SAHABAT :

Isnin, Mei 31, 2010

HINANYA BANGSA KERANA JUDI BOLA

Di saat bangsa dan negara lain sibuk membuat persiapan untuk beraksi di Piala Dunia sebagai satu gelanggang bolasepak berprestij yang boleh mengangkat martabat sesebuah negara dan bangsa, negara kita Malaysia yang dipimpin oleh bangsa Melayu beragama Islam ini.... sibuk berpolemik menghalalkan judi bolasepak. Apakan daya... itu sahaja kemampuan kita, tak dapat beraksi di Piala Dunia.... berjudi bolasepak Piala Dunia pun jadilah....
jangankan beraksi di Piala Dunia , jauh panggang dari api, pingat emas Sukan Sea pun belum tentu dapat.
Segolongan berkata .... adalah wajar judi bolasepak itu dilesenkan, diberi status halal agar dapat mengawal judi-judi haram yang bakal tumbuh menjelang kejohanan bolasepak Piala Dunia nanti, maknanya.... maksiat yang sangat dilarang Allah ini diurus dengan baik untuk kebaikan rakyat dan negara, rakyat dapat berjudi secara sah, negara mendapat cukai yang lumayan......

Bolehkah begitu???? Hanya orang yang tidak beriman dengan Allah mengatakan boleh.... Firman Allah dalam al-Qur'an maksudnya :
"Wahai orang-orang beriman! Sesungguhnya arak dan judi, pemujaan berhala dan bertenung nasib adalah perkara keji daripada amalan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya mudah-mudahan kamu berjaya". ( al-Ma'idah : 90 )

Tidak ada mana-mana bangsa dan agama pun dalam dunia ini yang mengatakan judi itu baik, tetapi bangsa kita bertindak sebaliknya, akan tercatat dalam sejarah, bangsa Melayu yang beragama Islam melesenkan dan "menghalalkan" judi.... satu tindakan yang membelakangkan perintah Allah dalam ayat di atas.

Jumaat, Mei 28, 2010

"KITA ADALAH UNTUK AKHIRAT"

Gambar hiasan

Umar bin al-Khattab meriwayatkan : Bahawa pada suatu hari aku menziarahi Nabi SAW, ketika itu aku dapati baginda sedang berbaring di atas tikar yang kasar, yang membekas pada kulit baginda. Kemudian aku melihat ke dalam rumah dan hanya ada segantang gandum kasar. Melihat keadaan itu, aku merasa sebak dan menangis tidak tahan, maka baginda bertanya :
"Apakah yang menyebabkan engkau menangis?"
Aku menjawab : "Aku melihat para kaisar dan kisra, mereka tidur di atas katil-katil dan ranjang yang baik beralaskan sutera, tetapi sebaliknya aku melihat engkau wahai Rasulullah, tidak seperti mereka".

Rasulullah bersabda :"Wahai Umar! Tidakkah engkau lebih suka bila untuk kita adalah akhirat dan untuk mereka adalah dunia".

Berbahagialah jika pemimpin dan pemerintah yang memerintah sesebuah negara atau negeri pada hari ini hidup sederhana... mengikut teladan dan sunnah nabi.... dan celakalah para pemimpin dan pemerintah yang hidup bermewah dan bermegah dengan kemewahan dunia umpama kaisar dan kisra.... begitu juga golongan hartawan yang diberi amanah memiliki kekayaan khazanah Allah.... menjalani kehidupan di atas bumi Allah umpama Qarun....

Isnin, Mei 24, 2010

MUSAFIR

Setiap orang yang ingin melakukan perjalanan atau bermusafir dengan tujuan yang dituntut oleh Islam, seperti kerana menuntut ilmu, melaksanakan urusan keagamaan, menziarahi keluarga atau mencari rezeki yang halal untuk memenuhi keperluan keluarganya, mereka tergolong orang-orang yang menempuh perjalanan yang diredhai Allah dan dikira ibadat.

Rasulullah bersabda :"Sesiapa yang bermusafir kerana menuntut ilmu, maka ia adalah dalam perjalanan Allah sehinggalah ia kembali".

Dalam hadis lain Rasulullah bersabda : "Tidak seorang pun yang keluar dari rumahnya, kecuali ada dua panji-panji, salah satu di antaranya berada di tangan malaikat sedang yang lainnya di tangan syaitan. Maka jika keluarnya itu untuk urusan yang disukai Allah, ia akan diiringi oleh malaikat dengan panji-panjinya. Demikianlah, dia akan terus berada di bawah panji-panji malaikat sehinggalah dia kembali. Sebaliknya jika keluarnya untuk sesuatu hal yang dimurkai Allah, maka dia akan diiringi oleh syaitan dengan panji-panjinya. Dan demikianlah, dia akan selalu di bawah panji-panji syaitan sehingga dia kembali".

Disunatkan memulakan musafir pada hari Khamis, diriwayatkan oleh Imam Bukhari :"Bahawa Rasulullah jika baginda bermusafir, jarang sekali baginda berangkat bukan pada hari Khamis".

Rabu, Mei 19, 2010

KEADILAN UMAR AL-KHATTAB

Suatu peristiwa, seorang raja dari Ghassan bernama Jaballah b. Aiham memeluk Islam pada zaman pemerintahan Umar al-Khattab. Beliau amat dihormati dan disayangi oleh Umar al-Khattab. Kebetulan pada masa tersebut hampir tiba musim haji, dan ketika tawaf seorang lelaki orang kebanyakan daripada kabilah Fazzari terpijak jubah Jaballah yang meleret itu menyebabkan beliau marah lantas menampar lelaki tersebut.
Lelaki tersebut mengadu kepada Umar dan beliau bertanya kepada Jaballah :"benarkah perbuatan tersebut?" Jaballah menjawab : "ya, benar". Lantas Umar mengenakan hukuman qisas ke atas Jaballah sekalipun berbeza taraf dan darjat antara mereka, kerana sesungguhnya Islam tidak memandang darjat tersebut. Jaballah memohon ditangguhkan hukuman dan pada waktu malam Jaballah melarikan diri bersama pengikutnya. Jaballah dikatakan murtad daripada Islam selepas peristiwa itu.

Lihatlah... ketegasan Umar melaksanakan qisas tanpa memilih bulu, hukumannya adil berdasarkan undang-undang Islam, sang raja pula... hanya kerana jubah sanggup murtad daripada Islam.

Ahad, Mei 16, 2010

PASUKAN MEMANAH KUALA MUDA/YAN SERTAI KEJOHANAN MEMANAH MSS KEDAH 2010

Kejohanan Memanah MSS Kedah diadakan di SMK Pokok Sena, Alor Setar pada 13 hingga 15 Mei 2010 disertai oleh Daerah Kota Setar, Pendang, Padang Terap, Langkawi, Kubang Pasu, Baling/Sik, Kulim/Bandar Baru dan Kuala Muda/Yan.
Pasukan Memanah Kuala Muda/Yan yang hanya menyertai acara peringkat sekolah menengah diwakili oleh pemanah-pemanah dari SMK Sungai Limau ( 7 pemanah ) dan SMK Bukit Selambau ( 5 pemanah ).
Pasukan Memanah Daerah Kuala Muda/Yan bersama Jurulatih En. Mohd. Reme b. Hassan dan En. Shubanthirio b. Mohd. Suhaimi.
Mohd. Razif Nayan dari SMK Sungai Limau menyumbang 3 pingat emas kepada kontinjen Daerah Kuala Muda/Yan.

Keputusan penuh pungutan pingat Kejohanan Memanah MSS Kedah 2010 :

1. Daerah Kota Setar ( 14 E, 15 P, 4 G )
2. Daerah Kulim/Bandar Baru ( 10 E, 5 P, 9 G )
3. Daerah Kuala Muda/Yan ( 3 E, 0 P, 1 G )
4. Daerah Kubang Pasu ( 1 E, 10 P, 6 G )
5. Daerah Baling/Sik ( 1 E, 0 P, 8 G )
6. Daerah Langkawi ( 1 E, 0 P, 2 G )
7. Daerah Pendang ( tiada pingat )
8. Daerah Padang Terap ( tiada pingat )
Pandangan dari sudut khemah DOS.





Isnin, Mei 10, 2010

KISAH RAJA DENGAN ULAMA' I

Suatu peristiwa... Imam Salim b. Abdullah ketika sedang bertawaf di Ka'abah telah bertemu dengan Khalifah Hisyam b. Abdul Malik, khalifah ke-10 Kerajaan Bani Umayyah. Khalifah Hisyam berkata kepada Salim : "wahai salim, aku ingin memberikan kamu apa sahaja yang kamu minta, mintalah". Imam Salim menjawab : "wahai Hisyam, aku rasa malu ingin meminta sesuatu kepada selain dari Allah sedangkan aku berada di Baitullah (rumah Allah)".
Setelah keluar dari Masjidil Haram , Khalifah Hisyam berkata : "kita telah keluar dari rumah Allah dan engkau merasa malu untuk meminta kepadaku ketika berada di dalamnya, maka mintalah apa sahaja yang kamu mahu sekarang kerana kita tidak lagi berada di dalam masjid". Imam Salim bertanya : "wahai Hisyam, apakah yang engkau akan beri kepadaku? Bahagian daripada dunia atau akhirat?"
Khalifah Hisyam menjawab : "kamu mintalah daripada bahagian dunia kerana aku tidak memiliki apa-apa daripada bahagian akhirat". Imam Salim lalu berkata : "apabila aku malu untuk meminta perkara dunia daripada Allah sedangkan Dia (Allah) yang memilikinya, bagaimana pula aku mahu meminta daripada kamu bahagian dunia itu sedangkan kamu tidak memilikinya".
Khalifah Hisyam terdiam dengan kata-kata Imam Salim itu dan kemudian dia berlalu pergi.

Demikianlah... kehebatan ulama' silam, menolak pangkat, menolak kekayaan dunia pemberian manusia... lebih-lebih lagi pemberian raja yang bertujuan menunjuk-nunjuk kebaikannya, Khalifah Hisyam terkenal dengan sifat bakhilnya... dan menjadi tradisi khalifah dan raja-raja dahulu kala memberi hadiah kepada sesiapa sahaja yang memuji mereka walaupun pujian yang direka-reka penuh pendustaan.

Sabtu, Mei 08, 2010

CONTOHI UMAR AL-KHATTAB

Merenung sebuah kisah yang berlaku kepada Amirul Mukminin ke-2 Saidina Umar al-Khattab... pada suatu hari anaknya pulang ke rumah sambil menangis. Lalu Umar bertanya kepada anaknya "kenapa engkau menangis?" Jawab anaknya "kawan-kawanku mempersenda dan menghinaku... anak Amirul Mukminin memakai pakaian bertampal".
Umar sangat sedih dan terharu, tapi apakan daya, gajinya sebagai khalifah hanya cukup untuk keperluan seharian, Umar sendiri memakai baju bertampal dan terpaksa bekerja membanting tulang di kebunnya untuk mendapat pendapatan tambahan.

Lalu Umar pergi berjumpa penjaga Baitul Mal yang menjaga perbendaharaan negara (perbandingan sekarang... Menteri Kewangan) untuk meminjam wang. Penjaga Baitul Mal bertanya :"bilakah tuan akan membayar hutang ini?" Umar menjawab ,"setelah aku mendapat gaji"... "Bolehkah tuan memberi jaminan tuan akan hidup sehingga mendapat gaji?" balas penjaga Baitul Mal. Umar hanya mampu menggelengkan kepala menandakan tiada jaminan dia akan hidup sehingga mendapat gajinya beberapa hari akan datang lagi.
Umar pulang mendapatkan anaknya dan hanya mampu meminta anaknya bersabar, walaupun tidak mampu memakai pakaian yang cantik dan baru, pakaian yang paling mulia bagi manusia adalah takwa, hiasilah dirimu dengan sifat takwa... pujuk Umar kepada anaknya.
Umar tidak mengguanakan kuasa yang ada padanya sebagai khalifah untuk mengambil wang dari Baitul Mal, sebaliknya Umar akur dengan ketegasan dan sifat amanah penjaga Baitul Mal. Khalifah Islam yang sebeginilah menyebabkan Islam digeruni, malah Islam mampu menguasai 1/3 daripada muka bumi ini, umat Islam dipandang mulia, pada masa ini ulama' adalah umara' dan umara' adalah ulama', tiada penyelewengan dan salah guna kuasa harta dan kekayaan negara, khalifah sendiri tertakluk kepada undang-undang...

Bandinglah realiti kehidupan kita sekarang... ulama' tidak lagi menjadi umara' dan umara' tidak lagi dipilih dari kalangan ulama', bagaimanakah kehidupan umara' kita? Adakah Islam digeruni? Bagaimana pula ulama' kita? Sebaik-baik umara' adalah umara' yang mendatangi ulama' untuk mendapatkan nasihat.... seburuk-buruk ulama' adalah ulama' yang mendatangi pintu umara' untuk mendapat habuan keduniaan.

Jumaat, Mei 07, 2010

IZZUDDIN AL-QASSAM


Nama Izzuddin Al-Qassam mungkin tidak dikenali oleh kebanyakan orang Islam pada masa ini kecuali mereka yang berpendidikan agama dan menghayati sejarah tokoh-tokoh pejuang Islam. Apa yang kita tahu al-Qassam adalah nama bagi sebuah briged, sayap kanan kepada HAMAS dan juga nama yang diberikan kepada roket buatan sendiri oleh HAMAS yang gunakan bagi menyerang Israel. Tahukah anda ia merupakan nama seorang ulama’ yang dikurniakan oleh Allah dengan syahid. Siapakah Izzudin Al-Qassam ini ? Apakah kehebatannya hingga menjadi kebanggaan kepada para pejuang Palestin ? Nama beliau ialah Muhammad Izzuddin Abdul Qadir Al-Qassam. Dilahirkan pada tahun 1882 M di Jibillah, Syria. Keluarganya amat berpegang kuat dengan ajaran Islam. Bapanya seorang guru Al-Quran yang mengajar anak-anak di kampung mereka membaca dan menghafaz Al-Quran. Beliau pernah menuntut di Universiti Al-Azhar di Mesir ketika berumur seawal 14 tahun sekitar tahun 1906. Di sana beliau sempat belajar daripada tokoh terkenal, Syeikh Muhammad Abduh dan bersahabat dengan Syeikh Muhd. Rashid Redho.

Syeikh Izzuddin Al-Qassam adalah seorang imam, guru dan juga syeikh bagi Tariqat As-Syazuliyah di Jilah Al-Adhamiyah, sebuah wilayah di bahagian utara Syria. Beliau menggunakan ilmu dan kedudukannya untuk menerangkan kepada umat bahawa tugasnya bukan sekadar menyampaikan asas-asas agama Islam semata-mata tetapi juga menerangkan setiap isu yang menyentuh kepentingan umat dan negara dari sudut pandangan Islam. Kepimpinannya telah menyedarkan masyarakat untuk kembali kepada Islam. Pentarbiahan beliau telah berjaya merubah pemikiran masyarakat. Beliau juga berjaya mempamerkan kepada masyarakat makna tariqat dan tasawuf sebenarnya bahkan wirid dan ajaran tasawufnya telah berjaya menguatkan rohaninya menentang kemungkaran. Beliau juga telah menolak salah tanggap masyarakat Islam kepada tasawuf dan tariqat yang menganggap golongan tariqat dan tasawuf ini hanya duduk di masjid atau atas sejadah sambil berzikir tanpa mengambil tahu keadaan umat Islam dan isu semasa.

Ketika Perancis menjajah negara Syria, beliau juga turut ikut serta dalam memerangi penjajah. Antara usahanya ialah dengan menjual rumahnya lalu membeli 34 pucuk senjata sebagai persediaan bagi menentang penjajah. Namun, perjuangan suci Syeikh Izzuddin dikhianati oleh revolusi pimpinan Ibrahim Hanano yang menyerahkan Syria kepada penjajah dan menangkap para pejuang. Revolusi tersebut berakhir dengan berlakunya pertempuran Melson pada tahun 1920. Perjuangan di Syria menjadi semakin rumit apabila penjajah Perancis menjatuhkan hukuman mati kepadanya. Beliau hanya mempunyai dua pilihan iaitu hukuman mati atau tunduk dengan kehinaan. Beliau mengambil keputusan untuk berhijrah ke Haifa di Palestin. Tujuan lain perpindahannya ke kota Haifa adalah kerana kewujudan pendatang haram Yahudi yang semakin bertambah ramai di bumi Palestin.

Syeikh Izzuddin Al-Qassam berhijrah ke Palestin kerana beliau amat memahami rancangan jahat Yahudi yang dibuat oleh Organisasi Zionis Antarabangsa di Basel, Switzerland pada 29 hingga 30 Ogos tahun 1896. Mereka telah membuat resolusi untuk mendirikan sebuah negara kebangsaan untuk masyarakat Yahudi di Palestin. Beliau juga melihat pakatan sulit antarabangsa yang mendapat sokongan kaum penjajah umumnya dan British khususnya.

Di Haifa beliau bergiat dengan aktiviti mengajar dan berceramah di Masjid An-Nasr. Kemudiannya berpindah tugas di Masjid Al-Istiqlal iaitu masjid terbesar ketika itu. Pada tahun 1927 beliau mendirikan pejabat cawangan Jam’iyah Asy-Syubban Al-Muslimin (Persatuan Pemuda Muslim) di Kota Haifa dan bertindak sebagai pemimpinnya.

Beliau mengajak warga Arab Palestin berbincang mengenai ancaman Yahudi ini walaupun sebahagian mereka mempunyai pendapat yang ganjil. Ini kerana ada antara mereka yang berpandangan bahawa cukup untuk menghadapi Yahudi dengan demonstrasi atau dengan perundingan sahaja. Bahkan ada yang pergi ke Britain untuk mencari jalan penyelesaian. Selama tujuh tahun digunakan oleh beliau untuk mengadakan hubungan dengan orang ramai, mengenali mereka, membina serta melatih organisasi dan mempersiapkan mereka untuk berhadapan dengan saat yang bakal menentukan masa depan. Dalam tempoh tujuh tahun itu juga beliau menjalankan pelbagai tugasan; guru di sekolah, pembimbing rohani di masjid, pekerja di Pejabat Syariat dan ketua pergerakan. Hubungan baik beliau dengan segenap lapisan masyarakat juga telah menyebabkan beliau memiliki dana yang kukuh.

Operasi pertamanya adalah menyerang perkampungan Yahudi Nahlal di kawasan Marj Amir. Hasilnya, ketua penjara Haifa terbunuh. Tentera British mengumumkan akan memberi hadiah 500 poundsterling bagi sesiapa yang dapat memberikan maklumat hingga tertangkap atau terbunuhnya Syeikh Izzuddin. Beliau bijak melepasi buruan pasukan Inggeris.

Sementara itu, di kawasan Nashirah, Syeikh Izzuddin dan pasukannya berjaya membunuh 11 orang Yahudi. Kemarahan British terhadapnya semakin meningkat dan pelbagai operasi telah dilancarkan untuk menghentikan jihadnya tapi tetap menemui kegagalan.

Pada tahun 1931, pasukan yang beliau bentuk telah menyerang perkampungan Yahudi di Yagur. Dalam penyerangan tersebut tiga orang tentera Yahudi telah terbunuh. Pasukan Syeikh Izzuddin Al-Qassam meneruskan penyerangannya dan menyebarkannya ke seluruh wilayah pergunungan. Setelah pasukan Inggeris yang bekerjasama erat dengan Zionis bertindak menyempitkan ruang geraknya di Haifa, maka Syeikh Izzuddin bersama enam orang sahabat karibnya berpindah ke daerah pergunungan pada tahun 1935. Pasukan ketenteraan yang beliau bentuk mencapai jumlah seramai 200 orang. Dari jumlah tersebut beliau membahagikannya kepada beberapa kelompok. Setiap kelompok terdiri daripada lima orang dan salah seorang daripada mereka akan diangkat sebagai pemimpin dan pemberi arahan. Dalam tempoh yang agak singkat, pasukannya bertambah bilangannya dan mencapai keanggotaan seramai 800 orang. Setiap unit yang asalnya terdiri daripada lima orang membesar menjadi sembilan orang.

Rancangan berjalan sebagaimana yang diharapkan. Di tahun 1935, Syeikh Izzuddin dalam usianya yang telah mencapai 60 tahun keluar pada satu malam dengan mengenakan pakaian pejuang setelah meninggalkan pakaian tokoh agama. Beliau mengumpulkan anggota keluarganya lantas memberitahu niatnya dan menjanjikan untuk berjumpa di syurga.

Pada pagi Rabu tanggal 20 November 1935 bertempat di Kota Ashrasy Ya’bad, Kota Jenin, Palestin terjadilah pertempuran atau peperangan yang tidak seimbang antara ratusan pasukan British yang bersenjata lengkap dengan bantuan helikopter menggempur sepuluh orang mujahidin pimpinan Syeikh Izzuddin dengan persenjataan sangat sederhana. Dalam tragedi yang penuh menyayat hati itu, Syeikh Izzuddin Al-Qassam memerintahkan pasukannya untuk memilih mati syahid daripada berundur, ketika mereka telah dikepung oleh pasukan British itu. Akhirnya Syeikh Izzuddin Al-Qassam bersama sembilan orang pasukannya meraih kematian yang dimuliakan dan menjadi cita-cita seorang mujahid iaitu syahid yang menjemputnya menemui Allah. Dalam poket baju Syeikh Izzuddin terselit mashaf Al-Quran yang menjadi sumber inspirasi seorang muslim yang mukmin.

Umat Islam di Palestin dan seluruh dunia melakukan solat jenazah ghaib untuk beliau. Jenazah As-Syahid Izzudin Al-Qassam dengan bajunya yang berlumuran darah dibawa oleh ribuan pencintanya ke perkuburan di kampungnya. Kematian beliau telah mencetuskan lebih banyak penentangan, pergolakan dan bantahan terhadap penjajahan Inggeris dan Zionis terhadap bumi Palestin.

Puluhan tahun telah berlalu hingga waktu ini. Persoalan yang perlu kita tanya, di mana musuh-musuh yang memusuhi perjuangan Syeikh Izzuddin? Di mana mereka yang membunuh Syeikh Izzuddin dan teman-temannya? Mereka hanya mampu membunuh jasad Syeikh Izzuddin tapi gagal mematikan roh perjuangan beliau dan teman-teman yang lain. Di manakah pula Syeikh Izzuddin dan teman-temannya berada sekarang? Tanpa syak dan ragu-ragu, dengan penuh keimanan kepada Allah dan ayat suci-Nya dalam kitab Al-Quran yang kita imani bahawa orang-rorang yang mati syahid tidak mati bahkan mereka hidup di sisi Allah s.w.t malahan diberikan rezeki. Alangkah bertuahnya Syeikh Izzuddin dan teman-temannya kini dalam rahmat Allah, sementara merana dan sengsara pula musuh-musuh mereka diazab oleh Allah.

Berbahagialah mereka yang berjuang untuk Islam... dan amat malang dan celaka jika ada umat Islam yang sanggup mengambil Yahudi sebagai sahabat dan penasihat...

Sabtu, Mei 01, 2010

RAJA-RAJA DI BUMI

Gambar hiasan
Gambar hiasan

Sebuah hadis riwayat Abu Hurairah berbunyi : "Aku mendengar Rasulullah bersabda : Allah menggenggam bumi dan melipat langit dengan tangan kananNya lalu berfirman : Akulah raja, di manakah raja-raja di bumi? ( hadis riwayat Bukhari)

Dalam hadis lain Ibnu Umar pula menceritakan, Rasulullah bersabda : "Allah menggulung langit pada hari kiamat , kemudian Dia mengambil dengan tangan kananNya lalu berfirman : Akulah raja, di manakah tukang paksa? Di manakah orang-orang yang sombong? Kemudian Dia menggulung bumi kemudian mengambilnya. Ibnu 'Ala' berkata : Dia mengambil dengan tanganNya yang lain lalu berfirman : Akulah raja, di mana tukang paksa? Di mana orang-orang yang sombong? (hadis riwayat Abu Daud)

Demikianlah peringatan Allah kepada hambaNya, di sisi Allah semua manusia sama sahaja, tiada pangkat atau darjat yang membezakan manusia samada raja, bangsawan atau rakyat bawahan, sesungguhnya yang paling mulia di kalangan manusia di sisi Allah adalah yang paling bertakwa dari kalangan mereka....

Atas dasar inilah agaknya ... Saidina Umar al-Khattab, Amirul Mukminin ke-2 dari Kerajaan Khulafa' Rasyidin hanya menangis apabila 'Uwais al-Qarni mencampak pasir ke atas pakaiannya. Mengapa Saidina Umar tidak menghukum 'Uwais sedangkan dia raja (khalifah). Saidina Umar menganggap 'Uwais lebih mulia daripadanya kerana 'Uwais lebih bertakwa kepada Allah walaupun 'Uwais adalah rakyatnya....

Siapakah raja yang lebih hebat peribadinya daripada Umar al-Khattab yang masih hidup sekarang ini???