia mendapat pengiktirafan.

“Tolong iktiraf pandangan ulama, tolong hargai. Ulama bukan ada kepentingan, hatta dalam PAS, ulama masuk PAS bukan kerana nak bertanding politik. Bertanding beberapa kerusi saja?

"Tapi pengiktirafan. Kita harapkan sebagai contoh, Tan Sri (Harussani) pernah mengeluarkan pandangan, fatwa supaya penghormatan kepada tugu tak dibuat… (tapi) di Melaka dibina tugu 1Malaysia, berapa ribu duit rakyat dihabiskan?

"Demikian juga, banyak fatwa-fatwa yang kadang-kadang kita buat keputusan tapi macam tidak dinilai, macam tidak ada penghargaan, jadi bila pandangan fatwa itu tidak dihargai… fatwa pun tidak dihargai, apa lagi ulama?” sindir beliau.

Sabtu, Ogos 20, 2011

PERJUANGAN MENEGAK KEBENARAN DAN KEADILAN MEMANG PENUH RANJAU

Pejuang Islam sudah biasa dengan kekalahan sebagai ujian Allah ... walau berjuang di lapangan yang tidak rata ... kadang-kadang kemenangan berpihak kepada mereka ... tugas mereka adalah terus berjuang, akhirat nanti Allah akan bertanya ... adakah kamu berjuang menegakkan kebenaran?? Allah tidak akan bertanya ... kamu kalah atau menang dalam perjuangan??
Teruskan perjuangan wahai pendukung gerakan Islam .... mengadu kepada ALLAH di atas segala kesulitan ... sampai masanya "si penzalim" akan jatuh jua ... cuma masa dan ketikanya ditangguh ALLAH hingga ketika yang sesuai ... jatuhnya mereka seperti jatuhnya Mubarak... Ben Ali .... yang tidak akan bangun lagi ...

Harap p'raya bersih macam minta sisik ikan keli
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 20 Ogos: “Nampaknya mengharapkan kerajaan BN melaksanakan pilihan raya secara bersih seperti meminta sisik daripada ikan keli,” ujar AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar).

Justeru, katanya, seperti yang dijangka memang penubuhan Jawatankuasa Terpilih Parlimen hanyalah gimik untuk menutup lubang kelemahan daftar pemilih yang dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan jawatankuasa itu sebagai reaksi Pakatan Rakyat meminta beliau mengadakan sidang khas untuk membincang kepincangan dalam daftar pemilih.

“Tindakan Datuk Seri Najib seperti kita minta teh tetapi yang diberi ialah kopi,” kata Idris dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya, jika Najib jujur supaya perjalanan pilihan raya bersih dan telus, maka beliau akan menggunakan kuasa yang ada kepadanya untuk menangguhkan pilihan raya sehingga dipastikan daftar pemilih dapat dibersihkan.

“Sebaliknya, beliau menyatakan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 boleh diadakan pada bila-bila masa dan ia tidak terikat dengan sebarang keputusan daripada Jawatankuasa Terpilih Parlimen yang bakal ditubuhkan kerajaan,” ujarnya lagi.

Ketika bercakap kepada media selepas mempengerusi Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno semalam, Najib berkata PRU 13 boleh diadakan pada bila-bila masa dan ia tidak terikat dengan sebarang keputusan daripada Jawatankuasa Terpilih Parlimen yang bakal ditubuhkan kerajaan.

Perdana Menteri berkata, tarikh sebenar bila pilihan raya umum hendak diadakan tiada sebarang kaitan dengan jawatankuasa tersebut, walaupun ia ditubuhkan bagi tujuan menambah baik sistem pilihan raya agar tidak timbul syak wasangka.

Khamis, Ogos 18, 2011

PENGIKTIRAFAN ANTARABANGSA KEPADA ZUNAR


KUALA LUMPUR, 18 Ogos: Kartunis Zunar telah diberi penghargaan dengan dipilih sebagai salah seorang Artists-in-Residence 2011 dalam program “Art and Censorship” (Seni dan Penapisan) anjuran BilbaoArte/Fundacion BBK, iaitu sebuah yayasan kesenian di Bilbao, Sepanyol.

Menurutnya, BilbaoArte menganjurkan program tiga bulan bagi membantu artis-artis memperjuangkan dan mempertahankan hak berkarya mereka yang menghadapi penapiasan/tekanan pihak berkuasa.

Katanya, seramai 20 artis dari seluruh dunia yang merupakan pelukis, pengukir dan pencipta hasil seni yang lain dipilih untuk menyertai program ini bagi tahun ini.

“BilbaoArte BilbaoArte menyediakan geran khas kepada artis untuk mengusahakan projek khas dalam tempoh itu, dan saya memilih politik Malaysia sebagai subjek.

“Dengan menyertai program ini saya akan berada di Sepanyol dari awal Oktober hingga akhir Disember tahun ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Di samping itu, beliau juga akan mengambil bahagian dalam VI Festival Against Censorship (Festival Melawan Penapisan ke V1) yang akan diadakan dari 7 hingga 15 November juga di Bilbao.

Festival itu, ujarnya menampilkan karya-karya seni penyanyi, pemuzik, penulis, pelukis, pengarah filem dari seluruh dunia yang ditapis/diharamkan.

Beliau akan mempamerkan 70 karya-karya kartun editorial yang pernah dihasilkan.

“Saya juga merasa bangga kerana diberi penghormatan untuk mencipta dan mereka bentuk poster untuk festival tersebut bagi tahun ini,” katanya yang mempunyai nama sebenar Zulkiflee Anawar Ulhaque.

Menurutnya lagi, pemilihan sebagai Artists-in-Residence oleh BilbaoArte-Producciones Serrano ini bukan sahaja merupakan satu pengiktirafan kepada karya-karya kartunnya, malah merupakan satu kejayaan bagi aktivis-aktivis yang berjuang menentang penapisan dan kekangan hak bersuara di Malaysia.

“Pengktirafan ini memberi kekuatan baru untuk saya menghasilkan karya-karya yang lebih tajam dan berkesan dalam usaha menentang korupsi, pembaziran wang rakyat, salah guna kuasa dan kezaliman yang diamalkan oleh pemerintah di Malaysia,” katanya lagi.

Beliau menambah, ia juga merupakan satu isyarat kepada kerajaan Malaysia menghentikan segala bentuk ancaman, ugutan dan tindakan jenayah terhadap beliau dan artis-artis lain di Malaysia, kerana masyarakat seni di seluruh dunia sedang memerhatikan segala tindak tanduk mereka.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada peminat, penyokong, pembaca, teman-teman dan semua pihak sentiasa memberi sokongan sehingga membolehkan saya mencapai ke tahap ini.

Harakahdaily

Sabtu, Ogos 13, 2011

ANAK CUCU KITA TERPAKSA BERSAING DENGAN KETURUNAN PATI

Generasi kedua PATI ini akan menguasai negara kita .... anak-anak kita terpaksa bersaing dengan anak-anak PATI ini untuk mendapat pekerjaan .... berkongsi keistimewaan dan hak ke atas segala kemudahan dan kekayaan negara kita .... sanggupkah kita ????

Jangan biar warga asing tentukan keputusan pilihanraya
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 12 Ogos: Setiausaha Persatuan Anak Terengganu di Perantauan (Perantau), Suhaimi Embong terkejut dengan pendedahan Jabatan Pilihanraya PAS Terengganu berjaya mengesan 5,006 bangsa asing kebanyakannya berketurunan Myanmar sebagai pengundi di beberapa kawasan utama negeri itu dalam sebuah akhbar harian semalam.

Beliau mengulas kenyataan Mohd Abdul Wahid Endut, Pesuruhjaya PAS Terengganu yang mendakwa jumlah pengundi asing yang begitu ramai dimasukkan ke dalam satu-satu Dun dipercayai bagi memenangkan Umno dan Barisan Nasional.

Abdul Wahid menyebut, daripada 5,006 pengundi terbabit yang berjaya dikesan pihaknya, 1,239 terdapat di Dun Kijal dan 529 di Air Putih khususnya di Cheneh Baru serta beberapa kawasan lain.

“Kami Perantau berharap Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan menyemak segera perkara ini dan tidak membiarkan keturunan asing menentukan keputusan sesuatu pilihan raya di negeri kita ini.

"Cukuplah peristiwa pilihan raya 2004 lalu yang mana keputusannya dipertikaikan oleh rakyat menyebabkan kewibawaan SPR tercalar teruk. (Sudah tentu) mereka (SPR) boleh betulkan semula dalam sistem (daftar pemilih) kerana mereka yang berkuasa ke atas Semak Daftar Pemilih SPR tersebut,” katanya.

Sebelum ini, Pakatan Rakyat telah mendedahkan pelbagai bukti kepincangan dalam daftar pemilih SPR, termasuk kewujudan pengundi yang berumur lebih 100 tahun.

SPR juga mencipta sejarah apabila mendaftarkan sebuah kampung yang diberi nama ‘Kg Baru’ sebagai pengundi, yang tidak ada dalam data Jabatan Pendaftaran Negara, sebelum membetulkan rekod itu beberapa jam kemudian.

Terbaru, beberapa pengundi dikesan memiliki dua nombor kad pengenalan yang berlainan dan mempunyai kelayakan mengundi di dua tempat berbeza sepertimana dalam daftar pemilih SPR.

Menurut Suhaimi, rakyat Terengganu hanya perlukan satu pilihan raya yang bersih dan adil.

"Rakyat Terengganu telah matang dan mereka bijak menilai apa yang diperlukan demi masa depan negeri Terengganu yang dicintai," katanya.

Khamis, Ogos 11, 2011

BALDATUN TAYYIBATUN

Baldatun Tayyibatun .... Negara Berkebajikan berdasarkan prinsip Islam .... pemimpinnya menjadi contoh dalam mentaati Allah ...

Negara Berkebajikan: Jahil fekah politik jadi punca
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 11 Ogos: Orang yang jahil terhadap feqah politik Islam terus menyatakan bahawa Negara Berkebajikan yang ingin dibawa oleh PAS adalah sama dengan pentadbiran kerajaan Malaysia yang ada pada waktu ini.

Malah, kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, ada yang menyatakan bahawa Negara Berkebajikan adalah sama dengan istilah welfare state yang diamalkan di negara Britain dan Sweden atau liberal welfare state yang diamalkan di Amerika Syarikat.

Justeru, katanya buku kecil Konsep Asas Negara Berkebajikan perlu lahir untuk memberikan penjelasan bahawa Negara Berkebajikan yang ingin dibangunkan oleh PAS adalah tidak sama dengan negara kebajikan (welfare state) yang difahami oleh kalangan pengamal sains sosial dan sains politik pada waktu ini.

“Apa yang ingin ditekankan dalam buku ini ialah bahawa pemahaman terhadap konsep Negara Berkebajikan perlu bermula dengan memahami makna, dasar, konsep dan cara pelaksanaannya melalui sumber asasi ajaran Islam iaitu al-Quran dan as-Sunnah yang menjadi panduan kepada seluruh agenda PAS mengikut perlembagaannya [Fasal 5(1) dan Fasal 7(1)] dan bukan hanya slogan politik pilihan raya semata-mata,” jelasnya dalam buku tersebut.

Hakikatnya, kata beliau bahawa Negara Berkebajikan adalah berbeza dengan Negara Kebajikan (welfare state) kerana banyak perbezaan dari segi dasar, objektif dan wawasannya walaupun terdapat sedikit persamaan tertentu dari aspek fizikal yang ingin dibangunkannya tetapi berbeza dari segi semangat rohnya.

Jelasnya, aspek fizikal mungkin ada kesamaan atau selari tetapi tamadun Barat meninggalkan aspek rohani atau pembangunan jiwa.

“Inilah yang difahami oleh umat Islam bahawa tugas manusia adalah untuk melaksanakan ibadah, amanah dan menegakkan agama dan seterusnya mentadbir urusan dunia menggunakan panduan agama dalam erti katanya yang sebenar dan universal,” ujarnya yang juga ahli Parlimen Marang.

Menurutnya, Islam mengajar orang yang beriman bukan sahaja menerima yang terbaik daripada al-Quran dan as-Sunnah tetapi juga menerima pandangan manusia terbaik dan kebijaksanaannya walau dari mana sekalipun.

Ini, ujarnya dihuraikan oleh Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Kebijaksanaan itu laksana barang berharga yang jatuh tercicir kepunyaan seseorang yang beriman di mana sahaja sahaja dia menemuinya, maka dialah yang berhak memungutnya.

Beliau menambah, penjelasan yang ringkas melalui buku Konsep Asas Negara Berkebajikan tentunya tidak mencukupi, maka berkewajipanlah kalangan ilmuan Islam memanjangkannya dengan kajian yang lebih mendalam dan menyeluruh.

Justeru, tambahnya perbincangan dan seminar sama ada secara kecilan atau lebih besar wajar dijadikan suatu medium untuk mencambahkan lagi penbendaharaan ilmu dan maklumat mengenai Negara Berkebajikan yang menjadi kepunyaan kita semua.

Isnin, Ogos 08, 2011

Daftar Pemilih SPR vs Jais

Jangan bingung dengan kedua-dua isu ini .... mana satu yang penting?? Kedua-duanya penting .... isu ancaman dakyah agama lain ke atas penganut Islam sudah lama berlaku sebenarnya .... dan memang menjadi lumrah .... kerana Islam adalah satu-satunya agama yang benar di sisi Allah ... maka seluruh agama dan kepercayaan ciptaan manusia yang ada di dunia ini akan menjadikan Islam musuh mereka .... jika anda berkuasa ... tanganilah isu ini mengikut undang-undang ....

Isu membersihkan daftar pemilih pula adalah isu yang sangat penting untuk pilihanraya yang bersih dan adil kepada rakyat Malaysia, ini isu yang besar kerana tujuan pilihanraya adalah untuk memilih pemimpin .... ibarat memilih imam solat ....

Perhatikan sikap media utama .... ada isu ditonjolkan ... ada isu dipendamkan ... bagi mereka , isu hanya untuk membentuk persepsi massa ... ditonjol untuk mengolah persetujuan .... bukan untuk dicari penyelesaian ....


Isu Jais tenggelamkan warga asing daftar pemilih
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 8 Ogos: Isu penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dengan Gereja Methodist Damansara Utama telah menenggelamkan isu yang cukup merbahaya kepada negara iaitu isu MyKad dan pendaftaran warga asing di dalam daftar pemilih SPR.

“Setakat hari ini jawapan yang diberikan oleh SPR diketawakan oleh orang pekak dan buta. Manakala media perdana BN cuba menimbus isu pendaftaran ini,” kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Katanya, PAS telah membuat keputusan untuk bertemu secara langsung dengan pihak Jais dan juga gereja Methodist untuk mendapat gambaran sebenar.

“Negara kita ada undang-undang, siapa yang bersalah akan dihukum. Media bukan gelanggang untuk menyelesaikan perkara ini,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Katanya, Pemimpin umno dan NGO umno macam dilanda histeria mengenai isu itu, kononnya merekalah pembela agama.

Tegasnya, PAS istiqamah menentang isu murtad di negara ini.

Soalnya, di mana suara Umno dan Utusan ketika isu Noraishah Bukhari, Hartina Kamarudin dan lain lagi yang keluar agama Islam.

Tambahnya, sejarah telah mencatatkan berlaku penangkapan ISA terhadap pemimpin pemuda PASdalam operasi Lallang 1987 kerana isu kristianisasi.

“Tahniahlah kepada pemimpin Umno dan media Umno kerana baru sedar bahayanya murtad.

“Kita harapkan janganlah kerana politik semata-mata. Samalah ketika isu penggunaan nama Allah oleh bukan Islam, Umno menjadi juara,” ujarnya.

Tetapi, katanya dalam masa yang sama menentang hukum Allah dan menyekat ajaran Allah diajar di dalam surau dan masjid.

“Pelik juga Umno, nama Allah dipertahan, hukum Allah dia lawan,” ujarnya lagi.

Tanya beliau lagi, kenapa Umno diam membisu apabila ahli MCA hendak saman kerajaan Kelantan kerana isu pengharaman judi.

“Sepatutnya kalau Umno pejuang Islam kena nasihatlah rakan sejawat mereka. Sudah 54 tahun berkawan pun Umno tidak boleh dakwah, bahawa judi itu bahaya pada masyarakat,” katanya.

Jumaat, Ogos 05, 2011

ISU LAIN AKAN DICIPTA UNTUK TENGGELAMKAN ISU INI

Isu ini benar-benar mengancam keselamatan negara .... tapi adakah ia mendapat tempat di media utama negara?? Sebaliknya isu lain yang ditimbulkan .... "warga asing eksploitasi OKU menjual tisu" ..... "berbuka puasa di gereja" ....

Kenapa IC merah bertukar biru kurang 24 jam
Hazayani Zakaria

SHAH ALAM, 5 Ogos: PAS Selangor akan membuat laporan polis petang ini berhubung dakwaan Penduduk Tetap (PR) yang memegang kad pengenalan merah didaftarkan sebagai pengundi.

Sepanjang tempoh bantahan Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi suku ke-2 tahun 2011 yang tamat pada 2 Julai lalu, PAS Selangor mengesan seramai 1,108 PR berdaftar sebagai pengundi.

Jumlah ini daripada 1,860 nama yang dibantah atas pelbagai sebab.

Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berbohong kononnya nama-nama tersebut tidak dikemaskini oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"SPR kata guna Agency Link Up System (Alis) dengan JPN tapi kalau dalam JPN tak ada nama-nama ini sebagai pemegang kad pengenalan biru, bagaimana mereka boleh didaftar sebagai pengundi?" soalnya pada sidang media di pejabat Ahli Parlimen Shah Alam, dekat sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata Jabatan Pilihan Raya PAS Selangor mengesan nama-nama tersebut pada 1 Julai namun terkejut apabila mendapati kesemua mereka di dalam rekod JPN telah bertukar status sebagai warganegara keesokan harinya.

"Kenapa pemegang kad pengenalan merah boleh bertukar kepada biru dalam masa kurang daripada 24 jam?" Soalnya lagi.

Beliau juga kesal dengan pihak polis yang belum menyatakan hasil siasatan terhadap laporan yang dibuat berhubung warga Indonesia dan Kemboja diberi kad pengenalan dan borang daftar pemilih yang berlaku di Dun Paya Jaras dalam Parlimen Subang.

Menurutnya, pihaknya menangkap seorang penduduk luar Selangor yang ditemui sedang mengedarkan kad pengenalan dan borang kepada sekumpulan warga Indonesia dalam sebuah rumah pada tengah malam.

Satu kes lagi ialah individu yang datang dari Johor mengedarkan kad pengenalan kepada rakyat Kemboja.

Kedua-dua kes ini berlaku pada Februari lalu manakala sekitar akhir bulan lalu,pihaknya mendapati warga asing mengambil kad pengenalan di Kuala Selangor.

"Kita sudah buat laporan polis tapi masih belum ada tindakan yang diambil dan kita tidak tahu kes ini disiasat atau tidak," katanya.

Sementara itu, ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata perkara itu tidak boleh dipandang ringan kerana melibatkan keselamatan negara dan menimbulkan kebimbangan di kalangan rakyat negara ini.

"Jika kerakyatan sedang digadai untuk kemenangan BN, ini satu pengkhianatan yang sangat teruk.

"Bagi negara demokrasi, orang yang melakukan kerja ini boleh dihulum dengan hukuman berat," katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS III.

Harakahdaily

Selasa, Ogos 02, 2011

MENGAPA JADI BEGINI???

Mengapa beruk ni sanggup berusaha sampai begini??? Tentu ada sesuatu yang terdesak ...
Kalau tak terdesak beruk ni memadai baginya buah-buahan hutan .. . buah-buahan dak tak ada???


Suruhajaya perlu siasat Pagi MyPR petang MyKad?

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 2 Ogos: Pelbagai pihak melahirkan rasa terkejut mereka dengan pendedahan bahawa seorang penduduk tetap bernama Mismah adalah berstatus penduduk tetap paginya sudah berubah kepada warga negara pada petangnya.

Ekoran itu, Suhaizan Bin Kaiat, Pengerusi Pemulihan Demokrasi & Mobilisasi Pemuda PAS Malaysia menuntut Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberikan penjelasan.

Dewan Pemuda PAS, katanya, mendesak agar suatu siasatan dibuat berhubung dengan kejadian ini.

"Suatu Suruhanjaya Di Raja perlu dibentuk dengan segera bagi menyiasat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) berhubung dengan isu yang cukup memalukan negara ini," kata beliau dalam kenyataannya.

(Kad MyPR Mismah pada sebelah pagi)

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) wajib dipersoalkan bagaimana mudahnya menjadi warganegara Malaysia pada waktu ini, katanya kepada Harakahdaily.

Malaysiakini mengeluarkan berita “PR Didaftar Sebagai Pengundi” pada jam 1.06 petang, 2hb Ogos 2011.

Pada masa tersebut individu bernama Mismah no kad pengenalan 640704715238 adalah berstatus Permastautin Tetap(PR).

Menariknya menjelang jam 2.30 petang hari yang sama selepas berita Malaysiakini dikeluarkan maka status Mismah sudah bertukar menjadi warganegara Malaysia.

Kad Pengenalan di bawah di salin pada jam 1.06 petang 2hb Ogos 2011 :

Kad Pengenalan sudah bertukar menjadi biru pada jam 2.30 petang hari yang sama 2hb Ogos 2011 setelah Malaysiakini mengeluarkan berita pada jam 1.06 petang. Ini memberi maksud bahawa Mismah menjadi warganegara dalam beberapa jam sahaja.


(Kad MyKad Mismah pada sebelah petang selepas dibuat laporan pada sebelah paginya)

Nama Mismah terdapat dalam WEB SPR sebagai “Sedang Dalam Pameran Rang” seperti di bawah :

Mismah adalah individu yang telah daftarkan sebagai pengundi di Dun Ijok, Selangor walaupun beliau adalah seorang PR. Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) sedang mempamerkan maklumat bakal-bakal pemilih di seluruh negara sekarang ini.

Dewan Pemua PAS, kata Suhaizan, sebenarnya telah mengesan lebih awal bagaimana PR khususnya daripada Indonesia telah didaftarkan sebagai pengundi. Mereka di daftarkan hampir di setiap negeri.

(Keratan semakan dengan SPR status Mismah sebagai pengundi)

"Kita telah memuat turun data-data kad pengenalan PR dengan banyak sekali. Dewan Pemuda PAS sudah menjangkakan sama ada “server” JPN akan di tutup atau PR ini akan bertukar menjadi warganegara dalam sekelip mata.

"Ternyata jangkaan Pemuda PAS benar apabila Malaysiakini mengeluarkan berita pada jam 1.06 maka status PR dengan mudah bertukar kepada warganegara. Ini lah bukti yang jelas bahawa negara Malaysia dalam keadaan yang cukup merbahaya apabila status warganegara dipermainkan oleh pihak berkepentingan dalam negara ini," katanya.

Isnin, Ogos 01, 2011

BERALIH KE MEDIA ALTERNATIF

Akhbar arus perdana sekarang ni dah tak laku .... malas nak baca berita yang berat sebelah dan cuba mengolah persetujuan rakyat terhadap sesuatu isu .... lebih baik cari maklumat dan berita dari media alternatif on-line ... boleh baca berulang kali... boleh komen balas dan tak perlu keluarkan kos... walau bagaimana pun... media cetak alternatif seperti Harakah tetap hebat... sentiasa habis di kedai-kedai....

Mahasiswa kempen "Jom Baca Media Alternatif"
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 1 Ogos: Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang terdiri daripada gabungan beberapa pertubuhan mahasiswa akan mengadakan kempen diberi nama 'Jom Baca Media Alternatif'.

Dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini, mereka memberitahu usaha itu dibuat bagi menyeru rakyat menjadikan media alternatif di seluruh Malaysia sebagai sumber media yang kukuh dan dekat di hati rakyat.

Difahamkan, kempen itu dibuat sebagai protes terhadap media arus perdana yang selama ini dilihat bias kepada parti politik tertentu sehingga hanya membawa pandangan sebelah pihak.

Dengan tema "baca dan banding", kempen itu mensasarkan beberapa objektif antaranya; menjadikan media alternatif sebagai sumber utama akses maklumat rakyat Malaysia, mendidik rakyat untuk mengutamakan kesahihan berita, mendedahkan rakyat kepada persepsi yang lebih terbuka, dan memberi peluang kepada rakyat untuk melihat realiti Malaysia berdasarkan dimensi yang berbeza.

Bagi mencapai matlamat itu, SMM dijangka akan memulakan aktiviti kempen mereka pada hujung minggu ini.

Mereka dijadualkan turuk bertemu masyarakat Kuala Lumpur dengan memakai baju khas kempen yang akan tertera alamat laman sesawang media altetnatif di Malaysia serta akan melakukan edaran risalah serta buah tangan kepada warga kota.

Selain itu, majlis pelancaran kempen itu pula akan diadakan pada jam 2 petang 7 Ogos ini di Kuala Lumpur Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH).

Majlis pelancaran itu dijangka akan dirasmikan oleh Sasterawan Negara A. Samad Said.

SMM merupakan gabungan beberapa pertubuhan mahasiswa di seluruh Malaysia seperti Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Kelab Rakan Islah Malaysia (KARISMA), Pro Mahasiswa Nasional (PRO M), Kumpulan Anak Muda Independen (KAMI) & Malaysian Student & Youth Democratic Movement (DEMA).