SAHABAT :

Rabu, Julai 14, 2010

NAMA BANGSA MORO PROPAGANDA PENJAJAH SEPANYOL

Identiti bangsa Suluk@Tausug yang pernah mewarisi sebuah kerajaan yang besar di Kepulauan Sulu telah berjaya dihancurkan oleh musuh Islam untuk melemahkan kekeuatan umat Islam dengan cara memusnahkan dan mengelirukan sejarah mereka.... serangan seperti ini juga berlaku ke atas kita bangsa Melayu hari ini ..... sejarah kita juga dikelirukan oleh penjajah British.... usaha itu diteruskan lagi oleh pewaris-pewaris penjajah British.... tokoh ulama' seperti Tok Janggut dan Hj. Abdul Rahman Limbong yang memperjuangkan maruah Islam dan bangsa Melayu dianggap penderhaka adalah contoh usaha mengelirukan sejarah oleh golongan ini.....
Petikan di bawah menceritakan nasib saudara kita bangsa Suluk@Tausug yang telah ditukar identiti dan nama mereka......


Pada abad ke-12 Belanda telah menghantar delegasi pemantaunya yang pertama ke Nusantara. Belanda mendapati di Nusantara telah didominasi oleh satu bangsa yang dinamakan Melayu yang bermula di Jambi dan Palembang ketika itu. Kemudian mereka mencatatkan bahawa Melayu adalah satu bangsa dominan di Asia Tenggara lalu dinamakanlah penghuni Nusantara (Asia Tenggara) ini dengan panggilan “Rumpun Melayu”.

Hingga hari ini seluruh dunia memanggil penghuni yang menduduki Asia Tenggara adalah sebangsa dengan Orang Melayu adalah kerana rupa paras mereka sama dengan bahasa linguistiknya juga tidaklah jauh berbeza antara satu kaum dengan kaum yang lain.



Berukuran 9.45-inch dinamakan Pearl of Allah atau dikenali juga dengan nama The Pearl of Lao Tzu @ Tze adalah mutiara terbesar di dunia. Ia dijumpai oleh penyelam Bajau Laut di sekitar laut Palawan, Sulu pada 1934 dan kini tersimpan dalam muzium Filipina.

Orang Arus Peniaga Mutiara

Penggelaran Melayu itu termasuklah kepulauan Sulu dan Mindanao. Walaupun ketika itu bangsa Tausug sudah lama menguasai laut Sulu dan Sulawesi dengan menggelarkan bangsa mereka dengan Tausug tetapi masih menerima hakikat yang mereka adalah dari rumpun Melayu. Tausug adalah bangsa pedagang sejak dahulu kala.

Mereka menjalankan perdagangan mutiara hingga ke Jambi Sumatera malah sudah biasa merentas Laut China Selatan sampai ke Negeri Kayangan China sebagai penjual mutiara. Menurut beberapa catatan dari pencatat sejarah mengatakan rumpun Melayu di Sulu sudah mula terkenal sejak abad ke-7. Bajau Laut telah ada di Pulau Taguima (Pulau Basilan) bekerjasama dengan Orang Taguimaha sebagai penyelam mutiara.


Maharaja China adalah pembeli utama mutiara Sulu. Sejak abad ke-9 pedagang China giat berulang alik ke Buansa membeli mutiara hinggakan pelabuhan Buansa mereka gelar "Holiow" bermaksud bagus atau tempat baik dan menguntungkan untuk berniaga. Spanyol pula menyebut Holiow sebagai Holo (Jolo).

Bermula dari perdagangan mutiara inilah mereka mendapat gelaran “Orang Arus” kerana kebiasaan merentas lautan berdagang mutiara tersebut. Perdagangan mutiara menyebabkan bangsa ini menjadi penguasa sehingga ke Pulau Panay, Manila dan Luzon, Cebu (kata asalnya Sug Bu), Butuan, Kalamianes, Visaya (Naungan Sri Vijaya) hingga Mindanao. Sejarah telah mencatat (dalam catatan Dinasti Ming) bahawa antara sebab utama Tausug menyerang Brunei pada tahun 1368 M adalah kerana Brunei dikatakan telah mencuri dua biji mutiara Sulu. Ketika itu Brunei di bawah pemerintahan Raja Awang Alak Betatar terpaksa melarikan diri ke Johor Lama untuk mengelak dari dibunuh oleh Tausug.

Kaum Ayta atau Agta yang menjadi penghuni asli kepulauan Mindanao memanggil kaum dari Sulu ini dengan panggilan Sulug yang bermaksud Arus. Walaupun penghuni awal Sulu adalah dari kaum Buranun tetapi Panggilan Sulug @ Sug terhadap mereka oleh orang luar diterima sebagai satu penghargaan.
Hingga hari ini kaum Visaya, Surigaonun, Hiligaynun, Kagayanun, Suba’anun, Iranun, Maguindanao, Maranao masih memanggil mereka Sulug. Malah orang Brunei juga turut memanggilnya Sulug (Lidah Brunei menyebut Suluk). Kaum Asli Sulu ini memanggil diri mereka sebagai Sulug juga (lidah mereka menyebut Sug, sebagaimana mereka menyebut Bangingi kepada Balangingi – kebiasaan menghilangkan konsonan “L”).

Penggelaran TAUSUG


Setelah kedatangan kaum Baklaya (Bugis) dari Suluwesi (Sulawesi) ke Sulu telah menjadikan bahasa Sulug ini bertambah kaya dengan perbendaharaan kata Bugis. Orang Bugis Baklaya memanggil Orang Sulug @ Sug dengan panggilan Tau-Sug bermaksud Orang Sug (Orang Arus). Dalam bahasa Bugis Tau bermaksud Orang. Sebab itu mengapa orang Bugis di Sulawesi, Indonesia memanggil Tau-Gi’ (Orang Bugis) kepada diri mereka hingga hari ini.
Perhubungan Orang Bugis dengan Tausug sejak dahulu kala adalah sangat rapat. Tau-Gi’ dan Tau-Sug berkahwin campur sesama mereka sejak zaman kegemilangan Kesultanan Makassar lagi. Sultan Badaruddin I dari Sulu sendiri berkahwin dengan wanita Soppeng dari Tanah Bugis. Kadangkala Daeng-daeng Bugis datang ke Sulu untuk membeli hamba kerana sejak abad ke-17 lagi Tausug adalah yang paling terkenal dengan jual beli hamba.


Pahlawan Tausug dengan pakaian tradisi terselit barung di pinggang siap sedia ke medan perang.

Penggelaran Bangsa Moro

Pada awal abad ke-16 Spanyol datang menjajah Tausug dan tanah dibawah kekuasaannya. Spanyol mengakui kehebatan pahlawan Tausug di Cebu setelah terbunuhnya Ferdinand Magellan di tangan Panglima Lapu-Lapu. Kononnya sebelum Magellan terbunuh di tangan Lapu-Lapu beliau pernah menyatakan “Sekiranya aku punya pahlawan 1000 orang Tausug, adalah sudah cukup untuk aku dapat menguasai dunia”.

Cebu dan kepulauan sekitarnya hingga ke Visaya dan Layte ketika itu dibawah kuasa Raja Tausug bernama Raja Humabon dari Sulu. Kebetulan Lapu-Lapu berada di Cebu ketika itu (mungkin sedang berniaga atau diutus oleh Raja Sulu) marah dengan tindakan Raja Cebu kerana bekerjasama dengan Magellan maka berlakulah pertempuran di pantai Maktan Cebu yang menyebabkan terbunuhnya Magellan.

Legazpi kemudian datang dari Maxico (Amerika Latin) dengan tujuan mewakili Raja Spanyol untuk menumpaskan Tausug di Cebu. Tausug Cebu akhirnya tumpas dan Raja Humabon telah murtad bersama permaisurinya serta rakyatnya menganut Kristian yang kebanyakannya adalah dari suku kaum Ayta Visaya.

Ketika ini bermulalah penggelaran Moro kepada Tausug. Moro menurut pemahaman Legazpi ialah satu bangsa gasar yang jahat dan hina. Satu bangsa beragama Islam yang menghuni Maurice (Moores satu daerah di Andalusia) telah berjaya dimusnah-kalahkan oleh Spanyol kerana menjajah Spanyol selama 800 tahun. Hal ini menjadi ejekan dan penghinaan terhadap Tausug yang ketika itu sudah pun beraga Islam.

Tarian Hina Moro-Moro

Setelah Legazpi berjaya menewaskan sekutu Tausug dari Brunei (Raja Sulaiman) di Amanillah (Manila) maka ejekan Spanyol makin bertambah marak lagi. Hinggakan diadakan satu tarian yang ditujukan kepada umat Islam Tausug dan Brunei iaitu tarian Moro-Moro. Tarian ini dilakukan oleh kaum Ayta Kristian di Manila sehingga menular di seluruh Luzon. Tarian Moro-Moro dilakukan dengan meletak ekor kepada penarinya seolah-olah binatang monyet atau beruk. Hal ini telah sampai ke telinga Tausug di Jolo menyebabkan kemarahan di kalangan kaum Tausug dan para Datunya..

Menurut tradisi lisan Tausug, gelaran Moro kepada mereka ketika itu adalah satu penghinaan yang perlu dibalas dengan apa cara sekalipun. Hinggakan siapa sahaja yang mereka dengar menyebut Moro akan menerima tindakan keras dari Tausug samada dibunuh atau ditangkap dijadikan hamba. Terbukti dalam mana-mana catatan sejarah samada berbentuk khutbah-khutbah dan tulisan-tulisan klasik Tausug, tidak pernah ditemui mereka menyebut Moro keatas diri mereka. Pandangan ini turut diakui oleh Prof. D. Mangubat (pakar sejarah Sulu) yang menurutnya Moro bermaksud hina dan jahat seperti binatang sebab itu Tausug sejak dahulu tidak suka dengan gelaran Moro.


Ferdinand Emmanuel EdralĂ­n Marcos (September 11, 1917 – September 28, 1989) Mantan Presiden Filipina 1966 -1986.

Penggunaan perkataan Moro Di Zaman Marcos

Sebelum Marcos menjadi Presiden Filipina, beliau bekerja sebagai peguam kepada Trusty Kesultanan Sulu yang menjaga dan mengawas jongkong emas 617,000 tan metrik. Trusty pula diamanahkan oleh Sultan Sulu, Sultan Jamalul Kiram II pada 1935 sebagai penjaga harta Negara Sulu untuk investasi ke Amerika dan Eropah. Setelah Filipina merdeka dari tangan Amerika Syarikat, Filipina meminjam kepada Trusty Sultan Sulu 400,000 tan metrik jongkong emas untuk menubuhkan Bank Negara “Banko Ang Philipinas” pada 1949 M.

Sebelum 1968 Marcos telah menjadi Presiden Filipina dan mula berfikir untuk menghancurkan Tausug dan Kesultanannya. Antara rancangan Marcos ialah bagaimana Tausug dan Kesultanan Sulu dihapuskan dari muka bumi serta mengubah pandangan dunia terhadap Tausug.

Tidak lain dan tidak bukan ialah menukar mereka ke dalam istilah Moro maka dengan sendirinya Moro akan dikenali sebagai satu bangsa bukan lagi Tausug dan Kesultanan Sulu. Dengan bantuan Vatican di Italy, propaganda sudah mula dirancang (kerana Vatican turut menyimpan Emas Sulu, sila rujuk buku kami Tausug & Kesultanan Sulu). Pada akhir tahun 1968 Marcos menubuhkan 200 orang Komando Jabidah yang terdiri dari kaum Tausug dan Bajau dari Sulu. Setelah latihan hampir tamat mereka dibunuh beramai-ramai di Carigidor Island tidak jauh dari Manila menyebabkan Tausug di Sulu naik berang dan bertekad untuk membalas dendam terhadap pembunuhan itu.

Beberapa minggu kemudian satu pasukan Muslimin di Sulu (Zamboanga) yang terdiri dari puluhan Ulama dan pengikut mereka menubuhkan satu kumpulan Mujahidin yang dinamakan Ansarul Islam. Kumpulan ini para ahlinya adalah para Mujahid yang Mukhlis (Ikhlas) memperjuangkan nasib Tausug ketika itu.

Dalam diam-diam, tiba-tiba muncul Nur Misuari membawa satu gagasan baru dan asing iaitu bersatu sebagai Bangsa Moro (Sulu dan Mindanao) untuk merebut semula Moroland yang kononnya adalah Tanah Nenek Moyang Bangsa Moro. Telah menjadi kekeliruan ketika itu mengapa istilah Bangsa Moro diguna pakai dalam perjuangan ini sedangkan umat Islam Sulu sejak dulu menentangnya? Persoalannya siapakah Nur Misuari yang tiba-tiba muncul ini?

Menurut bekas pemimpin dan anggota MNLF, setelah tersebarnya Pembunuhan Jabidah pada 1968, Nur Misuari yang ketika itu bekerja sebagai pensyarah Sains Politik di Universiti Manila bangkit mengecam Marcos. Ketika itu Nur Misuari menganggotai satu pertubuhan atau parti politik Komunis di Manila. Perkara ini turut disahkan oleh Puan Joce @ Jocelyn B. Lebanan (cyberdayang@ yahoo.com) salah seorang sahabat karib Nur Misuari dalam parti Komunis ketika dulu.

Hal ini juga turut disahkan oleh bekas anggota MNLF Hj Zakariya Abdullah. Menurut beberapa bekas pemimpin MNLF, adalah tidak menghairankan kiranya perkara ini (penggunaan Bangsa Moro) digunapakai oleh Nur Misuari sebagai modal perjuangannya kerana beliau sendiri lahir dari parti Marxis. Bagi sebilangan Tausug, oleh kerana Nur Misuari membawa gagasan persatuan untuk kemerdekaan bangsa, mereka bersetuju berjuang bersama dan hanya menganggap Moro cuma satu istilah yang tidak perlu diperdebatkan lagi dalam keadaan perang berkecamuk ketika itu.


Ferdinand Marcos mati dalam keadaan hina. Mayatnya tidak diterima bumi selama-lamanya dalam kaca dijadikan tontonan umum. Dosanya terhadap umat Islam Sulu tidak akan dimaafkan sampai kiamat oleh generasi Tausug kini dan akan datang.

MNLF Sebagai Lambang Kejayaan Marcos?

Pada 1972, Martial Law telah diistiharkan oleh Marcos untuk memerangi “Bangsa Moro” yang dipimpin oleh Nur Misuari dan MNLFnya. Perang berterusan di seluruh wilayah kepulauan Sulu. Rancangan Marcos akhirnya menjadi kenyataan. Dengan berlangsungnya peperangan yang panjang hingga 1987 telah menyebabkan sebahagian besar Tausug dan para Datu dari Kesultanan Sulu telah lari menjadi pelarian perang ke Sabah, Malaysia. Lebih 50% rakyat Sulu telah lari meninggalkan kampung halaman mereka lari ke Sabah.

Kali ini mereka sudah dikenali sebagai Bangsa Moro. Dengan bantuan propaganda Vatican dan Freemason yang menggunakan akhbar-akhbar mereka berterusan menggunakan istilah Bangsa Moro di seluruh dunia. Hingga hari ini Malaysia dan Indonesia turut memanggil mereka Bangsa Moro.

Hari ini, MNLF (Moro National Lebaretion Front) semakin hilang malah sudah tidak berupaya bangkit sebagai pembela “Bangsa Moro” lagi kerana mereka sudah diserap kedalam tentera Filipina sebagai tentera Integrasi. Mereka sudah menjadi Filipino setelah memeterai perjanjian damai Otonomi 1996 yang ditandatangani oleh pemimpin mereka Nur Misuari.

Kumpulan Bangsa Moro ini sudah semakin letih malah kumpulan serpihannya MILF (Moro Islamic Laberation Front) juga sudah hampir meletak senjata dan mahu berdamai dengan Filipina kerana senantiasa dipermainkan oleh Manila dari mendapatkan Republik Moro di Mindanao.

Setelah termeterainya perjanjian damai MNLF dan Filipina untuk Otonomi pada 1996 hingga tahun 2008 menyebabkan Tausug sudah benar-benar hilang. Bangsa Moro telah menjadi Filipino dan sudah tentulah Tausug juga sudah terikut sama menjadi Filipino. Sebilangan Tausug sudah merasa tertipu terutama para bekas ahli MNLF. Ada bekas ahli MNLF yang mengatakan bahawa MNLF bermaksud Marcos NurMisuari Loving Friend. Maka berjayalah tujuan Marcos yang antaranya:

Pertama: Bangsa Tausug sudah tidak dikenali lagi melainkan dengan gelaran Bangsa Moro.

Kedua: Kesultanan Sulu telah musnah kerana sebahagian besar rakyatnya sudah menjadi pelarian ke Negara lain dan menjadi Filipino (bukan rakyat Sultan lagi).

Ketiga: Negara Sulu sudah hilang kerana yang ada ialah ke arah Republik Moro kerana umum mengetahui negara dalam sistem republik ialah mengamalkan demokrasi Plato-Socrates yang menjadikan Islam “di tapak kaki” dalam perlembagaannya.

Apakah Faedah yang didapati oleh Marcos dan Filipina terhadap penghapusan Tausug dan Kesultanan Sulu ini? Adalah kerana Filipina berhutang 617,000 tan metrik jongkong emas yang telah dibolot oleh Trusty Filipina dan Marcos. Kiranya Tausug dan Kesultanan Sulu berkuasa semula, Filipina akan berhutang sampai qiyamat kecuali Filipina dapat mengembalikan harta Sulu yang disebutkan itu. Kalau tidak dapat bayar Filipina hanya ada satu pilihan, iaitu masuk menjadi sebahagian Wilayah Negara Sulu.


Hari ini muncul lagi satu pertubuhan yang menamakan diri mereka United Tausug Citizens (UTC) sebagai alternatif perjuangan kemerdekaan Sulu. Mereka menolak istilah Moro ke atas diri dan bangsa mereka adalalah kerana pemahaman dari bukti-bukti sejarah seperti yang dinyatakan di atas. Kini Tausug kembali bangkit setelah lumpuh hampir mati.

Mereka mengangkat bendera nenek moyang mereka yang sudah lama ditinggalkan. Mereka mengajak saudara mereka di Mindanao untuk berbuat perkara yang sama, samada mereka menyertai UTC atau membuat gerakan mereka sendiri. Sekarang UTC bergerak ke pelusuk Sulu seperti virus, menular dengan cepat secara aman dengan slogan "Kami bukan Filipino dan kami juga buka Moro".

Sebahagian Analisis dalam kertas kerja Asreemoro bertajuk:
Tamatnya Riwayat Bangsa Moro dan Munculnya United Tausug Citizens

P/s: Di petik daripada blog rasmi Asreemoro
http://www.tausug-global.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan