SAHABAT :

Ahad, Ogos 08, 2010

RAHSIA CAP JARI


Meskipun peradaban manusia berusia jutaan tahun, hanya pada akhir abad ke- 19, manusia mendapati ada satu bahagian pada tubuh manusia yang unik, tersendiri serta memiliki keupayaan untukmenjadi identiti diri.


Begitupun, kepentingan cap jari lambat diteroka manusia meskipun sudah dinyatakan dalam al-Qur'an lebih 1400 tahun yang lalu. Rekod penggunaan cap jari hanya dapat dilihat pada penggunaan dalam urus niaga undang-undang di kalangan golongan masyarakat Arab dan Cina purba. Pada 1823, seorang pakar psikologi berbangsa Chech, Johannes Evengelista Purkinje memperkenalkan sistem klasifikasi cap jari, tetapi ia tidak menarik perhatian dunia.


Cap jari tidak diakui sebagai identiti pengenalan diri terpenting sehinggalah pada penghujung abad ke-19 apabila saintis British Sir Francis Galton menulis laporan terperinci tentang cap jari.

Sistem yang diasaskan membabitkan 10 jari dan ia dianggap kini sebagai asas pengenalan identiti menggunakan cap jari. Pada permulaan awal abad ke-20, penggunaan cap jari adalah asas kepada penyelesaian kes-kes jenayah terutama di Eropah dan Amerika Syarikat.

Sistem baru ini dipanggil Sistem Galton dan ia mengambil-alih sistem lama pengenalan identiti penjenayah yang sebelum ini dikenali sebagai Sistem Bertillon. Sistem Bertillon ini berasaskan pengukuran tubuh badan dan karakter.


Sistem yang dirintis ini sangat lewat kerana al-Qur'an dalam Surah al-Qiyamah ayat 3 dan 4 menjelaskan : " patutkah manusia ( yang kafir) menyangka bahawa Kami (Allah) tidak dapat mengumpulkan tulang-tulangnya ( dan menghidupkannya semula) ? Bukan sebagaimana yang disangka itu, bahkan Kami ( Allah ) berkuasa menyusun ( dengan sempurnanya segala tulang ) jarinya, ( tulang yang lebih halus dari yang lain )."


Cap jari sangat istimewa kerana setiap orang meskipun mereka yang dilahirkan kembar seiras, memiliki cap jari yang berbeza. Kerana itu cap jari adalah identiti terpenting, bersifat eksklusif dan digunakan untuk pelbagai tujuan. Sebelum manusia menyedari kepentingan cap jari , kebanyakan pengkaji hanya menyifatkan cap jari sebagai lekuk-lekuk biasa kejadian manusia tanpa memiliki kepentingan yang sebegitu besar.


Tetapi dalam al-Qur'an Allah telah menunjukkan betapa cap jari yang berlekuk halus, yang tidak menarik perhatian sesiapa pada waktu itu menjadi sesuatu perkara yang paling berharga dalam apa jua situasi. Kitab Allah ( al-Qur'an ) mengandungi rahmat yang hanya diketahui oleh sesiapa yang membaca, menghayati dan mengkajinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan