SAHABAT :

Khamis, September 02, 2010

MUSLIM CUBA : MEHNAH BERAGAMA


Setiap Jumaat, Pedro Lazo Torres, memindah keluar segala perabot dari ruang tamu apartmennya yang terletak di pinggir Havana. Beliau secara sukarela membenarkan ruang tamu dan balkoni rumahnya dijadikan ruang untuk solat Jumaat bagi penduduk sekitar dan para pelajar Muslim dari luar negara.

Bagi Muslim Havana, Torres dikenali sebagai Imam Yahya, dan rumah yang dihuninya bersama isteri dan dua orang anaknya yang sudah dewasa, adalah tempat ibadah mereka.

Ada sekitar 1500 orang Islam di Cuba, namun tidak ada sebuah masjid pun di sana. Itulah sebabnya, pada setiap jumaat, Imam Yahya, berpakaian rapi dengan berkepiah putih dan gamis, menyambut orang ramai yang datang untuk solat Jumaat. Wanita ditempatkan di ruang tamu utama, sementara kaum lelaki di balkoni. Sebahagian besar Muslim di Cuba adalah mahasiswa dari negara-negara seperti Pakistan dan Indonesia.

Negara Cuba secara tradisi majoriti penduduknya beragama Kristian Katolik, tetapi kebanyakannya tidak aktif melakukan amalan keagamaan. Selebihnya, mengamalkan kepercayaan paganisme Afro-Karibia seperti Santeria.

Imam Yahya diperkenalkan kepada Islam oleh siswa luar negara yang datang belajar di Cuba. Sejak itu, beliau yang dahulunya dibesarkan dengan kepercayaan tradisi leluhur, giat belajar tentang Islam. Akhirnya, beliau menjadi seorang Muslim yang berilmu, anak dan isteri mengikuti jejaknya sebagai penganut Islam.

Muslim di Cuba juga menghadapi beberapa kesukaran. Misalnya, sukar untuk mendapatkan makanan halal. Daging yang umumnya dijual di pasar adalah daging babi. “Tapi kita istiqamah. Kita menghindari yang haram dan mencari yang halal,” ujarnya.

Menurutnya, sebagai Muslim dengan berbagai keterbatasan, mereka harus fleksibel. Sebelum solat Jumaat, misalnya mereka berwudhu' di bilik air kecil milik Imam Yahya. Tapi bekalan air sering terputus di Havana. Jadi, sejak dua hari sebelumnya beliau menyimpan air di dalam bekas yang besar untuk kegunaan jema'ah yang ramai, jika air tidak mencukupi...mereka bertayammum.

Banyak negara-negara Islam telah menawarkan untuk menyumbangkan dana bantuan bagi pembinaan masjid, tapi Imam Yahya lebih suka jika bantuan dana itu datang dari Kerajaan Cuba sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan