SAHABAT :

Rabu, Jun 29, 2011

BERTARUNGLAH SECARA JANTAN....KATA PM


Bila lagi Umno BN mahu jadi anak jantan
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 28 Jun: Datuk Seri Najib Razak diminta membuktikan beliau dan Umno benar-benar anak jantan di dalam pilihan raya umum akan datang.

“Pembangkang sudah lama bertarung secara jantan, masalahnya bila pula Umno dan BN hendak bertukar menjadi anak jantan,” kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Sebenarnya, kata beliau Umno BN sudah tidak ada roh perjuangan, ia hanya hidup dengan talian hayat jentera kerajaan.

“Jantan sangatkah Umno dalam pilihan raya, jika kaki dan tangan pembangkang diikat kemudian disuruh berenang,” katanya.

Soalnya, macam mana hendak menjadi jantan jika BN menggunakan segala kekuatan media dan polis untuk menyekat maklumat supaya sampai kepada rakyat.

“Suara Keadilan digantung permit, kartun Zunar dirampas, ceramah dikepong, pakai baju kuning ditangkap, apakah ini dikatakan anak jantan?” katanya.

Katanya, jika benar Najib anak jantan sila bertarung di padang sama rata.

Tambahnya, biarlah parti melawan parti, bukannya menggunakan jentera kerajaan melawan pembangkang.

Justeru, beliau menyeru supaya dihapuskan undi pos, biar media perdana adil, menggunakan dakwat untuk elak penggundi berulang.

“Kalau perkara ini Najib tidak mampu membuat reform janganlah beliau mendakwa Umno anak jantan,” katanya.

Isnin, Jun 27, 2011

IDEA MEMASYARAKATKAN PAS

Suatu ketika dahulu .... tahun 1960-an dan 70-an... PAS hanya disokong oleh orang-orang kampung di kawasan pedalaman.... tidak keterlaluan jika dikatakan PAS adalah parti para ustaz dan orang kampung .... aku sendiri pada masa itu memandang sinis kepada PAS .... seluruh kaum keluargaku tidak menyokong PAS .....
Masa terus berlalu .... kini PAS disertai para profesional dan cendekiawan .... bahkan Non-Muslim juga tidak lagi janggal membela PAS ... seluruh kaum keluargaku juga bersama PAS .... malah aku sendiri bangga menyokong perjuangan PAS ....


Ustaz Fadzil Noor buat PAS lebih terbuka
Rizal Tahir

Tentunya ramai masih ingat lautan manusia memenuhi Muassasah Darul Ulum Pokok Sena pada 2002. Pejuang dan pendokong Islam dari seluruh negara membanjiri pusat pengajian agama itu.

Situasinya seperti pernah berlaku di Tehran apabila jutaan rakyat Iran berhimpun pada hari pengkebumian Ruhollah Mostafavi Moosavi Khomeini (Ayatollah Khomeini).

Rakyat Iran memenuhi setiap ruang jalan raya pada 3 Jun 1989.

Kemudian 13 tahun selepas itu seorang lagi tokoh Islam yang cukup disegani di dunia Islam juga dipanggil mengadap Ilahi.

Pemergian yang tidak kembali Datuk Fadzil Mohd Noor diiringi lebih 100,000 rakyat pada 23 Jun 2002. Jalan raya dari Alor Setar ke Pokok Sena begitu sendat sekali.

Orang ramai datang sebaik sahaja mendapat khabar sedih tokoh yang mereka sayangi pergi buat selama-lamanya.

Ramai tidak lupa sejarah yang dicatat itu. Akibat kesesakan luar biasa tersebut menyebabkan beberapa pemimpin PAS termasuk Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat terpaksa membonceng motosikal sejauh kira-kira 6 km ke Muassasah Darul Ulum.

Di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim Kepala Batas ribuan menunggu ketibaan jenazah Ustaz Fadzil. Jenazahnya tiba dengan pesawat Hercules C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia.

Jenazahnya kemudian diiringi kereta peronda polis. Setelah tiba di Muassasah ditempatkan musolla bagi memberi peluang ribuan ahli dan penyokong PAS menziarahi pemimpin agung PAS itu.

Jam 9 malam jenazahnya disembahyangkan dengan diimamkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Detik yang terakam tersebut masih segar dalam ingatan Menteri Besar Kelantan sehingga ke hari ini.

Maka apabila tiba tanggal 23 Jun setiap tahun, pendokong PAS mengingati semula detik yang bersejarah itu.

”Ustaz Fadzil banyak mencetuskan pelbagai idea bagi memantapkan PAS. Sehingga sekarang kita masih guna pendekatan yang dipopularnya iaitu memasyarakatkan PAS.

”Banyak yang beliau buat. NGO yang dikenali sebagai GERAK adalah antara idea baru yang dicetuskan Allahyarham,” kata Mursyidul Am PAS ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Menurutnya Ustaz Fadzil banyak memberikan kesedaran kepada ahli dan penyokong PAS, bahawa perjuangan yang tidak berlandaskan Islam mesti digugurkan.

Kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz cetusan fikiran bukan Allah beri kepada semua orang. Ada yang tak ada idea langsung sehingga akhir usianya.

”Ustaz Fadzil banyak buat pembaharuan dan beliau gunakan hasil buah fikiran yang Allah berikan untuk Islam. Tidak semua orang akan memperolehi keistimewaan sebagaimana almarhum,” ujarnya.

Berbeza berbanding dengan Umno biar pun dianggap sebagai tunggak orang Melayu, namun tiada kekuatan.

Apabila tidak guna Islam dalam pentadbiran negara, orang Islam menjadi tidak kuat.

”Undang-undang negeri yang dicipta manusia pun kena pakai sepenuhnya, apa lagi dalam Islam yang wajib digunakan secara keseluruhannya.

”Kerana itu perjuangan Umno ditentang PAS sejak mula lagi termasuk sewaktu almarhum Ustaz Fadzil menjadi presiden,” katanya.

Menteri Besar Kelantan juga masih ingat kejayaan Alamarhum menerajui GERAK ketika ambang reformasi mulai tercetus.

Beliau turut mengakui mempunyai hubungan sentimental bersama bekas Presiden PAS itu.

”Arwah dikenali sebagai seorang pemimpin, ahli parlimen dan presiden PAS, sudah tentu hubungan antara saya dengan arwah jadi rapat.

”Beliau seorang yang peramah, masuk kampung seperti orang ramai tiada kebesaran walaupun seorang presiden PAS,” katanya.

Harakahdaily.net

Sabtu, Jun 25, 2011

USTAZ FADZIL NOOR .... TOKOH PEJUANG ISLAM YANG DIRINDUI

Dari Gudang Ilmu Ke Kancah Siasah

Malaysia semenjak zaman disentuh angin sejahtera Islam sejak ratusan tahun dahulu, tidak pernah gagal untuk menampilkan ulama’ dan pemikir Islam sehingga ada yang bermukim di Mekah untuk menyampaikan ilmu di Masjidil Haram. Ulama’ yang dilahirkan di Tanah Melayu ini bukan sahaja mampu mengajar kitab di masjid namun menjulang senjata untuk menentang penjajah kuffar. Antara ulama’ ini ialah Tuan Guru Haji Hassan Bin Munas, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong, Ustaz Abu Bakar al Bakir dan ratusan ulama’ lain.

Dengan merdekanya Tanah Melayu pada tahun 1957, pentas siasah negara ini menyaksikan pertarungan ideologi yang pelbagai samada kebangsaan Melayu, sosialisme, Islam dan sebagainya. Pelbagai tokoh muncul dalam menyuarakan aspirasi perjuangan yang diperjuangkan, sebahagiannya mampu bertahan di pentas siasah dan ada yang tersungkur ditelan waktu. Salah seorang insan yang telah melakar nama dalam sejarah politik Islam negara ini ialah Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor.
Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor atau dengan gelaran yang sangat melekat dalam jiwa ummat Islam sehingga kini “Ustaz Fadzil’ merupakan seorang pemimpin dan tokoh politik yang dihormati dan disegani oleh semua lapisan masyarakat tempatan mahupun antarabangsa, ekoran daripada penampilan negarawan yang dimiliki oleh beliau. Dengan sosok yang kurus, berbusana kemas dengan kancingan baju Melayu yang lengkap, dengan sorotan mata yang hening menggambarkan ketajaman berfikir, beliau memang dilahirkan sebagai pemimpin ummah.

Berbekalkan ilmu pengetahuan yang tinggi terutamanya ilmu-ilmu agama yang diperolehi ketika bertamu di bumi Mesir, beliau dipakejkan dengan pelbagai ilmu lain seperti sosial sains, ditambah dengan kuat membaca dan menelaah. Ilmu-ilmu yang dikutip di universiti kehidupan ini meluaskan ufuk ilmu tokoh ulama’ ini. Perwatakan yang sederhana serta sentiasa berdamping dengan masyarakat, beliau adalah sebutir mutiara yang sangat berharga yang pernah dilahirkan oleh PAS dalam sejarahnya di pentas politik dakwah negara ini. Musuh politik PAS sendiri meletakkan almarhum dengan markah yang tinggi bahkan masyarakat bukan Melayu turut mengkagumi sosok tubuh dengan postur yang sederhana ini. Almarhum menyeruak kehidupan masyarakat tanpa mengira penat lelah dan suka ‘mendengar’ masalah rakyat menyebabkan Ustaz Fadzil sentiasa dikenang dalam sisi putih.

Pakej kepimpinan yang ada pada beliau ini ditempa dalam proses pergulatan hidup yang panjang selain daripada anugerah ilahi kepada umat Islam negara ini, almarhum membesar dengan semangat cinta kepada ilmu, seterusnya meminati bidang dakwah dan politik semasa belajar di bangku menengah lagi.

Latar belakang keluarga

Dato’ Haji Fadzil @ Ali bin Mohd Noor atau lebih mesra dengan panggilan Ustaz Fadzil dilahirkan hasil perkongsian hidup antara Mohd Noor Abdul Hamid dan Hindun Haji Abdul Rahman. Beliau dilahirkan pada 13 Mac 1937 di Kampung Seberang Pumpung, kira-kira tiga kilometer dari bandar Alor Star, Kedah, beliau merupakan anak sulung daripada empat adik-beradik.

Takdir ilahi telah mencatatkan bahawa insan ini diuji dengan kehilangan ibubapa tercinta, kedua-dua ibu bapa meninggal dunia sewaktu beliau masih kecil lagi. Latar belakang keluarga sebelah ibu bapanya adalah dari kalangan keluarga yang berpegang teguh kepada ajaran Islam. Moyang beliau iaitu Tuan Guru Haji Idris Al-Jarumi merupakan salah seorang ulama’ yang disegani berasal dari Wilayah Patani, Thailand dan seorang yang terkenal di Kedah. Wilayah yang sarat dengan pemukiman ilmu ini telah memunculkan ratusan pondok yang subur merendang dengan ilmu Islam.

Darah ulama’ pejuang telah mengalir dalam urat sendi darah Ustaz Fadzil, sehingga menjadikan beliau pemimpin yang tidak gentar dengan ugutan dan ancaman musuh dalam menyampaikan agama Allah.


Pendidikan

Memimpin masyarakat bukan sekadar menjadi insan yang mesra rakyat yang sekadar memenuhi jemputan kenduri kahwin tetapi mestilah dipakejkan dengan ilmu formal dan tidak formal. Almarhum merupakan seorang tokoh yang konsisten dalam menuntut ilmu, sentiasa menimba ilmu bagi menjadi pemimpin yang kredibel.

Sejarah awal pendidikan Ustaz Fadzil bermula sekitar tahun 1946. Waktu itu beliau mengikuti pendidikan awal di Sekolah Melayu Derga, Alor Star sehingga tahun 1949. Kemudian menyambung pelajaran peringkat menengah di sebuah sekolah yang berpengaruh di Kedah yang telah melahirkan ribuan alim ulama’ iaitu Maktab Mahmud sehingga tahun 1958 sebelum meneruskan pengajian tinggi di tempat yang sama sehingga tahun 1962. Anak muda ini berjiwa besar dan sentiasa kehausan ilmu, beliau bercita-cita besar untuk belajar jauh dari tanahair iaitu di Timur Tengah. Pada tahun 1963 beliau menyambung pelajaran ke seberang laut dengan mengikuti pengajian di Universiti Al-Azhar di Mesir (sebuah institusi pendidikan yang paling berpotensi dan berprestij dalam dunia Islam) dengan mendapat biasiswa dari kerajaan negeri Kedah. Di Universiti Al-Azhar, beliau mengambil jurusan Perundangan Islam (Syariah) dan menamatkan pengajiannya pada tahun 1967 dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam lapangan tersebut. Beliau bukan sahaja mendapatkan ilmu daripada dewan kuliah di Al-Azhar tetapi juga menggali mutiara ilmu daripada ulama’-ulama’ Mesir untuk memantapkan ilmu beliau sebagai bekalan dakwah untuk pulang menabur bakti di tanahair.


Perkahwinan

Ustaz Fadzil mendirikan rumah tangga dengan sepupunya Siti Khadijah Ibrahim pada tahun 1963. Isteri beliau merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Farbish Bakar, Alor Star, Kedah. Setelah berkahwin, isterinya menemani almarhum belajar di Al-Azhar. Perkahwinan mereka yang sangat bahagia dalam kesibukan belajar dan berjuang telah membuahkan kurniaan lapan orang anak iaitu Huda, Ammar, Aiman, Muna ’Izzah, Muhammad Faiz, Salwa, Ahmad Fauwaz dan Ahmad Anas. Beliau bukan sahaja berjaya sebagai ahli politik malah merupakan ketua keluarga yang mithali dalam mendidik anak-anaknya dengan penuh kasih sayang dan bertanggungjawab. Sebahagian anak-anaknya juga terlibat dalam perjuangan Islam seperti Muna’izzah dan menantu beliau Sabki Yusuf.


Bakat Kepimpinan

Potret kehidupan yang digores selama kehidupan telah menyaksikan bakat kepimpinan yang tinggi teradun dalam diri almarhum. Bakat kepimpinan beliau mulai terserlah sejak di bangku sekolah terutamanya di Maktab Mahmud, di mana beliau memiliki kebolehan berpidato dan mewakili sekolah dalam pertandingan syarahan dan bahas. Keistimewaan yang ada pada beliau boleh berhujah secara spontan dan berkemahiran tinggi dalam ilmu mantiq. Pada tahun 1967, sewaktu di Al-Azhar, beliau pernah memegang jawatan Setiausaha dan Timbalan Presiden dalam Persatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).


Perkhidmatan

Tahun 1967 beliau pulang ke tanah air dan ditawarkan berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Maktab Mahmud, ‘alma mater’ beliau sebelum ke Mesir. Pada 1973 ditawarkan berkhidmat sebagai pensyarah Bahagian Pendidikan Islam di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sehingga tahun 1978. Semasa berkhidmat di UTM, beliau telah dipecat oleh pihak pentadbir UTM ekoran tindakan beliau bertanding dalam pilihanraya pada tahun 1977 di Kawasan Dewan Undangan (DUN) Alor Merah dan Parlimen Kuala Kedah. Beliau dilihat tokoh yang berpotensi oleh Perhubungan PAS Kedah sebagai pemimpin masa depan.

Sebagai orang yang celik undang-undang, Ustaz Fadzil menfailkan saman ke mahkamah atas tindakan angkuh pihak pentadbiran UTM tanpa mengikut prosedur dan ternyata beliau di pihak yang benar. Pemecatan beliau oleh pihak pentadbiran UTM tidak sah di sisi undang-undang dan mahkamah telah mengarahkan pihak pentadbir UTM membayar ganti rugi. Setelah isu tersebut selesai, beliau kembali sebagai pensyarah dan beberapa bulan kemudian beliau meletakkan jawatan kerana menceburkan diri sepenuh masa dalam perjuangan PAS.

PAS di penghujung dekad 70an dilihat tidak bermaya selepas kekalahan dalam pilihanraya tahun 1978. Terlepas negeri yang menjadi pangkalan politiknya semenjak 1959 iaitu Kelantan. Seorang tokoh besar dakwah dari Indonesia, Dr Mohd Natsir pernah menasihatkan tokoh-tokoh dalam belia Islam di Malaysia supaya segera menguatkan PAS, kerana PAS adalah wadah untuk perjuangan Islam di Malaysia.

Aktiviti Kemasyarakatan

Selain aktif dalam politik Islam dan kerja dakwah, beliau juga pemimpin masyarakat yang bergiat cergas dalam kerja-kerja sosial. Beliau pernah memegang jawatan Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) cawangan Negeri Kedah. Beliau juga pernah menganggotai Angkatan Beliau Islam Malaysia (ABIM), sebuah wadah belia dan pemuda Islam di negara ini yang ditubuhkan pada tahun 1971. ABIM telah mengisi ruang kepada tuntutan Islam yang tegas akibat daripada penyertaan PAS ke dalam kerajaan campuran akibat tragedi 13 Mei 1969. ABIM seumpama simbiosis kepada Dewan Pemuda PAS dimana 8000 ahli PAS ialah ahli ABIM dalam dekad 70an, gerakan belia Islam ini sangat diminati kerana berusaha memurnikan perjuangan Islam terutama pendekatan yang dibawa oleh Ikhwanul Muslimin. Penerbitan ABIM juga aktif menyebarkan pemikiran tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin dan Jamiat Islami.

Fadzil Nor telah memegang jawatan setiausaha penerangan pertubuhan itu dari tahun 1973 hingga 1974. Beliau pernah memangku jawatan Presiden ABIM apabila Presidennya ketika itu, Anwar Ibrahim ditahan di bawah ISA (Anwar ditahan di bawah ISA akibat demonstrasi Baling yang menjadi mercu tanda kepada kebangkitan pelajar di negara ini. Beliau telah dibebaskan pada tahun 1976). ABIM yang ditubuhkan pada tahun 1971 telah mengisi kelompangan dunia ‘anti establishment’ akibat PAS yang menyertai kerajaan campuran. Almarhum ialah orang penting ABIM selain daripada Ustaz Wahab Zakaria, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin dan Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman, beliau disifatkan oleh Anwar Ibrahim sebagai orang rujukan dalam menggerakkan ABIM sebagai gerakan sosio dakwah yang penting dalam dekad 70an. Jaringan kader ABIM di seluruh negara ini juga akhirnya telah ramai menyertai PAS pada awal tahun 80an terutama selepas Anwar menyertai UMNO.

Sepanjang penglibatan dalam ABIM sebagai sosok utama perjuangan, beliau turut terlibat dalam demontrasi menentang isu kemiskinan di Baling, Kedah tahun 1974. Beliau juga terkenal sebagai penggiat tarbiah dalaman ABIM. Beliau banyak bergerak mengisi program usrah, tamrin dan seminar perkaderan di pelbagai tempat. Gerakan belia Islam ini juga banyak menerbitkan buku-buku fikrah dan harakah yang dituang oleh tokoh-tokoh seperti Hasan Al Banna, Sayyid Qutb, Maududi, apatah lagi ABIM menjadi gerakan fenomenal di kampus pada dekad 70an. Ustaz Fadzil juga merupakan Setiausaha Agung Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) tahun 1974, sebuah NGO yang penting di negara ini yang telah mewadahkan ulama’-ulama’ untuk mengerakkan kesedaran Islam kepada masyarakat dan kerap kali juga dilihat bertelagah dengan kerajaan BN dalam banyak isu yang bersangkutan dengan syariat dan akidah. Beberapa tokoh PUM juga kini menjadi tonggak penting kepada PAS seperti Ustaz Ahmad Awang dan Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin.

Beliau sangat rapat hubungannya dengan masyarakat dengan menghadiri majlis-majlis keraian, kenduri kendara, menziarahi orang sakit dan kematian. Jika tidak hadir beliau akan memaklumkan atau hadir ke majlis lebih awal daripada masa yang dijadualkan, pendek kata almarhum tidak akan mengecewakan undangan yang diterima. Beliau bergegas pulang dari sidang Parlimen semata-mata untuk meraikan sesuatu majlis yang diadakan oleh penduduk, sikap cakna dan mengambil berat kepada undangan masyarakat menyebabkan beliau sangat disayangi masyarakat.


Penglibatan dalam Politik

Beliau melibatkan diri dalam politik khususnya dengan perjuangan PAS sejak tahun 1959 sewaktu menuntut di Maktab Mahmud. Kecenderungan politik beliau telah dikesan oleh guru-guru dan juga ahli keluarganya. Kedah ialah pangkalan politik Ustaz Fadzil walaupun pernah ditawarkan untuk bertanding di negeri lain yang lebih selamat seperti di negeri Kelantan (Kelantan semenjak pilihanraya 1959 sentiasa membuka pintu untuk calon PAS dari luar Kelantan). Jelapang padi ini kaya dengan sekolah-sekolah agama dan penyokongnya yang setia sehingga telah mencetuskan beberapa insiden berdarah seperti peristiwa Memali dan peristiwa Lubuk Merbau (1985).

Beliau telah dilantik menjadi Yang Dipertua PAS kawasan Kuala Kedah dan Ahli Perhubungan PAS Negeri Kedah. Kemudian beliau menganggotai jawatankuasa PAS Kedah. Penonjolan daya kepimpinannya semakin cemerlang telah menyakinkan anggota parti untuk melantik beliau sebagai Naib Yang Dipertua PAS Pusat sepenuh masa tahun 1981 hingga 1983. PAS telah menghadapi transformasi kepimpinan pada tahun 1982 apabila Dewan Pemuda Pusat mengusulkan kepimpinan ulama’. Ustaz Fadzil adalah barisan ulama’ muda yang diberikan ruang untuk memimpin pergerakan Islam kontemporari paling tua di Malaysia.

Bintang beliau seumpama kejora di dada langit malam, pada tahun 1983 beliau telah dilantik menjadi Timbalan Yang Dipertua PAS sebelum diberikan kepercayaan penuh oleh seluruh ahli PAS untuk menjadi Yang Dipertua PAS pada tahun 1989. Pembabitan awal Ustaz Fadzil di dalam kancah politik pilihan raya bermula tahun 1978, di mana PAS telah memberi mandat kepada beliau untuk bertanding di negeri Kedah dalam pilihan raya umum iaitu di kawasan Parlimen Kuala Kedah dan DUN Alor Merah. Bakat dan potensi beliau sejak awal telah dihidu oleh pimpinan PAS Kedah seperti Dato’ Abu Bakar Umar yang mempelawa Ustaz Fadzil untuk membantu PAS di Kedah. Beliau dilihat anak muda yang akan mengisi barisan hadapan parti itu di Kedah apatah lagi dengan pengalamannya yang memimpin ABIM dan organisasi mahasiswa semasa menuntut di Mesir. Dalam pilihanraya tahun 1978 beliau kalah kepada Senu Abdul Rahman, namun pilihanraya itu telah memperkenalkan almarhum kepada pengundi kawasan itu.

Pada tahun 1980, beliau sekali lagi bertanding dalam pilihan raya kecil di kawasan DUN Bukit Raya berikutan kematian ahli DUN tersebut. Tahun 1982 beliau sekali lagi bertanding di kawasan DUN Bukit Raya dan seterusnya berjaya mempertahankan kerusi di kawasan itu selama empat penggal berturut-turut sehingga Pilihan Raya Umum 1995.

Pada 1982 beliau menang dengan mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Haji Safirol Haji Hasim dan calon bebas Mohd Mokhtar Abdullah dengan Majoriti 346 undi, 1986 menang dengan majoriti 2,215 undi mengalahkan calon BN Ahmad Zakuan Haji Ahmad, 1990 mengalahkan calon BN Dato’ Syed Mansor Barakbah dengan majoriti 1,829 dan pada Pilihan Raya Umum 1995 mengalahkan calon BN juga iaitu Fadzil Hanafi dengan majoriti 2,414. Pada Pada Pilihan Raya Umum 1999, Ustaz Fadzil mencatat dua kejayaan. Dalam Pilihan Raya Parlimen, beliau menewaskan bekas Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Othman Abdul (calon BN) di Pendang. Allahyarham mendapat 22,413 undi berbanding 19,474 undi oleh Othman. Kejayaan ini sangat manis kepada PAS kerana inilah sejarah PAS menang paling besar dalam merebut kerusi parlimen (menang 27 kerusi parlimen).

Di DUN Anak Bukit, Allahyarham mendapat 8,480 undi menewaskan calon BN, Dato’ Abdullah Hasnan Kamaruddin yang mendapat 6,640 undi. Kemenangan ini cukup manis kerana DUN ini adalah berada di pinggir bandar yang menandakan golongan kelas menengah menyokong perjuangan Islam termasuk orang bukan Islam. DUN anak Bukit adalah DUN baru yang dipecahkan melalui persempadanan semula kawasan pilihanraya dan tuah telah menyebelahi Ustaz Fadzil manakala Mohamad Sabu telah memenangi Parlimen Kuala Kedah. (Perlu diingat bahawa Mohd Sabu hanya menang kurang daripada seribu undi) maknanya Ustaz Fadzil telah mendapat banyak undi peribadi daripada luar kelompok PAS. Allahyarham juga berusaha keras agar Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang zalim dimansuhkan , akta tanpa bicara itu telah memberangus lebih 4000 orang mangsa sejak diperkenalkan pada tahun 1960, al marhum cukup dekat dengan kesengsaraan mangsa-mangsa tahanan ISA tanpa mengira latarbelakang mereka, samada daripada kalangan ahli PAS atau pun tidak. Beliau sangat konsisten dalam menentang akta ini kerana akta ini telah menjaring ramai ahli-ahli PAS dan juga aktivis ABIM sebelumnya.

Pada kira-kira jam 10.30 pagi 23 Jun 2002, Ustaz Fadzil menghembuskan nafas terakhir untuk menghadap Maha Pencipta, Allah SWT. Berbondong-bondong manusia menyerbu Hospital HUKM Kuala Lumpur, menyolati jenazahnya di Madrasah Mustaqimah bandar Tun Razak malah ratusan ribu yang lain telah berhimpun di Kedah untuk menghantar mujahid ulung ini, pemimpin yang akan terus tersemat ingatan tentangnya dihati setiap manusia yang berada dipelantar zamannya. Beliau mewasiatkan untuk disemadikan di tanah Muasassah Darul Ulum yang telah dibangunkan oleh al marhum untuk merealisasikan kompleks pendidikan PAS Kedah. Manusia telah bertali arus mendatangi Muasasah Darul Ulum untuk menziarahi makam beliau yang sangat sederhana, tanpa binaan megah melainkan sentiasa didatangi pengunjung untuk menitip doa kepada mujahid yang telah mewakafkan kehidupannya untuk perjuangan Islam. Semasa saat-saat akhir untuk urusan pengebumian, langit tenang seolah turut berduka, ribuan mata merah berair kesedihan dengan tazkirah ringkas daripada Tuan Guru Mursyidul Am yang sarat dengan makna mendalam seumpama tazkirah Saidina Abu Bakar di hari kewafatan Rasulullah. Kematian adalah kepastian kepada sebuah perjalanan hidup, tinggal lagi bagaimana kita akan memberi makna kepada kehidupan itu.

Oleh: Riduan Mohamad Nor
(Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat)

Khamis, Jun 23, 2011

Presiden PAS seru semua ahli sertai BERSIH 2.0


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 23 Jun: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengarahkan semua ahli dan penyokong PAS agar datang ke Kuala Lumpur pada 9 Julai ini bagi menyertai perhimpunan Bersih 2.0.

"Saya menyeru semua ahli dan penyokong PAS menyertai perhimpunan Bersih 9 Julai ini untuk menuntut pilihan raya yang bersih dan adil," kata Abdul Hadi dalam sidang media bersama Harakah di Pejabat Agung PAS, dekat sini sebentar tadi.

Perhimpunan Bersih 2.0 akan diadakan di Kuala Lumpur 9 Julai ini. Pengerusi Bersih 2.0 adalah bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Srenevasan.

Anggotanya terdiri dari para pemimpin NG0 manakala PAS, PKR dan DAP menyokong perhimpunan itu.

Isnin, Jun 20, 2011

Kempen 'politik gambar' mudah difahami

Harakahdaily

SHAH ALAM, 20 Jun: Kemenangan hatrik Parti Kebajikan (AK) Turki dalam pilihan raya umum negara itu sudah dapat diteka sejak awal lagi ekoran gerakan kempen menarik dan terkini terutama menerusi paparan gambar-gambar besar.

Ketua Editor Harakahdaily, Zulkifli Sulong yang meninjau suasana pilihan raya negara itu baru-baru ini berkata, rakyat sangat merasai kehadiran AK kerana bijak menampilkan kegiatan kebajikan parti itu menerusi gambar-gambar besar di merata tempat strategik.

Menurutnya, rakyat sudah nampak paparan itu dari jauh kerana ukuran gambar itu sangat besar seperti billboard di negara ini yang diletakkan gambar terbaik dan mempunyai mesej segera faham.

“Saya namakan gerakan kempen ‘politik gambar’ mereka ini sebagai Poligam dan yakin jika kita dapat lakukan perkara sama dari sekarang, rasanya rakyat juga akan mudah menilai dan memberikan sokongan kepada kita.

“Jangan fikir masalah dulu, sekarang cari jalan bagaimana untuk melaksanakannya dan saya yakin PAS Shah Alam dan juga kawasan lain seluruh Malaysia dapat laksanakan Poligam ini menuju PRU13,” cadang beliau.

Beliau berkata demikian ketika memberi pengisian dalam Kursus Penulisan Berita dan Laporan anjuran PAS Kawasan Shah Alam dengan kerjasama Lajnah Penerangan, Dakwah dan IT Dewan Muslimat PAS.

Seramai 28 peserta menyertai kursus itu yang turut dipenuhi slotnya oleh Editor Nasional Akhbar Harian, Editor Nasional Sinar Harian, Mazlinda Mohd Nor dan Wartawan Harakahdaily, Ismail Hashim.

Ia diadakan di Dewan MPP Zon 1, Seksyen 4, di sini dari 8.30 Pagi hingga 5.30 petang, dirasmikan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan, Haji Azli Yusof.

Dalam ucapannya, Azli berkata, penulisan yang baik dan bernilai memainkan peranan penting dalam usaha memberi kesedaran kepada anggota masyarakat untuk melakukan perubahan termausk dalam politik negara.

“Bahan penulisan seringkali menjadi alat untuk melelapkan jika tidak mengantuk dan sewajarnya juga dijadikan mekanisme untuk seseorang lebih maju, berpengetahuan dan berfikiran luas dengan membaca tulisan terbaik,” katanya.

Penganjur program mengharapkan kombinasi pengisian teori dan amali selama sehari ini akan dapat dimanfaatkan oleh peserta termasuk untuk mengisi ruang dalam Shah AlamKini, sebuah akhbar lapan muka terbitan PAS kawasan.

Ketua Penerangan PAS Kawasan, Mohd Ismahali Redzwan Ismail dalam ucapan aluannya, berharap lebih banyak bahan untuk Shah AlamKini diterima selepas ini dengan lahirnya wartawan pelatih yang mendapat pendedahan asas penulisan ini.

Bengkel disertai oleh Nur Fatin Abdul Razak, Azlina Wahab, Rohani Abdul Rahman, Jahar Somingan, Harisah Bahudin, Ahmad Zainal Roozi Abdul Hamid, Hamzah Ahmad Zainal Roozi, Azlina Ahmad, Haji Safwan Zubir, Haji Abdul Aziz Isa, Faridah Anu Bakar, Fara Md Ramdani, Nordianah Bachok, Norazlin Mohamed Ariff, Emmanina Subpei, Hamidah Abdullah, Samsiah Abdul Hamid, Daliela Ishamuddin, Bahrim Yunos, Radhiah Soleh, Tengku Mohd Affandi, Suhaida Bakar, Zarida Abdul Rahman, Hannah Abdullah, Mohd Nizam Satek, Nooriyah Mohamed Ali, Radziah Haji Ishak dan Anees Solihin Aman.

Sementara itu, Zulkifli di dalam ucapan juga menyebutkan antaranya sedutan dari artikel beliau bertajuk: Belajar dari AKP untuk menang PRU-13 (http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/3805-belajar-dari-akp-untuk-menang-pru-13)

MARA KE PUTRAJAYA


Kalau menang, Pakatan dah sedia jawatan untuk Najib
Nazri Abdullah

SHAH ALAM, 19 Jun: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Umno BN sedang berusaha keras mencari jalan memecahkan perpaduan di antara PAS, PKR dan DAP.

Bercakap sewaktu menyampaikan ucapan penggulungan di Konvensyen Pilihanraya Keadilan di sini, beliau mengingatkan seluruh pemimpin dan ahli PKR di segenap peringkat agar bersedia menghadapi taktik kotor Umno BN.

Umno BN, jelasnya kini terdesak dan akan menghalalkan segala tindakan bagi memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

"Pastikan hubungan kita dengan PAS dan DAP erat kerana Datuk (Seri) Najib (Razak) masih merencana bagaimana nak pecahkan kita.

"Mereka menggunakan polisi penjajah iaitu pecah dan perintah. Kita harus waspada", katanya dihadapan lebih 4,000 ahli PKR yang hadir dari seluruh negara memenuhi Dewan Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).

Antara taktik kotor Umno BN itu jelasnya, tindakan "membeli" pemimpin tertentu dari Pakatan Rakyat untuk dijadikan "tukang karut" menghentam dan memfitnah pemimpin dan dasar Pakatan Rakyat.

"Menjelang pilihan raya harga naik, bukan harga barang tapi harga tokoh-tokoh khianat.

"Mereka akan cari, tak dapat pemimpin kanan, pemimpin negeri. Tak dapat negeri, pemimpin cabang. Tak dapat cabang, pemimpin ranting. Tak dapat ranting, pemimpin tewas termasuk yang gagal menjadi calon", katanya melontar jangkaan.

Sehubungan itu beliau memberi ingatan kepada seluruh ahli PKR bersedia berdepan bakal "pengkhianat" itu.

Mengulas peluang Pakatan Rakyat pada PRU-13, Anwar yang juga Ketua Pembangkang yakin jalan ke Putrajaya makin hampir.

"Kalau tidak kerana penyelewengan dan taktik kotor Umno BN pada PRU 2008, tak payah tunggu 2011 ni, sekarang ini kita sudah berada di Putrajaya," jelasnya disambut sorakan hadirin.

Namun apa yang penting tegasnya, setiap ahli perlu berkerja keras bukan sahaja menyampaikan maklumat sebenar kepada pengundi, malah menyekat taktik kotor Umno BN itu jika mahu menguasai Putrajaya pada PRU akan datang.

"Ada PRU kita menang insya Allah... Ada kata worst case scenario, Anwar masuk penjara. Saya kata Anwar masuk penjara, tapi kita menang.

"Satu lagi best case scenario, Anwar tak masuk penjara, dan kita menang," katanya disambut tepukan gemuruh hadirin.

Konvensyen pilihan raya Keadilan merupakan kali pertama seumpamanya di Malaysia dan belum pernah diadakan mana-mana parti politik lain sebelum ini.

Dengan tema "Demi Rakyat" konvensyen itu menghimpunkan perwakilan PKR dari seluruh negara untuk mendengar amanat pimpinan tertinggi menjelang pilihan raya umum ke-13 yang mungkin berlangsung pada bila-bila masa sahaja.

"Ada orang tanya, kalau Pakatan menang, apa nak buat dengan Datuk Najib. Tak mengapa, kita dah sedia jawatan untuk dia," kata Anwar.

Jumaat, Jun 17, 2011

AMBIL 20 SEN... BAGI BALIK 10 SEN

Kita menyambut baik sebarang penurunan harga minyak ...
Tapi biarlah penurunan itu memberi kesan kepada kepentingan rakyat .... khususnya masyarakat bawahan ...
Naik 20 sen .... turun 10 sen .... macam tak turun la juga la ...
Rata-rata rakyat miskin berpendapatan rendah menggunakan minyak RON 95 ....
Kereta kami menggunakan RON 95 .... RON 97 yang turun .... kami peduli apa???


Siapa Peduli RON 97 Turun 10 Sen
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 17 Jun: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan tidak melihat tindakan kerajaan menurunkan harga petrol RON 97 mulai tengah malam tadi sebagai satu langkah yang terdesak tetapi tidak mampu menurunkan harga barang di pasaran yang kian naik hari ini.

Ketua penerangannya, Herman Samsudeen berkata penurunan itu juga tidak akan menghentikan mogok yang dilakukan oleh nelayan dan pemandu teksi hari ini. Menurutnya, majoriti rakyat dan kumpulan industri menuntut kerajaan agar tidak memansuhkan subsidi bagi diesel, RON 95 dan gas asli kerana itulah bahan api yang banyak digunakan.

Katanya, malang sekali yang turun hanya RON 97, itu pun hanya turun sebanyak 10 sen berbanding kenaikannya pada 5 Mei lepas sebanyak 20 sen.

“Kini harga RON 97 bernilai RM2.80, tapi siapa peduli kerana rakyat tahu kerajaan akan menaikkannya semula selepas ini dengan harga yang tinggi,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Malah, katanya peniaga yang telah menaikkan harga barangan mereka sebelum ini tetap tidak akan turunkan harga.

Baginya, alasan penurunan itu yang kononnya dibuat atas sensitiviti kerajaan terhadap harga minyak dunia yang turun juga begitu naif.

In, ujarnya kerana jika benar itu alasan yang mereka mahu gunakan, maka harga minyak petrol RON 95, diesel dan gas asli juga hendaklah diturunkan juga, barulah ia mengikut trend semasa.

Beliau menambah, walau apa pun alasannya, jelas penurunan itu bermotifkan politik dan mahu meraih sokongan rakyat yang kini begitu marah sehingga melakukan mogok atau demonstrasi di sana sini.

Katanya lag, Barisan Nasional kini mulai sedar bahawa mereka memerlukan sokongan penuh rakyat sebagai persiapan pilihan raya.

Justeru, katanya mereka mahu kemarahan rakyat harus diredakan segera, mogok, demonstrasi dan komen-komen pasal kenaikan harga harus segera dihentikan.

“Buatlah apa sahaja, selagi pemimpin BN tidak menghentikan pembaziran dan salah guna kuasa, mementingkan kroni IPP mereka, masih mahu melindungi kepentingan mereka dan meneruskan hasrat mengurangkan subsidi untuk rakyat dan melaksanakan GST, maka rakyat pasti akan membuat perhitungan untuk mereka dalam PRU 13 nanti.

“Tumbangkan BN, rakyat akan lebih sejahtera,” ujarnya.

Selasa, Jun 14, 2011

NEGARA KEBAJIKAN MENGIKUT FEQAH POLITIK ISLAM

Subky Latif

SEPANJANG pimpinan Dr. Burhanuddin al-Hilmy dalam PAS banyak yang disarankannya tentang pengisian sebuah negara merdeka Islam mengikut konsep Baldatun Toyibatun Warrabun Ghaffur yang diterjemahkannya sebagai membentuk negara berkebajikan yang mendapat restu – keredhaan – Allah.

Dalam Muktamar PAS ke 57 awal Jun lalu Presidennya Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang menyarankan sasarannya dalam muafakat Pakatan Rakyat bagi Membangun Negara Berkebajikan sebagai thema Ucapan Dasarnya.

Sarjana lepasan Oxford yang memimpin Pemuda UMNO mengira saranan negara kebajikan yang PAS hidupkan semula itu telah lari dari pejuangan asalnya bagi mendirikan negara Islam.

Menteri Nazri Aziz mengiranya ia meniru apa yang UMNO/BN laksanakan selama ini. Perdana Menteri Najib mengira ia bukan suatu yang bagi kerajaan dan parti yang diwarisinya, manakala Muhyiddin Yassin pula mengira PAS cuba buat yang sama dengan yang UMNO buat.

Ustaz Haji Hadi berjaya menarik perhatian semua pemimpin Barisan Nasional apabila sekaliannya segera memberi reaksi yang berbagai-bagai mengikut pengajian dan fahaman mereka.

Sarjana lepas Oxford ternyata gagal memahami ajaran Islam tentang kenegaraan dan pemerintahan. Atau cetek pengetahuannya mengenai subjek itu sekali pun dia pernah berkhidmat dengan ISIS, satu istitusi yang menghilang semua pemikiran dan perkembangan dunia.

Tidak sampai pengajian orang di Universiti Oxford bahawa pengisian negara berkebajikan itu adalah antara isi negara Islam. Kalau negara Islam itu ditakuti oleh orang-orang jahil kerana disangka kerjanya adalah untuk memotong tangan pencuri dan merejem penzina tetapi dengan tertegaknya negara kebajikan mengikut feqah politik Islam dapat menambah jelaskan bentuk dan corak negara Islam itu.

Yang takut kepada Islam selama ini mulai melucutkan perasaan itu hingga ramai yang mendaftar diri menjadi anggota Dewan Himpunan Penyokong PAS. Masyarakat bukan Islam dunia sendiri kian bersungguh menerima konsep makanan halal dan sistem perbankan Islam.

Semuanya itu adalah sebahagian dari pengisian muamalat Islam dalam cara pemerintahan Islam. Bukanlah Islam itu sekadar solat, jihad, puasa dan menutup aurat bagi wanitanya saja, tetapi dalam negara Islam itu ada konsep negara kebajikannya.

Kalau negara Islam itu menyukarkan orang memahaminya tetapi negara kebajikan itu menyenangkan orang menyukainya. Kafir Quraisy Mekah enggan menerima perdamaian Hudaibiyyah yang dibuat dengan Muhammad Rasulullah tetapi bersetuju dengan perjanjian yang dibuat dengan Muhammad saja sekali pun isi perjanjian itu sama.

Kalau Islam digeruni oleh kebanyakannya tetapi kebajikan itu disukai oleh semuanya. Dalam pendekatan dakwah, apa saja kaedah yang menarik orang ramai yang tidak bercanggah dengan sunnah Allah dan sunnah RasulNya adalah wajar dan dikehendaki.

Tidak berbangkit kebajikan yang disarankan PAS meniru mana-mana politik dunia kerana kebajikan yang hendak diserlahkan adalah bersandar kepada feqah politik Islam.

Negara kebajikan yang mendapat restu-keredhaan Allah adalah ajaran al-Quran yang sudah disebutkan oleh Dr. Buhanuddin sejak sebelum negara merdeka dan sebelum bonda dan ayahanda Khairy Jamaluddin kahwin. Demikianlah tuanya konsep negara kebajikan itu pada PAS.

Tiadalah meniru PAS akan konsep itu dari UMNO kerana kebajikan yang difahami dan diamalkan oleh UMNO ialah mengikut politik dunia dan sekular yang menghalalkan cara sedang kebajikan PAS itu adalah mengikut kehendak feqah politik Islam.

Kalau ulama yang tidak berpijak kepada feqah politik Islam boleh terjerumus dalam UMNO maka apa lagilah yang sekadar mengaji di Oxford dan Cambridge serta yang sekadar bersekolah atap dan tidak pernah menjejak kaki di tangga sekolah pondok.

Amat dibimbangi ulama yang tidak memahami feqah politik Islam lebih lemah fahamannya tentang politik Islam dari anggota Dewan Himpunan Penyokong PAS. Mungkin yang layak berdebat dengan ulama UMNO adalah anggota kelab menyokong PAS – bukan ulama PAS.

Tentang perintahan kebajikan yang Ustaz Hadi sarankan itu ialah ‘PAS wajib menghapuskan budaya mendapat hasil secara membebankan rakyat yang menjadi amalan kerajaan UMNO/BN sehingga mengambil kesempatan mendapatkan hasil melalui rukun hidup rakyat. Rakyat yang berniaga terpaksa berdepan dengan kerajaan yang berniaga. Kerajaan yang berniaga melalui GLC pula mengagihkan keuntungan kepada pemegang saham kroni tertentu, manakala kerugian peniagaan ditanggung oleh kerajaan, yang akhirnya dibebankan kepada rakyat menerusi sistem cukai yang menekan mata pencarian hidup rakyat biasa.’

Sistem kebajikan UMNO membawa kepada duiawi dan rasuah, sistem negara kebajikan yang PAS mahu bagi membawa pahala dan menjauhkan dosa.

Sabtu, Jun 11, 2011

SIAKAP MINTA IKAN DURI BERHENTI BERBOHONG

Siakap Senohong....
Gelama Ikan Duri...
Bercakap Bohong...
Lama-lama Mencuri...

Ikan Siakap yang lebih bernilai dan mahal harganya amat tidak suka dengan perangai ikan duri....
Ikan duri dah la tak laku jual.... terpaksa berauta untuk cari publisiti...

Guan Eng Minta Soi Lek Henti Berbohong
Harakahdaily



KUALA LUMPUR, 10 Jun: Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang mempunyai rekod yang tidak tercela dengan lebihan bajet (surplus) untuk tiga tahun berturut-turut sejak mengambil alih tampuk pada 2008 berlandaskan konsep Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT).

Justeru, Ketua Menteri, Lim Guan Eng (gambar) meminta Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berhenti daripada terus melakukan pembohongan kepada diri sendiri.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan Soi Lek dalam satu wawancaranya bersama Malaysiakini yang disiarkan secara penuh dalam The Star hari ini mengatakan bahawa ‘Pulau Pinang telah membenarkan kenaikan tarif air sebanyak 20 peratus dan kini Pulau Pinang sedang mengalami bajet defisit, di mana akan menjadi lebih teruk menjelang tahun hadapan’.

“Perkara ini adalah tidak benar sama sekali kerana Pakatan Rakyat Pulau Pinang mencatat rekod lebihan bajet untuk tiga tahun berturut-turut sejak mengambil alih tampuk pemerintahan BN pada tahun 2008 atas amalan bebas rasuah dan urus tadbir yang berasaskan CAT,” katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Ini, katanya turut disahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara di mana Pulau Pinang merupakan negeri yang mempunyai pengurusan kewangan yang baik selama dua tahun berturut-turut.

Tambahnya, Pulau Pinang merupakan satu-satunya kerajaan negeri atau negara yang telah dipuji oleh Tranparency International di Malaysia kerana berjaya memerangi rasuah.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, Pulau Pinang mencatat surplus yang paling tinggi dalam sejarah dengan RM88 juta pada 2008, RM77 juta (2009) dan RM33 juta (2010).

Jelasnya, anggaran surplus pada tahun 2009 sepatutnya bernilai RM92 juta jika kerajaan negeri tidak perlu membayar RM15 juta atas perintah Mahkamah Tinggi disebabkan skandal tanah Tang Hak Ju yang telah dilakukan oleh Kerajaan BN sebelum ini.

Menurutnya, dengan pengurusan kewangan yang baiklah telah membolehkan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang mengagihkan RM12 juta setahun kepada Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Mubaligh, Sekolah Cina, Sekolah Tamil dan Sekolah Sikh.

“Adakah RM12 juta juga diberikan oleh Kerajaan BN sebelum ini?” soalnya.

Beliau menjelaskan Pulau Pinang tidak menaikkan tarif air untuk pengguna domestik malah telah membiayai subsidi yang besar, tetapi mengenakan surcaj pemuliharaan air kepada mereka yang membazirkan air.

Baginya, Chua tidak jujur kerana memutar belitkan perbezaan itu.

Katanya, keengganan Pakatan Rakyat menaikkan tarif air kepada pengguna domestik telah dikutuk hebat oleh NGO yang menginginkan kenaikan tarif air bagi mengurangkan pembaziran air.

Tambahnya, tarif air hanya dinaikkan untuk perniagaan sahaja setara dengan kos pengeluaran.

“Sekiranya Chua tidak gembira dengan kenaikan ini, mengapa beliau tidak menentang kenaikan tarif air di Johor, yang mana tarif air di Johor adalah 3-6 kali lebih tinggi daripada Pulau Pinang?” soalnya lagi.

Menurutnya, Pulau Pinang masih menikmati tariff air yang terendah bagi kedua-dua domestik dan perniagaan di negara ini.

Disebabkan tarif air yang rendah, katanya Pulau Pinang menanggung penggunaan air yang tertinggi dengan purata 291 liter seorang, sehari untuk tahun 2010 berbanding purata kebangsaan sebanyak 205 liter sahaja.

Beliau menambah, prestasi kewangan Pakatan Rakyat Pulau Pinang bukan hanya untuk pentadbiran kerajaan negeri sahaja tetapi juga telah menyelamatkan MPSP daripada menjadi muflis.

Jelasnya, dari tahun 2000- 2007, MPSP terpaksa menanggung defisit setiap tahun di mana, kehilangan RM230 juta yang telah dibelanjakan oleh kerajaan negeri BN sebelum ini.

Katanya, MPSP berada dalam keadaan muflis secara praktikal semasa Pakatan Rakyat mengambil alih negeri ini.

Walau bagaimanapun, ujarnya hanya dalam masa satu tahun, Kerajaan CAT Pakatan Rakyat berjaya menyelamatkan MPSP daripada terus muflis dengan mencatatkan sedikit surplus pada tahun 2008 dan seterusnya untuk tiga tahun berturut-turut iaitu 2008 (RM3 juta), 2009 (RM15 juta) dan 2010 (RM23 juta).

Mengenai kenyataan Chua bahawa ‘BN mempunyai banyak kelemahan, kegiatan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan tidak melakukan seperti yang dikatakan’, Lim menjelaskan kehilangan RM230 juta di MPSP dan RM40 juta ke atas skandal tanah Tang Hak Ju merupakan contoh terbaik kegiatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

“Manakala kenyataan BN tidak melakukan seperti apa yang dikatakan, Chua seharusnya merujuk kembali janji-janji yang telah beliau taburkan ketika pilihan raya pemilihan presiden MCA yang lepas,” ujarnya.

Tambahnya, tidak diragukan sememangnya Pulau Pinang menunjukkan prestasi yang jauh lebih baik daripada BN.

Katanya, keyakinan diiringi dengan kejayaan Pulau Pinang mencatat jumlah pelaburan yang tertinggi dalam sejarah dan menduduki tempat pertama di Malaysia sebanyak RM12.2 bilion.

Pulau Pinang juga, ujarnya mengalami penurunan indeks jenayah yang tertinggi di Malaysia dengan penurunan sebanyak 27 peratus.

Beliau berkata, Pulau Pinang juga menduduki tempat pertama dalam sektor pelancongan kesihatan dan pertumbuhan penumpang udara sebanyak 25 peratus di negara ini.

“Chua seharusnya mencari kebenaran melalui fakta, bukannya berbohong dengan memutar belitkan fakta semata-mata untuk meraih populariti dan menyerang PR.

“PR tidak sempurna dan bersedia untuk memperbaiki setiap kelemahan yang dilakukan tetapi PR berbeza dengan BN kerana PR tidak memanjakan diri dengan rasuah dan kroni,” katanya.


Jumaat, Jun 10, 2011

SIAPA GILA KUASA??


Rampas Kuasa Daripada Puak Gila Kuasa
Aziz Muda


KUALA LUMPUR, 10 Jun: Para pemimpin PAS sememangnya wajar menjadi 'gila kuasa' untuk ke Putrajaya, bagi membolehkan PAS dan Pakatan Rakyat merampas kuasa pemerintahan daripada puak yang gila kuasa sekarang.

Sehubungan itu, para pemimpin dan ahli-ahli PAS tidak perlu risau dengan dakwaan Umno yang mengatakan para pemimpin PAS kini gila kuasa yang dikaitkan dengan pemilihan barisan kepimpinan sesi 2011-2013 pada Muktamar PAS Ke-57 pada 3 hingga 5 Jun lalu.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (gambar) berkata, para pemimpin Umno BN yang sememangnya sudah diketahui umum yang gila kuasa sudah tidak sepatutnya dibiarkan terus memerintah negara demi kepentingan negara dan seluruh rakyat negara ini.

Menurut beliau, semenjak Umno BN memerintah, rakyat bukan semakin senang, malah semakin terhimpit dalam hidup akibat tindakan tidak sepatutnya yang dilakukan oleh para pemimpin Umno BN.

Katanya, antara tindakan tidak bertanggungjawab yang dilakukan oleh Umno BN termasuklah menaikkan harga barangan keperluan utama sehingga amat menyusahkan rakyat.

"Dalam masa yang sama, indeks rasuah dan jenayah dalam negara semakin meningkat sehingga amat mencemaskan rakyat," katanya pada program rakaman Persepsi Harakahdaily di pejabat Harakahdaily, di sini, petang semalam.

Demi kepentingan negara dan seluruh rakyat, menurut beliau, PAS perlu merampas kuasa dari Umno BN bagi melakukan perubahan di negara ini dengan corak pemerintahan yang jauh lebih baik dari Umno BN itu sendiri.

"Jadi kalau mereka (Umno BN) kata kita gila kuasa, memang benarlah kita gila kuasa kerana kita nak rampas kuasa dari orang gila kuasa yang sudah tidak boleh dibiarkan lagi memerintah negara.

"Kalau dibiarkan Umno BN terus memerintah, negara pasti menjadi bertambah teruk dan rakyat pasti menjadi semakin susah dari sehari ke sehari," katanya.

Jika PAS tidak merampas kuasa dari Umno BN, katanya, PAS dan Pakatan Rakyat tidak boleh memerintah bagi melakukan perubahan, sedangkan dalam masa yang sama rakyat sudah tidak tertahan berada di bawah pemerintahan Umno BN dan berharap kepada PAS untuk melakukan perubahan itu.

Bagi merealisasikan perubahan itu, PAS menjanjikan negara berkebajikan kerana ia selaras dengan tuntutan Islam, bagi menbela rakyat dalam segala aspek dan di semua peringkat.

"Jika PAS dan Pakatan Rakyat diberikan mandat memerintah negara, rakyat bolehlah menilai sendiri tindakan yang kita lakukan selaras dengan janji kita itu.

"Sekiranya janji itu tidak kita tunaikan dan pemerintahan Pakatan Rakyat tidak juga berubah tetapi sama juga dengan Umno BN, rakyat berhak menumbangkan kembali kerjaaan Pakatan Rakyat," tegasnya.

Namun sekira PAS dan Pakatan Rakyat memerintah, katanya, rakyat pasti dapat melihat perubahan yang dijanjikan itu dalam negara ini kerana para pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat amat jauh berbeza dengan para pemimpin Umno BN.

"Umno BN bukannya membela rakyat. Mereka sebenarnya gila kuasa kerana untuk kepentingan mereka sendiri. Mereka tak hirau pun tentang rasuah dan jenayah sebab itulah indeks rasuah dan jenayah dallam negara tak menurun.

"Mereka gunakan wang negara dengan sewenang-wenangnya untuk kepentingan peribadi mereka, termasuk untuk menyelesaikan urusan pertunangan anak di Khazastan, pada hal itu urusan keluarganya, bukannya urusan negara dan wang yang digunakannya itu wang rakyat," katanya.

Begitu juga dengan isteri Perdana Menteri, ujarnya, yang juga selalu ke luar negara dan turut menggunakan wang rakyat dengan begitu banyak untuk kepentingan peribadi dan keluarganya.

"Semua itu hanyalah sebahagian contohnya yang boleh dinilai sendiri oleh rakyat bagaimana teruknya pemimpin Umno BN.

"Itu semua tidak akan dilakukan oleh para pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat jika diberikan mandat memerintah negara kerana kita sememangnya berbeza dengan mereka," ujar beliau.

Khamis, Jun 09, 2011

SIAPA PEMBELA MELAYU??


Menjawab Tuduhan Khairy Jamaluddin

Idris Ahmad


Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda Umno mendakwa hanya Umno pembela Melayu di negara ini. Lain daripada Umno, bukan pembela Melayu. Persoalannya benarkah Umno pembela Melayu. Tidak malukah Khairy yang mendakwa bahawa Umno pembela orang Melayu, hakikatnya Umno hanya mengguna Melayu untuk membela pemimpin Umno bukan bela Melayu jauh sekali untuk mengangkat agama di tempat yang sepatutnya.

Beliau juga menyebut fakta yang tidak betul ketika berucap di Persidangan Perwakilan Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Pontian di Dewan Besar Maktab Rendah Sains Mara (MSRM) Pontian yang mendakwa PAS ditubuhkan kerana Ustaz Haji Ahmad Fuad kalah menentang Datuk Onn Jaafar di dalam mesyuarat Agung Umno. Faktanya bukan Ustaz Haji Fuad kalah melawan Dato' Onn Jaafar, tetapi tewas dengan dengan Tunku Abdul Rahman merebut jawatan Yang Dipertua Umno. Seorang lagi calon ialah CM Yusuf. Khairy juga salah fakta mengenai perkara tersebut, kerana apa yang berlaku ialah tarikh pertandingan dalam Umno ialah 25 Ogos 1951 sedangkan mesyuarat di kalangan ulamak untuk menubuhkan PAS kali kedua pada 23 Ogos 1951 di Padang Kelab Sultan Sulaiman. Mesyuarat ulamak dahulu daripada tarikh pertandingan Haji Ahmad Fuad dengan Tunku Abdul Rahman. Di manakah fakta beliau dapat?

Perlu diingatkan penubuhan PAS bukan kerana kecewa tidak mendapat jawatan dalam Umno, tetapi kerana teguran ulamak mengenai isu agama tidak dipedulikan antaranya isu judi. Ulamak merasakan perlu menubuhkan badan yang bebas untuk memberi tekanan kepada Umno dalam hukum agama.

Menjawab tuduhan yang mengatakan penubuhan PAS memecahbelahkan perpaduan Melayu juga ditolak. Sebenarnya penubuhan Umno menyebabkan Melayu berpecah, kerana sebelum Umno sudah ada Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan pada tahun 1945. Umno ialah parti restu penjajah, sebab itu Umno tidak diharamkan ketika Ordinan Dharurat 1948 walaupun semua parti diharamkan seperti PKMM dan Hizbul Muslimin.

Beliau menuduh Melayu terbela di bawah Umno? Sudah 54 tahun merdeka, keadaan ekonomi jauh terkebelakang berbanding dengan Cina, India. Apa yang Umno lakukan untuk orang Melayu sehingga tertinggal ke belakang. Bukankah 2/3 anggota kabinet orang Melayu? Bukankah pegawai tertinggi orang Melayu.

Maka jalan pintasnya untuk menutup bangkai gajah, maka Umno menuduh ini angkara bukan melayu dengan meniupkan sentimen kaum.

Di sini adalah sebahagian jawapan yang membuktikan Umno gagal membela Melayu.

1. Umno menggunakan konsep "Umno Putera" bukan "Bumiputera", akhirnya yang ketinggalan orang Melayu.

2. Apabila jawatan di dalam Umno untuk mengaut keuntungan bukan untuk bela melayu, akhirnya mereka rebut harta, Melayu merempat merata-rata.

3. Menindas sesama bangsa kerana berlainan ideologi walaupun dari segi merit dan kebolehan ada kepada orang Melayu contohnya dalam soal perniagaan.

4. Menafikan royalti kepada Kelantan walaupun Kelantan negeri majoriti Melayu.

5. Macam mana melayu hendak terbela, minyak yang sepatutnya mendarat di Kelantan sebaliknya dibawa ke pantai Songkla Siam walaupun jaraknya lebih jauh daripada pantai Kelantan. Jarak ke Kelantan hanya 150 kilometer, berbanding ke Songkla Thailand 270 kilometer.

6. Melesapkan RM52 bilion nilai saham bumiputera. Sepatutnya orang Melayu akan memiliki ekuiti bumiputera melebihi 40 peratus jika benar Umno pembela Melayu.

7. Menyekat 118 projek pusat ke Kelantan sejak Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK 9).

8. Menggadai tanah rezab Melayu 1.3 juta hektar. Penjajah Inggeris tinggal tanah rezab Melayu seluas 3 juta hektar selepas merdeka. Tahun 1995 tanah rezab Melayu hanya tinggal 1.3 juta hektar. Siapa punya angkara? Adakah ini dalil Umno pembela Melayu.

9. Memperkenalkan sains dan metematik dalam bahasa Inggeris, melibatkan pelajar Melayu luar bandar dizalimi kerana kurang pasarana.

10. Menyalah guna hak keistimewaan orang Melayu untuk mendapat projek, kemudian mengagihkan kekayaan sesama kroni, akhirnya melayu terus ketinggalan dari segi taraf hidup.

Ini adalah sebahagian daripada bukti Umno tidak boleh membela Melayu. Maka sampailah masanya PAS Ganti Umno. PAS terbukti dan teruji untuk membela Melayu berbanding dengan Umno. Tuduhan DAP dan PKR mengkhianat Melayu sebagai strategi pencuri menjerit pencuri, supaya orang Melayu emosi untuk terus menyokong Umno walaupun hakikatnya Umno menjaga Melayu seperti serigala menjaga kambing.

Rabu, Jun 08, 2011

JADIKAN MALAYSIA BALDATUN TOYYIBATUN ATAU NEGARA KEBAJIKAN

Mengapa Umno menggelupor dengan negara kebajikan

Harakahdaily

TEMERLOH, 8 Jun: Mengapa Umno menggelupor dengan ‘negara kebajikan’? Ia adalah kerana PAS menawarkan penyelesaian kepada rakyat di tengah-tengah kegagalan Umno BN untuk menjaga rakyat marhaen.

Demikian kata Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika mengulas sikap Umno dan medianya yang terlalu melampau dalam menunjukkan kebimbangannya dengan negara kebajikan itu.

(Gambar: Presiden PAS berucap ketika membentangkan gagasan negara kebajikan di Muktamar PAS ke 57)

“Apabila PAS mengutarakan negara berkebajikan, tak tersangka pula Umno yang mengelupor dengan istilah tersebut, bak kata tok bomoh picit lada hitam pada jari kaki orang masuk hantu. Barangkali memang Umno ini dah lama kena rasuk… Cuma mungkin tak kena cara tiupnya saja.

"Kini, kita boleh lihat dengan nyata bahawa Umno benar-benar terasa dengan istilah ‘negara kebajikan’ ini kerana ia memberi ancaman kepada mereka.

"Maklumlah, PAS menawar sebuah negara berkebajikan di tengah-tengah kegagalan Umno menjaga kebajikan rakyat marhaen demi menjaga hati kroni yang semakin angkuh, sombong dan tamak,” nukil Tuan Ibrahim dalam satu kenyataannya ke Harakahdaily hari ni.

Semenjak Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang membentangkan gagasan penubuhan sebuah negara kebajikan semasa ucapan dasarnya di Muktamar PAS ke 57, pimpinan Umno dan medianya telah menyerang bertubi-tubi untuk menguasai pemikiran rakyat terhadap parti Islam tersebut dengan tuduhan kononnya PAS telah mengubah dasar perjuangan.

“Walhalnya konsep negara berkebajikan, keadilan, keselamatan, kesejahteraan, kemakmuran adalah intipati dari negara Islam,” kata Tuan Ibrahim (gambar).

Istilah ‘negara kebajikan’ yang dilaungkan PAS, kata beliau telah berjaya menunjukkan kepada rakyat isi perut Umno sebenar yang sememangnya ‘rakyat dahulu’ menjadi mangsa dalam segala hal berkaitan dengan program pengurangan subsidi berbanding kroni-kroni Umno BN seperti penjana tenaga bebas (IPP).

Mengenai serangan Umno terhadap pimpinan baru PAS, Tuan Ibrahim berkata selain istilah ‘negara kebajikan’, Umno juga menerima tamparan hebat apabila pewakilan PAS membuat kejutan dengan memilih barisan kepimpinan baru yang di luar jangkaan mereka.

“Kebijaksaan perwakilan membaca keperluan barisan pimpinan bagi mengempur Umno menyebabkan mereka rasa tertekan. Ini dapat dibaca dari luahan kenyataan mereka.

"Mulanya menyerang, kemudian menyatakan bahawa Umno sudahpun melaksana negara kebajikan dan kini bertukar kepada rayuan 'Umno tetap membuka ruang untuk penyatuan Melayu' dan kad simpati dengan mengatakan ‘Umno kecewa PAS tolak perpaduan’ dan sebagainya,” terang beliau.

Selasa, Jun 07, 2011

UMNO BIMBANG TIDAK DAPAT KAWAL MASJID

Harakahdaily

TEMERLOH, 7 Jun: Langkah Umno menentang pemilihan jawatankuasa masjid di Pulau Pinang oleh anak kariah membayangkan ketakutan Umno kalau-kalau cengkaman mereka ke atas masjid di negeri itu hilang.

Ini kerana, sistem melantik pengerusi dan jawatankuasa masjid yang dibuat Umno sebelum ini memastikan Umno mengawal masjid bukannya anak kariah masjid berkenaan.

Sehubungan itu, Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man meminta rakyat negara ini tidak risau tentang isu pemilihan jawatankuasa masjid yang dicadangkan oleh Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) kerana ia bukanlah perkara baru.

Bahkan ia hanya menjadi perubahan mekanisme dengan penggunaan kaedah yang lebih tersusun dan akan terlebih baik, kata Tuan Ibrahim, bekas pensyarah Pendidikan Islam UiTM itu.

“Isu ini tidak sepatutnya menjadi polimik kepartian, kerana ia bukanlah pilihan berdasarkan parti politik. Pemilihan adalah berdasarkan merit seseorang calon pda pandangan ahli kariah.

"Ia sebenarnya jauh lebih baik dari kaedah yang digunakan sekarang apabila kerajaan yang memerintah boleh melantik jawatankuasa tanpa mendapat persetujuan ahli kariah,” kata Tuan Ibrahim (gambar kanan) dalam satu kenyataannya hari ini kepada Harakahdaily.

Beliau meminta semua pihak melihat apa yang berlaku di Selangor sekarang apabila kariah memilih nazir hingga ke jawatankuasa masjid melalui pemilihan anak kariah dan disahkan sahaja oleh Majlis Agama Islam negeri.

Ia telah menyebabkan semua masjid dan surau di Selangor begitu makmur dengan pelbagai program khasnya program ilmu.

"Adakah ini yang ditakuti oleh Umno," soal beliau ketika mengulas bantahan Umno terhadap cadangan Pulau Pinang yang mahu melaksanakan sistem pemilihan untuk jawatankuasa masjid di negeri itu.

Bagi memburukkan keadaan, Umno menuduh DAP mahu menguasai masjid di negeri itu melalui cara ini.

Menjawab balas tuduhan Utusan, setiausaha politik kepada Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Zairil Khir Johari (gambar bawah) berkata DAP tidak terlibat sama sekali dengan soal pengurusan masjid di Pulau Pinang yang berada di bawah pentadbiran Majlis Agama Islam Pulau Pinang.

“DAP tidak ada wakil yang menduduki MAIPP. Jika MAIPP sendiri yang berpendapat langkah itu sesuai, ia terpulang kepada MAIPP dan umat Islam di Pulau Pinang. DAP tidak ada sebarang penglibatan dalam usaha itu,” katanya yang dipetik Roketkini.

Bagi Tuan Ibrahim, hakikat pahit sistem yang ada kini di kebanyakan negeri telah dimonopoli oleh parti yg memerintah bilamana mereka melantik ketua Umno sebagai pengerusi masjid, walaupun ianya berada di kariah lain, bahkan ada juga waktunya mereka yangg dilantik bukan dari kalangan ahli masjid.

“Perlantikan begini menimbulkan rasa tidak puas hati ahli kariah dan pegawai masjid menyebabkan banyaknya masjid mati, tidak berfungsi dan tidak terurus dengan baik.

"Sepatutnya usaha ke arah memperbaiki sistem yang lemah ini mendapat sokongan semua pihak,” terang beliau.

Maka katanya, isu pemilihan masjid ini tidak akan menimbulkan persoalan ia dikuasai parti tertentu, kerana pemilihan berdasarkan individu dan bukan parti politik.

“Kebimbangan Umno sekarang disebabkan kebimbangan jawatankuasa yang dilantik terus di kalangan pimpinan Umno tidak lagi terpilih, kerana mereka yang dilantik sebahagiannya bukanlah ahli kariah dan bukan pula kaki masjid,” tambah Tuan Ibrahim.

Untuk mengatasi masalah pemilihan ini diragui, Tuan Ibrahim berkata soal mekanisme pendaftaran ahli kariah mampu dilakukan tanpa sebarang persoalan yang besar.

Bahkan, kata beliau, dengan data ahli kariah yang lebih lengkap dapat diperolehi, ia sudah tentu dapat mendatangkan kebaikan kepada urusan pentadbiran.

“Sayangnya sikap buruk sangka yang menebal di kalangan pemimpin Umno terhadap kerajaan Pakatan Rakyat menyebabkan mereka tidak lagi rasional dalam membuat penilaian terhadap sesuatu kebaikan,” kata beliau dengan kesal.

Tuan Ibrahim juga menasihatkan Umno untuk melihat kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, Kedah dan Kelantan yang berjaya menjadikan masjid sebagai pusat tarbiyah dan pembangunan komuniti yang hebat.

Kerana keghairahan mereka untuk membina masjid yang indah dengan peruntukan jutaan ringgit tidak bermakna seandainya masjid itu kosong, sunyi sepi dari sebarang aktiviti selain sembahyang fardu.

Barangkali, kata Tuan Ibrahim, Umno membantah dalam isu ini kerana mereka resah terhadap kehadiran ratusan umat Islam mengikuti kuliah kerana beranggapan fenomena ini sebagai satu kebangkitan pembangkang khususnya PAS.

“Lantaran itu, sistem pemilihan jawatankuasa masjid yang satu masa dahulu dibuat oleh ahli kariah melalui undian (angkat tangan) telah ditukar dengan mengambilalih melalui perlantikan secara terus.

"Akibatnya, pelbagai kepincangan penyelewengan telah berlaku seperti kegagalan mengadakan mesyuarat agong dan sebagainya,” ulas beliau.

Disebabkan kelemahan inilah, kata Tuan Ibrahim kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat cuba memperbaiki sistem dengan mengembalikan hak kepada ahli kariah melalui kaedah pengundian.

“Disebabkan kebimbangan teruk bahawa 'kuncu-kuncu' Umno akan tewas, maka mereka terus menentang tanpa berfikir panjang. Sedangkan ia adalah satu sistem terbuka bagi ahli kariah memilih siapa yang paling wibawa bagi menguruskan masjid,” terang Tuan Ibrahim.

Umno dan lidah rasmi Perkasa, Utusan Malaysia muktahir ini mempersoalkan munasabah untuk mengadakan 'pilihan raya masjid' di Pulau Pinang kerana bimbang ada pihak mempunyai agenda tersembunyi untuk menjerumuskan institusi masjid ke kancah politik kepartian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyuruh MAIPP untuk memikirkan perkara itu semula kerana pemilihan itu dilihat boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan kariah masjid kerana unsur politik mungkin lebih mendominasi pemilihan tersebut.

Selepas diberi amaran oleh Kementerian Dalam Negeri kerana memainkan isu negara Kristian bulan lepas, Utusan sekali lagi cuba memanaskan suasana politik negara dengan isu agama terhadap DAP.

HIMPUNAN BERSIIH 2


Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menolak cubaan sesetengah pihak yang seolah cuba menyelewengkan persepsi orang ramai dengan menyatakan Himpunan BERSIH 2 adalah himpunan demi kepentingan sesetengah parti khususnya komponen Pakatan Rakyat.

Himpunan BERSIH 2 diputuskan oleh jawatankuasa BERSIH yang di pengerusikan oleh Dato' Ambiga Sreenevasan yang pernah menjadi Presiden Majlis Peguam Malaysia (BAR Council) pada 2007 - 2009. Jawatankuasa bersih turut dianggotai oleh perbagai individu yang mewakili perbagai sektor masyarakat.

Tuntutan BERSIH 2 ialah lanjutan dari tuntutan BERSIH 2007 iaitu
  • Penggunaan dakwat kekal seperti mana yang dilakukan di banyak negara untuk elak pengundian berganda (undi hantu), hanya ada satu alasan tidak melakukan ini iaitu Bn gusar kalah jika tidak melibatkan undi hantu
  • Pemansuhan sistem pengundian pos kecuali untuk para diplomat dan pengundi lain di luar negara;
  • Penyemakan semula daftar pemilih yang lengkap demi memastikan segala kesalahan dan ketimpangan yang sedia ada dapat dihapuskan dan menyediakan satu daftar pemilih yang sebenar-benarnya telus dan meyakinkan;
  • Semua parti yang bertanding sepatutnya menerima akses yang sama rata kepada media yang dikawal kerajaan terutamanya TV dan radio. Iklan politik daripada semua parti mestilah diterima tanpa sebarang sikap pilih kasih. Media juga perlu memberi hak menjawab sekiranya terdapat laporan berunsur negatif yang berkaitan dengan seseorang ahli politik atau parti politik.
dan ditambah dua lagi tuntutan dalam BERSIH 2 kali ini iaitu ;
  • penyalahgunaan institusi kerajaan dalam pilihan raya sehingga rakyat tidak dapat menilai antara parti politik dan kerajaan.
  • melanjutkan tempoh pilihan raya di peringkat kebangsaan dengan "tempoh yang lebih munasabah" berbanding tempoh lapan hari yang dianggap sebagai terlalu singkat.
Kesemua tuntutan tersebut perlu dilihat dari aspek menjamin proses pilihanraya yang demokratik yang bersih dan adil demi menjamin hak rakyat.

Jika ada pihak menuduh BERSIH 2 anti parti politik tertentu, maka sila buktikan mana tuntutan yang bersifat anti parti politik tertentu ? Jika ada, adakah parti itu mahu masuk pilihanraya yang boleh dimanipulasi dengan undi hantu atau undi berganda ?

Hanya parti politik yang takut kalah jika ruang demokrasi diperkukuh sahaja melihat BERSIH 2 sebagai musuh.

Pelawaan Pengerusi BERSIH, Ambiga untuk komponen BN turut serta dalam himpunan ini sewajar dilihat dari aspek positif dan membuktikan BERSIH tidak punya agenda politik kepartian.

SAMM menyeru semua warga Malaysia agar bersama dalam Himpunan BERSIH 2 pada 9 Julai jam 2 petang di Kuala Lumpur. SAMM juga sedang menyusun atur himpunan serentak atas maksud yang sama di hadapan beberapa kedutaan Malaysia di luar negara demi menyatakan solidariti seperti mana yang kami berjaya aturkan pada himpunan BERSIH 2007 yang lalu.

Ahad, Jun 05, 2011

BIJAK....DIA BOLEH MEMBERI PANDANGAN


Kemenangan bagi Anwar, DAP

KUALA LUMPUR 4 Jun - Kekalahan calon ulama dalam pemilihan Pas hari ini melengkapkan penguasaan DAP terhadap parti berasaskan Melayu dan Islam dalam pakatan pembangkang.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru, Datuk Zulkifli Nordin berkata, kemenangan besar calon-calon profesional itu juga membuktikan kejayaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan calon-calonnya atau kumpulan Anwarinas di dalam Pas.

"Maka bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila Pas selepas ini tidak ubah seperti buah catur kepada Anwar," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kejayaan kumpulan profesional menguasai jawatan tertinggi di dalam Pas menewaskan calon pro ulama pada pemilihan sempena Muktamar Tahunan Pas Ke-57 semalam.

Pada pemilihan itu, Mohamad Sabu memenangi jawatan Timbalan Presiden manakala Naib Presiden pula disandang oleh Salahudin Ayub, Datuk Husam Musa dan Datuk Mahfuz Omar.

Zulkifli menambah, apa yang berlaku pada pemilihan Pas kali ini juga adalah percubaan kumpulan tertentu untuk dipilih sebagai calon pada pilihan raya umum akan datang.

Ini kerana kata beliau, keutamaan kumpulan itu adalah untuk merebut kuasa politik atau kerusi kerana habuan sama ada sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau ahli Parlimen adalah besar.

Sementara itu, bekas Naib Presiden Pas, Datuk Nakhaei Ahmad berkata, kemenangan calon profesional membuktikan bahawa era kepimpinan ulama di dalam Pas sudah berakhir dan tidak lagi dilihat relevan.

Ia kata beliau, mungkin ada kaitan dengan kemasukan kumpulan profesional dan liberal dalam Pas yang mengharapkan satu tindakan konkrit berbanding retorik yang sinonim dengan kumpulan ulama.

"Apa yang saya bimbangkan ialah kumpulan liberal ini nanti juga gagal membawa sebarang perubahan seperti yang diharapkan perwakilan.

"Ini boleh membawa bahaya yang besar kerana pertaruhannya adalah agama," katanya.

(sumber : utusan on-line)

Sabtu, Jun 04, 2011

HARGA BARANG AKAN NAIK LAGI


.....Apabila subsidi diesel dimansuh.... kos sewa lori komersial pasti akan naik....bila kos sewa lori naik..... harga barang-barang pasti turut naik.... tunggulah "pesta naik harga barang" akan tiba.... alahai Malaysia .... pengurusan ekonomi "yang sangat cekap"....macam Afrika dah....


Pengusaha lori naikkan upah sewa

KUALA LUMPUR - Pengusaha lori komersial dijangka menaikkan kadar upah sewa pengangkutan sebanyak 18 peratus ekoran pemansuhan diesel super subsidi oleh kerajaan.

Menurut Naib Presiden Persatuan Pengusaha Lori Tangki Bumiputra Malaysia Berhad, Samiron Safar, kenaikan itu wajar memandangkan kadar upah RM13.50 satu tan bagi setiap perjalanan ketika ini tidak pernah dinaikkan sejak 20 tahun lalu.

"Kalau tidak naik memang kami akan gulung tikar sebab selama ini kadar yang dikenakan paling minimum dan pengusaha terpaksa tanggung kos diesel sebanyak RM200 sehari tidak termasuk kos tayar dan upah pemandu.

"Justeru, kami akan berbincang dengan pelanggan untuk menaikkan kadar upah yang baru tidak kurang RM3 satu tan," katanya ketika dihubungi semalam.

Kosmo! semalam melaporkan kerajaan telah memansuhkan diesel super subsidi yang dinikmati pemilik lori komersial kerana hanya kenderaan individu dan berkepentingan awam layak mendapat kemudahan itu.

Khamis, Jun 02, 2011

TEGAHAN MEMBINA TUGU


Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis berpendapat tindakan kerajaan membina tugu “1Malaysia” adalah ditegah kerana ia mengandungi unsur penghormatan, yang dikhuatiri boleh menjurus kepada pemujaan al-Ansab (berhala). Menurut fatwa itu, tegahan itu dibuat berdasarkan ayat 90 dalam surah al-Maidah yang menyebut bahawa arak, judi dan menyembah berhala adalah amalan syaitan dan mestilah ditegah. Tegahan ini juga berdasarkan kaedah Sadd al-Zara'i (menutup pintu kemudharatan) bagi memelihara kemurnian akidah, sebagaimana larangan Nabi Muhammad terhadap tindakan sahabat yang ingin menjadikan pokok Zat Anwath sebagai tempat berkumpul. "Selain daripada itu kewajaran tegahan ini juga dilihat dari sudut pembaziran yang diharamkan oleh Islam," kata Mufti Perlis Dr Juanda Jaya.
(sumber : Malaysiakini)

.....yang jelasnya tugu ini sudah banyak didirikan di merata tempat...tempat-tempat awam dan juga di pintu masuk sekolah serta jabatan kerajaan.... memag jelas tegahannya di dalam Islam... membina nesan kubur secara keterlaluan pun dilarang.... inikan pula membina tugu sebagai mercu tanda tanpa sebarang faedah....

Rabu, Jun 01, 2011

INGIN MENJADIKAN MALAYSIA LEBIH BAIK??


SHAH ALAM, 31 Mei: Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi hari ini menegaskan kesediaan PAS untuk menggantikan Umno dalam usaha mentadbir negara ke arah yang lebih baik.

Beliau yang menang tanpa bertanding untuk penggal kedua jawatan itu sesi 2011-2013 berkata, masyarakat dan rakyat sudah merindui satu kehidupan lebih harmoni di bawah panji perjuangan Islam yang diterajui oleh PAS dan sudah lama muak dengan sikap Umno selama ini.

Menurutnya, dalam PAS kini sudah wujud satu badan khas, Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang dianggotai rakyat Malaysia bukan beragama Islam yang meyakini dasar perjuangan PAS.

Nasrudin berkata demikian ketika bercakap dan menyampaikan hujahnya di dalam Wacana Sinar Harian siri 4 yang diadakan di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf (KMK), dekat sini, petang tadi.

Turut menjadi panelis adalah Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dengan pensyarah UIAM, Dr Maszlee Malik sebagai moderator.

Hadirin yang kebanyakannya penyokong kedua-dua belah pihak memenuhi dewan namun tahap kebisingan mereka tidak seteruk suasana wacana bulan lalu yang tidak dikawal dengan sebaiknya.

"Saya mempunyai nekad ingin membawa anggota PAS khasnya pemuda agar mengamalkan dasar dan sistem politik berakhlak, hemah, bermaruah dan tidak tidak mahu politik jijik, keji apatah lagi menjatuhkan dan membina jatidiri di atas sikap kesengsaraan dan penderitaan orang lain," tegas Nasrudin.

Dalam sesi sama, beliau mempertahankan akhbar Harakah yang disifatkan oleh Khairy sesat dan enggan menarik balik tuduhan itu, lantas Nasrudin mempersoalkan tindakan akhbar pro-Umno, Utusan Malaysia, lebih teruk dengan menyiarkan gambar lucah dan menjolok mata pembaca.

Sebelum itu di awal wacana, Nasrudin menyebutkan tentang perjuangan PAS yang meletakkan Islam sebagai dasar perjuangannya dan yakin dengan peranan agama Islam itulah menjadi pembimbing dan pendorong kepada ahli-ahlinya ke arah terbaik.

"Namun di sana, tidak bermakna semua anggotanya maksum tetapi sekurang-kurangnya dapat memagar, membantu dan membina agar tidak terlalu terdedah kepada maksiat dan mungkar.

"Dengan dasar itu, mereka dapat menjadi insan, pejuang dan ahli politik yang baik namun di sana seperti agama Islam sendiri di mana ada yang masih tidak mentaati Islam, secara umumnya ini keluar dari dasar," tegasnya lagi

Menyentuh tentang tajuk wacana, beliau berkata fitnah bersifat umum, ia boleh berlaku sama ada dalam dan luar parti politik dan di dalam masyarakat dan individu.

Mereka yang melakukan fitnah memang dimurkai Allah SWT kerana di sana sudah hilang peranan dosa pahala, syurga neraka dalam tindakan mereka terbabit.

Beliau menambah, politik negara ini kini menjadi terlalu ganas melepasi syurga neraka, dosa pahala, sebagai contoh, bila menuduh, mereka hendaklah membawa empat saksi, bukannya empat klip video.

Katanya, walaupun kini senjata sudah moden dan sangat canggih namun mereka yang ketandusan idea politik akan tetap menggunakan senjata fitnah untuk membunuh musuh politik mereka.

Ustas Nasrudin melahirkan rasa simpati kepada Khairy dan rakan-rakan yang sering menerima fitnah sesama mereka dalam usaha mendapat tempat dalam kedudukan politik mereka.

Tegasnya, rakyat negara sudah ingin kepada sistem politik berasaskan hujah, berhikmah, telus dan tulus serta pandangan berasas serta bernas dan bukan berhasrat menjatuhkan lawan begitu sahaja dengan fitnah.

Sekitar 10 soalan dikemukakan hadirin dan dijawab dengan baik kecuali satu soalan yang dibuat oleh seorang Muslimat mengenai 'sampai bila Umno ingin berhenti dari terus melakukan fitnah' yang gagal dijawab oleh Khairy dengan baik.