SAHABAT :

Selasa, Julai 26, 2011

BIOMETRIK BUKAN PENYELESAIAN PENGUNDI BERTINDIH


PAS tolak biometrik
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 26 Julai: Cadangan SPR untuk menggunakan keadah biometrik bagi menyelesaikan isu pengundi hantu dan pengundi bertindih bukan penyelesaian yang sebenar.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, malah ia juga terdedah kepada manipulasi pihak yang mengendalikannya kerana hanya segelintir sahaja yang ada kepakaran dan terlibat mengendalikan biometrik.

"PAS tetap berpendirian untuk mendesak supaya SPR menggunakan dakwat celup jari ketika mengundi bagi membasmi pengundi hantu dan juga pengundi yang mengundi banyak kali dalam setiap pilihan raya," ujarnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya, begitu juga dengan pendaftaran pemilih secara automatik.

"Kita pelik bagaimana SPR boleh bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara dalam pengendalian biometrik ini, tetapi tidak boleh bekerjasama dalam mengendalikan pendaftaran pemilih secara automatik," ujarnya yang juga ahli Parlimen Marang.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa menjelaskan parti itu mengambil keputusan menolak cadangan kerajaan untuk menggunakan sistem biometrik dalam pilihan raya di negara ini seperti yang diumumkan oleh SPR baru-baru ini.

Penolakan PAS terhadap sistem biometrik kerana diyakini sistem tersebut tidak berkemampuan menyelesaikan masalah pengundian bertindih dan menghalang masalah yang berlaku dalam pilihanraya di negara kita sejak sekian lama.

Beliau menjelaskan, sebaliknya PAS tetap bertegas untuk menggunakan dakwat kekal kerana hanya dengan cara itu yang dapat mengatasi masalah pengundian bertindih dalam pilihanraya di negara kita.

Menurutnya, keputusan menolak penggunaan sistem biometrik dibuat oleh PAS hasil perbincangan yang diadakan oleh para pemimpin PAS pada mesyuarat khasnya hari ini.

Harakahdaily

Jumaat, Julai 22, 2011

PERJUANGAN MAT REMPIT

Merempit adalah naluri anak muda... jadikan iman dan takwa sebagai benteng dan jati diri kita... ja ngan lupa solat dan tanggungjawab sebagai seorang Muslim yang beriman .... jadilah seorang pemuda yang hebat seperti Murshid al-Ghinawi di zaman nabi....


700 mat rempit ikrar pertahan Kelantan
M Faqih

TUMPAT, 22 Julai: Ijtimak Pilihan Raya PAS Kelantan hari ini menyaksikan ikrar seramai 700 anak muda bagi mempertahankan Islam dan kerajaan negeri.

Ramai di kalangan ibu bapa kelihatan terharu di atas semangat anak-anak muda yang begitu lantang berikrar mempertahankan Islam di pentas utama.

Bacaan ikrar diketuai Presiden Minda Evolusi Rempit Anak Muda Kelantan (Merak), Azaizuree Ahmad di hadapan pemimpin PAS dan lebih 20,000 peserta ijtimak yang memenuhi pantai Geting, Pengkalan Kubur.

Dun Pengkalan Kubur dikuasai Umno sejak pilihan raya umum 2004. Pada pilihan raya umum 1990 kawasan itu diwakili calon Hamim, gabungan Angkatan Perpaduan Rakyat.

Anak muda dari pelbagai tempat yang bernaung di bawah Merak datang dengan motosikal menggegarkan kawasan perkelahan.

Mereka berjanji berusaha bersungguh-sungguh sebagai seorang anak muda bersama mengembelingkan perjuangan mempertahankan Islam di Kelantan.

Azaizuree berkata, mereka akan sentiasa bersama-sama memperkasakan kepimpinan Islam dan jemaahnya yang diketuai Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Selain itu sentiasa bersama ahli-ahli jemaah membangunkan Islam di Kelantan. Wahai pimpinan dan ibu bapa bahawa kami semua adalah sebahagian kamu, sebahagian jemaah PAS.

“Kami sama-sama mahu mempertahankan agama suci Islam walau apa jua keadaan senang atau susah, bak kata pepatah membujur lalu melintang patah. Janji kami adalah benar, ikrar kami bukan palsu,” katanya diakhirnya dengan laugan takbir beramai-ramai.

Sebelum itu anggota Merak menerima sijil pelantikan team leader Minda Evolusi Rempit Anak Kelantan yang disampaikan Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Gimik perasmian ijtimak dilangsungkan apabila Menteri Besar dipakaikan jaket khas oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Selain itu turut diadakan sumbangan kameja T kepada peserta gusti lengan terbuka Johor pada 23 Julai ini.

Kejohanan itu akan diadakan di Plaza Ansana Johor Bahru. Peserta terbabit termasuk Rosli Ibrahim, Zawawi Ariffin, Mohd Ropi Ibrahim dan Khusairin Siban.

Penyampaian t-shirt disampaikan anggota parlimen Tumpat, Dato’ Kamaruddin Jaaffar. Peserta Merak mengibarkan bendera Kelantan, Jalur Gemilang dan Bulan Purnama di motosikal masing-masing.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri, Wan Nik Wan Yusoff berharap setiap jentera termasuk di peringkat cawangan hendaklah meneliti apa yang disampaikan pemimpin pada ijtimak tersebut.

“Ia adalah sebagai panduan bagi menyusun gerak kerja pilihan raya yang bakal berlangsung tidak lama lagi,” ujarnya.

Timbalan Pesuruhjaya II, Datuk Mohd amar Abdullah menyarankan setiap ahli dan pendokong PAS perlu membeli Harakah sebagai maklumat untuk dihadam oleh mereka.

“Jangan pula beli tetapi dijadikan tempat duduk sahaja. Hadir pada program ceramah sahaja tidak mampu untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai tanpa ada mekanisme lain seperti maklumat yang ada dalam Harakah,” ujarnya.

Harakahdaily

Khamis, Julai 21, 2011

DEMO ZAMAN DAHULU

Demontrasi tidak boleh lari dari kehidupan manusia??? Demontrasi aman .... untuk meluahkan sesuatu... atau menuntut sesuatu ....


Dalam Islam ada tradisi demontrasi
Harakahdaily

AMPANG, 21 Julai: Pemimpin Ikhwan Al-Muslimin Kuwait, Dr Tareq Mohammed Al-Suwaidan berkata, Islam sendiri menganjurkan tradisi demonstrasi atau perhimpunan aman, sekaligus menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa ia menyalahi hukum, lapor KeadilanDaily.

“Dalam Islam sendiri ada tradisi demonstrasi. Demonstrasi pertama dalam sejarah Islam ialah pada hari ketiga perisytiharan negara Islam oleh Nabi Muhammad (SAW) ketika berhijrah ke kota Madinah.

“Muaz Ibnu Umair mengumpulkan orang Islam untuk mengalukan ketibaan Muhammad. Mereka bernyanyi dan mengalu-alukan ketibaan baginda. Inilah demonstrasi,” jelas Dr Tareq yang juga jurucakap Ikhwan Al-Muslimin Kuwait.

Beliau yang kini dalam rangka lawatan kerja selama 3 minggu ke Malaysia, berkata demikian ketika ditemui dalam satu program di sebuah hotel di sini, 20 Julai.

Menurut Dr Tareq, beliau berpendapat demonstrasi anjuran Bersih pada 9 Julai lalu, hanya proses biasa yang dilakukan rakyat untuk memastikan sistem pilihan raya di negara ini bebas, adil dan bersih.

“Mereka (rakyat) tidak boleh dirempuh (penguasa).

“Saya ada berjumpa (Datuk Seri) Anwar, dia cedera akibat demonstrasi itu dan pengawal peribadinya luka teruk. Saya ketawa. Inikan Malaysia, sebuah negara maju. Kamu tak boleh mempunyai rakyat yang maju tanpa sistem demokrasi yang bebas dan bersih,” kata Dr Tareq.

Ketika ditanya berhubung hadis dari sahih riwayat Muslim mengenai ketaatan kepada pemimpin, yang seringkali dijadikan modal oleh ‘ulama Umno’, Dr Tareq menjelaskan ia bergantung kepada keadaan.

“Hadis Imam Muslim itu benar. Tetapi banyak hadis dan riwayat dari sahabat yang merakamkan sabda Nabi Muhammad bahawa perkara ini sebenarnya bergantung kepada keadaan.

“Jika kerajaan menjalankan kewajipannya sebagai pemerintah dan menyelesaikan hak rakyat, maka rakyat perlu patuh,” kata Dr Tareq merujuk peristiwa teguran Salman Al Farisi terhadap Saidina Umar.

Ketika ditanya tentang pandangan perbicaraan kes fitnah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau berpendapat kes itu kini menjadi bahan ketawa dunia.

“Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad disanjungi di dunia Arab. Namun berhadapan kes fitnah dan perbicaraan terhadap Anwar, ia menjadi tuduhan yang melucukan. Ia menjadi bahan ketawa.

“Dalam sebuah sistem yang korup kita tidak akan mendapat keadilan. Bagaimana keadilan akan muncul jika para hakim berada dalam poket pemerintah?,” kata Dr Tareq.

Ahad, Julai 17, 2011

Larangan hiburan hanya untuk orang Islam sahaja


Nazri Abdullah

AMPANG, 17 Julai: Penguatkuasaan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 sepanjang Ramadhan ini oleh kerajaan negeri Kedah tidak akan sesekali menyekat hak orang bukan Islam di negeri itu.

Sehubungan itu, Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata pusat hiburan di Kedah akan beroperasi seperti biasa pada bulan Ramadhan namun ia terhad kepada orang bukan Islam sahaja.

Perkara itu dijelaskan beliau pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat di sebuah hotel di sini.

Turut serta pada sidang media itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, Salahudin Ayub dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

"PAS ambil jalan terbaik yang tidak boleh diselesai oleh Umno iaitu tidak menghalang hak orang bukan Islam dalam masa yang sama orang Islam tidak boleh mengerjakan maksiat

"Orang Umno buat peraturan orang Islam boleh masuk tempat maksiat, tempat judi. Kita buat pembetulan supaya pengendali pusat hiburan dikalangan orang bukan Islam buat peraturan agar orang Islam tidak boleh masuk," katanya yang juga ahli parlimen Marang.

Keputusan itu juga katanya telah dipersetujui oleh pengusaha pusat-pusat hiburan di negeri itu dan bersedia diambil tindakan termasuk menarik lesen perniagaan jika gagal berbuat demikian.

Penjelasan itu dibuat selepas mesyuarat tersebut mendengar penerangan dari wakil kerajaan negeri Kedah iaitu Setiausaha Politik kepada menteri besar, Mohd Sanusi Md Noor.

Hasrat sebenar perlaksanaan undang-undang itu kata Abdul Hadi, bertujuan mencegah orang bukan islam melakukan maksiat sepanjang bulan Ramadhan.

Bagaimanapun kekeliruan telah berlaku berhubung perkara itu ekoran media arus perdana yang tidak menyiarkan laporan tepat sehingga membangkitkan rasa kurang senang di kalangan orang bukan Islam.

"Di sana banyak perkara-perkara tidak tepat di lapor media yang sengaja dimainkan Umno Barisan Nasional.

"Kita membetulkan peraturan yang salah yang dibuat Umno. Umno membenar pusat hiburan kepada bukan Islam, dan tidak ada peraturan tegas bagi menghalang orang Islam" tambahnya.

Sementara itu, Mohd Sanusi yang ditemui selepas itu berkata, penguatkuasaan enakmen itu adalah tanggungjawab pihak polis.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak sebelum ini mengumumkan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 yang wujud sejak zaman pemerintahan Umno dilaksanakan sepenuhnya tahun ini.

Tindakan itu bagaimanapun mendapat bantahan dari beberapa pihak termasuk MCA, Gerakan dan rakan Pakatan Rakyat, DAP.

Difahamkan, kontroversi tersebut bagaimanapun selesai selepas menteri besar bertemu wakil pusat hiburan semalam bersetuju membenarkan mereka beroperasi tetapi tidak boleh membenarkan umat Islam memasuki premis mereka.

Harakahdaily.

Sabtu, Julai 16, 2011

LADANG GANJA

Ganja ..... ianya juga dikenali sebagai “Kanabis Herba”, “Marijuana/Grass”, “Pot/Weed”, “Bhang”, “Kif”, “Takrouri” dan “Dagga”.

Ladang ganja terbesar ditemui


BEBERAPA askar berjalan dekat pokok ganja di gurun Baja California, Mexico kelmarin.

TIJUANA - Askar-askar Mexico menemui ladang ganja terbesar di Mexico dengan keluasan seluas 120 hektar di gurun Baja California 250 kilometer dari sini, kata Jabatan Pertahanan semalam.

Ladang itu adalah empat kali lebih besar daripada rekod yang ditemui oleh pihak berkuasa di sebuah ladang di negeri Chihuahua, Mexico pada 1984.

Pokok-pokok ganja itu disembunyikan daripada penglihatan mata kasar apabila jaring besar berwarna hijau diletakkan di atas kawasan tanaman berkenaan selain dilengkapi tandas dan sistem pengairan.

Ia ditemui apabila askar-askar tiba di kawasan tersebut dan melakukan pemeriksaan menyebabkan ribuan pokok ganja ditemui dengan ketinggiannya mencecah 2.28 meter.

Apabila askar-askar itu tiba, kira-kira-kira 60 orang yang bekerja dalam ladang tersebut bertindak melarikan diri.

Seorang pegawai tentera, Jeneral Alfonso Duarte berkata, ladang itu boleh menghasilkan kira-kira 120 tan ganja dengan nilai AS$160 juta (RM481 juta). - AP

Jumaat, Julai 15, 2011

MENJAGA KEMULIAAN RAMADHAN


Ramadhan : PUM sokong penuh usaha Kedah
Harakahdaily

SHAH ALAM, 15 Julai: Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menyokong penuh usaha Kerajaan Negeri Kedah untuk menguatkuasakan larangan pusat hiburan beroperasi sepanjang bulan Ramadhan.

Setiausaha agungnya, Dr Mohd Roslan Mohd Nor berkata, pihaknya juga menyarankan semua negeri-negeri lain mencontohi usaha yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Kedah.

Katanya, kehadiran bulan Ramadhan yang bakal tiba hendaklah disambut dengan memperbanyakkan amalan ibadah dan bukannya dengan hiburan-hiburan semata-mata.

“Dalam bulan Ramadhan banyak ganjaran pahala yang dijanjikan oleh Allah kepada hambaNya. Sehubungan itu adalah disarankan agar kita mengambil peluang yang ada mendekatkan diri kepada Allah,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

PUM juga, ujarnya turut kesal sekiranya ada usaha-usaha memperlekehkan larangan tersebut kerana larangan itu tidak bermaksud buruk dan ianya baik untuk semua kaum dan agama.

Sehubungan itu, tambahnya wajar usaha seperti itu disokong dan dilaksanakan.

Beliau berkata, PUM juga menyarankan agar media elektronik menghormati dan mengambil usaha sempena kedatangan bulan Ramadhan untuk menyajikan input-input berguna kepada masyarakat.

Menurutnya, walaupun mesej yang ingin disampaikan sedikit sahaja tetapi jika impaknya besar sudah memadai.

Sebagai contoh, katanya iklan-iklan yang memaparkan peri pentingnya puasa kepada kesihatan dan juga badan.

Jelasnya, di luar negara mesej-mesej seperti itu sudah lama diguna pakai dalam memberikan makluman kepada masyarakat.

.... Budaya berhibur secara melampau sekarang ini sudah menular hingga ke kawasan kampung di pedalaman Kedah... sudah menjadi perkara biasa jika warung-warung tomyam pun sudah menyediakan ruang berkaraoke dan beroperasi hingga waktu pagi.... amatlah wajar tindakan kerajaan negeri Kedah ini... walau bagaimanapun penguatkuasaan yang tegas amatlah diperlukan .....

HOSPITAL ISLAM PULAU PINANG


Hospital Islam P. Pinang akan jadi realiti
Fakhri Ali

KEPALA BATAS, 14 Julai: Hospital Islam Pulau Pinang akan menjadi satu realiti di negeri ini, apabila usaha ke arah mewujudkan kemudahan tersebut menjadi realiti tidak lama lagi.

Pengerusi Promosi dan Pemasaran Pusat Urus Zakat Pulau Pinang, Dr. Mujahid Yusof Rawa, berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pentauliahan amil zakat fitrah negeri Pulau Pinang, yang telah diadakan di Dewan Millenium, pagi tadi.

Menurut beliau lagi, segala kemudahan yang ada seperti pusat haemodialisis telah pun diwujudkan oleh PUZ ,kepakaran ini akan diakseskan semaksima mungkin bagi manfaat umat Islam di Pulau Pinang, yang tidak pernah dilaksanakan sebelum ini.

"Dalam lawatan ke Mesir baru-baru ini, kita mendapati terdapat pelajar tahun akhir yang mengikuti pengajian bidang perubatan atas biaya PUZ boleh dimanfaatkan ilmu mereka bagi mewujudkan hospital tersebut di Pulau Pinang.

"Kemungkinan besar, kita boleh memulakan projek besar ini melalui kewujudan klinik-klinik yang diuruskan oleh PUZ. Setelah wujudnya infrastruktur yang sempurna dan kepakaran yang mencukupi, maka usaha ini akan dijadikan satu realiti untuk diakseskan.

"Adalah tidak mustahil projek yang telah ada perancangan ini, menjadi satu yang nyata setelah melihat kepada sokongan melalui peningkatan kutipan zakat yang telah berjaya dikutip pada setiap tahun," ujarnya lagi.

Jelasnya lagi, hospital ini akan lebih menumpukan kepada khidmat untuk membantu mereka yang miskin dan tidak berkemampuan dengan bayaran yang minima.

"Saya yakin dengan peningkatan kutipan zakat dari RM53 juta pada tahun lalu kepada RM56 juta tahun ini, akan berjaya ditingkatkan kepada target RM100 juta bagi merealisasikan aspirasi ini.

"Namun begitu, mutu dan kualiti perkhidmatan akan tetap menjadi prioriti dalam memberi kemudahan tersebut apabila hospital tersebut menjadi kenyataan tidak lama lagi," tambahnya beliau yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Exco Agama Kerajaan Negeri, Abdul Malik Abul Kassim, Yang Dipertua Majlis Agama Islam P.Pinang, Ellias Zakaria dan Timbalannya, Datuk Mohd Salleh Man.

Ahad, Julai 10, 2011

PEJUANG BERSIH 2.0 AKAN TERUS DIKENANG

Orang ramai bertali arus ziarahi Allahyarham Baharudin
Harakahdaily

(Keluarga terdekat Baharudin memberikan penghormatan terakhir)

KUALA LUMPUR, 10 Julai: Orang ramai mula bertali arus ke Kelompok Camar, Ampang Ulu Klang bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Baharudin Ahmad, 56, yang meninggal di perhimpunan Bersih semalam.

Yang awal tiba di sini menjelang solat jenazah dan pengkebumian adalah pemimpin Bersih, Datuk S Ambiga di samping AJK PAS Pusat Khalid Samad, timbalan presiden PKR, Azmin Ali dan juga Nurul Izzah Anwar.

Turut tiba adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terpaksa berbalut lehernya selepas cedera semalam.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi tidak dapat hadir kerana sudah terpaksa berlepas ke Langkawi pagi tadi untuk persidangan anggota Parlimen Islam Antarabangsa di mana PAS adalah tuan rumahnya.

Haji Mohamad Sabu yang jatuh selepas motor yang diboncengnya dilanggar kereta peronda polis sebelum ditangkap juga tiba namun terpaksa duduk di atas kerusi kerana kecederaan pada kakinya.

Selain mereka, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dan bekas MB Perak, Datuk Seri Nizar Jamaludin juga hadir. Nizar masih memakai baju Bersih bagi menyatakan sokongannya kepada perhimpunaan semalam.

Malam tadi Datuk Husam Musa bersama beberapa pemimpin kanan PAS yang tidak ditangkap menziarahi jenazah Allahyarham.

Turut bersama beliau adalah Datuk Kamarudin Jaffar dan Dr Siti Mariah Mahmud.

Baharudin meninggal selepas pengsan di perkarangan KLCC dan disahkan meninggal di HKL.

Beberapa maklumat diterima sehingga kini sebagai punca kematian selepas post mortem dibuat namun ianya masih belum dapat disahkan lagi oleh Harakahdaily.

Berikut adalah gambar-gambar pagi ini.

(Datuk Seri Anwar datang dengan leher berbalut selepas cedera semalam)

(Tan Sri Khalid dan Datuk Seri Nizar juga hadir)

(Datuk S Ambiga bersama anggota Parlimen Gombak, Azmin Ali dan Nurul Izzah.)

(Jenazah sedia untuk disolatkan di surau Muqarrabin)


(Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu tiba di surau untuk solat jenazah)

Jumaat, Julai 08, 2011

DAN MEREKA PUN SANGAT TAKUT KEPADA BERSIH 2.O


Dulu mereka cabar buat di stadium
Katanya... di sana kamu boleh melalak puas-puas
Bila BERSIH 2.0 setuju ke stadium...
Helah baru pula ... para pemimpin mereka dilarang memasuki bandar ....
Dolak-dalik ..... ada satu bangsa yang sangat pandai berdolak-dalik... cuba teka bangsa apa???

Walaupun dilarang, pemimpin PAS akan hadir
Harakahdaily

SHAH ALAM, 8 Julai: Pemimpin PAS tetap turun menyertai Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai (jam 2 petang esok) meskipun terdapat larangan berada di Kuala Lumpur seperti perintah mahkamah yang dikeluarkan semalam.

Dalam keputusan berdasarkan permohonan sebelah pihak polis kepada mahkamah itu, hampir semua pemimpin tertinggi PAS termasuk dalam 91 individu yang dihalang berada di ibu negara pada esok hari.

Naib Presiden PAS, Haji Salahudin Ayub menegaskan pemimpin dan ahli PAS tetap akan hadir ke perhimpunan rakyat di Stadium Merdeka dalam usaha menuntut pilihan raya bersih dan telus dalam negara.

Beliau menyifatkan tindakan BN menggunakan mahkamah untuk keluarkan larangan menghalang 91 individu berada di KL esok hari sebagai tidak demokratik.

Jelasnya, tindakan menghalang dan mengugut itu jelas bertentangan dengan titah khas Seri Paduka Yang Dipertuan Agong, Sultan Mizan yang mahu semua pihak berunding.

"Tindakan menghalang itu jelas bertentangan dengan ruh dan semangat titah baginda," tambahnya yang juga termasuk dalam senarai 91 individu yang dihalang.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS, Dr Hatta Ramli pula berkata, pimpinan Pakatan Rakyat kekal mantap untuk jayakan himpunan Bersih itu meskipun terdapat berbagai halangan.

Dalam satu kenyataannya, beliau yang juga dihalang berkata, setakat ini belum menerima sebarang surat secara hitam putih tentang keputusan mahkamah majestrit itu.

"Jika benar, ini merupakan satu bentuk pencabulan hak saya untuk bergerak secara bebas dalam negara sendiri.

"Pemerintah semakin tenggelam punca dalam menghadapi kebangkitan rakyat," tegasnya.

Penegasan sama turut dibuat ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Pelancaran Gerakan Pilihan Raya Adil dan Telus di Seksyen 18, dekat sini, malam tadi.

Sementara itu dalam jawapan ringkasnya. AJK PAS Pusat, Haji Khalid Samad berkata, tindakan ini membuktikan pemimpin BN sudah tidak siuman.

Seorang lagi AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman pula hanya ketawa geli hati dengan tindakan ini sambil menyatakan akan terus hadir.

Ahad, Julai 03, 2011

Kekejaman Mempunyai Tarikh Lupusnya - A. Samad Said


Perkembangaan senario politik terkini sesungguhnya sesuatu yang agak merunsingkan buat seniman dan karyawan, namun sasterawan negara A Samad Said tetap tidak berganjak langkah dari pendiriannya ketika berdepan dengan kuasa pemerintah.

Sambil bersikap sinis terhadap kerajaan yang "takut dengan warna", A Samad Said menyuntik semangat dengan peringatan bahawa "kekejaman mempunyai tarikh lupusnya!"

A Samad Said dipanggil polis untuk disoal-siasat pada 27 Jun, lantaran kehadiran beliau dalam majlis pelancaran perhimpunan BERSIH 2.0 pada 19 Jun 2011. Beliau kembali ke bangunan Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor semalam, untuk menghadiri majlis perlancaran buku kartun Zunar, "EVEN MY PEN HAS A STAND".

Sekurang-kurang dua kali A Samad Said berjenaka bahawa Zunar dan dirinya mungkin ditangkap selepas majlis tersebut, namun disusuli dengan kenyataan bahawa dirinya sudah "bersedia". Beliau mengulas perkembangan yang terbaru ketika berucap dalam majlis pelancaran buku Zunar, mengambil pendirian untuk mempertahankan Pengerusi BERSIH 2.0 Ambiga Sreenevasan, di samping membidas penahanan menggunakan Ordinan Darurat sebagai satu kekejaman.

Kelompok "Carma"

A Samad Said menyifatkan sesetengah kelompok seniman dan karyawan yang "selalu bersedia untuk tidak bersikap" sebagai "carma", iaitu cari makan. Dan sikap sedemikian menurutnya, memberi laluan kepada segala kemungkaran yang sedang berlaku dengan dahsyatnya pada hari ini.

Beliau mengisahkan bahawa dirinya langsung tidak membaca media arus perdana seperti Utusan Melayu, Berita Harian, New Straits Times dan The Star sebelum ini, "oleh kerana dengan tak membacanya pun, saya tahu". Namun, perkembangan terbaru mendorong dirinya untuk membeli dan membaca akhbar-akhbar tersebut, pada dua tiga hari kebelakangan.

"Daripada medium mainstream, bersih tu kotor. Saya sekarang pun hairan juga mengapa orang akhbar yang begitu berpengalaman, mendapat anugerah itu dan ini boleh mengotorkan bersih? Saya tidak faham, tapi saya tahulah di sana ada kelompok-kelompok semata-mata carma, cari makan."

A Samad Said turut menyanggah tuduhan "sasterawan negara baru" terhadap dirinya, bahawa A Samad menggunakan anugerahnya untuk memecah-belahkan bangsa. A Samad Said membela dirinya bahawa sepanjang usianya, beliau hanya "menyatukan bukan mengecaikan".

Ambiga tidak bersalah!

Satu hal lain yang merunsingkan A Samad Said adalah, munculnya satu kelompok yang mendakwa dirinya wira khusus untuk bangsa Melayu, ingin menyaingi BERSIH 2.0, setelah BERSIH 2.0 mengumumkan hasrat untuk mengadakan demonstrasi murninya.

"Dan saya kira, kalaulah terjadi pertelagahan, saya lebih menyalahkan polis. Sebab polis lebih awal tahu bahawasanya beberapa bulan yang lalu kelompok BERSIH ini sudah pun meminta ruang dan hari untuk membolehkannya berdemonstrasi jujur. "

Beliau memuji niat BERSIH yang bagus, namun apa yang berlaku adalah polis dengan sengaja, atau disuruh tidak membenarkannya. "Dan saya tidak hairan kalau Puan Ambiga, kerana tidak dibenarkan, dia teruskan. Bukan salahnya! Dia minta, tapi tidak dibenarkan. Jadi, apakah BERSIH yang salah, ataupun yang tak bersih tu yang salah?" persoal beliau.

Malah, beliau berkata niat polis adalah jelas, iaitu untuk menakutkan rakyat - ketika mengulas kejadian di mana 70 anggota polis mengelilingi tujuh orang yang ingin ditangkap. "Sebab mustahil ada, tiba-tiba ada 70 orang polis," katanya, sambil meneruskan "Niatnya ialah untuk menakutkan. Jadi sekarang ini zaman menakutkan, supaya rakyat berhati-hati..."

Timbulkan soal komunis

A Samad Said tidak lupa untuk membidas, bahawa iklim siasah kita sudah mula beralih menjadi "amat kasar", apabila soal komunis ditimbulkan. Beliau berkata isu ini seolah-olah sengaja ditimbulkan untuk mempermudahkan penangkapan dengan undang-undang yang lama. Beliau sempat menyindir "pengkhayalan" mereka yang berkuasa, "Dan saya fikir pengkhayalan itu hanya dua orang, tak payah saya sebut namalah...", sambil menambah "Kadang-kala khayalan polis juga luar biasa".

Enam orang aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) ditangkap semula dengan Ordinan Darurat pada 2 Julai, yang membenarkan tempoh penahanan 60 hari tanpa perbicaraan. Mereka sebelum ini dituduh cuba menghidupkan semula komunisme, dan berniat memerangi Yang Di-Pertuan Agong. A Samad Said berterus-terang, "Saya kira ini adalah satu kekejaman."

Beliau mempersoalkan, "Sebab kita juga hidup dalam satu dunia demokrasi, di mana suara harus didengar, harus dipertimbang. Mengapa tiba-tiba kita harus berada dalam satu situasi yang tidak boleh bercakap pun, malah warna pun tidak boleh hidup?"

Beliau kemudian membidas bahawa warna kuning sebagai warna yang murni, warna simbolis sampai ke puncaknya, warna yang dihormati - kini cuba dikuburkan, selepas beliau menyindir, "Dengan warna pun dia takut?"

"Dengan kesombongan kuasa yang ada, yang mengatakan tak mahu berunding lagi, itu sudah tidak demokrasi." A Samad Said berkata, "Tidak mahu berunding lagi, maksudnya, permulaan zaman menangkap!"

Dengan kain kuning yang dililitkan oleh Zunar pada lengannya, A Samad berkata, "Kekejaman mempunyai tarikh lupusnya!" Beliau terus meluahkan keresahannya, "Saya khuatir kalau ini dibiarkan, ada tanda-tanda yang kemungkinan yang sangat besar negara kita akan menjadi negara polis. Ada tanda-tanda itu."

Sebelum mengakhiri ucapannya, A Samad Said sekali lagi melontarkan jenaka, "Saya nampak banyak gambar rambut", dalam buku Zunar. Pembaca yang masak dengan kartun Zunar menyedari bahawa kartun tersebut membawa sindiran tersirat terhadap isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor. A Samad mengakhiri ucapannya, "Saya takut dengan rambut! -MR

Sabtu, Julai 02, 2011

Tunjukkan di mana kezaliman kami - Guan Eng

Mohd Sabri Said

TASEK GELUGOR, 2 Julai: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mencabar Pergerakan Pemuda Umno Pulau Pinang dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang bersekongkol dengan 'demo jalanan' di hadapan Komplek Tun Abdul Razak (Komtar) semalam supaya tunjukkan dimana kezaliman kerajaan negeri Pulau Pinang.

"Buktikan di mana kezaliman Kerajaan Pakatan Rakyat sejak mengambil alih pemerintahan daripada Barisan Nasional (BN) pada tahun 2008," kata Lim Guan Eng.

Semalam Pemuda Umno telah membuat demonstrasi kononnya membantah Ketua Menteri Pulau Pinang, Guan Eng kerana menyokong Perhimpunan Aman BERSIH 2.0 yang bakal diadakan di ibu negara pada 9 Julai 2011 ini.

Mereka membawa sepanduk dan banner-banner kononnya Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebagai anti Islam, dan menyebabkan perpecahan Islam.

Mereka juga turut memakai pengikat kepala yang bertulis kalimah "Lailahaill Allah". (gambar atas)

Namun di sebalik perhimpunan ini, ada perkara yang harus diketahui oleh semua pihak. Antaranya bagaimana wanita ini turut memakai kain pengikat kepala dengan kalimah "Lailahaill Allah" secara terbalik. Malah dia juga tidak menutup aurat.

Bagi Lim Guan Eng, apa yang dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat adalah untuk memastikan rakyat mendapat manafaat hasil penjimatan, anti rasuah dan tidak menggunakan pengeluaran untuk kroni.

"Beri contoh di mana kezaliman Kerajaan Pakatan Rakyat pernah lakukan, Adakah bantuan kepada warga emas, ibu tunggal, Orang Kelainan Upaya (OKU), golongan miskin, bantuan kepada anak yang nak ke Univesiti RM500 dan sebaganya merupakan kezaliman. Susahlah jadi macam Umno, Gerakan, MCA atau MIC mereka asyik kutuk tapi tak tahu menilai, " katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis penghargaan RM1,000 kepada 380 waris warga emas yang meninggal dunia peringkat Seberang Perai Utara (SPU) di Dewan Besar Sungai Dua pagi tadi.

Menurutnya, kenapa Umno dan NGO yang terlibat tidak pernah memahami dasar Kerajaan Pakatan Rakyat yang jelas membantu semua kaum tanpa memilih bulu seperti yang BN laksanakan semasa memerintah dulunya.

Sebenarnya Umno dan BN dengki melihat perkembangan terbaru di mana rakyat telah mula sedar apa yang kerajaan korbankan demi rakyat umpamanya menambah peruntukan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp) ke tahap yang lebih tinggi.

Begitu juga peruntukan kepada agama lain, kata beliau.

Mereka selalu gunakan alasan Kerajaan Negeri menganiaya peniaga Melayu tetapi sebenarnya bukan.

Kejadian sebenar ialah kerajaan cuba selamatkan mereka daripada mendapat sakit dirempuh kenderaan apabila berniaga di kaki jalan, kotor dan mengganggu jalanraya.

Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) mempunyai maklumat siapa yang inaya siapa, kata beliau.

Peniaga Melayu yang terlibat dengan pengrobohan gerai hanya sekitar 15 peratus sahaja itu pun diberikan lokasi ganti yang cantik manakala peniaga bukan Melayu ramai iaitu 85 peratus.

"Kita roboh ada alasan bukan menginaya peniaga sendiri lagipun bukan melayu sahaja diroboh tetapi cina dan India turut terlibat, " tegasnya.

Harakahdaily