SAHABAT :

Jumaat, Disember 31, 2010

DEMI KECEMERLANGAN PENDIDIKAN SEKOLAH AGAMA


Kelantan Peruntuk RM95 Juta Untuk Urus Sekolah YIK Tahun Depan

KOTA BAHARU, 30 Dis (Bernama) -- Kerajaan Kelantan memperuntukkan RM95 juta bagi membiayai pengurusan sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata buat masa ini kerajaan negeri membelanjakan RM6.5 juta setiap bulan untuk membayar gaji guru dan petugas lain di sekolah-sekolah terbabit.

Pada masa ini YIK mempunyai 93 buah sekolah di bawah pentadbirannya dengan 2,500 pelajar di seluruh negeri, katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil Kursus Khas Peningkatan Profesionalisme Perguruan YIK, di sini Khamis.

Selain itu, Mohd Amar berkata kerajaan negeri juga merancang untuk menyerapkan lebih ramai guru sandaran yang tidak mempunyai kelayakan iktisas ke jawatan tetap dan berpencen.

Beliau berkata buat masa ini terdapat 400 guru yang telah dikenal pasti yang akan diberi latihan bagi memenuhi syarat kelayakan.

"Masalah ini telah lama tetapi baru dapat diatasi selepas diluluskan melalui rundingan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam dua tahun lepas," katanya.

Katanya setiap guru terbabit disyaratkan mengikuti kursus sekurang-kurangnya 60 jam sebelum dipertimbang untuk diserapkan ke jawatan tetap dan berpencen.



-- BERNAMA

...sekolah-sekolah di bawah YIK memang terbukti melahirkan pelajar-pelajar cemerlang yang mengharumkan nama sekolah-sekolah agama, amat wajar peruntukan yang selesa diberi untuk memperkasakan sekolah agama yang melahirkan warganegara yang beriman dan bertakwa kepada Allah .... bagaimana dengan nasib sekolah-sekolah agama negeri-negeri lain??? berapa juta RM peruntukan yang diberi??? Kerajaan negeri Kedah pula memperuntukkan RM30 juta kepada Maktab Mahmud yang mempunyai lebih kurang 13 cawangan seluruh negeri... manakala Kerajaan Pusat pula memperuntukkan RM90 juta kepada sekolah agama rakyat rendah dan menengah...

Khamis, Disember 30, 2010

PIALA AFF : MEDIA INDONESIA PUJI MALAYSIA

MALAYSIA SUKSES DENGAN PRODUK LOKAL

Jakarta - Tanpa pemain naturalisasi atau keturunan dan dibesut oleh pelatih kelahiran Selangor. Malaysia menjadi juara justru saat mereka mengandalkan produk lokalnya.

Malaysia menjadi salah satu dari dua kontestan Piala AFF 2010 yang masih menggunakan jasa pelatih lokal. Negara lain yang juga mengontrak pelatih dari negerinya sendiri adalah Myanmar, yang menunjuk Tim Myint Aung.

Sementara beberapa tim besar Asia Tenggara lebih mempercayakan timnya dibesut orang asing. Skuad Indonesia berada di bawah asuhan Alfred Riedl (Austria), Vietnam dibesut Henrique Calisto (Portugal) dan Thailand bersama Bryan Robson (Inggris).

Juga mengandalkan pelatih dari negeri seberang adalah Filipina, yang membuat kejutan masuk semifinal bersama Simon McMenemy (Inggris). Tak mau ketinggalan Laos yang mempekerjakan pria asal Inggris, David Booth.

Meski diserbu banyak pelatih asal Eropa, K. Rajagobal ternyata mampu unjuk kemampuan. Berbekal pengalaman membesut skuad muda Malaysia sejak tahun 2004 dan di antaranya menukangi Selangor, Kelantan dan Harimau Muda, pria 54 tahun itu mengantar 'Harimau Malaya' ke takhta tertinggi sepakbola ASEAN.

Bukan soal pelatih saja Malaysia condong pada produk lokal. Saat beberapa asosiasi sepakbola Asia Tenggara gencar menaturalisasi serta mencari pemain keturunan, mereka tetap mengandalkan pemain-pemain muda yang sudah diasah secara berjenjang dari level junior.

"Pendapat soal naturalisasi? Di liga kami tidak ada pemain asingnya. Kami lebih konsen dengan para pemain muda. Dengan tidak adanya pemain asing, maka pemain muda lebih banyak mendapat kesempatan bermain," tegas Rajagobal dalam konferensi pers tak lama setelah timnya dihajar Indonesia dengan skor 5-1 di fase grup lalu.

.....kita berbangga kerana Malaysia menjuarai Piala AFF 2010 dengan tenaga pemain muda dan dibimbing oleh warga Malaysia sendiri... tapa pemain luar yang diberi kerakyatan untuk memperkuatkan pasukan negara... walaupun ada cadangan kita meniru pendekatan negara-negara lain seperti Singapura .... memberi kerakyatan kepada bintang sukan dan bintang bolasepak berpotensi untuk memperkasakan pasukan negara kononnya.... pada sesetengah orang..... mereka yang melakukan perkara sedemikian adalah pengkhianat negara sebenarnya....
BERBANGGALAH DENGAN PRODUK KITA....

Khamis, Disember 23, 2010

LAGI PENGIKTIRAFAN KEPADA DINAR EMAS


OIC Digesa Cari Jalan Perkenalkan Dinar Emas Dalam Perdagangan Global

KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) -- Persatuan Ulama' Malaysia (PUM) menyarankan pemimpin negara Islam melalui Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) agar mencari jalan menjadikan dinar emas sebagai mekanisme pasaran perdagangan global untuk digunakan di peringkat negara-negara Islam bagi mengatasi masalah 'penyangak' matawang.

Yang Dipertua Persatuan itu Datuk Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata Bank Negara Malaysia juga boleh memainkan peranannya dalam merealisasikan penggunaan dinar emas dan dirham perak bagi masyarakat di negara ini.

"Ia (penggunaan dinar emas dan dirham perak) tidak sepatutnya dihalang atau dijadikan sukar kerana ia telah dihalalkan oleh Allah SWT," katanya dalam ucaptama bertajuk 'Kebangkitan Dinar Emas Dalam Muamalah Ummah' yang diedarkan kepada media pada mini siri Dinar Emas dan perasmian Kelab Penyokong Dinar di sini Rabu.

Selain itu katanya para ulama' di negara ini sepatutnya berganding bahu di barisan hadapan untuk membimbing serta memimpin ummah agar bermuamalat menggunakan matawang itu dalam perbelanjaan harian.

Katanya masyarakat awam khususnya umat Islam adalah amat digalakkan memulakan usaha menjadikan dinar sebagai satu bentuk simpanan harta, digunakan sebagai mas kahwin, membayar zakat, sedekah kepada fakir miskin atau anak yatim, dan dijadikan harta cagaran di pusat gadaian al-Rahn.



Syeikh Abdul Halim berkata walaupun nilai matawang dinar emas dan dirham perak sering berubah mengikut harga semasa namun ia tidak menjejaskan sistem kewangan negara.

Katanya, beliau tidak melihat penggunaan dinar dan dirham sebagai satu cabaran kepada dunia hari ini memandangkan ia sudah dapat diterima kembali.



"Saya juga tidak merasakan bahawa sekiranya kita balik kepada asas (penggunaan dinar) emas akan merosot. Ini sudah dibuktikan dalam sejarah bahawa wang tidak menjejaskan nilai emas berbanding kewangan berbentuk kertas seperti yang digunakan sekarang," katanya.

Sementara itu Pengarah Urusan Al-Qafilah International Dr Zahimi Chik berkata buat permulaan ini kebanyakan mereka yang membeli dinar emas adalah untuk simpanan masa depan.

"Jarang kita lihat orang guna dinar untuk kegunaan perbelanjaan harian dan saya jangkakan dalam tempoh lima tahun akan datang orang akan beli dan simpan emas," katanya.

-- BERNAMA

APCO yang menjadi penasihat kepada kerajaan Malaysia sudah tentu tidak akan bersetuju dengan cadangan ini, wang kertas adalah manipulasi sistem kapitalis Yahudi untuk menguasai ekonomi dunia.... jika seluruh dunia atau sekurang-kurangnya semua negara Islam menggunakan dinar emas, ekonomi Yahudi akan musnah, matawang Dolar Amerika akan jatuh... kuasa dunia itu akan muflis.... semua negara umat Islam diperintah oleh individu-individu yang tidak memiliki roh Islam ..... contohnya .... kalau ada roh Islam kenapa ada negara umat Islam yang melanggan khidmat firma Yahudi seperti APCO sebagai perunding bagi pihak kerajaan ..... sedangkan kita tahu Yahudi adalah musuh Islam .... nasihat yang mereka berikan sudah tentu untuk menjahanamkan umat Islam.

Rabu, Disember 22, 2010

ANTARA JANJI 100 HARI PAKATAN RAKYAT DAN JANJI MENARA 100 TINGKAT


Pakatan Rakyat dalam Konvensyen Nasional kali ke-2 melancarkan Buku Jingga sebgai hala tuju perjuangannya yang antara lain mengariskan program 100 hari PR yang dilihat sebagai rancangan jangka pendek selepas berjaya mentadbir negara yang disebut sebagai permulaan kepada reformasi iaitu:

  • Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
  • Mengarahkan Khazanah Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuhraya untuk menyempurnakan ambil alih aset lebuhraya oleh kerajaaan dengan tujuan menghapuskan tol.
  • Merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta (seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion kepada penjana bebas) dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat.
  • Menghargai peranan guru sebagai pendidik bangsa dengan Menaikkan memperkenalkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap seorang.
  • Menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air yang diuruskan swasta kepada kerajaan.
  • Menyediakan perkhidmatan internet wifi percuma kepada semua rakyat di kawasan bandar dan separa bandar.
  • Membatalkan Felda Plantations bagi tujuan membuka ladang-ladang yang kini diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga Felda.
  • Menaikkan royalti minyak kepada Sabah dan Sarawak kepada 20%.
  • Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi memulihkan sistem kehakiman.
  • Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di negeri Sabah.
Manakala Menara Warisan pula yang dijanjikan pembinaannya oleh PM Malaysia melibatkan perbelanjaan RM5 bilion dijangka siap dan boleh digunakan menjelang tahun 2020, pembinaannya dikatakan mampu menjana ekonomi negara melalui pengagihan projek-projek dan kontrak berkaitan pembinaannya kepada rakyat ..... kedua-dua janji ini adalah untuk rakyat ...
... rakyat hendaklah menilai dengan kecerdikan akal sendiri ... manakah di antara kedua-dua janji ini memberi faedah dan kebaikan kepada rakyat ...

Jumaat, Disember 17, 2010

WANG KERTAS : PENIPUAN TERBESAR DALAM SEJARAH MANUSIA


Hari ini kalau ada yang berazam untuk tidak mahu menggunakan wang kertas ,orang berkenaan ‘wajib’ berpindah ke dalam hutan. Begitu sekali sekeping wang kertas bergelar ‘not’ menguasai seluruh kehidupan manusia.

“ Apa itu wang kertas?” wacana tentang riba dan wang emas tidak mungkin lengkap kalau tidak menyentuh soal wang kertas kerana kedua-dua matawang ini dan riba ada hubung kaitnya dari segi sejarah.

Sejarah mencatatkan bahawa antara wang yang paling awal muncul di dunia ini adalah wang emas yang digunakan pada empayar Rom di Eropah, berkurun lama sebelum kedatangan Islam di bumi Arab. Wang emas terus digunakan oleh dunia Islam dan bahagian-bahagian dunia yang lain setelah keadatangan Nabi Muhammad s.a.w. Kerajaan Melayu Melaka pada kurun ke-14 Masehi juga menggunakan wang emas.

Namun, penggunaannya berakhir pada 1924 berikut runtuhnya kerajaan Khilafah Islamiah terakhir iaitu Khalifah Uthmaniah yang berpusat di Istanbul, Turki. Selepas itu, dunia beralih kepada wang kertas yang bersandarkan emas.

Namun, sejarah wang kertas diwarnai misteri, tipu daya dan pembelitan yang dahsyat. Warga Amerika Syarikat, G Edward Griffin dalam buku The Creature From Jekyll Island berkata bahawa titik bermulanya penipuan wang kertas adalah pada 1910. Mesyuarat misteri di pulau Jekyll pada tahun itu membawa kepada penubuhan the Federal Reserve Department (FRD) pada tahun 1913 yang keahliannya bukan di kalangan rakyat atau institusi kerajaan Amerika Syarikat. Sebaliknya dianggotai oleh syarikat milik persendirian asing. Penggunaan perkataan ‘federal’ (persekutuan) ke atas sesuatu yang berbentuk persendirian adalah pembohongan yang nyata. Kongres Amerika Syarikat pula terpaksa meluluskannya secara curi-curi.

Jabatan ini kemudiannya mentadbir segala urusan kewangan Negara Amerika Syarikat., antaranya mencetak wang kertas Dolar Amerika dan memperkenalkan Fractional Reserve Bangking (FRB) atau Fractional Reserve Requirement (FRR) yang menjadi asas perjalanan sesebuah bank. Sehingga hari ini, FRB digunakakn oleh industri perbankan di seluruh dunia termasuk Malaysia untuk mencipta wang sesuka hati dalam jumlah yang berlipat kali ganda melebihi kekayaan sebenar.

Berikutan penubuhan FRD, banyak peristiwa besar berlaku sehingga membolehkan British mengusai Bandar Jerusalem pada 1919. Penguasaan itu menandakan berakhirnya era Perang Salib yang berlangsung selama 250 tahun antara umat Islam dan Kristian. Dunia pun berubah dengan mendadak. Kemuncaknya ialah kejatuhan Kerajaan Khalifah Uthmaniah.

Peristiwa demi peristiwa terus mengejutkan dunia, antaranya Perang Dunia Pertama dan krisis ekonomi dunia besar-besaran pada 1929. Pada 1944, muncul pula perjanjian Bretton Woods yang melibatkan 44 buah Negara dunia yang bersetuju untuk menyandarkan mata wang kertas masing-masing kepada Dolar Amerika dengan jaminan bahawa USD35 bersamaan dengan satu auns emas.

Negara-negara dunia tidak lagi menyandarkan mata wang kertas kepada rizab emas masing-masing seperti sebelum ini. Setahun selepas Dolar Amerika mendapat ‘daulat’ berkenaan, International Monetory Fund (IMF) pun ditubuhkan. Pada 1948, Negara Israel mendapat pengiktirafan sebagai sebuah Negara berdaulat di tengah-tengah Negara Palestin yang sah.

Seterusnya pada 1971, kerajaan Amerika Syarikat pimpinan Ricard Nixon hampir bankrap gara-gara Perang Vietnam dan masalah deficit imbangan pembayaran yang berterusan. Tuntutan rasmi terhadap rizab emas Amerika Syarikat melambung kepada USD32 bilion sedangkan rizab emas yang ada hanya satu pertiga. Keyakinan terhadap Dolar Amerika punah. Berduyun-duyun bank pusat negara lain memeras ugut Amerika Syarikat dengan cara menebus pegangan Dolar Amerika masing-masing. Emas mengalir keluar dari Amerika Syarikat lalu dengan sendirinya meruntuhkan nilai Dolar Amerika.

Namun Amerika licik bertindak dengan memutuskan ikatan antara Dolar Amerika dan emas. Ini bermakna Amerika Syarikat memungkiri perjanjian Bretton Woods dan bertindak secara unilateral untuk menguburkan sistem piawaian emas.

Selepas 15 ogos 1971, dolar tidak lagi bersandarkan kepada emas. Sejak itu, nilai dolar ditentukan oleh kuasa permintaan dan penawaran pasaran tukaran wang asing. Kesannya, semua matawang dunia berubah menjadi matawang fiat iaitu matawang yang bernilai sifar. Ini bermakna setiap Negara bebas mencetak wang kertas tanpa perlu bersandarkan kepada apa-apa rizab. Kalau ada pun, ia dalam jumlah yang kecil seperti yang ditetapkan oleh Special Drawing Rights IMF. Bayangkan betapa liciknya permainan ini.

Pun begitu apa jua tipu daya tetap ada kelemahannya seperti mana yang disebut oleh Allah dalam al-Quran,Firmannya :

الَّذِينَ آمَنُوا يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالَّذِينَ كَفَرُوا يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ الطَّاغُوتِ

فَقَاتِلُوا أَوْلِيَاءَ الشَّيْطَانِ إِنَّ كَيْدَ الشَّيْطَانِ كَانَ ضَعِيفً

Maksudnya :

“Orang-orang yang beriman dan berperang di jalan Allah dan orang-orang yang kafir berjalan di jalan thaghut, sebab itu perangi lah kawan-kawan syaitan itu kerana tipu daya syaitan itu adalah lemah.” [surah an-Nisa’, ayat 76]

Sekarang, ‘tabir’ yang melindungi wajah sebenar wang kertas semakin terungkai. Dunia mula mengetahui apa ada di sebalik wang kertas. Wang kertas tidak mempunyai nilai intrinsik seperti mana wang sebenar (contohnya emas, perak, sebakul barangan dan lain-lain).

Nilai yang dicetak di atas wang kertas kini ditentukan oleh kerajaan yang mengeluarkannya dan kuasa pasaran (market forces). Ini bermakna nilainya bergantung kepada permintaan dan manipulasi pihak yang mengeluarkannya. Ia hanya lah ‘janji’ untuk membayar dan pihak yang mengeluarkannya tidak semesti menunaikan ‘janji’ itu. Atas inilah, sebagai contoh, pada wang kertas Ringgit Malaysia yang kita gunakan sekarang, tercetak ayat, “wang kertas ini sah diperlakukan dengan nilai….”.

Wang kertas digelar fiat kerana ia bukan berbentuk komoditi tetapi dikeluarkan oleh pihak tertentu dan dijamin nilainya oleh pihak yang mengeluarkan. Pengertian sebenar disebalik wang kertas ialah sekadar ‘sekeping kertas’ yang diterima pakai untuk semua urusan jual beli. Asas penerimaan kertas ini hanya atas dasar kepercayaan terhadapnya. Kepercayaan semata-mata! Itu sahaja! Sekiranya di suatu masa kelak, semua orang hilang kepercayaan terhadap ‘kertas ini’ lalu ia tidak lagi berguna, sekalipun jumlahnya berguni.

Sejarah membuktikan bahawa dalam peperangan mata wang sesebuah Negara dilanda krisis akan hancur lalu wang kertas dilambakkan seperti bukit di satu tempat dan dimansuhkan dengan cara membakarnya hingga hangus. Di Malaysia, sebahagian besar generasi sebelum merdeka masih lagi mengingati istilah ‘duit pisang’ atau ‘duit Jepun’ yang menyaksikan berguni duit kertas tidak mampu untuk membeli secawan beras. Ungkapan ‘duit tak laku’ bukan lah sesuatu yang asing buat orang lama yang pernah melalui pengalaman buruk itu.

Selain wang kertas, wang fiat juga merujuk kepada wang dalam bentuk angka dalam akaun, hutang-hutang yang dikeluarkan oleh bank atau institusi kewangan dan kad plastic digital. Wang ini tidak disokong oleh apa-apa aset yang nyata. Nilainya mudah dimainkan oleh speculator matawang yang berniat jahat, tamak dan tidak berperikemanusian.

Krisis ekonomi Asia pada 1997 adalah contoh yang paling dekat dengan kita. Spekulasi dan manipulasi menyebabkan berlaku susut nilai matawang atau lebih buruk, matawang itu langsung tidak bernilai. Keadaan yang dinamakan ‘money meltdown’ ini sudah pun berlaku dalam tahun-tahun kebelakangan (kejatuhan Dolar Amerika pada 1973 dan 1980). Keadaan ini pasti akan berulang. Krisis ekonomi dunia diramal menjadi lebih teruk berbanding pada tahun 1929.

Sistem ekonomi kapitalis, bank dan institusi kewangan dengan cara tidak bertanggungjawab telah mencipta wang fiat dengan banyak di pasaran sehingga menyebabkan inflasi. Wang itu dicipta melalui kepelbagaian deposit, memberi hutang dan mengenakan faedah. Setiap wang fiat yang didepositkan ke dalam bank akan mencambahkan tiga wang fiat lagi yang boleh diberikan kepada individu dan syarikat perniagaan. Ekonomi ini adalah ekonomi palsu yang tidak berasaskan kepada pengeluaran sebenar.

Sesetengah kerajaan mencetak wang sewenang-wenang tanpa bersandarkan kepada pengeluaran sebenar dalam Negara bagi kepentingan pemerintah dan pengekalan kuasa.

Apabila semakin banyak wang dicetak, nilai wang fiat akan berkurangan dan menyebabkan inflasi. Kuasa beli rakyat pula akan berkurangan. Satu wang fiat tidak memungkinkan kita membeli barangan yang sama kita beli seperti sepuluh tahun yang lalu. Ini menjadikan nilai wang kertas fiat hanya terletak pada barangan yang kita beli hari ini. Sebagai contoh, tiga puluh tahun lalu, seseorang yang bergaji RM 1000 sebulan mampu memiliki kereta import berjenama dan sebuah banglo. Hari ini, gaji sebanyak RM 20 000 sebulan belum tentu menjanjikan kereta import dan banglo. Harga barangan menjadi terlalu tinggi iaitu meningkat berkali ganda berbanding peningkatan dalam pendapatan.

Orang sekarang berkerja siang dan malam serta melakukan bermacam-macam jenis pekerjaan, tetapi masih berada di dalam keadaan kekurangan. Harta pada hakikatnya dimiliki oleh bank atau institusi kewangan. Hampir semua orang berhutang dengan bank atau institusi keewangan dan pada bila-bila masa boleh menjadi papa kedana kerana hutang itu. Malah hutang bank juga boleh diwarisi sehingga ke anak cucu.

Kadar pengangguran dan kegagalan syarikat perniagaan pula semakin meningkat dari hari ke hari. Semua ini angkara sistem kewangan fiat yang menyebabkan ekonomi berkembang secara tidak stabil serta mewujudkan jurang besar antara golongan berada dengan golongan tidak berada.

Jelas wang kertas adalah wang yang tidak adil dan tidak jujur. Apabila Amerika Syarikat meluluskan penubuhan FRD dan Amerika Syarikat mengadakan perjanjian Bretton Woods pada 1944, seluruh ummah sebenarnya sudah ditipu ‘hidup-hidup’. Inilah penipuan terbesar dalam sejarah manusia.

Sumber : Milenia Muslim, Julai.

Khamis, Disember 16, 2010

AKUILAH...DINAR EMAS ADA KELEBIHAN....TERPAKSA MENGAKU JUGA AKHIRNYA


Dr Mahathir Galak Rakyat Jadikan Emas Sebagai Simpanan

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa orang ramai cuba menyimpan emas sebagai simpanan mereka berbanding mata wang kerana nilai emas lebih terjamin dan sukar untuk jatuh dengan nilai besar.

Bekas Perdana Menteri itu berkata nilai mata wang tidak terjamin kerana ia bergantung kepada pasaran tukaran mata wang dunia yang sentiasa berubah-ubah.

Menurut beliau, ada kalanya nilai mata wang akan jatuh dengan teruk apabila berlaku sesuatu krisis kewangan di sesebuah negara.

"Mata wang hanyalah sehelai kertas yang digunakan untuk mewakili nilai tertentu tetapi bukan nilai sebenar namun emas boleh mewakili nilai sebenar kerana ia sebuah logam berharga di seluruh dunia,"

"Simpanan emas juga lebih terjamin jika ingin menjualnya kerana harganya sentiasa meningkat dan ia boleh membantu orang ramai menghadapi inflasi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan produk emas Geneva Malaysia di sini malam ini.

Produk emas itu terdiri daripada jongkong pelbagai berat dihasilkan oleh Persatuan Persahabatan Malaysia-Arab Saudi (MSAF) dan Persatuan Usahawan Jongkong Emas Malaysia (GBEAM) yang dikeluarkan untuk memenuhi keperluan syariah.

MSAF dan GBEAM menyasarkan syarikat swasta dan orang ramai untuk mendapatkan produk berkenaan sebagai urusan dalam pelbagai transaksi terutamanya jualan dan belian.

Dr Mahathir berkata satu ketika dahulu, satu auns emas bernilai RM109.79 tetapi kini satu auns emas bernilai kira-kira RM4390.40.

Beliau berkata orang ramai boleh menyimpan emas dalam bentuk barang kemas yang mudah didapati di seluruh negara dan ia mampu untuk dimiliki.

-- BERNAMA

Puak-puak yang menentang dan memperlekeh Dinar Emas dtunjuk oleh Allah akan kelemahan wang kertas (nuqud) yang tiada nilai sebenarnya berbanding dinar emas .... hanya berasaskan spekulasi semata-mata.... jika kita mengkaji al-Qur'an.... di dalam al-Qur'an terdapat beberapa kali perkataan dinar disebut di dalamnya.... sekarang puak-puak kapitalis sendiri mengaku akan kelebihan emas... malu nak sebut dinar emas...

Selasa, Disember 14, 2010

PULAU PINANG LAGI....


PULAU PINANG BAYAR GURU KAFA RM100.00 SEMPENA MAAL HIJRAH

KUALA LUMPUR, 14 Dis:
Kerajaan negeri Pulau Pinang mengumumkan bayaran khas Maal Hijrah RM100 kepada kesemua 1,376 guru Kelas Agama Fardu Ain (KAFA) di negeri itu, yang akan dibayar minggu ini sempena perayaan Maal Hijrah.

Bayaran itu diumumkan oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, lapor The Malaysian Insider.

Dalam kenyataan itu, Lim juga menjelaskan bahawa bantuan khas sekolah sebanyak RM800 kepada setiap 7,812 anggota perkhidmatan awam negeri Pulau Pinang datangnya daripada sumber kerajaan negeri Pulau Pinang dan tidak satu sen pun datang daripada kerajaan pusat.

“Pembayaran RM800 setiap orang melibatkan RM6.25 juta, yang telah pun dibayar kepada 7,812 juta pada 1 Disember lalu,” kata beliau lagi.

Menurut Lim, penerimaan RM800 oleh kakitangan awam negeri Pulau Pinang adalah melebihi RM500 yang diterima oleh anggota perkhidmatan awam persekutuan.

“Dengan pembayaran RM500 duit raya sebelum ini dan RM800 bantuan khas sekolah sekarang, ini bermakna bahawa semua anggota pentadbiran awam negeri Pulau Pinang telah menerima RM1,300 secara keseluruhannya pada tahun ini.

“Inilah yang saya maksudkan dengan memperkayakan warga pentadbiran awam.

“Dan, saya yakin kalau kita meningkatkan prestasi kerja kita, kita akan pastikan bahawa warga perkhidmatan kerajaan negeri Pulau Pinang akan sentiasa dapat lebih daripada apa yang anggota perkhidmatan awam persekutuan ataupun kerajaan negeri lain dapat perolehi,” kata Lim lagi.

Lim menambah, penghargaan RM1,300 tahun ini kepada semua pekerja kerajaan negeri Pulau Pinang ini adalah satu pengiktirafan kerajaan negeri kepada komitmen penuh mereka dalam menjayakan agenda kerajaan negeri.

Sumbangan yang diberikan itu melibatkan 20 jabatan negeri dan turut dipanjangkan kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP); Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP); Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC); Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP); Lembaga Muzium dan Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang; Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang; Institut Integriti Negeri Pulau Pinang (IINPPI); dan George Town World Heritage Incorporated.

“Pemberian Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM800 ini melibatkan sejumlah 3,153 pegawai dan kakitangan jabatan negeri dengan implikasi kewangan sebanyak RM2.5 juta.

“Sekiranya kita mengambil kira semua termasuk Pihak Berkuasa Tempatan, Badan Berkanun Negeri dan agensi negeri, ia melibatkan 7,812 anggota dengan RM6.25 juta.

“Bantuan khas ini diberikan kepada semua pegawai perkhidmatan awam dalam pentadbiran negeri Pulau Pinang termasuk Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan setaraf termasuk pegawai yang memangku Jawatan Utama atau Gred Khas.

“Kerajaan Persekutuan telah memutuskan bahawa pemberian RM500 diberikan kepada mereka yang memegang jawatan D54 ke bawah, tetapi negeri Pulau Pinang berikan semua.

“Tidak ada seorang pun dipinggirkan daripada mendapat insentif galakan ini,” katanya.

Ahad, Disember 12, 2010

TANDA 100 HARI SEBELUM MATI


TANDA PERTAMA

Ini adalah tanda pertama dari Allah SWT kepada hambanya dan hanya akan disedari oleh mereka yang dikehendakinya.

Semua orang Islam akan mendapat tanda ini cuma samada mereka sedar atau tidak sahaja. Tanda ini akan berlaku lazimnya selepas waktu Asar . Seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki akan mengalami getaran atau seakan-akan mengigil. Contohnya seperti daging lembu yang baru saja disembelih dimana jika diperhatikan dengan teliti kita akan mendapati daging tersebut seakan-akan bergetar.

Tanda ini rasanya lazat dan bagi mereka yang sedar dan berdetik di hati bahawa mungkin ini adalah tanda mati maka getaran ini akan berhenti dan hilang setelah kita sedar akan kehadiran tanda ini. Bagi mereka yang tidak diberi kesedaran atau mereka yang hanyut dengan kenikmatan tanpa memikirkan soal kematian, tanda ini akan lenyap begitu sahaja tanpa sebarang munafaat. Bagi yang sedar dengan kehadiran tanda ini maka ini adalah peluang terbaik untuk memunafaatkan masa yang ada untuk mempersiapkan diri dengan amalan dan urusan yang akan dibawa atau ditinggalkan sesudah mati.

TANDA 40 HARI

Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar. Bahagian pusat kita akan berdenyut-denyut. Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pokok yang letaknya di atas Arash Allah SWT. Maka Malaikat Maut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaannya ke atas kita, antaranya ialah ia akan mula mengikuti kita sepanjang masa.

Akan terjadi Malaikat Maut ini akan memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih ini akan merasakan seakan-akan bingung seketika. Adapun Malaikat Maut ini wujudnya cuma seorang tetapi kuasanya untuk mencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang akan dicabutnya.

TANDA 7 HARI

Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji dengan musibah kesakitan di mana orang sakit yang tidak makan secara tiba-tiba ianya berselera untuk makan.

TANDA 3 HARI

Pada ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita iaitu diantara dahi kanan dan kiri. Jika tanda ini dapat dikesan maka berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak najis dan ini akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti.

Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang sakit hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat dikesan jika kita melihatnya dari bahagian sisi. Telinganya akan layu dimana bahagian hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam. Telapak kakinya yang terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.

TANDA 1 HARI

Akan berlaku sesudah waktu Asar di mana kita akan merasakan satu denyutan di sebelah belakang iaitu di kawasan ubun-ubun di mana ini menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokan harinya.

TANDA AKHIR

Akan berlaku keadaan di mana kita akan merasakan satu keadaan sejuk di bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik ke bahagian halkum. Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah syahadah dan berdiam diri dan menantikan kedatangan malaikat maut untuk menjemput kita kembali kepada Allah SWT yang telah menghidupkan kita dan sekarang akan mematikan pula.

Sumber: Perkongsian Ilmu Menuju Ke Alam Akhirat

Jumaat, Disember 10, 2010

1MALAYSIA 1UMMAH ..... BAGAIMANA???


Tema sambutan Maal Hijrah 1432H/2010M ialah "1Malaysia 1Ummah". Berdasarkan tema ini semua rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama ini hendaklah menjadi ummah yang satu. Berbilang bangsa tidak ada masalah untuk menjadi satu ummah asalkan semuanya Islam, tapi rakyat Malaysia yang menganut berbagai agama ini... bagaimana mahu menjadi satu ummah....... ada Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan sebagainya. Bolehkah dikatakan satu ummah???

Dalam Islam .... syarat untuk menjadi satu ummah atau apa yang disebut "ummatan wahidatan" perlulah mempunyai beberapa ciri.... antaranya ialah :
1. Menyembah Tuhan Yang Satu iaitu Allah.
2. Menganut Agama Yang Satu iaitu Islam.
2. Mencontohi sunnah dan perilaku nabi yang satu iaitu Muhammad SAW.
4. Merujuk dan berpandukan kitab yang satu iaitu al-Qur'an.
5. Mengadap kiblat yang satu iaitu ka'bah di Mekah.

Bolehkah semua rakyat Malaysia memenuhi tuntutan ciri-ciri ini untuk merealisasikan 1Malaysia 1Ummah???? Jika boleh .... alhamdulillah.... semua rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama ini akan menganut dan bersatu dalam agama Islam... jika tidak .... tema ini hanya sekadar slogan menjadi penghias sambutan.... tahun hadapan dengan slogan baru.... syok sendiri sahaja.....

DAULAT TUANKU !!!


Isu Sultan Muhammad V: Terima Saja Keputusan Majlis Perajaan - Kata Nazri Aziz

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Pemasyhuran Sultan Kelantan Sultan Muhammad V, tidak perlu mendapat persetujuan daripada kerajaan persekutuan kerana Majlis Perajaan lebih berkuasa dalam perkara itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata apabila berlakunya sesuatu lantikan oleh majlis tersebut, apa yang perlu dilakukan ialah pemasyhuran iaitu memaklumkan kepada rakyat.

"Sebagai kerajaan, sebenarnya kita tidak boleh campur tangan dalam apa yang berlaku di dalam institusi beraja di Kelantan kerana mereka ada Majlis Perajaan yang boleh menentukan siapa yang berhak menjadi sultan.

"Apabila mereka telah menentukan siapa yang menjadi raja, proses seterusnya ialah pemasyhuran, maknanya memaklumkan kepada rakyat. Jadi, kalau kita faham sistem ini, tidak ada ruang dan sebab mengapa pihak kerajaan pusat, mengapa kerajaan negeri dan mengapa rakyat rakyat perlu mempertikaikan apa yang berlaku di istana Kelantan itu," katanya kepada pemberita di pejabatnya di bangunan Parlimen di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai permintaan tokoh veteran Umno yang juga Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, baru-baru ini yang meminta Majlis Raja-Raja, kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap krisis istana di Kelantan yang berlanjutan bagi mengelakkan kegelisahan dan kekeliruan rakyat dengan situasi semasa di negeri itu.

Ketika membuat kenyataan itu, Tengku Razaleigh turut mengedarkan kenyataan yang dikeluarkan Sultan Ismail Petra yang tertulis bahawa baginda adalah Sultan Kelantan yang sah mengikut Perlembagaan.

"Ini hak mereka (pemasyhuran) dan tidak ada kena mengena dari segi mesti mendapat persetujuan, malahan recognition daripada kerajaan pusat pun tidak perlu kerana apa yang diputuskan oleh Majlis Perajaan itulah mesti diterima oleh semua," kata Mohamed Nazri.

Sultan Muhammad V (Tuanku Muhammad Faris Petra) dilantik sebagai Pemangku Raja Kelantan pada 24 Mei tahun lepas setelah ayahanda baginda menjalani rawatan susulan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura.

Tuanku Muhammad Faris Petra Tuanku Ismail Petra dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan pada 13 Sept lalu. Tuanku Ismail Petra mengalami ketidakupayaan sejak Mei tahun lepas.

Mohamed Nazri berkata permintaan Tengku Razaleigh tidak perlu diberi perhatian kerana institusi beraja di Kelantan telah wujud sebelum kewujudan kerajaan pusat pada 1957 malah tidak pernah berlaku pemasyhuran sultan perlu melibatkan persetujuan kerajaan pusat ataupun kerajaan negeri.

"Saya katakan di sini tak ada masalah pun sebenarnya dalam pemasyhuran itu. Jadi, tak kan lah jika hanya seorang, iaitu Tengku Razaleigh Hamzah tidak berpuas hati kita akan ambil kira pandangan beliau dan tidak pernah berlaku pun rakyat, kerajaan pusat atau kerajaan negeri dilibatkan dalam soal pemasyhuran sultan," katanya.

Beliau berkata isu tersebut juga tidak layak dibawa ke mahkamah khas kerana mahkamah itu hanya untuk membicarakan salah laku seorang raja, bukan untuk membicarakan pertikaian sama ada pemasyhuran itu sah atau sebaliknya.

"Pemasyhuran ini perlu diterima semua. Ia bukan boleh menjadi pertikaian di mana-mana mahkamah pun. Apabila telah dimasyhurkan Tuanku Sultan Muhammad V sebagai Sultan Kelantan dan dimaklumkan kepada pusat dan kita terima, bukan untuk kita iktiraf pun kerana ia tak perlu pengiktirafan daripada kita (kerajaan pusat)," katanya.

Tengku Razaleigh, 73, yang juga Ketua Umno Gua Musang adalah datuk saudara kepada Sultan Muhammad V sebelah bondanya, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.

-- BERNAMA

Isnin, Disember 06, 2010

BAGAIMANA JIKA UDARA UNTUK BERNAFAS DISWASTAKAN?


Air dan udara untuk bernafas adalah keperluan asasi utama manusia untuk hidup, kedua-dua bahan ini tidak wajar sama sekali dimanipulasi dan diniagakan untuk mendapat keuntungan... apa yang diharuskan ialah rakyat dikenakan sedikit bayaran untuk menampung kos memproses dan pengurusan bekalan kepada mereka ..... kerajaan yang dipilih rakyat sepatutnya mengurus keperluan rakyat ini .... bukannya diserahkan kepada pihak yang bertujuan mengaut keuntungan.

Nasib baik udara yang kita sedut setiap hari untuk bernafas ini tidak boleh dikumpul dalam empangan seperti air.... jika tidak ia sudah pasti turut diswastakan seperti air...

Krisis air tidak akan berlaku jika ia diurus dengan baik dan beramanah, jika diurus secara tidak beramanah ... krisis akan berlaku... air tidak akan habis ... percayalah... kerana ia adalah pemberian Allah kepada hambanya .... siapa berani memberi jaminan bekalan air dunia akan kehabisan 50 tahun lagi .... 100 tahun lagi .... jika Allah kehendaki... esok pun boleh Allah jadikan dunia ini kering kontang walau pun hari ini semua sungai-sungai di dunia ini dipenuhi air .... walaupun 100 tahun .... 1000 tahun lagi.... air akan tetap boleh dinikmati oleh manusia selagi ada rahmat Allah kepada penghuni dunia ini ....

------------------------------------------------------------------------------------------------------


Kepentingan Rakyat Diutamakan Dalam Isu Air Di Selangor - Najib

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Kepentingan rakyat merupakan keutamaan pokok apabila menyelesaikan masalah penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Selangor, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam hal itu, katanya, semua pihak perlu mengenepikan kepentingan politik masing-masing kerana isu air merupakan masalah serius.

"Kita perlu kerana masalahnya ialah kerajaan negeri dan ia mengambil pendirian berbeza mengenai masalah air. Ianya masalah amat serius," kata Najib, yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN), pada akhir Konvensyen BN 2010, di sini Ahad.

"Kita harus mengenepikan isu-isu politik dan melihat lebih kepada kepentingan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar bahawa Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shan, melahirkan kekecewaan dengan isu air di negeri itu dipolitikkan.

Sultan bertitah Selangor bakal berdepan krisis air yang serius jika kerajaan pusat dan kerajaan Selangor tidak menyelesaikan segera projek penyaluran air mentah antara negeri.

-- BERNAMA

Khamis, Disember 02, 2010

MACAM TAK PERCAYA!!! DAPAT LAGI DEPA....


Kerajaan DAP Pulau Pinang Beri Sumbangan RM800 Kepada Anggota Awam

GEORGE TOWN, 2 Dis (Bernama) -- Kerajaan DAP Pulau Pinang memberi Bantuan Khas Kewangan kedua tahun ini sebanyak RM800 kepada semua anggota perkhidmatan awam di negeri ini.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata keputusan itu dibuat sebagai tanda keprihatinan dan penghargaan kerajaan negeri terhadap sumbangan anggota perkhidmatan awam negeri selepas sumbangan RM500 sebagai duit raya awal September lalu.

"Penghargaan ini adalah satu pengiktirafan kerajaan negeri kepada anggota perkhidmatan awam negeri yang memberi komitmen penuh dalam menjayakan agenda kerajaan," katanya ketika berucap dalam Majlis Perhimpunan Ketua Menteri Bersama Anggota Perkhidmatan Awam di Dewan Tunku, Komplek Tun Abdul Razak di sini hari ini.

Lim berkata bantuan khas ini diberi kepada semua Pegawai Perkhidmatan Awam dalam Pentadbiran Negeri Pulau Pinang termasuk Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan setaraf termasuk pegawai yang memangku Jawatan Utama dan Gred Khas.

"Sekiranya kita mengambil kira semua termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Badan Berkanun Negeri (BBN) dan agensi negeri, ia melibatkan 7,812 anggota dengan RM6.25 juta," katanya.

Wang itu didebitkan ke dalam akaun anggota perkhidmatan awam berkenaan semalam.



-- BERNAMA

....boleh la guna untuk belanja persiapan persekolahan anak-anak tahun hadapan... mudah-mudahan kerajaan negeri lain boleh mempertimbangkan pemberian yang serupa jika ada kemampuan kewangan .....